Posted on Leave a comment

BAYAN LINNAS SIRI KE-138 : HALUSINASI : PANDANGAN PARA ULAMA

Mukadimah

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Beberapa hari yang lepas kita menerima berita yang sangat tragis dan menyedihkan di mana seorang bayi berusia 19 bulan dikelar oleh ibunya sendiri.Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nayang berkata siasatan awal mendapati bahawa wanita tersebut mengalami halusinasi sebelum bertindak mengelar anaknya.Suaminya pula mengatakan, isterinya itu seringkali termenung dan sering mendengar suara bisikan.[1]Pada Tahun lepas, kejadian yang sama berlaku di Kok Lanas, di mana si ibu mendakwa dia mendengar suara ghaib yang mengarahkannya berbuat demikian.[2].

Melihat kepada situasi demikian, kami merasa terpanggil untuk memberi sedikit pencerahan dan pandangan. Bayan Linnas pada kali ini akan membicarakan tentang Halusinasi : Pandangan para ulama.

Maksud halusinasi

Menurut Kamus Dewa Edisi Keempat, halusinasi bermaksud pengalaman seolah-olah dapat melihat, mendengar, atau menyentuh sesuatu yang sebenarnya tidak wujud akibat gangguan kesihatan (fikiran).

Menurut English Oxford Dictionary, halusinasi atau hallucination ditakrifkan sebagai An experience involving the apparent perception of something not present. Iaitu pengalaman yang melibatkan kemunculan sesuatu yang sebenarnya tidak wujud.

Ia berasal dari perkataan latin hallūcinātus yang bermaksud apa yang berlegar di minda.

Di dalam bahasa Arab moden pula ianya disebut sebagai هَلوَسَة yang berasal dari kata kerja هَلْوَسَ yang membawa makna mengkhayalkan sesuatu disebabkan oleh dadah atau penyakit. Perkataan ini tidak pernah direkodkan dalam mana-mana kamus klasik melainkan di dalam kamus Lisan al-Arab. Iaitu perkataan هلس yang bermaksud mengkhayalkan.

Rujuk Lisan al-Arab (6/249)

Punca dan jenis halusinansi

Sangat elok untuk kita berkenalan dengan penyakit ini.Penyakit halusinansi ini juga dikenali sebagai skezofrenia. Dengan kata lain ia adalah penyakit mental yang teruk dengan ciri-ciri kecacatan sehingga menyebabkan seseorang itu tidak dapat membezakan di antara alam realiti dan alam fantasi. Ciri utama penyakit ini ialah seseorang itu “tidak berpijak di bumi yang nyata”. Penghidap penyakit ini kemungkinan dapat melihat, mendengar dan merasa akan tetapi apa yang yang didengari,dilihat dan dirasa itu bukanlah sesuatu yang wujud di alam nyata. Ianya dianggap benar oleh si penghidap sehingga ia boleh mempengaruhi tingkah laku si penghidap. Penyakit ini wujud sejak beratus tahun namun ianya dikesan sebagai penyakit mental pada tahun 1887 oleh Dr Emelin Kreaplin.

Penyakit ini diperoleh melalui perubahan persekitaran sekeliling seperti tekanan perasaan, masalah kewangan dan lain-lain. Ada juga yang mengaitkan dengan masalah yang datang dari genetik.Ia juga bermula dari kemurungan sehingga boleh bertindak mencederakan diri sendiri dan orang lain.

Menurut Pusat Perubatan Darul Syifa’[3], penyakit ini juga dikaitkan dengan gangguan makhluk halus. Ini dapat diketahui melalui simptom atau tanda yang muncul dari pesakit yang datang berubat dengan mereka. Tanda-tanda tersebut dapat dikenal pasti seperti pesakit mendakwa terdengar bisikan-bisikan tertentu dan lain-lain sehingga menyebabkan mereka bertindak di luar kawalan.

Antara jenis-jenis halusinasi seperti yang disebutkan oleh pakar-pakar perubatan[4] ialah :

