Posted on Leave a comment

AL-BAYAN SIRI 4 : TAKUT ALLAH ATAU TAKUT COVID-19?

AL-BAYAN SIRI 4 : TAKUT ALLAH ATAU TAKUT COVID-19?

8 April 2020

Islam itu pada prinsipnya merupakan agama yang mementingkan disiplin ilmu. Ia bukan agama yang terbina atas dasar semangat beribadah semata-mata. Sebaliknya ia agama yang memandu manusia dalam segenap kehidupan tanpa mengira apa jua situasi dan keadaan. Setiap permasalahan yang berlaku ada cara penyelesaiannya menurut agama. Hanyasanya bukan semua umat Islam menguasai ilmu bagi menangani permasalahan-permasalahan yang timbul. Benarlah firman Allah SWT:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.
(Surah al-Nahl: 43)

Dalam menangani isu Covid-19, para ulama setelah mengambil pandangan pihak yang berkepakaran dalam bidang perubatan dan kesihatan, telah mengeluarkan pelbagai fatwa sebagai panduan buat seluruh umat Islam. Antaranya sebagaimana yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac 2020, di Pulse Grande Hotel, Putrajaya bahawa semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat ditangguhkan untuk tempoh yang tertentu.
Fatwa yang sama juga telah dikeluarkan oleh institusi-institusi fatwa yang berwibawa dari seluruh dunia seperti Haiah Kibar Ulama’ al-Azhar al-Syarif, Hai’ah Kibar al-’Ulama al-Sa’udiyyah, Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia, Majlis Fatwa Syar’ie, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, Mufti Republik Tunisia, Kementerian Waqaf Syria dan Kesatuan Ulama’ Syam, Majlis Agama Islam Singapura dan lain-lain.

Malangnya, setelah fatwa tersebut dikeluarkan oleh institusi-institusi yang berautoriti, masih ada kalangan mereka yang mempertikaikannya. Tiada sebarang hujah dan dalil yang dikemukakan kecuali mengatakan, “Kami lebih takutkan Allah berbanding Covid-19!” Kesannya, masih terdapat di luar sana segelintir yang ingkar menurut arahan pihak berkuasa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka malah berkeras mahu pergi menunaikan solat Jumaat dan berjemaah di masjid. Artikel pada kali ini akan cuba memberikan pencerahan terhadap kesalahfahaman ini.

Erti “Takut Allah”
Ungkapan takut Allah SWT tidak boleh disamakan dengan ungkapan takut penyakit atau makhluk. Sekalipun perkataan yang digunakan kelihatan serupa tetapi maksud dari sudut istilahnya berbeza. Takut dalam bahasa Melayu antaranya bererti, “tidak berani menghadapi sesuatu yang pada perasaannya akan membahaya­kan diri.”[1] Justeru apabila disebut dalam bahasa Melayu takut kepada penyakit, ia bermaksud perasaan yang mendorong seseorang itu untuk menjauhkan diri daripada penyakit tersebut.

Maksud takut yang sama sudah tentu tidak tepat jika diletak kepada takut Allah SWT. Ini kerana, takut Allah SWT dalam bahasa syarak bermaksud bertaqwa kepada Allah SWT. Taqwa dari sudut bahasa berasal daripada perkatan waqaa (وقى) bermaksud menolak sesuatu daripada sesuatu dengan yang lain. Daripadanya perkataan wiqaayah (وقاية) bermakna apa yang melindungi sesuatu (ما يقي الشيء). (Lihat Mu’jam Maqayis al-Lughah, 6/131)
Dari sudut istilah, para ulama memberikan pelbagai takrif berkenaan definisi taqwa. Syeikh Ali al-Sobuni menyimpulkan bahawa kesemua takrifan tersebut berlegar pada maksud, “Mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan segala yang diharamkannya.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/212). Ia sebagaimana yang dimanifestasikan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalka n, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).”

(Surah al-Hasyr: 7)
Menurut al-Maraghi, dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan umat Islam bertaqwa kepada-Nya dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Sesungguhnya Allah SWT amat berat ujian-Nya bagi mereka yang mengingkari perintah-Nya dan melakukan larangan-Nya. Sedangkan Rasul-Nya merupakan penjelas kepada apa yang dikehendaki oleh Allah SWT demi kebaikan hamba-Nya di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 28/40)
Dengan kata lain, seseorang yang takut kepada Allah dengan maksud bertaqwa kepada Allah SWT sudah tentu semakin berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dan bukan sebaliknya. Sedangkan takut kepada penyakit membawa erti yang amat kontradik dengan takut kepada Allah SWT kerana ia akan membuatkan seseorang itu menjauhkan diri daripadanya. Adalah tidak masuk akal untuk mengatakan kita mesti takut kepada Allah SWT sebagaimana kita takut kepada Covid-19. Atau mengatakan kita mesti lebih takut kepada Allah SWT berbanding takut kepada Covid-19. Kedua-duanya tidak tepat kerana antara takut kepada Allah dan takut kepada makhluk itu hakikatnya terdapat perbezaan makna yang jelas.

