Posted on Leave a comment

PAHANG BENAR SEMULA MAJLIS AKAD NIKAH

Pahang benar semula majlis akad nikah

NIK AMIRULMUMIN NIK MIN | | 26 April 2020

KUANTAN – Urusan akad nikah di Pahang yang ditangguhkan sementara sebelum ini dibenarkan kembali dengan beberapa syarat termasuk kehadiran tidak melebih lapan orang dan tempoh masa dipendekkan tidak lebih 20 minit.
Melalui syarat dan tatacara yang ditetapkan itu, majlis akad nikah hanya dibenarkan dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) atau tempat yang difikirkan sesuai bagi memastikan keselamatan, pematuhan syarat dan tatacara serta pemantauan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata,keputusan itu diambil Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) mengambil kita situasi semasa berkaitan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, hanya jurunikah, pasangan pengantin, dua saksi dan seorang wali yang dibenarkan hadir ke majlis akad nikah dan mereka ini dikehendaki mendaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon kepada kadi daerah atau wakilnya.

“Upacara adat istiadat dalam majlis akad nikah tersebut tidak dibenarkan sama sekali dan beberapa keping gambar majlis akan diambil oleh Paid bagi tujuan penyediaan laporan, rekod serta kemungkinan perkara-perkara berbangkit.
“Jika terdapat mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, kadi daerah atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Pahang, boleh menangguhkan majlis tersebut,”katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, keutamaan diberikan kepada bakal pasangan pengantin yang telah mendapat kebenaran berkahwin (telah mendapat borang Akuan Akad) daripada Pejabat Agama Islam Daerah (Paid).

“Bagi tujuan ini, bakal pengantin perlu membuat permohonan atas talian menerusi capaian https://emunakahat.pahang.gov.my/ dengan melengkapkan Borang Permohonan Khas Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh PKD seterusnya diemelkan ke Paid berkaitan.

“Pihak Paid akan membuat semakan dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengenai maklumat-maklumat yang dinyatakan dalam borang permohonan, bagi mengesahkan pihak yang hadir bukan dalam senarai Pesakit Dalam Siasatan (PUI) dan Pesakit Dalam Pemantauan (PUS),” katanya.
Beliau berkata, mana-mana individu yang tersenarai sebagai PUI atau PUS tidak dibenarkan hadir ke majlis akad tersebut.

Katanya, borang permohonan yang lengkap akan diproses dalam tempoh tujuh hari sebelum surat pemakluman kepada pemohon akan diserahkan melalui e-mel bagi menentukan tarikh dan masa majlis akad akan dilaksanakan.
“Surat pemakluman itu perlu dicetak oleh pemohon bagi tujuan pengesahan perjalanan hadir ke Paid.

“Seterusnya kadi akan menentukan giliran tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual dengan mengambil kira perbincangan bersama pihak pemohon,”katanya.

Menurutnya, pemohon dan pihak-pihak yang terlibat dalam majlis akad perlulah melepasi dan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang akan dilaksanakan di peringkat Paid termasuk pemakaian penutup mulut dan hidung, melepasi ujian suhu dan penggunaan pensanitasi tangan.

“Mereka juga perlu mengambil langkah penjarakkan sosial sekurang-kurangnya 1 meter, patuh susun atur kedudukan majlis yang ditentukan dan membuat sanitasi di tempat majlis akad,”katanya.

“Diharapkan semua syarat dan tatacara yang dikeluarkan ini dipatuhi.
“Ia bukan sahaja satu alternatif kepada bakal-bakal pengantin malah bagi memastikan keberkesanan usaha dalam membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini,”katanya.

Posted on Leave a comment

Haji disekat, Masjidil Haram ditutup 40 kali

Haji disekat, Masjidil Haram ditutup 40 kali
Oleh Aizuddin Kamarul Zaman

SETELAH dunia dikejutkan dengan wabak coranivirus (COVID-19) yang membimbangkan hingga membawa kepada kes kematian, kerajaan Arab Saudi mengumumkan halangan sementara memasuki Makkah dan Madinah untuk melaksanakan ibadah umrah.

Sudah tentu keputusan itu menarik perhatian umat Islam seluruh dunia. Apatah lagi kurang dua bulan lagi umat Islam akan menyambut kedatangan bulan dinanti-nantikan, iaitu Ramadan.

Pada masa sama, musim haji juga bakal bermula pada Julai ini. Pastinya kebimbangan ini dapat dirasakan sekiranya halangan itu tidak ditarik mahupun diputuskan awal.

Namun, keputusan itu bukanlah disengajakan. Ia langkah segera yang berani dan tepat bagi mengekang risiko penularan COVID-19 di dua kota suci umat Islam itu.

Selain menghalang jemaah seluruh dunia termasuk rakyatnya sendiri daripada melaksanakan umrah, kerajaan Arab Saudi juga menghalang pemberian visa kepada pelawat dari negara berisiko tinggi terkena virus dengan mengeluarkan senarai negara-negara terbabit. Selain Malaysia, turut dihalang ialah pelancong dari China, Itali, Singapura, Kazakhstan, Korea dan Jepun.

Sekalipun sekatan ini sangat memberi kesan kepada semua pihak khususnya syarikat penerbangan, hotel, agensi pelancongan dan ekonomi, ia keputusan berat yang perlu diterima semua pihak dengan hati reda.