Halusinasi pendengaran iaitu seseorang itu mendengar suara yang pada hakikatnya tiada seorang pun yang mendengar suara tersebut melainkan si penghidap. Contohnya seseorang itu mendengar suara bisikan yang menyuruhnya melakukan sesuatu akan tetapi suara itu hanya boleh didengari oleh si penghidap tanpa didengari oleh orang lain.
Delusi kawalan iaitu seseorang percaya bahawa ada yang mengawalnya dan setiap tindak tanduk yang gagal dikawal adalah berpunca dari kawalan ‘seseorang’.
Delusi mania erotik iaitu si penghidap percaya seseorang yang terkenal berkawan atau bercinta dengannya.
Delusi bersalah dan berdosa iaitu seseorang percaya dirinya telah melakukan kesalahan dan perlu menghukum dirinya di atas kesalahannya itu.
Pemasukan pemikiran iaitu apabila seseorang percaya orang lain mampu memasukkan pemikiran meraka ke dalam mindanya. Contoh dia percaya bahawa apa yang ada dalam pemikirannya adalah merupakan pemikiran orang lain.
Halusinasi penglihatan iaitu seseorang dapat melihat sesuatu objek atau bayangan dengan jelas di mana ianya tidak boleh dilihat oleh orang lain. Seperti contoh, seseorang mendakwa melihat ular walhal itu adalah tali.
Maka dapat kita fahami, bahawa penyakit ini adalah cabang dari penyakit mental dan ia adalah penyakit yang amat yang memerlukan perhatian ramai. Menurut Professor Bersekutu Psikiatari, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Ng Chong Guan, kira-kira 30 peratus rakyat Malaysia merupakan penghidap penyakit mental[5] dan wanita adalah yang paling tinggi peratusannya mendapat penyakit ini daripada lelaki. Ujar beliau lagi, dalam masa 10 tahun, peratusan yang akan mendapat penyakit ini akan meningkat sekali ganda dalam masa 10 tahun. Ini bermakna seramai 4.2 juta rakyat Malaysia menghadapi masalah penyakit ini. Ini amat merisaukan kita semua, kerana dalam masa beberapa tahun jika tiada usaha dan kesedaran maka penyakit ini akan menjadi penyakit yang tertinggi selepas penyakit jantung.

Menurut Pensyarah Kanan dan Psikiatari Fakulti Perubatan dan Sains Perubatan Universiti Putra Malaysia, Dr Michael Ang Jin Kiat, penyakit ini akan membawa kepada penyakit mental yang sangat serius jika tidak mendapat rawatan lanjut.[6]

Kisah-kisah penghidap penyakit halusinasi di Malaysia

Di sini kami lampirkan beberapa kisah benar yang berlaku berkaitan penghidap penyakit halusinasi atau skezofernia

Seorang pengguna Facebook, Nizam (bukan nama sebenar) pernah menceritakan pengalaman beliau menjaga isteri yang menghidap penyakit ini. Isteri beliau disahkan menghidap paranoid Schizophrenia pada tahun 2014 setelah mengambil rawatan psikiatari pada tahun 2000. Kata beliau, apabila isterinya mula tidak mengambil ubat maka dia akan didatangi dengan halusinasi dan delusi sehingga pernah terjadi isterinya tanpa sedar mengatakan bahawa suaminya jahat.Memaki hamun beliau kerana isterinya mendakwa mendengar bisikan mengatakan beliau curang. Isterinya juga pernah keluar pada jam 2 pagi memandu seorang diri tanpa arah tuju. Isterinya juga pernah berfantasi ada yang ingin mencederakannya sehingga mula mencapai barang dan melontarnya ke arah suami.[7]

Seorang remaja bernama Mika (bukan nama sebenar) yang berumur 23 tahun mula mendengar suara-suara bisikan kerana mempunyai masalah dalam pembelajaran. Ibunya menceritakan, setiap malam, Mika akan bangun dan mula bercakap dengan pintu biliknya. Ibunya menceritakan lagi, Mika akan berkata pada pintu biliknya : “Kau buat apa di sini?. Pergilah, di sini bukan tempat engkau.” Setelah di dianogsis, Mika disahkan menghidap penyakit skezofrenia. Dia mula mengambil ubat dan menjalani rawatan. Setelah beberapa lama mengambil, Mika mengatakan suara-suara bisikan yang didengarinya selama ini mula perlahan.

Pada 18 Jun 2018, portal Utusan Malaysia melaporkan seorang ibu mengelar anaknya yang masih kecil setelah didakwa sering termenung dan terdengar suara-suara ghaib sejak bulan Mei.

Hamidah (bukan nama sebenar) seorang wanita berusia 30 tahun berasa pelik dengan perangai suaminya setelah 3 bulan berkahwin. Beliau menceritakan bahawa suaminya selalu bercakap, menangis dan ketawa sendirian. Sehingga suaminya pernah cuba untuk membunuhnya. Setelah menghubungi keluarga mertua untuk bertanya perihal suaminya, akhirnya pihak mertua memberitahu bahawa suaminya adalah penghidap skezofrenia. Akhirnya beliau nekad untuk memfailkan cerai takut suaminya akan berbuat sesuatu yang di luar jangkaan.[8]

Ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi seputar bisikan-bisikan ghaib

Banyak ayat yang menceritakan tentang bisikan ghaib di dalam al-Quran. Kebanyakannya digandingkan dengan syaitan. Ada juga ayat yang membicarakan tentang bisikan yang datang dari diri. Antara ayat-ayat tersebut :

Firman Allah swt :

فَوَسْوَسَ لَهُمَا ٱلشَّيْطَـٰنُ لِيُبْدِىَ لَهُمَا مَا وُۥرِىَ عَنْهُمَا مِن سَوْءَٰتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَىٰكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةِ إِلَّآ أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ ٱلْخَـٰلِدِينَ

Maksudnya : “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”.