Jika benar takutkan Allah, jauhkan diri daripada Covid-19!
Jelas daripada perbahasan di atas apa yang dimaksudkan dengan takut kepada Allah SWT adalah taqwa. Manakala taqwa pula hanya dicapai dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Persoalannya di sini, bagaimanakah seseorang yang bertaqwa menangani wabak Covid-19? Adakah dengan membiarkan diri terdedah kepada jangkitan Covid-19 atau berusaha bersungguh-sungguh menjauhkan diri daripadanya?

Dalam memahami isu ini kita perlu kembali kepada konsep taqwa itu sendiri. Bagaimanakah menangani wabak Covid-19 dalam konteks taqwa kepada Allah SWT? Dengan kata lain, apakah perintah dan larangan yang dinyatakan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya apabila seseorang itu berhadapan dengan bahaya seperti wabak penyakit?

Pertama, di dalam al-Qur’an, Allah SWT memerintahkan agar kita jangan membiarkan diri terkena bahaya dan kemudaratan. Firman-Nya:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Menurut Tantawi, maksud “التَّهْلُكَةِ” ialah kehancuran dan kematian atau apa jua yang boleh membawa kepadanya. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 329)
Dr. Wahbah al-Zuhaili pula mengatakan, ayat ini menunjukkan tuntutan untuk berjihad dengan nyawa dan harta benda. Ini kerana persediaan jihad memerlukan pelbagai kelengkapan seperti kenderaan, pakaian dan senjata yang perlu dibiayai. Oleh itu, jika umat Islam tidak melakukan infaq pada jalan Allah SWT, maka mereka seolah-olah mendedahkan diri mereka dengan kebinasaan kerana berperang tanpa persediaan. Kerana itu Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195, “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/190)

Ini bermakna, dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan umat Islam agar tidak membiarkan diri terkena mudarat atau bahaya tanpa mengambil sebarang sebab atau ikhtiar untuk menghindarinya. Ini dipertegaskan lagi dalam surah al-Nisa’ ayat 29:
وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.”
Termasuk dalam maksud ayat ini orang yang membunuh diri sendiri atau membunuh orang lain tanpa mengira apa jua cara seperti mengambil dadah, meminum racun yang membahayakan dan melampau dalam mengambil risiko yang memudaratkan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/32)
Apabila seseorang tidak mengambil langkah yang disyorkan pemerintah mengenai penularan Covid-19 seperti melanggar arahan PKP, ini bererti mereka dengan sengaja telah mendedahkan diri dan orang lain kepada kemudaratan. Perbuatan tersebut melanggar perintah Allah SWT supaya kita mengambil segala sebab atau usaha yang boleh mengelakkan diri dan orang lain daripada ditimpa bahaya dan kemudaratan.

Bagaimana mungkin kita mengatakan individu yang melanggar perintah Allah SWT itu sebagai takut atau bertaqwa kepada Allah SWT? Sebaliknya orang yang mentaati perintah Allah SWT dengan memelihara diri daripada kemudaratan pula dianggap sebagai orang yang tidak bertaqwa atau lebih takutkan penyakit berbanding Allah SWT.

Kedua, terdapat panduan daripada Rasulullah SAW mengenai apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam apabila berhadapan dengan wabak penyakit berjangkit. Panduan Rasulullah SAW sudah tentu merupakan sebaik-baik panduan untuk diikuti kerana ia berteraskan wahyu Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
وَأَفْضَلُ الْهَدْيِ هَدْيُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Nabi SAW.”
Riwayat al-Baghawi (3575)
Dalam isu penyakit berjangkit Nabi SAW telah menyatakan beberapa tips dan kaedah menerusi beberapa hadis baginda. Antaranya sabda baginda SAW:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوهَا وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا مِنْهَا
Maksudnya: Apabila kamu mendengar tentang wabak penyakit menular di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.
Riwayat al-Bukhari (5287)

