KUALA LUMPUR 9 Okt. -Orang awam dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaan 14 produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pengguna dinasihatkan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan selepas menggunakan produk kosmetik berkenaan.
Katanya, antara produk yang terlibat adalah Has Beauty iaitu Majaja Serum Channtiq yang mengandungi racun merkuri.
“Produk Karisma Cosmetic iaitu Karisma Treatment Sarang Burung, DM Beatuy Resources iaitu Alora Night Glowing Cream dan Aleeya Ultimate Enterprise iaitu Diamond Gold Treatment Cream pula mengandungi hydroquinone dan tretinoin.
“Produk kosmetik yang dicampurpalsukan dengan hydroquinone dan tretinoin ini dipromosikan untuk merawat masalah jerawat, mencerahkan kulit wajah, masalah jeragat dan membantu mengurangkan kedutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pengunaan produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual secara berterusan akan menyebabkan kulit pengguna lebih sensetif, mengelupas dan kemerahan.
Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.
Dr. Nor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
“Mereka diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya. ujarnya. – UTUSAN ONLINE
BAITULMUQADDIS 6 Okt. – Umat Islam di seluruh dunia diseru supaya terus mengunjungi Masjid Al-Aqsa walaupun menghadapi pelbagai tekanan oleh tentera Israel.
Ketika membuat seruan itu, Mufti Besar Baitulmuqaddis, Sheikh Mohammad Ahmad Husein berkata, ia sebagai tanda sokongan moral umat Islam dunia kepada rakyat Palestin.
Katanya, menerusi cara itu juga secara tidak langsung boleh menjana ekonomi penduduk Palestin khususnya di wilayah tersebut.
“Sememangnya ada tekanan oleh tentera Israel kepada mereka yang berhasrat mengunjungi Masjid Al-Aqsa tetapi itu hanya sebahagian kecil daripada penderitaan dialami oleh penduduk Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena kunjungan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke masjid itu di sini semalam.
Berangkat sama anakanda sulung baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Tinggi Hal Ehwal Islam Al-Quds, Dr. Ekremah Said Sabry.
Turut serta Pengarah Wakaf Al-Quds, Syeikh Azam Al-Khatib; Menteri Al-Quds, Ir. Adnan Al-Husaini; Mufti Al-Quds, Syeikh Adnan Ghaith dan Pengarah Masjid Al-Aqsa, Syeikh Omar Al-Kiswani.
Tuanku Syed Faizuddin diiringi oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Dalam lawatan itu, baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs sempat menunaikan solat Jumaat sebelum menyampaikan sumbangan sebanyak 30 buah kerusi roda oleh majlis agama itu bagi kegunaan para jemaah.
Dalam pada itu, Sheikh Mohammad yang juga penjaga Masjid Al-Aqsa memberitahu, nasib penduduk Palestin semakin tertindas sejak Perjanjian Oslo pada 1993.
SEORANG ayah berkata kepada anaknya: “Ayah berikan kepada kamu tanah ini, kamu ambillah. Kamu binalah rumah di atasnya.” Jawab anak: “Saya terima ayah, saya sayang ayah”.
Begitulah contohnya apabila seorang ayah yang sayangkan anak memberikan harta yang telah diusahakan selama ini untuk dimiliki oleh anaknya. Kaedah ini adalah hibah yang mana sebahagian daripada masyarakat tidak mengetahui kedudukan dan kebaikannya sebagai alternatif kepada pengagihan harta pusaka.
Pelaksanaan hibah kini sesuai untuk diamalkan seiring dengan peredaran masa dan perubahan corak hidup serta tabiat masyarakat. Masalah pengabaian pembahagian harta pusaka juga tidak akan timbul memandangkan pemberian telah dibuat semasa hayat pemberi hibah.
1) Hibah adalah Pembahagian Harta Yang Dianjurkan Islam
Hibah merupakan satu bentuk pengurusan harta yang dianjurkan Islam. Ia sebagai pelengkap kepada sistem pengagihan harta dalam Islam. Namun, sistem faraid sebenarnya adalah satu bentuk pengagihan harta kepada waris apabila seseorang meninggal dunia secara mengejut atau meninggal dunia dalam usia yang muda sebelum sempat memikirkan tentang persediaan pengagihan harta. Justeru itu, hibah adalah satu bentuk perancangan awal pewarisan harta untuk tujuan kebajikan dan boleh memupuk kasih sayang serta mencegah permusuhan.
Minda masyarakat yang selama ini hanya menggunakan mekanisme pembahagian harta pusaka secara konvensional perlu diubah kepada konsep yang menggunakan pendekatan ‘pemberian semasa hidup’ seperti hibah. Pelaksanaan hibah adalah sunat dan digalakkan di dalam Islam. Ini adalah berdasarkan firman ALLAH: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.” (Surah Ali Imran: 92)
2) Hibah adalah Pemberian Semasa Hidup yang boleh Ditujukan Kepada Sesiapa Sahaja Yang Dikehendaki
Dalam Islam, tidak wujud halangan untuk membolehkan hibah dibuat kepada waris sendiri walaupun pemberian sebegini ditegah melalui pemberian dengan jalan wasiat. Pemberian hibah boleh dibuat daripada seorang bapa kepada anak-anaknya atau daripada suami kepada isterinya. Malahan, pelaksanaan hibah boleh digunakan kepada pasangan yang mempunyai anak angkat kerana anak angkat tidak dikategorikan sebagai waris.