(Surah al-‘Araf : 20)

Kata Sheikh Tohir Ibnu ‘Asyur :

“Bisikan syaitan dinamakan sebagai was-was kerana ia membisikkan kepada kedua-duanya (Nabi Adam dan isterinya) dengan bisikan yang perlahan secara kata-kata ataupun dorongan untuk melakukan satu perbuatan seperti mana keadaan orang yang ingin melakukan penipuan. Oleh itu, bisikan yang dibisikkan tidak didengari oleh orang lain supaya orang lain tidak boleh menggagalkan penipuannya. Bisikan itu juga dibisikkan kepada kedua-duanya secara sembunyi supaya nampak sebagai penasihat.”

Rujuk al-Tahrir Wa al-Tanwir (1/1502)

Firman Allah swt :
فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ ٱلشَّيْطَـٰنُ قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ ٱلْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَىٰ

Maksudnya :” Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”

(Surah Toha : 120)

Sheikh Amin al-Syanqiti dalam menghuraikan maksud was-was yang ada di dalam al-Quran menyebut :

“ Was-was ialah suara halus. Maka dapat difahami dari firman Allah swt فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ ٱلشَّيْطَـٰنُ bermaksud Syaitan membisikkan kepada Adam dengan suara yang halus.”

Rujuk Adwa’ al-Bayan Fi Idhah al-Quran bi al-Quran(4/182)

Firman Allah swt :

وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِۦ نَفْسُهُۥ ۖ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ ٱلْوَرِيدِ

Maknanya :” Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”

(Surah Qaf : 16)

Sheiikh al-Maraghi ketika menghuraikan ayat ini, beliau menyatakan :

“Allah swt Maha Kuasa untuk membangkitkan manusia. Ini kerana Allah adalah Maha Pencipta yang mengetahui semua perkara. Sehingga Dia tahu apa yang dibisikkan kepadanya sama ada bisikan yang mendorong kepada perkara yang baik atau jahat.”

Rujuk Tafsir al-Maraghi (1/4811)

Firman Allah swt :

ٱلَّذِى يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ

Maksudnya :” “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.”

(Surah al-Nas : 5)

Almarhum Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili pernah menghuraikan ayat di atas. Kata beliau :

“Iaitu sentiasa ada yang akan membisikkan kepada manusia dengan bisikan yang buruk dan jahat.”

Rujuk al-Tafsir al-Munir (30/482)

Dapatlah kita fahami, was-was yang dimaksudkan di dalam al-Quran adalah berupa suara halus yang datang dari syaitan atau nafsu yang mendorong manusia melakukan perkara kejahatan atau kebaikan. Kebanyakan bisikan yang dilontarkan oleh syaitan adalah pendorong kepada perlakuan yang jahat.

Di dalam hadis ada menceritakan tentang bisikan syaitan yang sentiasa mendorong manusia untuk melakukan kejahatan dan keburukan. Daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata. Nabi saw bersabda :

إنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ، وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ، فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ، وَتَكْذِيبٌ بِالحَقِّ، وَأَمَّا لَمَّةُ المَلَكِ، فَإِيعَادٌ بِالخَيْرِ، وَتَصْدِيقٌ بِالحَقِّ، فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنَ اللَّهِ، فَلْيَحْمَدِ اللَّهَ، وَمَنْ وَجَدَ الأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya :” Syaitan itu adalah pendorong dan malaikat adalah pendorong. Syaitan sentiasa mendorong untuk melakukan kejahatan dan membohongi perkara yang benar. Adapun malaikat sentiasa mendorong untuk melakukan kebaikan dan membenarkan perkara yang betul. Barangsiapa yang mendapati dorongan melakukan kebaikan maka ketahuilah itu adalah dari Allah dan pujilah Allah. Barangsiapa yang mendapati dorongan selain dari itu maka mintalah perlindungan pada Allah daripada syaitan yang direjam.”

Riwayat al-Tirmizi (2988) dan Ibnu Hibban (993). Kata Imam al-Tirmizi: Hadis ini adalah hadis hasan ghorib.

Adakah Halusinasi atau Skezofrenia ini penyakit gila?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan ,kebiasaannya penyakit skezofrenia akan bermula pada usia remaja atau awal dewasa[9]. Namun adakah penyakit ini sama dengan apa yang sering disebut sebagai gila?.

Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa skezifrenia inni adalah sejenis penyakit mental(gila).[10]

Penyakit halunisasi atau skezofrenia ini adalah satu penyakit mental yang kronik. Akan tetapi penyakit ini boleh dirawat. Menurut pakar perunding Psikiatri Universiti Perubatan Malaysia, Dr Shane Varman, penyakit ini boleh dirawat melalui ujian psikososial dan mengambil ubat-ubatan.