Demikian juga dalam hadis yang lain:
فَرْوَةَ بْنِ مُسَيْكٍ قَالَ : قُلْت يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَرْضٌ عِنْدَنَا يُقَالُ لَهَا : أَرْضُ أَبَيْنَ هِيَ أَرْضُ رِيفِنَا وَمِيرَتِنَا وَإِنَّهَا وَبِيئَةٌ أَوْ قَالَ : وَبَاؤُهَا شَدِيدَةٌ ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : دَعْهَا عَنْك فَإِنَّ مِنْ الْقَرَفِ التَّلَفَ
Maksudnya: “Farwah bin Musaik berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah, tempat kami dipanggil Abain. Ia adalah kampung kami bercucuk tanam dan membuat bekalan makanan, padanya ada wabak yang berat. Lalu Nabi SAW bersabda: Tinggalkan ia daripada kamu keluar masuk, sesungguhnya ia mendekati penyakit adalah kebinasaan.”
Riwayat Ahmad (15742)

Berdasarkan petunjuk Nabi SAW inilah para sahabat mengambil pedoman dalam menghadapi penularan wabak penyakit yang berlaku pada zaman mereka. Misalnya, Saidina Umar al-Khattab, seorang sahabat yang terkenal dengan keberanian dan kepahlawanannya, apabila mendapat tahu terdapat wabak penyakit yang sedang menular di Syam, beliau mengambil keputusan untuk tidak memasukinya. Saidina Umar pun memberi arahan kepada rombongannya untuk berpatah balik. Lalu Abu ‘Ubaidah al-Jarrah R.A berkata :
أَفِرَارًا مِنْ قَدَرِ اللَّهِ
Maksudnya: “Adakah perbuatan ini termasuk melarikan diri dari takdir Allah?”
Maka Saidina Umar menjawab:
نَعَمْ نَفِرُّ مِنْ قَدَرِ اللَّهِ إِلَى قَدَرِ اللَّهِ أَرَأَيْتَ لَوْ كَانَتْ لَكَ إِبِلٌ فَهَبَطْتَ وَادِيًا لَهُ عِدْوَتَانِ إِحْدَاهُمَا خَصْبَةٌ وَالأُخْرَى جَدْبَةٌ أَلَيْسَ إِنْ رَعَيْتَ الْخَصْبَةَ رَعَيْتَهَا بِقَدَرِ اللَّهِ وَإِنْ رَعَيْتَ الْجَدْبَةَ رَعَيْتَهَا بِقَدَرِ اللَّهِ
Maksudnya : Alangkah baik jika selain kamu yang mengungkapkan kenyataan ini wahai Abu ‘Ubaidah. Ya betul, kami lari dari takdir Allah menuju kepada takdir Allah yang lain. Tidakkah kamu melihat sekiranya kamu memiliki seekor unta, kemudian kamu turun kepada satu lembah yang mempunyai dua sudut. Salah satunya merupakan kawasan yang subur dan satu yang lagi merupakan kawasan yang tandus. Bukankah jika kamu memelihara unta tersebut di kawasan yang subur maka kamu menjaganya dengan taqdir Allah. Dan jika kamu memelihara unta tersebut di kawasan yang tandus maka kamu juga menjaganya dengan taqdir Allah?

Kemudian datang Abdul Rahman bin ‘Auf R.A yang sebelum ini tidak berada di situ lalu menyebutkan hadis Nabi SAW berkenaan hadis wabak penyakit seperti di atas. Riwayat Muslim (2219)
Justeru, adakah sesiapa yang berani mengatakan tindakan Saidina Umar berpatah balik kerana terdapat wabak penyakit itu pengecut? Atau berani mengatakan bahawa Umar lebih takutkan penyakit berbanding takutkan Allah SWT? Sedangkan Rasulullah SAW sendiri pernah menyifatkan Umar itu amat digeruni oleh syaitan kerana ketaqwaannya kepada Allah SWT. Sabda baginda SAW kepada Umar:
وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ مَا لَقِيَكَ الشَّيْطَانُ قَطُّ سَالِكًا فَجًّا إِلاَّ سَلَكَ فَجًّا غَيْرَ فَجِّكَ
Maksudnya: “Demi diriku yang berada dalam genggaman-Nya, tidaklah sesekali syaitan mahu bertemu denganmu pada suatu laluan, kecuali ia akan melalui laluan lain yang bukan (menjadi kebiasaan) laluanmu.”
Riwayat Muslim (6355)

Selain itu terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:
وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ
Maksudnya: “Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.”
Sahih Al-Bukhari (5707)

