Posted on Leave a comment

USIA hayat sejarah kemanusiaan sejak Nabi Adam AS hinggalah sekarang hanyalah sekitar 7,000 hingga 8,000 tahun.

USIA hayat sejarah kemanusiaan sejak Nabi Adam AS hinggalah sekarang hanyalah sekitar 7,000 hingga 8,000 tahun.

Itulah anggaran yang dibuat oleh ilmuwan unggul tanah air, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas secara ilmiah dan berlandaskan pelbagai sumber.

Bagaimanakah Prof Naquib Al-Attas membuat penetapan itu dan apakah sandaran pembuktiannya? Malah, lebih penting daripada itu, apakah manfaat mengetahui usia umat manusia?

Semua persoalan itu dijawab oleh Prof Naquib Al-Attas pada Syarahan Khas sempena Majlis Pelancaran Buku On Justice and the Nature of Man di Sasana Kijang, Bank Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Prof Naquib Al-Attas berkata, penentuan usia kemanusiaan penting untuk menjawab kekeliruan dan keraguan yang ditimbulkan dalam tradisi falsafah dan pemikiran Barat khususnya melalui idea evolusi yang bertentangan dengan keyakinan penciptaan manusia melalui Nabi Adam.

“Sekolah dan universiti di seluruh dunia mengajar idea manusia melalui tempoh evolusi yang panjang dan sangat kompleks tetapi pintar yang disokong oleh banyak bukti empirikal.

“Bagi mereka, manusia ialah ciptaan semula jadi dalam bentuk fizikal yang tidak istimewa, sebaliknya produk evolusi yang dikatakan sebagai proses pembangunan biologi dari spesis antropoid yang berubah bentuk dan spesis dari semasa ke semasa yang akhirnya memunculkan homo sapiens (manusia moden), iaitu kita,” katanya pada syarahan selepas majlis pelancaran bukunya yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu.

PROF Dr Syed Muhammad Naquib Al – Attas . – Foto Rosela Ismail

Jerat teori evolusi

Beliau berkata, ramai Muslim sama ada generasi tua mahupun muda yang menjadi keliru kerana evolusi itu dikatakan berasaskan bukti empirikal saintifik, manakala umat Islam tidak menemukan pembuktian yang sama.

“Sebahagian sarjana dan pengarang sampai ke tahap beranggapan Adam bukanlah nama seorang manusia sebaliknya istilah kemanusiaan secara seluruhnya, sekali gus cocok dengan idea evolusi selama ratusan, bahkan jutaan tahun itu.

“Justeru, sangat penting untuk menentukan usia kemanusiaan berasaskan pembuktian daripada al-Quran dan hadis serta bukti daripada sejarah dan arkeologi mengenai anggaran bilakah Nabi Adam diturunkan ke dunia,” katanya.

Prof Naquib Al-Attas berkata, tempoh itu boleh ditentukan melalui metodologi berasaskan pengetahuan terhadap period raja dan pemerintah dalam kerajaan serta peradaban silam yang sudah direkodkan dalam sejarah.

Beliau berkata, pengetahuan terhadap tempoh sejak Nabi Muhammad diutuskan yang kini tahun hijrah ialah 1437H dan kelahiran Nabi Isa sejak 2015 tahun lalu sudah tidak menjadi pertikaian lagi.

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melancarkan buku ‘On Justice And The Nature Of Man’ oleh Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Sasana Kijang. – Foto Rosela Ismail

Anggaran zaman raja, pemerintah

“Zaman nabi sebelum Isa pula dapat dianggarkan dengan mengetahui period raja dan pemerintah silam yang sudah banyak diketahui oleh sejarawan dan arkeologi.

“Ini kerana raja dan pemerintah itu yang dihadapi oleh nabi ketika mereka diutuskan kepada umat manusia, sekali gus dapat mengetahui tempoh zaman berkenaan,” katanya.

Yang hadir sama pada sesi syarahan itu Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kewangan dan Perbankan Malaysia (IBFIM), Datuk Dr Adnan Alias; Ketua Pengarah Biro Tatanegara (BTN), Datuk Raja Arif Raja Ali; Pengasas Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains Dan Peradaban (CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud dan Pengarahnya, Prof Dr Muhammad Zainiy Uthman.