Dengan penjelasan ini, maka boleh kita katakan bahawa penyakit halusinasi atau Skezofrenia ini adalah sejenis penyakit mental yang bersifat sementara bukannya bersifat kekal.

Para fuqaha dan usuliyyun mentakrifkan gila atau penyakit mental sebagai

“Kecelaruan akal sehingga menghalang kebolehfungsian perlakuan atau percakapan mengikut cara yang betul.”

Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyah (16/99)

Ini kerana, para ulama membahagikan gila kepada dua jenis. Yang panjang gilanya iaitu yang dinamakan asli ataupun Mutbiq dan juga yang sementara gilanya yang boleh disembuhkan dengan ubat-ubatan dan rawatan-rawatan. Ini dinamakan ‘Arid atau ghair Mutbiq.

Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyah (16/101).

Dengan hal demikian, maka pada keadaan dia berhalusinasi maka dia tidak dianggap waras. Dan tiada apa-apa hukum dikenakan ke atasnya pada ketika itu. Ini berdasarkan hadis saw yang diriwayatkan oleh Aisyah

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثٍ عَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنْ الصَّغِيرِ حَتَّى يَكْبُرَ وَعَنْ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ أَوْ يُفِيقَ

Maksudnya :” Diangkat pena pada tiga golongan iaitu orang yang tidur sehingga terjaga , anak kecil sehingga dia besar dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar.”

Riwayat al-Nasaie (3432)

Imam al-San’ani telah mensyarahkan, yang dimaksudkan dengan sabda Nabi saw “dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar” adalah tidak diambil tindakan ke atasnya.”

Rujuk Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram (16/20)

Sheikh Abdullah al-Tayyar menyatakan :

“Yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah tidak ditulis baginya dosa. Ini kerana pada ketika itu, dia tidak dianggap sebagai mukallaf.”

Rujuk Wabal al-Ghumamah Syarh Umdah al-Fiqh Li Ibn al-Qudamah(9/9)

Adakah jika penghidap Skezofrenia membunuh, dia dikenakan hukuman?

Seorang yang gila tidak ada hukuman balas (qisas) baginya. Ini adalah pandangan majoriti para ulama dan tiada khilaf padanya. Pandangan ini juga dipersetujui oleh al-Syahid Sheikh Abdul Kadir al-Audah. Beliau menyatakan tidak boleh menyabitkan hukuman jenayah ke atas orang yang menghidap penyakit halusinasi atau skezofrenia.

Rujuk Tasyri’ al-Jinai al-Islami (1/504)

Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan Aisyah yang telah kami nyatakan sebelum ini.

Namun, seperkara yang menjadi persoalan adakah cukup sekadar pengakuan seorang yang menghidap penyakit halusinasi untuk melepaskannya dari hukuman?

Sebelum dijatuhkan sama dia dikenakan hukuman atau tidak, penyakit itu perlu disahkan terlebih dahulu oleh pakar-pakar psikiatari atau pakar perubatan. Ini bagi menghalang dan mengekang seseorang yang membunuh kemudian mendakwa dia berhalusinasi. Dakwaan bahawa dia berhalusinasi itu perlu dibuktikan dengan pengesahan dari pakar-pakar. Kemudian barulah hukuman dijatuhkan. Sama ada dia dijatuhkan hukuman atau tidak adalah bergantung kepada pengesahan dari pakar psikiatari atau perubatan.

Saranan kami

Maka penyakit sebegini seharusnya mendapat perhatian masyarakat khususnya di Malaysia. Kesemua pihak harus menjalankan tanggungjawab masing bagi memastikan penyakit ini tidak terus meningkat peratusannya dari tahun ke tahun. Oleh itu, kami menyarankan beberapa perkara :

Perlu pastikan untuk mendapat rawatan pakar psikiatari.
Ahli keluarga khususnya perlu memainkan peranan dalam membendung penyakit ini. Sentiasa damping mereka dan jangan pernah tinggalkan mereka bersendirian.
Sentiasa merujuk kepada pakar dari semasa ke semasa.
Sentiasa mengajak mereka yang menghidap penyakit halusinasi atau skezofrenia ke majlis-majlis ilmu dan halaqah agama bagi memperolah kefahaman berkaitan islam.
Sentiasa memastikan agar selalu duduk secara berjemaah (berkumpulan) bukannya bersenderian.
Banyakkan berzikir. Ini kerana dengan berzikir mampu untuk menenangkan hati. Ini adalah berdasarkan firman Allah swt :
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّـهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّـهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ

Maksudnya :” (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Surah al-Ra’du : 28)

Jauh dari megingati Allah menyebabkan hati menjadi sempit dan sentiasa berada dalam keresahan. Firman Allah swt :

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةً ضَنكًا

Maksudnya :” Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit.”