Ibn al-Qayyim menjelaskan, menerusi hadis ini dapat difahami petunjuk Nabi SAW agar kita melindungi diri daripada penyakit berjangkit dan supaya orang yang sihat menjauhi orang yang berpenyakit tersebut. Ini memperlihatkan betapa belas kasihnya Nabi SAW terhadap umat baginda agar mereka dijauhi kusta (al-juzam) yang merupakan penyakit yang boleh membawa kerosakan saraf dan kecacatan anggota badan. (Lihat Zad al-Ma’ad, 4/147-148)
Demikian juga tindakan Nabi SAW apabila menolak seorang pesakit kusta untuk berbaiah langsung dengan baginda. Ini berdasarkan riwayat ‘Amar bin Syarid daripada bapanya:
كَانَ فِى وَفْدِ ثَقِيفٍ رَجُلٌ مَجْذُومٌ فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- « إِنَّا قَدْ بَايَعْنَاكَ فَارْجِعْ
Maksudnya: “Dalam delegasi Tsaqif (yang akan dibaiat Rasulullah SAW.) terdapat seorang lelaki berpenyakit kusta. Lalu Rasulullah SAW. mengirim seseorang utusan supaya mengatakan kepadanya, “Kami telah menerima baiat anda. Kerana itu anda telah boleh pulang.“
Riwayat Muslim (5958)

Daripada perbuatan-perbuatan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW ini menjadi panduan kepada kita agar melindungi diri daripada penyakit berjangkit seperti Covid-19. Bila Nabi SAW sendiri yang melakukannya, ia bukan bermakna Nabi SAW lebih takutkan penyakit berbanding takutkan Allah SWT. Sebaliknya baginda mahu mengajarkan kepada kita supaya sentiasa berusaha, berikhtiar dan mengambil asbab (sebab-sebab) sama ada dalam mencapai sesuatu yang baik atau menghindari sesuatu yang buruk.

Kesimpulan
Akhirnya, hayatilah hadis Rasulullah SAW berikut:
أَنَّ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ جَاءَ ثَلَاثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا فَقَالُوا وَأَيْنَ نَحْنُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ أَحَدُهُمْ أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلَا أُفْطِرُ وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلَا أَتَزَوَّجُ أَبَدًا فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ فَقَالَ أَنْتُمْ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
Maksudnya: “Daripada Anas bin Malik katanya, tiga orang telah datang ke rumah isteri-isteri Rasulullah SAW mereka bertanya tentang ibadat baginda. Apabila mereka diceritakan seolah-olah mereka merasakannya sedikit. Mereka berkata: “Di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan Rasulullah SAW sedangkan baginda telah diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang kemudian. Salah seorang mereka berkata: “Saya akan sentiasa bersembahyang malam dan seorang lagi berkata: “Saya berpuasa sepanjang tahun, tidak akan berbuka (tidak ada hari yang tidak berpuasa) dan orang yang terakhir berkata: “Saya akan menjauhi perempuan dan tidak akan berkahwin selama-lamanya. Tiba-tiba Rasulullah datang kepada mereka seraya bertanya: “Kamukah yang mengatakan begini, begini? Demi Allah, sesungguhnya aku lebih takutkan Allah daripada kamu, paling bertaqwa kepada-Nya daripada kamu namun aku berpuasa dan aku berbuka, aku sembahyang dan aku tidur dan aku mengahwini perempuan. Maka dengan itu, sesiapa yang tidak suka akan sunnahku maka dia bukan dari kalanganku.”
Riwayat al-Bukhari (4675)

Justeru, daripada hadis ini dapat kita fahami bahawa sekalipun Rasulullah SAW itu merupakan manusia yang paling bertaqwa dan takutkan Allah SWT, namun baginda tetap menjalani kehidupan sebagaimana manusia biasa seperti makan minum, berkahwin dan tidur malam. Ini bermakna sikap ghuluw atau melampau sehingga memudaratkan diri apatah lagi jika dengan sengaja mendedahkan diri kepada kemudaratan yang hampir pasti adalah bukan daripada ajaran agama bahkan tiada kena mengena dengan agama Islam.

Unit Penyelidikan Ilmiah
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Jabatan Perdana Menteri
___________________________
Nota Hujung:
[1] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=takut, dilayari pada 2 April 2020.

PENAFIAN: Al-Bayan adalah siri pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Unit al-Bahth al-‘Ilmi (Penyelidikan Ilmiah) Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ianya tidak berperanan sebagai fatwa dalam konteks akta di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan enakmen di peringkat Negeri.

Posted on Leave a comment

Al-Bayan Siri 1: Wang Syubhah

al-bayan
Al-Bayan Siri 1: Wang Syubhah

29 Mac 2020
Di manakah diagihkan wang yang haram, tidak patuh syarak atau yang syubhah?
Menurut Ibn al-Arabi dalam tafsirnya :
فإن التبس عليه الأمر ولم يدركم الحرام من الحلال مما بيده، فإنه يتحرى قدر ما بيده مما يجب عليه رده حتى لا يشك أن ما يبقى قد خلص له
Maksudnya: “Jika seseorang itu ragu-ragu tentangnya, dan dia tidak mengetahui berapakah yang halal dan berapakah yang haram di tangannya, maka wajiblah dia berhati-hati kadar harta yang masih ada ditangannya dengan mengembalikannya kepada tuannya sehingga dia tidak ada sebarang kesangsian lagi bahawa yang berbaki sudah bersih daripadanya.”