Contoh perkiraan yang dibuat Al-Attas dapat dilihat melalui penentuan zaman Nabi Yunus yang diutuskan ke Nineveh di Babylon yang dikuasai dan diperintah oleh Assyria khususnya di bawah Sargon II bermula 721 hingga 705 Sebelum Masihi (SM) dan Sennacherib putera kepada Esarhaddon (681-668 SM) dan Esarhaddon putera kepada Ashurbanipal (669-629 SM).

Makam Nabi Yunus itu terletak di kawasan perbukitan selatan Nineveh, iaitu kota lama yang berhadapan dengan Mosul, Iraq dan kini dikenali sebagai Tall Nabi Yunus, manakala jarak zaman ketiga-tiga pemerintah itu dengan masa kini dianggarkan kira-kira 2,700 tahun.

SAFIYA Alias menunjukkan buku ‘On Justice And The Nature Of Man’. – Foto Rosela Ismail

Sumber arkeologi, al-Quran

Dalam konteks Nabi Musa pula, Prof Naquib Al-Attas merujuk kepada penemuan dokumen dan monumen di Jericho, Palestin yang dilakukan oleh ekspedisi arkeologi Universiti Liverpool pada 1931 yang mendapati catatan mengenai bayi Musa diselamatkan oleh Puteri Hatshepsut, iaitu anak kepada Firaun Thutmose I di Sungai Nil pada 1527 SM.

Prof Naquib Al-Attas berkata, dakwaan itu bersamaan dengan wahyu al-Quran mengenai sirah Nabi Musa walaupun kitab suci berkenaan tidak menyebut nama firaun atau puterinya.

Penetapan anggaran tempoh zaman itu turut membabitkan Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ibrahim dan Nabi Nuh berdasarkan dengan sumber yang dinyatakan seperti yang dijelaskan dengan terperinci dalam buku yang diterbitkan IBFIM dan Akademi Kenegaraan itu.

Kesimpulannya, Prof Naquib Al-Attas menegaskan tempoh hayat umat manusia secara keseluruhan sejak Nabi Adam hingga masa kini ialah sekitar 7,000 hingga 8,000 tahun.

Tempoh itu mungkin dianggap pendek bagi pemikiran moden yang meyakini proses evolusi manusia berlangsung selama jutaan tahun tetapi sejarah peradaban seperti yang dicatat oleh Barat sendiri pun hanya bermula sekitar 6,000 tahun lalu di Mesopotamia seperti Sumeria, Babylon, Assyria dan Mesir.

Penetapan anggaran yang disifatkan melebihi kebarangkalian itu dapat digunakan oleh umat Islam sebagai antara hujah berdepan dengan kekeliruan yang ditimbulkan kesan daripada idea evolusi yang menjadi antara tiang seri pada sekularisasi Barat.

Posted on Leave a comment

Bangsa bertamadun hargai ilmuwan sepanjang zaman

Bangsa bertamadun hargai ilmuwan sepanjang zaman
Oleh Mohd Hilmi Ramli

PENGIKTIRAFAN dan penghormatan terhadap ilmuwan tidak terhad hanya selepas seseorang tokoh sudah tiada. Dalam sejarah Islam, ramai tokoh dihormati dan dihargai sumbangannya ketika masih hidup, malah berkekalan walaupun selepas kematiannya.

Imam Shafie diiktiraf kewibawaannya oleh Imam Malik walaupun masih muda. Hingga hari ini, mazhabnya antara mazhab utama fiqh umat Islam. Imam al-Ghazali dikenali sebagai Hujjat al-Islam dan karya utamanya Ihya ‘Ulum al-Din menjadi kitab penting umat Islam hingga kini. Kewibawaan dan ketokohannya menarik perhatian Nizam al-Mulk, pemerintah ketika itu, lalu melantik al-Ghazali sebagai profesor ulung di Nizamiyah. Ibn Khaldun dalam karya Muqadimah, merakamkan pengaruh karya dan ketokohan al-Taftazani di Mesir, meskipun tidak pernah bertemu.

Namun, ada juga sebahagian besar ilmuwan tidak dihargai sumbangannya ketika hidup. Mereka dikenang dan dihargai sumbangannya setelah tiada. Malangnya, ada ilmuwan langsung tidak dihargai ketika hidup dan selepas matinya.
Mengapa hal itu terjadi? Dalam kerangka budaya ilmu sebenar, sumbangan seseorang ilmuwan benar-benar dihayati dan dihargai disebabkan wujudnya sistem nilai dan falsafah tinggi ilmu, agama, etika dan budaya sesuatu kaum dan tamadun. Ia bermaksud individu dan masyarakat berkenaan kenal serta tahu ilmu dan ilmuwan hakiki.