(Surah Toha :124)

Banyakkan berdoa pada Allah agar ditetapkan hati dan ditenangkan jiwa. Nabi saw bersabda :

مَا أَصَابَ أَحَدًا قَطُّ هَمٌّ وَلاَ حَزَنٌ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، ابْنُ عَبْدِكَ ، ابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي وَجِلاَءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي ، إِلاَّ أَذْهَبَ اللَّهُ هَمَّهُ وَحُزْنَهُ ، وَأَبْدَلَهُ مَكَانَهُ فَرَحًا

Maksudnya :” Tidaklah seseorang itu ditimpa keresahan mahupun kesedihan.Bila dia berdoa : Wahai Allah sesungguhnya aku ini hamba-Mu. Anak kepada hamba-Mu. Ubun-ubunku ada di tangan-Mu. Sentiasa berada dalam pemerintahan-Mu. Engkau Maha Adil dalam hukuman. Aku meminta kepada-Mu dengan nama-Mu yang Engkau sendiri namakan diri-Mu atau yang Engkau ajarkan kepada salah seorang dari hamba-Mu, atau yang Engkay nyatakan dalam kitab-Mu ataupun yang berada di dalam pengetahuan-Mu. Engkau jadikanlah al-Quran bunga di hatiku, penerang hati-ku dan penghapus kesedihanku. Hapuskanlah keresahanku. Bila seorang itu ucapkan doa ini Allah akan hapuskan keresahan dan kesedihannya dan gantikan apa yang dia lalui dengan kegembiraan.”

Riwayat Imam Ahmad (3712)

Nabi saw juga mengajarkan satu doa yang mana sangat baik untuk diamalkan kerana doa ini adalah sebuah pengharapan agar Allah sentiasa menetapkan hati dari dibolak-balikkan.Daripada Anas bin Malik :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ فَقَالَ لَهُ أَصْحَابُهُ وَأَهْلُهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَخَافُ عَلَيْنَا وَقَدْ آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ قَالَ إِنَّ الْقُلُوبَ بِيَدِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يُقَلِّبُهَا

Maksudnya :” Rasulullah saw sentiasa memperbanyakkan doa. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu. Para sahabat bertanya : adakah engkau takut kami meninggalkan agama. Kami beriman dengan engkau dan dan apa yang engkau bawa. Rasulullah saw bersabda : sesungguhnya hati berada di tangan Allah. Dia berhak membolak-balikkannya.”

Riwayat Imam Ahmad (13696)

Akhukum Fillah,

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

24 JUN 2018 BERSAMAAN 10 SYAWAL 1439 H.

[1] Berita ini dilaporkan oleh portal Utusan dan Berita Harian pada 18 Jun 2018.

[2] Rujuk http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ibu-disyaki-kelar-mati-bayi-sendiri-direman-tujuh-hari-131299 yang bertarikh 5 Februari 2017.

[3]http://darussyifaperak.blogspot.com/2009/05/tanda-tanda-gangguan-makhluk-halus.html

[4] Rujuk buku ‘Kecelaruan tingkah laku’ terbitan PTS (2006)

[5] Rujuk https://www.bharian.com.my/wanita/lain-lain/2018/03/395427/kes-sakit-jiwa-di-malaysia-semakin-merisaukan

[6] Rujuk http://www.kosmo.com.my/negara/penyakit-mental-masalah-kedua-serius-di-malaysia-1.652094

[7] Kisah ini boleh dibaca di http://says.com/my/seismik/lelaki-ini-kongsi-kisah-isteri-ada-penyakit-mental.

[8] Kisah ini dimuatkan di portal Harian Metro https://www.hmetro.com.my/node/94778 bertarikh 22 November 2015.

[9] Rujuk http://www.who.int/mental_health/management/schizophrenia/en/

[10] Rujuk http://www.myhealth.gov.my/penyakit-mental/

Posted on Leave a comment

BAYAN LINNAS SIRI KE-139 : AL-QURAN : KALAMULLAH YANG MUKJIZAT

Muqaddimah

Segala puji bagi Allah S.W.T yang menciptakan sekalian alam serta selawat dan salam ke atas Baginda S.A.W, keluarga, sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari akhirat.

Sejak al-Quran diturunkan, ianya telah dipelihara dengan begitu rapi. Ramai penghafaz al-Quran setiap zaman bermula zaman Rasullullah S.A.W lagi hinggalah ke hari ini. Al-Quran juga dipelihara dalam bentuk tulisan dimana pada peringkat awalnya ramai penulis al-Quran menghasilkan mushaf. Dan selepas perkembangan teknologi, al-Quran dihasilkan dalam bentuk percetakan.