Al-Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin (2/93) mengatakan: “Jika bercampur antara harta yang halal dengan harta yang haram dan kedua-duanya tidak dapat dibezakan, maka tidaklah mengapa untuk kita menggunakannya. Hal ini adalah seperti harta yang diperolehi pada zaman kita sekarang (pada zaman al-Imam Ghazali yang wafat pada tahun 505H itu sendiri telah pun berlaku percampuran harta yang halal dan haram, apatah lagi zaman yang lebih teruk seperti sekarang.)” Katanya lagi: “Jika harta tersebut dapat dipastikan mana satu yang halal dan mana satu yang haram maka wajiblah menjauhi perkara yang haram tersebut.”

Apabila harta pendapatan seseorang bercampur diantara yang halal dan yang haram, ada beberapa cadangan yang sesuai:
Cuba asingkan antara duit yang halal dan yang haram.
Jika dapat diasingkan, duit yang haram dikembalikan kepada tuannya manakala yang baki adalah halal boleh dimiliki serta halal untuk dibelanjakan kepada ahli keluarga.
Jika percampuran antara harta yang halal dan haram serta ia tidak dapat dibezakan, maka halal untuk seseorang itu menggunakannya sebagaimana keterangan Imam al-Ghazali di atas.

Manakala wang yang diyakini sumbernya haram dinasihatkan agar melakukan tindakan berikut :
Hendaklah diserahkan kepada pemiliknya jika mampu.
Diagihkan untuk kemaslahatan muslimin seperti pembinaan jalan, jambatan, tandas, pembelian ventilator dan sebagainya.
Baitulmal
Disedekahkan bagi pihak tuannya.
Sebagai kesimpulan, wang yang tidak patuh syariah boleh dimasukkan dalam sumber am dan diberi untuk maslahah umum.
Semoga pencerahan ini memberi jawapan dan menyelesaikan isu wang yang berbaki dalam akaun baitulmal bersabitan dengan wang tidak patuh syariah.

PENAFIAN: Al-Bayan adalah siri pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Unit al-Bahth al-‘Ilmi (Penyelidikan Ilmiah) Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ianya tidak berperanan sebagai fatwa dalam konteks akta di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan enakmen di peringkat Negeri.

Posted on Leave a comment

PAHANGMART MULA BEROPERASI AHAD INI

PAHANGMART MULA BEROPERASI AHAD INI

KUANTAN, 16 APRIL 2020

Pasaraya atas talian atau portal pertama di Pahang yang dikenali sebagai PahangMart akan memulakan operasinya bermula Ahad.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Hj Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, portal ini akan memaparkan senarai pasaraya yang beroperasi dalam negeri Pahang beserta barangan jualan mereka.

“Kita wujudkan portal ini iaitu www.pahangmart.com ini adalah untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat untuk membeli barang secara online.
“Antara pasaraya yang sudah berdaftar dengan kita adalah Cowboy Mart, Eng Hong Mart, TMG Mart dan LYC Mart,” katanya ketika dihubungi menerusi Program Sembang Malam bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, semalam.

Beliau berkata, selain turut menggunakan perkhidmatan penghantaran sedia ada, PahangGo (pihak yang bertangungjawab membina portal PahangMart ini) juga akan menyediakan platform penghantaran (runner).
“Orang ramai boleh memilih senarai barangan yang ada di dalam portal berkenaan, kemudian pesan dan bayar sebelum dihantar terus ke depan pintu rumah pembeli,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Hj Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika dihubungi menerusi Program Sembang Malam bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, semalam.
Sementara itu, beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 4,700 peniaga bazar Ramadan yang sudah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan yang akan diletakkan di dalam e-bazar Pahang.

“Senarai peniaga-peniaga ini kita akan letak di dalam portal PahangMart untuk menjadi rujukan kepada syarikat e-hailing. Mereka boleh menghubungi peniaga bazar berkenaan untuk menjadi penghantar makanan mereka,” katanya.
Beliau berkata, kepada rakyat Pahang yang berminat untuk mendaftar sebagai penghantar (runner) ini pula, bolehlah menghubungi ‘PahangGo’ menerusi laman sosial mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

“Menerusi inisiatif ini diharap dapat membantu bukan sahaja rakyat/pengguna untuk membeli juadah Bazar Ramadan dan barangan keperluan harian lain, malah boleh membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus berniaga dalam tempoh yang sukar akibat wabak pandemik COVID-19 ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Posted on Leave a comment

TIADA BAZAR RAMADAN DI PAHANG, PENGGUNA DAN PENIAGA DIGALAK GUNA PORTAL PAHANGMART

TIADA BAZAR RAMADAN DI PAHANG, PENGGUNA DAN PENIAGA DIGALAK GUNA PORTAL PAHANGMART

KUANTAN, 8 APRIL 2020

Kerajaan Negeri Pahang membuat keputusan tidak membenarkan penganjuran aktiviti Bazar Ramadan di kesemua kawasan di bawah pentadbiran 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan ini diambil bagi meneruskan lagi usaha untuk membendung penularan wabak pandemiK COVID-19 yang masih melanda negara dan mengancam kesihatan rakyat.