Sistem nilai dan falsafah tinggi ialah prasyarat budaya ilmu sebenar. Kriteria mengenali ilmuwan hakiki berdasarkan pengiktirafan ilmuwan sebenar sezaman dan bersifat ‘mutawatir’ oleh ahli ilmu selepasnya melalui penulisan tabaqat (biografi) atau sejarah, karya pentingnya dan kesan baik berterusan hasil ajaran serta pengaruhnya.

Dengan kriteria ini, setiap ilmuwan dikenali dan diletakkan di tempat paling wajar. Mereka tidak akan dilonggokkan di tempat sama. Oleh itu, ketokohan Imam Shafie, al-Ghazali dan al-Taftazani sangat menonjol, walaupun pada zaman mereka, ramai tokoh lain wujud.

Bagaimana boleh berlaku ilmuwan tidak dihargai ketika hidup atau selepas mati? Ini disebabkan budaya ilmu sesuatu masyarakat rendah, keliru atau tiada, lalu mengakibatkan tidak kenal intan permata. Sebaliknya, mereka menggunakan kriteria palsu seperti populariti, kuasa, kepandaian berjenaka dan berhelah.
Dalam hal ini, penting kita renungkan pengiktirafan sewajarnya diberikan Profesor Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, tokoh pemikir negara dan umat Islam. Bangsa kita khususnya dan umat Islam secara umumnya bersyukur kerana hidup sezaman dengan beliau.

Prof al-Attas berjasa dalam meletakkan asas kukuh dalam pembinaan negara melalui peranan agama Islam, bahasa dan budaya. Contohnya, kepentingan bahasa Melayu sebagai asas perpaduan rakyat Malaysia, peranan dan sumbangan Islam di alam Melayu. Ia kemudiannya menjadi Syarahan Pengukuhan Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1972, selain pembuktian secara saintifik Tarikh Bersurat Terengganu pada 4 Rejab 702 bersamaan 22 Februari 1303.

Sumbangan gagasan dan peranan strategik beliau dalam merangka dan menubuhkan institusi pengajian tinggi di negara ini juga amat penting. Beliau bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjawat Menteri Pelajaran, terbabit dalam Jawatankuasa Penaja Utama penubuhan UKM pada 1968.
Kemudian, Prof al-Attas menubuhkan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) di UKM menumpukan kepada pembinaan epistemologi, sejarah dan falsafah alam Melayu dan perbandingan dengan tamadun besar.

Kerjaya dan sumbangannya paling bermakna ialah penubuhan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Islam (ISTAC) dan memimpinnya selama 14 tahun. Beliau merangka kurikulum, memilih sarjana hebat dan menubuhkan perpustakaan dengan koleksi nadir, manuskrip serta peribadi ilmuwan dalam dan luar negara. Begitu juga menerbitkan karya dan jurnal penting serta melatih dan mengajar ilmuwan muda pintar dari seluruh dunia.

Sumbangannya tidak terhad kepada menganalisis akar masalah, tetapi memberi cadangan penyelesaian kepada bangsa dan umat Islam secara keseluruhan. Beliau menuruti Imam al-Ghazali dalam memahami isu umat Islam dengan menumpukan pengislahan individu sebagai prasyarat pengislahan dan pembinaan perkara lebih besar.
Justeru, amatlah wajar dan tepat untuk suatu majlis penghargaan kepada Prof al-Attas diadakan. Simposium Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Syed Muhammad Naquib al-Attas akan dianjurkan Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains, dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Prof al-Attas akan memberikan syarahan khas, manakala antara pembentang utama, Pemegang Kerusi Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Pemikiran Islam, Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud; Profesor di Universiti Ibnu Khaldun, Istanbul, Prof Dr Alparslan Acikgenc; Profesor Johann Wolfgang Goethe-Universitat, Prof Dr Hans Daiber dan Profesor Universiti Tehran, Prof Dr Saed Reza Ameli Ranani.

Penulis adalah Pengerusi Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM)

Posted on Leave a comment

Pegang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Pegang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

PROF Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas.

DALAM syarahannya, Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas sering membawa kisah isteri Aladin menukarkan lampu ajaib lamanya dengan ‘produk’ baharu ahli sihir kerana terpengaruh dengan kilau zahirnya.