Semua penjagaan al-Quran dalam bentuk mushaf dan hafazan menjadi bukti yang kukuh bahawa al-Quran terpelihara dari segala kesalahan dan kekurangan. Ini bertetapan dengan firman Allah S.W.T:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.

(Surah al-Hijr : 9)

Al-Syahid Hasan al-Banna berkata: “Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membacanya.

Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ هٰذَا الْقُرْآنَ مَأْدُبَةُ اللهِ فَتَعَلَّمُوْا مَأْدُبَةَ اللهِ مَااسْتَطَعْـتُمْ. إِنَّ هٰذَاالْقُرْآنَ حَبْلُ اللهِ الْمَتِيْنِ وَنُوْرٌ مُبِيْنٌ وَشِفَاءٌ نَافِعٌ وَعِصْمَةٌ لِمَنْ تَمَسَّكَ بِهِ وَمَنْجَاةٌ لِمَنِ اتَّبَعَهُ لاَيَعْوَجُ فَيُقَوَّمُ وَلاَيَزِيْغُ فَيَسْتَعْـتِبَ وَلاَتَنْقَضِى عَجَائِـبُهُ وَلَمْ يَخْلَقْ عَنْ كَثْرَةِ التِّرْدَادِ أُتْلُوْهُ فَإِنَّ اللهَ تَعَالىَ يَأْجُرُكُمْ عَلَى تِلاَوَتِهِ بِكُلِّ حَرْفٍ عَشْرُ حَسَـنَاتٍ أَمَا إِنِّيْ لاَأَقُوْلُ آلمۤ عَشَرَةٌ وَلـٰـكِنَّ اْلأَلِفَ عَشَرَةٌ وَاللاَّمَ عَشَرَةٌ وَالْمِيْمَ عَشَرَةٌ

Maksudnya: “Al-Quran ini adakah hidangan Allah.Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutnya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tiada henti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun diulang. Bacalah kerana Allah, kerana ia akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf sepuluh ganjaran. Saya tidak katakan Alam Laam Miim sebagai satu huruf tetapi alif (1 huruf) dan Laam (1 huruf) dan Miim (1 huruf).”

Riwayat al-Hakim

Pada ruangan Bayan Linnas untuk kali ini, kami akan memberi fokus bagi menjawab dakwaan yang dikeluarkan oleh segelintir non-muslim yang mendakwa sebanyak 70% kandungan al-Quran adalah diambil dan dicedok dari kisah-kisah lama yang wujud sebelum kedatangan Islam itu sendiri. Justeru, kami tajukkan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk “Al-Quran : Kalamullah YangMukjizat”.

Pertama: Definisi al-Quran

Al-Quran pada bahasa mempunyai beberapa makna iaitu mengumpulkan dan menghimpun, dan qiraah bererti menghimpun huruf-huruf dan kata-kata satu dengan yang lain dalam satu ucapan yang tersusun rapi. Quran pada mulanya seperti qiraah, iaitu masdar (infiniti) dari kata qara’a, qiraatan, quranan. Allah SWT berfirman:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧﴾ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ ﴿١٨﴾

Maksudnya: “Sesunggguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila Kami telas selesai membacakannya, maka itulah bacaannya itu.”

(al-Qiyaamah: 17-18)

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qiraatuhu (bacaannya/cara membacanya). Jadi, kata itu adalah masdar menurut wazan (konjunsi) fu’lan dengan vokal u seperti ghufran dan syukran. Kita dapat mengatakan qara’tuhu, quran, qiraatan wa quranan, ertinya sama saja. Di sini maqru’ (apa yang dibaca) diberi nama quran (bacaan), yakni penamaan maf’ul dengan masdar.

Sedangkan ada istilahnya pula ialah kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Kedua: Keistimewaan al-Quran

Sebenarnya al-Quran cukup istimewa berbanding dengan mana-mana kitab. Oleh kerana tajuk ini cukup besar, penulis hanya menyebut sepintas lalu dengan satu dalil sahaja dengan setiap satunya. Dipetik daripada karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang bertajuk “Bagaimana kita berinteraksi bersama dengan al-Quran al-‘Azim.” Antara lain menyebut:

Al-Quran kitab Ilahi. Hal ini dijelaskan dengan banyak ayat antaranya :
الر ۚ كِتَابٌ أُحْكِمَتْ آيَاتُهُ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ

Maksudnya: “Alif, Lam, Ra. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun rapi ayat-ayatnya, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu yang diturunkan daripada sisi Allah Yang Maha Mendalam pengetahuan-Nya.”

(Surah Hud : 1)

Al-Quran adalah kitab mahfuz (terpelihara). Firman Allah S.W.T:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Al-Quran dan memeliharanya”.

(Surah Al-Hijr : 9)

Al-Quran adalah kitab mukjizat. Firman Allah S.W.T :
قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَـٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) “ Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan Al-Quran , mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu”.