Menurutnya, ia juga sebagai menuruti saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah yang tidak menggalakkan sebarang bentuk perhimpunan melibatkan orangramai dalam tempoh enam bulan hingga setahun, tanpa mengira sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang dilanjutkan lagi atau tidak.

“Sebagaimana kita sedia maklum, PKP Fasa 1 bermula 18 Mac hingga 31 Mac, telahpun dilanjutkan kepada Fasa 2 sehingga 14 April 2020. Umat Islam pula dijangka memulakan ibadah puasa bulan Ramadan Al-Mubarak pada 24 April 2020.

“Dengan keputusan ini, ia melibatkan 94 lokasi penganjuran Bazar Ramadan di seluruh negeri, serta 4,639 peniaga sepertimana statistik yang direkodkan pada penganjuran Bazar Ramadan tahun lepas (2019) di kesemua 11 PBT dan di bawah pentadbiran Lembaga Pembangunan Tioman (TDA),” katanyta menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

YAB Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri mengambil peduli dan mengambil berat tentang kesukaran yang bakal dihadapi oleh peniaga-peniaga, serta juga rakyat/pengguna yang pasti terkesan dengan keputusan yang ‘unprecedented’ ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telahpun meminta pihak pengurusan PahangGo agar dapat menawarkan perkhidmatan dalam talian bagi memudahkan para peniaga untuk terus ‘mencari makan’, manakala rakyat/pengguna dapat membuat pesanan-pesanan makanan untuk juadah berbuka puasa mereka.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan melancarkan ‘platform’ pasaraya atas talian atau portal dikenali ‘PahangMart’, yang akan memaparkan senarai pasaraya yang beroperasi dalam negeri Pahang berserta barangan jualan mereka.
“Yang akan turut dipaparkan ialah senarai tapak Bazar Ramadan serta gerai-gerai jualannya, dan rakyat/pengguna boleh melihat gambar juadah yang disediakan lalu membuat tempahan menerusinya,” katanya.

Beliau juga berkata, selain turut menggunakan perkhidmatan penghantaran sedia ada, PahangGo (pihak yang bertangungjawab membina portal PahangMart ini) juga akan menyediakan ‘platform’ penghantaran (runner).
Menurutnya, kepada rakyat Pahang yang berminat untuk mendaftar sebagai penghantar (runner) ini pula, bolehlah menghubungi ‘PahangGo’ menerusi laman sosial mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

“Menerusi inisiatif ini diharap dapat membantu bukan sahaja rakyat/pengguna untuk membeli juadah Bazar Ramadan dan barangan keperluan harian lain, malah boleh membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus berniaga dalam tempoh yang sukar akibat wabak pandemik COVID-19 ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Posted on Leave a comment

KERAJAAN PAHANG UMUM SEMBILAN LAGI INISIATIF BANTU RAKYAT TERKESAN COVID-19

KERAJAAN PAHANG UMUM SEMBILAN LAGI INISIATIF BANTU RAKYAT TERKESAN COVID-19

KUANTAN, 8 APRIL 2020

Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan sembilan lagi inisiatif bagi membantu golongan yang terkesan dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesembilan-sembilan inisiatif ini ialah di bawah Fasa 3 setelah 13 inisiatif diperkenal dan dilaksanakan sebelum ini iaitu di bawah Fasa 1, melibatkan lapan inisiatif sepertimana telah saya umumkan pada 23 Mac 2020, dan di bawah Fasa 2 dengan lima inisiatif yang telah diumumkan pada 30 Mac 2020.

Menurutnya, kesemua sembilan inisiatif terbaharu ini ialah yang pertama iaitu sumbangan masing-masing 1,500 kampit beras 5 kg setiap kampit, kepada pemimpin masyarakat di 14 kawasan Parlimen di Pahang yang akan melibatkan 21,000 orang penerima (1,500 kampit/penerima X 14 kawasan Parlimen) dengan nilai keseluruhannya, RM304,500.