Anekdot ini mengingatkan saya pada fenomena ramai ilmuwan dan intelektual dari luar yang berkunjung ke negara ini.

Selain dasar kerajaan bersikap terbuka dan konsep wasatiyyah diamalkan di negara ini, masyarakat kita memang meraikan tokoh berilmu termasuk dalam Islam.

Malah sejarah kemasukan Islam yang menjadi sebahagian perkembangan agama ini di alam Melayu menyerlahkan hakikat itu.

Ulama dan pendakwah khususnya keturunan Imam Ahmad bin Isa al-Muhajir yang bersambung salasilah kepada Nabi Muhammad SAW, sejak sekian lama bukan saja terbabit dalam dakwah serta pendidikan, bahkan terbabit dalam kesultanan dan kerajaan Melayu di rantau ini.

Kekeliruan fahaman asing

Hal sama juga berlaku pada era pascamodenisme apabila ilmuwan dan intelektual terus datang atau dibawa ke negara ini untuk berkongsi keilmuan serta keintelektualan mereka.
Bagaimanapun ketika idea liberalisme dan pluralisme semakin getir, ditambah kekusutan sedia ada akibat kekeliruan daripada faham pseudo-Salafi dan Wahabisme, maka ada baiknya kita menerimanya dengan hati-hati.

Penerimaan berhati-hati bukanlah bermakna mengambil tindakan semberono atau menekan butang panik, sebaliknya menilainya dengan kerangka dan pandangan alam Islam yang benar.

Saya tertarik dengan nasihat oleh ilmuwan Islam dari Amerika Syarikat (AS), Sheikh Dr Umar Faruq Abd-Allah ketika menyampaikan syarahan Balancing Reason & Tradition In Contemporary Context di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur.

Beliau mengingatkan kita supaya berpegang dengan apa yang sudah diterima dan diamalkan oleh bangsa Melayu sejak zaman-berzaman, iaitu Islam yang mengangkat peradaban bangsa Melayu.

Warisan agama, ASWJ

‘Warisan’ datuk nenek kita yang hakiki ialah akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) seperti disusun Imam Abu Hassan Ashaari dan Imam al-Maturidi, manakala dalam konteks fiqh seperti yang diterima di alam Melayu, iaitu mazhab Syafie serta tasawuf dengan rantaian ulama seperti Shaikh Abdul Qadir al-Jilani, Imam al-Junaid dan Imam al-Ghazali.

Hal sama juga pernah diingatkan oleh pengasas Kolej Zaytuna di AS, Shaikh Hamza Yusuf dalam siri kunjungannya sebelum ini termasuk dalam wawancaranya dengan IKIMfm yang didokumentasikan oleh institusi itu dalam bentuk cakera padat (CD).

Nasihat itu bukan menyuruh kita untuk bersikap tertutup kerana Dr Umar Faruq sendiri dalam syarahannya menekankan kesatuan rasional dengan sumber ilmu lain dalam tradisi Islam.

Epistemologi atau faham kedudukan ilmu dalam Islam memang sudah kukuh tetapi pergelutan pemikiran dalam tradisi Barat atau reaksi umat Islam terhadap modenisme menyebabkan kita terikut sama mendukung ‘biawak hidup’ itu.

Justeru nasihat Dr Umar Faruq itu amat cocok dengan anekdot al-Attas supaya kita tidak mengulangi kesilapan isteri Aladin yang menggadaikan lampu ajaib dengan produk baharu semata-mata kerana mata kita tersilau dengan pancaran palsunya.

Posted on Leave a comment

COVID-19: 17,935 individu di Pahang terima bantuan RM200

COVID-19: 17,935 individu di Pahang terima bantuan RM200
Asrol Awang
bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Mulai esok, seramai 17,935 individu di negeri ini akan menerima bantuan khas tunai sekali bayar RM150 dan barang keperluan bernilai RM50.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata bantuan khas kepada golongan yang terkesan secara langsung dan terputus sumber bekalan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan peruntukan bernilai RM3.587 juta.

Katanya, agihan bantuan khas itu akan diuruskan Pegawai Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mereka yang akan menerima bantuan khas ini diminta untuk terus patuh PKP.

“Mereka tidak perlu hadir ke pejabat kerajaan untuk urusan bantuan sebaliknya kekal di rumah kerana agihan akan dibuat secara terus ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai tanda sokongan dan simpati kepada penjaja dan peniaga kecil, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri bersetuju memberikan potongan 50 peratus bagi bayaran sewaan gerai dan lain-lain kemudahan PBT bagi April.