(Surah Al-Isra’: 88)

Al-Quran dikatakan sebagai sebuah kitab mukjizat kerana makahluk tidak akan mampu dan mustahil untuk mendatangkan sebuah kitab semisal al-Quran sekalipun terdapat gabungan dan kesepakatan antara seluruh manusia dan jin dalam . Sudah tentu perkataan makhluk tidak akan boleh menyamai perkataan Yang Maha Pencipta, yang tiada tandingan dan tara. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 8/4024)

Al-Quran kitab yang nyata lagi mudah. Firman Allah S.W.T:
فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya:“Maka sesungguhnya kami memudahkan Al-Quran dengan bahasamu(wahai Muhammad) moga-moga mereka mengambil pengajaran”.

(Surah Ad-Dukhan : 58)

Dr Yusuf Al-Qaradhawi berkata ayat Al-Quran dihafaz oleh ribuan sama ada lelaki , perempuan atau kanak-kanak. Inilah istimewanya yang tiada pada mana-mana kitab atau buku yang lain.

Al-Quran kitab zaman semuanya. Ia bermaksud kitab yang kekal yang bukan hanya sesuai pada suatu masa sahaja dan bukan untuk satu generasi. Tetapi ia sesuai sepanjang zaman dan semua tempat. Justeru tidak pelik sehingga sekarang al-Quran tetap menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan.
Al-Quran kitab agama keseluruhannya. Maksudnya ialah ia menjadi asas kepada agama dan roh Islamnya dan daripadanya diambil roh akidah, ibadat, akhlak dan juga usul tasyriq dan hukum hakam.
Al-Quran merupakan kitab kemanusiaan sejagat. Hal ini dapat difahami berdasarkan kepada sifat al-Quran itu sendiri yang banyak menekankan kehidupan manusia dengan kalimahnya dan untuk alam sejagat. Benarlah firman Allah S.W.T:
إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Al-Quran itu tidak lain hanya peringatan bagi seluruh penduduk alam”.

(Surah At-Takwir : 27)

Penulis menukilkan dari Detik Islam yang bertarikah 10 Ogos 2012 berkenaan dengan pengaruh bacaan al-Quran pada saraf, otak dan organ tubuh lain antara lain menyatakan: “Tidak ada lagi bacaan yang dapat meningkatkan terhadap daya ingatan dan memberi ketenangan kepada seseorang kecuali membaca al-Quran.”

Dr. Al-Qadhi, melalui penelitiannya yang panjang dan serius di Klinik Besar Florida, Amerika Syarikat, berjaya membuktikan hanya dengan mendengan bacaan ayat-ayat al-Quran, seorang muslim, baik mereka yang berbahasa arab atau bukan, dapat merasakan perubahan fisiologi yang sangat besar.

Penurunan tekanan, kesedihan , memperoleh ketenangan jiwa merungkai pelbagai macam penyakit merupakan pengaruh am yang dirasakan orang-orang yang menjadi objek kajiannya. Penemuan kajian ini dilihat tidak menentu.

Penelitiannya disokong dengan bantuan peralatan elektronik terkini untuk mengesan tekanan darah dengupan jantung, ketahanan otot, dan ketahanan kulit terhadap aliran elektrik. Dari hasil kajiannya, beliau telah membuat kesimpulan, bahawa bacaan al-Quran berpengaruh besar sehingga 97% dalam melahirkan ketenangan jiwa dan penyembuh penyakit.

Kajian Dr. Al-Qadhi ini diperkuatkan pula oleh kajian lain yang dilakukan oleh doktor yang berbeza. Dalam laporan sebuah kajian yang disampaikan dalam Persidangan Perubatan Islam Amerika Utara pada tahun 1984, disebutkan, al-Quran terbukti mampu mendatangkan ketenangan sehingga 97% bagi mereka yang mendengarkannya.

Kesimpulan hasil kajian tersebut diperkuatkan lagi oleh kajian Muhammad Salim yang diterbitkan Universiti Boston. Sasaran kajiannya terhadap 5 orang sukarelawan yang terdiri dari 3 lelaki dan 2 wanita. Kelima orang tersebut sama sekali tidak mahir berbahasa Arab dan mereka pun tidak diberitahu bahawa yang akan diperdengarkan adalah al-Quran.

Kajian yang dilakukan sebanyak 210 kali ini terbahagi kepada dua sesi, iaitu membaca al-Quran dengan tertil dan membacakan bahasa arab yang bukan dari al-Quran. Kesimpulannya, responden mendapatkan ketenangan sehingga 65% ketika mendengarkan bacaan al-quran dan mendapatkan ketenangan hanya 35% ketika mendengar bahasa Arab yang bukan dari al-Quran.