Bagaimanapun, tiada apa perlu dirisaukan. Keputusan ini hanya sementara, bahkan kerajaan Arab Saudi hanya meneruskan tradisi yang pernah dilakukan kerajaan Islam sebelum ini yang menjaga dua kota suci yang turut dipanggil al-Haramain itu.

Kalau ditelusuri catatan sejarah Masjidil Haram, hakikatnya sudah 40 kali masjid itu ditutup bermula 865 hingga 1987 akibat pelbagai sebab seperti peperangan, kebakaran dan wabak penyakit, selain proses baik pulih.

Ertinya, halangan ini bukan pertama kali. Maka, tiada alasan untuk kita risau dan panik, sebaliknya ia proses untuk menjaga maslahat ummah.

Apatah lagi sejarah pernah mencatatkan wabak taun yang melanda tanah suci pada 1814 mengorbankan 8,000 jemaah haji. Begitu juga pada 1831, tiga perempat jemaah haji tahun berkenaan terkorban akibat wabak yang dipercayai datang daripada India.

Gambar fail jemaah haji di Mina pada 2019. – Foto ehsan Tabung Haji

Sudah tentu peristiwa itu menjadikan penguasa Makkah ketika itu lebih berhati-hati. Kesannya mereka mengambil satu keputusan besar untuk menutup Masjidilharam daripada kehadiran jemaah haji untuk melaksanakan ibadat berkenaan pada 1850, 1865 dan 1883 apabila berlakunya penyebaran wabak penyakit.

Malah pada 1837, sekali lagi wabak penyakit berlaku hingga menyebabkan ibadat haji untuk tiga tahun berikutnya tidak diadakan, iaitu 1838, 1839 dan 1840.

Pada 1864, pernah 1,000 orang penziarah al-Haramain terkorban dalam sehari kerana wabak penyakit yang sangat berbahaya hingga menyebabkan ibadat haji dikecualikan pada tahun berikutnya.

Ini antara peristiwa besar penutupan Masjidil Haram dan pengecualian ibadat haji yang pernah tercatat dalam lipatan sejarah.

Maka keputusan kuarantin diambil pemerintah al-Haramain bukanlah suatu baharu. Bahkan bertepatan dengan ajaran Islam seperti disarankan Nabi Muhammad SAW. Islam melarang umatnya daripada mengunjungi tempat dilanda wabak bagi melindungi daripada terkena kemudaratan itu.

Bagi mereka yang menetap di kawasan dilanda wabak, Islam melarang mereka daripada keluar atau meninggalkan kawasan terbabit bagi mengelak daripada penularan.

Ini berdasarkan hadis mengenai Khalifah Umar al-Khattab RA yang ingin bermusafir ke Syam tetapi dimaklumkan mengenai wabak taun yang sedang merebak di sana.

Lalu Abdul Rahman Auf RA menasihatkan beliau: “Sesungguhnya aku mempunyai ilmu mengenai ini. Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Sekiranya kamu mendengar sesuatu wabak di tempat tertentu, maka janganlah kamu memasukinya. Dan sekiranya wabak itu melanda suatu tempat, maka jangan pula meninggalkan tempat tersebut.” (HR Bukhari)

Menurut Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang menghuraikan hadis itu dalam kitab Fath al-Bari, Muslim tidak boleh mendedahkan diri dalam kemudaratan dan kebinasaan. Ia sebahagian maqasid syariah yang mesti diutamakan, iaitu memelihara jiwa atau nyawa.

Ini selaras dengan perintah Allah SWT: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dalam bahaya kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195)

Malah, pada peringkat global, sudah banyak negara mengambil langkah berjaga-jaga agar memastikan kesihatan rakyatnya terjamin kerana ia keutamaan tidak boleh dikompromi.

*Penulis ialah Konsultan Pelancongan, Haji dan Umrah

Posted on Leave a comment

KELAS PENGGAJIAN AL QURAN BRAILLE UNTUK GOLONGAN CACAT PENGLIHATAN ANJURAN MASJID TEPIAN PUTRA

Pihak Masjid Tepian Putra amat mengalu-alukan penyertaan golongan orang cacat penglihatan di Negeri Pahang khususnya di daerah Kuantan untuk mengikuti Kelas Pengajian Al Quran Braille untuk mempelajari bacaan Quran dan tajwid dengan betul dan tepat dengan dibimbing oleh guru.

Buat masa ini, terdapat 15 orang peserta yang mendaftar dan mereka dibimbing oleh seorang tenaga pengajar iaitu Ustaz Mohd Nor dengan menggunakan al Quran Braille yang disediakan oleh pihak masjid. Kebanyakkan peserta yang mengikuti Kelas Al Quran Braille ini adalah terdiri daripada Persatuan Orang Buta Indera Mahkota Kuantan.

Pihak masjid juga menyediakan bayaran sumbangan sebanyak RM10.00 setiap seorang kepada peserta yang hadir selain menyediakan jamuan ringan sebagai inisiatif tarikan untuk menggalakkan lebih ramai peserta orang cacat penglihatan untuk menyertai kelas ini dalam melahirkan golongan yang celik Al Quran.

JADUAL KELAS DAN KEKERAPAN KELAS

1. Setiap Jumaat dua kali sebulan

2. Sesi pagi (10.00 pagi -12.00 tengahari)

3. Sesi petang (2.30 petang – 4.30 petang)

Nota : Setiap peserta yang hadir akan diberikan bayaran sumbangan RM10.00 seorang oleh pihak masjid beserta jamuan ringan