Katanya, potongan itu juga termasuk bayaran permit pasar tani, pasar pagi, pasar malam dan jualan but kereta.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 6,238 peniaga kecil dan penjaja yang membabitkan implikasi kewangan kepada PBT sebanyak RM1.293 juta.

“Kerajaan negeri juga memberikan potongan 50 peratus daripada kadar sewa bulanan Projek Perumahan Awam Kos Rendah dan Rancangan Rumah Murah di seluruh negeri bagi April ini.

“Ia memberi memberi faedah kepada 2,453 penyewa yang membabitkan implikasi kewangan kepada kerajaan negeri sebanyak RM150,000.

“Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan petugas di bilik gerakan operasi serta anggota pasukan keselamatan yang terbabit operasi penguatkuasaan PKP di Pahang, sebanyak RM765,800 diperuntukan bagi menampung kos penyediaan makanan kepada semua petugas,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak termasuk anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dalam menyalurkan sumbangan kepada Tabung COVID-19 Pahang.

Posted on Leave a comment

Muip salur bantuan tangani wabak Covid-19

Muip salur bantuan tangani wabak Covid-19
NIK AMIRULMUMIN NIK MIN | | 22 Mac 2020

Muip peruntuk insentif khas zakat bagi menangani wabak Covid-19

PEKAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) memperuntukkan sumbangan bantuan melalui insentif khas zakat bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19).

Muip melalui kenyataannya yang dimuat naik di Facebook rasminya memaklumkan, bantuan tersebut akan disalurkan kepada golongan asnaf dan miskin, keluarga pesakit dan pihak hospital yang mengendalikan pesakit yang dijangkiti Covid-19.

Melalui kenyataan itu, Muip memperuntukkan RM250,000 kepada kerajaan negeri bagi membantu pihak-pihak tertentu yang memerlukan bantuan untuk mendepani isu wabak Covid-19.

Pada masa yang sama, tambahan sebanyak RM200 kepada 3,030 penerima bantuan bulanan zakat membabitkan peruntukan RM606,000 yang akan dimasukkan terus ke dalam akaun penerima.

Pihak Muip juga memperuntukkan RM1.92 juta untuk bantuan tambahan RM200 kepada 9,664 penerima bantuan tahunan zakat yang juga akan dimasukkan terus ke akaun penerima.

Bantuan turut melibatkan sumbangan 20 set alat bantuan pernafasan (mesin tabung oksigen) dan peralatan screening kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dan Hospital Kuala Lipis.

Keluarga mangsa yang dijangkiti Covid-19 di negeri ini turut akan menerima bantuan khas RM1,000.

Bantuan tersebut diumumkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang Dipertua Muip.

Melalui kenyataan itu disebutkan, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut menyeru kepada semua Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang berkemampuan untuk bersama-sama menyumbang kepada Tabung Amal Covid-19 yang diwujudkan.

Posted on Leave a comment

Pemangku Raja Pahang sumbang Elaun Diraja ke Tabung COVID-19 Pahang

Pemangku Raja Pahang sumbang Elaun Diraja ke Tabung COVID-19 Pahang

Noraniza Kamsani, Astro Awani | April 01, 2020 14:30 MYT

KUANTAN : Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk menyalurkan Elaun Diraja baginda selama enam bulan kepada Tabung COVID-19 Pahang.

Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, untuk tujuan itu, baginda tidak akan mengambil bayaran elaun itu bagi tempoh enam bulan bermula bulan ini sehingga September nanti.

“Baginda berharap agar bantuan-bantuan yang dicadangkan dan diluluskan menggunakan Tabung COVID-19 Pahang dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan dengan segera.

“Selain itu, baginda turut bertitah supaya seluruh rakyat Pahang sentiasa menjaga kebersihan diri dan keluarga serta mematuhi arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, Pemangku Raja juga mendoakan pesakit COVID-19 di seluruh Malaysia amnya termasuk di Pahang khasnya diberi kesembuhan yang segera oleh Allah SWT.

“Selain itu, baginda juga berharap kesemua petugas barisan hadapan sentiasa diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik untuk menjalankan amanah serta tanggungjawab yang diberikan,” katanya.