Katanya, inisiatif yang kedua ialah sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada seramai 426 orang yang dalam kalangan Pemandu Pelancong Semulajadi Taman Negara, Pemandu Pelancong Biasa dan Pemandu Bot Pelancong Taman Negara dengan nilai peruntukan keseluruhannya untuk golongan berkaitan pelancongan ini ialah RM63,900.

“Inisiatif yang ketiga ialah barangan keperluan bernilai RM50 kepada 3,500 Ketua Isi Rumah (KIR) di bawah Program Ziarah Prihatin. KIR yang terlibat ialah dalam kalangan mereka dikuarantin di rumah masing-masing yang di bawah kategori Pesakit Di bawah Pemantauan (PUS; Patient Under Surveillance) dengan nilai peruntukannya pula ialah RM175,000.

“Inisiatif yang keempat pula ialah sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 70 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda seluruh Pahang melibatkan 3,500 orang penerima dengan nilai peruntukan ialah RM525,000.

“Inisiatif yang kelima ialah sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 62 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Kesalamatan Kampung Baharu (JKKKB) melibatkan 3,100 orang penerima dengan nilai peruntukan ialah RM465,000.

“Inisiatif yang keenam ialah sumbangan tunai RM150 kepada 650 mahasiswa/I anak Pahang yang kekal tinggal di asrama kampus masing-masing ekoran akur kepada PKP dengan nilai peruntukan untuk maksud ini ialah RM97,500.

“Inisiatif yang ketujuh pula ialah sumbangan barangan keperluan bernilai RM200 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) bagi kawasan yang diperketatkan kawalan pergerakan dan sukar mendapatkan bekalan makanan. Jumlah terlibat dipuratakan 200 KIR setiap 11 daerah bersamaan 2,200 KIR di seluruh Pahang dengan nilai peruntukan ialah RM440,000.

“Inisiatif yang kelapan ialah sumbangan sebagai bantuan pengurusan sebanyak RM5,000 kepada setiap 11 Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah bagi menguruskan pembekalan dan pengagihan barangan keperluan kepada KIR sepertimana di atas dengan nilai peruntukan ialah RM55,000.

“Manakala inisiatif yang kesembilan pula ialah sumbangan RM30,000 sebagai membantu usahawan mikro ‘E-Hailing’ khususnya di Kuantan yang terkesan teruk dengan PKP,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.
YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, nilai peruntukan keseluruhannya bagi kesembilan-sembilan inisiatif terkini ini ialah RM 2.156 juta, serta melibatkan lebih 34,376 orang penerima.

Menurutnya, dengan sembilan inisiatif terbaharu di bawah Fasa 3 ini, dicampurkan dengan 13 inisiatif di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 sebelum ini menjadikan keseluruhan nilai peruntukan untuk kesemua 22 inisiatif yang Kerajaan Negeri perkenal dan laksanakan setakat ini ialah sebanyak RM21.404 juta, serta melibatkan lebih 136,074 orang penerima.

“Semoga dengan kesemua 22 inisiatif ini akan dapat membantu sedikit-sebanyak rakyat-jelata yang dalam kalangan pelbagai kaum, usia dan kerjaya, yang terjejas dengan tempoh PKP yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac yang kini dilanjutkan kepada 14 April.

“Sukacita juga saya umumkan bayaran pendahuluan RM500 kepada 1,027 Imam Kariah di seluruh Pahang. Ini ialah sebahagian daripada RM1,000 Bayaran Khas ‘One Off’ yang turut terkandung dalam Belanjawan Negeri 2020 ketika pembentangannya pada Persidangan Dewan Negeri tahun lepas,” katanya.

Beliau juga berkata, para pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kini sedang giat menguruskan soal semakan dan pembayarannya. Sehubungan itu, pembayaran akan dibuat berperingkat-peringkat bermula Khamis, 9 April 2020.
“Mengambil kesempatan ini, sekali lagi saya sarankan agar rakyat sekalian akan terus patuh kepada segala arahan PKP yang dengannya diharapkan, dapatlah kita sama-sama membendung penularan wabak pandemik COVID-19 ini, InsyaAllah,” katanya. – PAHANGMEDIA

Posted on Leave a comment

KKM tidak saran penggunaan terowong atau kotak sanitasi untuk cegah jangkitan COVID-19

KKM tidak saran penggunaan terowong atau kotak sanitasi untuk cegah jangkitan COVID-19
Hasimi Muhamad, Astro Awani | April 15, 2020 18:13 MYT

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiada sebarang bukti kajian spesifik yang menunjukkan penggunaan beberapa peralatan termasuk kotak pembasmi kuman atau terowong sanitasi dapat mengurangkan jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, ia selepas model peralatan daripada beberapa negara telah dinilai oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM.

Justeru, KKM tidak menyarankan penggunaan peralatan tersebut.