Manakala, bagi orang yang baru memeluk Islam, mereka mungkin masih mahu mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga mereka walaupun keluarga tersebut bukannya beragama Islam. Maka adalah dibolehkan untuk memberikan harta kepada keluarga terutamanya ibu bapa yang telah banyak berjasa sebagai menghargai pengorbanan melahirkan dan membesarkan mereka walaupun berlainan agama.
Pemberian secara hibah ini boleh memperlihatkan keindahan Islam sebagai agama yang amat menitikberatkan soal penghormatan kepada ibu bapa dan keluarga serta menggalakkan kasih sayang sesama manusia.
3) Hibah Tiada Had Kadar Bahagian atau Jumlah Pemberian
Hibah mempunyai kelainan berbanding wasiat dan faraid kerana tiada had jumlah yang perlu dipatuhi. Berbeza dengan harta yang diwasiatkan yang tidak boleh melebihi 1/3 daripada harta pusaka bersih dan faraid pula mengikut kadar-kadar tertentu yang telah dinyatakan dalam al-Quran. Namun, dalam hal hibah kepada anak-anak, ibu bapa disunatkan untuk berlaku adil dengan menyamaratakan pemberian. Ia sebagaimana hadis daripada Nu’man bin Basyir RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Sesungguhnya bapa datang berjumpa Rasulullah SAW lalu berkata: “Sesungguhnya saya telah menghadiahkan anak lelaki saya ini seorang hamba.” Lalu Rasulullah SAW bertanya (kepada bapa saya): “Adakah setiap anak kamu telah diberikan (pemberian) seperti ini?” Bapa saya menjawab: “Tidak.” Rasulullah SAW lalu berkata: “Kembalikanlah dia.” (Riwayat Bukhari)
4) Hibah Sebagai Alternatif Penyelesaian Masalah Pengagihan Secara Faraid
Kefahaman masyarakat terutamanya waris kini ke atas pengurusan pentadbiran harta pusaka memungkinkan mereka lambat atau boleh melengah-lengahkan membuat permohonan pembahagian harta pusaka seseorang si mati. Rentetan daripada ini, ia boleh menimbulkan pelbagai masalah yang sukar diatasi.
Justeru itu, sebagai usaha bagi mengatasi masalah yang timbul, kaedah pelaksanaan hibah bukan sahaja dapat menjamin penurunan hak milik harta kepada waris mengikut kehendak pemberi hibah, malah akan mengurangkan jumlah kes harta pusaka yang tertunggak di seluruh negara.
Ini adalah kerana pengagihan harta melalui kaedah hibah tidak perlu melalui proses pentadbiran yang rumit sepertimana yang perlu dilalui dalam pembahagian secara faraid yang kadangkala boleh menimbulkan ketidakadilan. Ini sekali gus dapat mengelakkan perebutan harta dan pertelingkahan ahli waris selepas kematian pemilik.
5) Pembahagian Harta Secara Lebih Bermanfaat
Pemberian harta secara hibah adalah suatu cara yang berkesan untuk pembahagian yang lebih berfaedah dan bermanfaat. Pembahagian harta pusaka dengan cara meletakkan nama semua waris pada setiap bidang tanah yang diwarisi sehingga tidak mendatangkan apa-apa manfaat dari sudut ekonomi serta menyukarkan transaksi seterusnya, boleh merugikan waris.
Sebenarnya, pembahagian harta pusaka selain faraid dibenarkan mengikut persepakatan atau muafakat, iaitu pembahagian dibuat tanpa mengikut hukum faraid dengan syarat wujud persetujuan semua ahli waris selepas berlakunya kematian.
Ia sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 15 (5) dan Jadual Pertama Akta (Pembahagian) Harta Pusaka Kecil 1955. Amalan muafakat tidak menyalahi hukum Islam kerana Islam sendiri menganjurkan supaya mempraktikkan amalan berunding iaitu melalui kaedah sulh.
Walau bagaimanapun, cara pembahagian melalui kaedah persepakatan ini jarang dipatuhi kerana ketiadaan persetujuan daripada waris. Masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar masih gemar kepada bentuk perintah pembahagian mengikut bahagian faraid yang meletakkan nama-nama setiap individu ke atas semua hak milik si mati. Ini bermakna sekiranya si mati meninggalkan lima hak milik dan 10 waris, maka setiap hak milik akan mengandungi nama kesemua daripada waris tersebut.
Kewujudan bentuk pembahagian sebegini boleh menyebabkan nilai komersial sesebuah tanah menjadi terjejas dan tidak bermanfaat. Ini adalah kerana melalui hak milik yang dikongsi ramai individu dengan bahagian yang sangat kecil, urus niaga tanah akan menjadi lebih rumit kerana setiap urus niaga yang hendak dilaksanakan memerlukan persetujuan daripada kesemua pemilik.
Justeru pemberian harta melalui hibah boleh dipertimbangkan bagi mengatasi masalah ini.
* Ustaz Indera Shahril Mohd Shahid Pengurus Harta Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor (Mais)