Posted on Leave a comment

Laungan azan diteruskan di semua masjid, surau di Pahang

Laungan azan diteruskan di semua masjid, surau di Pahang
NIK AMIRULMUMIN NIK MIN | | 18 Mac 2020

KUANTAN – Laungan azan akan dilakukan seperti biasa pada setiap waktu di masjid dan surau di seluruh Pahang walaupun aktiviti keagamaan dibatalkan akibat virus koronavirus (Covid-19).

Mufti Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang semalam.
Bagaimanapun katanya, semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan bermula hari ini sehingga 31 Mac.

“Semua umat Islam di negeri ini disarankan menunaikan solat jemaah di rumah dalam tempoh itu atas nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya melalui satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di Facebook Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Abdul Rahman berkata, pada mesyuarat berkenaan, garis panduan pengurusan jenazah mangsa virus Covid-19 di negeri ini turut dikeluarkan.
“Sekiranya berlaku kematian akibat Covid-19, pengurusan jenazah perlu dilaksanakan mengikut keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang pada 14 Mei 2015 mengenai hukum pengurusan jenazah orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) di Malaysia.

“Pengurusan boleh dilakukan melalui prosedur tayamum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalutnya bagi mengelakkan kemungkinan kemudaratan kepada mereka yang menguruskan jenazah,” katanya.
Menurutnya, semua keputusan yang diambil itu terpakai di seluruh negeri atas perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, pihak pengurusan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 dalam satu kenyataan memaklumkan, masjid itu akan ditutup dalam tempoh ditetapkan selaras dengan keputusan terbaru Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang semalam.
Semua aktiviti di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 akan ditangguhkan sementara mulai hari ini termasuk solat jemaah lima waktu, solat Jumaat dan kelas agama.

Posted on Leave a comment

Projek dan Program Khas 2020 Kerajaan Negeri Pahang

Projek dan Program Khas 2020 Kerajaan Negeri Pahang akan melaksanakan beberapa projek dan program khas pada tahun 2020 yang dapat memberi kesan langsung kepada rakyat di negeri ini.

Usaha ini menepati prinsip kerajaan negeri untuk mengembalikan faedah dan manfaat hasil yang diperolehi kerajaan kepada rakyat.

Antara projek dan program khas yang akan dilaksanakan ialah:
1. Bayaran insentif khas bagi perkahwinan kali pertama
2. Bantuan khas one-off kepada golongan miskin, ibu tunggal dan warga emas
3. Bayaran khas one-off kepada setiap 542 JKKK
4. Bayaran khas one-off kepada imam-imam masjid kariah Membina projek takungan air di Daerah Lipis
5. Membina 84 unit rumah untuk rakyat yang memerlukan
6. Memperkenalkan kad kesihatan khas kepada warga emas

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) Facebook Twitter Pinterest Share

Posted on Leave a comment

Insentif nikah kali pertama RM200 di Negeri Pahang Darul Makmur

Insentif nikah kali pertama RM200

myMetromutakhir

PAHANG menyediakan insentif khas untuk perkahwinan kali pertama sebanyak RM200 bagi pengantin lelaki berpendapatan RM5,000 dan ke bawah mulai tahun ini.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosfy Wan Ismail berkata, insentif itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 14,000 pasangan dan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM2.8 juta.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan khas one-off kepada golongan miskin termasuk ibu tunggal dan warga emas yang dalam kategori miskin sebanyak RM300.

“Insentif ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 25,000 golongan miskin di Pahang dengan kos keseluruhan sebanyak RM7.5 juta.
“Kita juga menyediakan bayaran khas one-off kepada setiap 542 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) di Pahang sebanyak RM5,000 dengan peruntukan sebanyak RM2.71 juta,” katanya
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Penduduk Benta di Dewan Balora Benta, Lipis hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan kepada keadaan kewangan yang bertambah baik hasil daripada usaha meningkatkan hasil dan mengurangkan ketirisani, kerajaan negeri akan melaksanakan tujuh projek dan program khas pada tahun ini.
Katanya, projek khas itu akan memberi kesan langsung kepada rakyat negeri Pahang.
“Ini menepati prinsip kerajaan negeri untuk memulangkan kembali faedah dan manfaat kepada rakyat daripada hasil yang diperoleh,” katanya.
Wan Rosfy juga berkata, kerajaan negeri menyediakan bayaran khas one-off kepada imam masjid kariah sebanyak RM1,000.
Menurutnya, ia akan memberi manfaat kepada hampir 1,036 imam masjid kariah di seluruh negeri dengan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1.036 juta.
“Selain itu, kita turut membina projek takungan air di Lipis bagi mengatasi masalah kekurangan sumber air dengan anggaran kos antara RM10 hingga RM12 juta.
“Dalam masa yang sama, sebanyak 84 unit rumah untuk rakyat akan dibina dengan anggaran kos keseluruhan RM5 juta.
“Kerajaan negeri juga sedang mengkaji untuk pelaksanaan Skim Perumahan Rakyat bagi golongan B40,” katanya.
Wan Rosfy berkata, kerajaan negeri juga memperkenalkan kad kesihatan khas kepada warga emas dengan kos keseluruhan sebanyak RM10 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 7:22 PM