“Hasil daripada penilaian yang dilakukan mendapati bahawa tiada bukti untuk menunjukkan bahawa peralatan tersebut berkesan dalam mengurangkan jangkitan COVID-19.

“Jangka masa 20-30 saat tidak memadai untuk proses nyahkuman yang berkesan. Prosesnya juga tidak boleh membunuh kuman di dalam badan manusia.

“Tambahan pula bahan kimia yang digunakan boleh membawa kemudaratan kepada selaput badan (mucous membrane) seperti di mata dan mulut.

“Berdasarkan penilaian tersebut, KKM tidak menyarankan penggunaan Disinfection Box / Chamber / Tunnel /Booth / Partition / Gate sebagai langkah untuk mengurangkan jangkitan COVID-19 terhadap manusia,” katanya dalam sidang media harian, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata KKM ujian telah dilakukan melibatkan seseorang melalui peralatan tersebut untuk tempoh 20-30 saat di mana individu akan disembur menggunakan bahan kimia bagi tujuan nyahkuman.

“Kesemua model yang telah dikaji menggunakan bahan kimia berlainan,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Posted on Leave a comment

Beli keperluan Ramadan, perayaan guna platform e-dagang baharu

Beli keperluan Ramadan, perayaan guna platform e-dagang baharu
Bernama | April 15, 2020 04:26 MYT

Platform ‘Nak Makan’ dibina bagi membantu vendor makanan serta usahawan memasarkan makanan dan produk.

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang baharu diperkenal bagi memudahkan urusan jual beli barangan keperluan bagi menyambut Ramadan terutama ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

MY E.G Services Berhad (MYEG) memperkenalkan platform ‘Nak Makan’ yang berkonsepkan bazar Ramadan secara dalam talian bagi membantu vendor makanan serta usahawan memasarkan makanan dan produk masing-masing.

Syarikat itu dalam kenyataan menyebut bagi fasa pertama ‘Nak Makan,’ penjualan makanan secara dalam talian membabitkan kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

“Vendor dapat beroperasi dari premis mereka sendiri dan rakan penghantaran Nak Makan iaitu MrSpeedy akan membuat pengumpulan serta penghantaran makanan kepada pelanggan,” menurut kenyataan itu yang menambah vendor boleh menyertai platform berkenaan dengan mendaftar maklumat perniagaan di www.nakmakan.com.my atau menghubungi 03-7664 8100 atau 017-228 5948/5954/5958/5983.

Menurut syarikat itu, kemudahan e-sahur dan e-raya sedang dirangka bagi fasa kedua dan ketiga platform tersebut.

Dalam pada itu, Kraftangan Malaysia memperkenalkan E-Kraf Bazar menggunakan platform media sosial Facebook bagi membantu usahawan kraf yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan menyebut bahawa inisiatif itu memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan ketika PKP selain persiapan menjelang sambutan perayaan Aidilfitri, Tadau Kaamatan dan Gawai Dayak.

Kenyataan itu menyebut, lebih 700 usahawan dengan bilangan pengikut 2.3 juta dijangka menyertai E-Kraf Bazar yang memasarkan produk seperti tekstil, hasil hutan, seramik, logam dan aneka kraf.

— BERNAMA

Posted on Leave a comment

Arab Saudi umum tiada solat tarawih di masjid tahun ini

Arab Saudi umum tiada solat tarawih di masjid tahun ini
Agensi | Diterjemahkan oleh: Madiha Abdullah
April 14, 2020 21:56 MYT

RIYADH: Arab Saudi mengumumkan tiada solat tarawih di masjid pada bulan Ramadan yang akan datang ini, lapor Al Riyadh.

Sebaliknya, rakyat diminta menunaikan tarawih di rumah sahaja.

“Semoga Allah SWT menerima solat tarawih yang dilakukan tidak kira sama ada di masjid atau rumah, kerana ini adalah untuk kepentingan bersama,” kata Menteri Hal Ehwal Islam, Dr Abdul Latif Al Sheikh.

Sejak 19 Mac lalu, negara itu tidak lagi membenarkan solat lima waktu dan solat Jumaat dilakukan di masjid secara berjemaah, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyekat penyebaran COVID-19.

Arab Saudi, yang melaksanakan perintah berkurung sejak minggu lalu, setakat ini telah mencatat 4,934 kes positif dan 65 kematian.

Jumlah itu merupakan yang tertinggi dalam kalangan enam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk, yang mencatat lebih 14,000 kes positif dan lebih 100 kematian.

Angka itu dijangka mencecah 200,000 dalam beberapa minggu akan datang, memaksa langkah drastik diambil seperti menghentikan penerbangan antarabangsa dan menggantung ibadat umrah.