Posted on Leave a comment

Lagi inisiatif Kerajaan Negeri tangani tempoh PKP COVID-19

KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG
Lagi inisiatif Kerajaan Negeri tangani tempoh PKP COVID-19

1. Sepertimana semua sedia maklum, pada 23 Mac lepas, saya telah mengumumkan lapan (8) inisiatif yang diperkenal dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat yang terkesan dengan penularan wabak pandemik COVID-19 terutamanya dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang asalnya bermula 18 Mac sehingga 31 Mac, kemudian dipanjangkan kepada 14 April 2020.

2. Antara kelapan-lapan inisiatif itu termasuklah sumbangan tunai bernilai RM150 dan barangan keperluan bernilai RM50, kepada mereka khususnya dalam kalangan golongan yang memerlukan.

3. Setelah seminggu inisiatif-inisiatif ini diperkenal dan dilaksanakan terutamanya berkaitan sumbangan tunai dan barangan keperluan, sukacita saya katakan bahawa sehingga kini, seramai 18,000 orang telahpun menerima dan memanfaatkannya.

4. Lanjutan itu, sukacita saya umumkan pada hari ini, lima (5) lagi inisiatif terbaharu yang masih berteraskan menjagai kebajikan demi kesejahteraan rakyat.

5. Inisiatif-inisiatif ini ialah –

a) Sumbangan tunai RM100 dan barangan bernilai RM50 kepada 500 orang atau 21,000 orang lagi penerima yang sangat memerlukan di semua 42 kawasan Dewan Negeri (DN) di Pahang. Senarai penerima akan ditentukan dengan kerjasama Penghulu-penghulu serta Ketua Kampung-Ketua kampung berkenaan. Nilai peruntukan bagi melaksanakan inisiatif ini ialah RM3.15 juta.

b) Bantuan tunai RM300 kepada Penghulu-penghulu serta RM200 kepada Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK).Terdapat 80 orang Penghulu dan 542 Pengerusi JKKK seluruh Pahang. Nilai peruntukan yang disediakan untuk maksud ini ialah RM132,400.

c) Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pemberian 500 kampit beras kepada semua 42 kawasan Dewan Negeri (DN) untuk disumbangkan juga kepada golongan yang memerlukan. Nilai peruntukan untuk ini pula ialah RM304,500.

d) Sumbangan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 1,500 orang dalam kalangan miskin tegar di negeri ini. Nilai peruntukan untuk bantuan ‘one-off’ ini ialah RM75,000.

e) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negeri, melibatkan 3,975 orang.
Nilai peruntukan untuk maksud ini ialah RM596,250.

6. Nilai keseluruhan untuk kelima-lima inisiatif yang diumumkan hari ini ialah RM4.258 juta.

7. Sebelum ini, nilai peruntukan bagi pelaksanaan lapan (8) inisiatif ialah RM14.99 juta. Dengan itu, nilai keseluruhan 13 inisiatif termasuk lima (5) yang diumumkan hari ini ialah RM19.248 juta.

8. Semoga dengan ini, dapat saling melengkapi kepada usaha Kerajaan Persekutuan meringankan beban rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN), In Sya Allah.
——————————————————————–
Duduk Di Rumah Duduklah Kita,
Takpun Dipaksa Jadi Buruh Kerahan,
Inisiatif Kerajaan Demi Rakyat-jelata,
Hargailah Ia, Patuhilah Arahan
Takpun Dipaksa Jadi Buruh Kerahan,
Mak, Anak Rajin Buat Masakan,
Hargailah Ia, Patuhilah Arahan,
Penjarakkan Sosial, Bersih Diutamakan.
YAB DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
30 Mac 2020