Al-Quran memberikan pengaruh besar jika diperdengarkan kepada bayi. Hal tersebut diungkapkan Dr. Nurhayati sewaktu Seminar Kauseling dan Psikoterapi Islam di Malaysia pada tahun 1997. Menurut penyelidikan yang dijalankan, bayi yang berusia 48 jam yang diperdengarkan ayat-ayat al-Quran dari perakan suara menunjukkan respon tersenyum dan menjadi lebih tenang.

Sungguh suatu kebahagian dan merupakan nikmat yang besar. Kita mempunyai al-Quran. Selain menjadi ibadah dalam membacanya, bacaannya ,memberikan pengaruh besar bagi kehidupan jasmani dan rohani kita.

Jika mendengar muzik klasik boleh mempengaruhi kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ) seseorang, bacaan al-Quran jauh lebih dari itu. Selain mempengaruhi IQ dan EQ, bacaan al-Quran mempengaruhi kecerdasan spiritual (SQ).

Benarlah firman Allah S.A.W:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya : “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat”.

(Surah al-A’raf : 204)

Ketiga: Matlamat al-Quran

Secara umumnya al-Quran menyeru kepada banyak prinsip dan maqasid yang sesuai bagi sifat kemanusiaan. Antaranya:

Mentashihkan akidah, sudut pemikiran berkaitan ketuhanan, kerasulan dan pembalasan.
Mentaqrirkan kemuliaan insan, hak-haknya terutama di kalangan yang da’if dan tertindas.
Menyeru kepada pembersihan jiwa manusia.
Membentuk keluarga solehah dan pemberian hak wanita.
Membina ummah yang menjadi saksi kepada kemanusiaan.
Dakwah dan menyeru kepada alam insani yang bersifat tolong menolong dan bekerjasama.
Keempat: Pendapat Tokoh berkenaan Quran

Dinyatakan di sini beberapa kenyataan ulama dan tokoh berkaitan Quran.

Imam Syafie berkata: Setiap yang bercakap berdasarkan Kitab dan Sunnah, maka itulah yang sebenarnya. Adapun selain keduanya, dilihat sia-sia.
Al-Harith al-Muhasibi berkata: Sedara-sedaraku apabila orang baca Quran untuk mendapat pahalanya, maka ketahuilah tunjukkan kehendak dengan bacaan kamu untuk tadabbur dan iktibar darinya.
Fudhail bin Iyadh berkata: Penjaga al-Quran sentiasa mengelak dari menderhakai Tuhannya. Bagaimana mungkin mereka melakukan maksiat sedangkan setipa huruf dari al-Quran menyerunya “Demi Allah, jangan enkau engkari perkara yang engkau bawa dariku.
Abdul Qadir al-Jilani berkata: Wahai kaumku berlaku baiklah kepada al-Quran dengan beramal dengannya bukan dengan berdebat.
Imam Ibn Taimiyyah berkata: Al-Quran mampu menghilangkan segala penyakit yang menyebabkan keinginan-keinginan jahat, sehingga sihatlah jiwa dan bersihlah keinginannya dan kembalilah seseorang itu kepada fitrah yang telah ditanam oleh Allah sepertimana badan kembali sihat.
Ibn Qayyim berkata: Quran adalah kalam Allah yang Allah tajalli kepadanya untuk hamba-hambanya dengan sifat-sifat-Nya.
Imam Muslim berkata: Al-Quran adalah ubat segala penyakit kecuali maut. Semoga hendaknya Allah mematikan kita di dalam iman dan menghembuskan nafas terakhir dengan bibir yang masih basah berkumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci al-Quran.
Al-Syahid Hasan al-Banna berkata: Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah sumber yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan cara membacanya.

Mustafa al-Siba’i menyebut beberapa ungkapan antaranya:
Kesan Quran pada jiwa orang yang beriman pada maknanya dan bukan pada lagunya. Bukan yang membaca dengan beramal dan bukan yang mengelokkan bacaan tetapi tidak beramal.
Bacaan al-Quran dalam radio dengan hati yang khusyuk yang dapat didengar oleh orang Islam sehingga dibuka hati dan akal mereka satu ketika jauh lebih baik dari seribu rancangan yang lain.
Orang zaman dahulu belajar al-Quran untuk beramal. Kemudian jadilah mereka belajar beramal dengannya. Justeru, bagaimana tiada perbezaan antara generasi kita dan generasi mereka yang agung.
Al-Quran ditangan-tangan orang Islam ibarat senjata ditangan orang-orang jahil.

Dr Yusuf Al-Qaradhawi mengungkapkan banyak kata-kata antaranya
Al-Quran merupakan minhaj atau jalan serta cara bagi kehidupan manusia.
Al-Quran sebagai dustur kepada sebarang hukum.
Al-Quran sebagai dustur kepada dakwah.

Menjawab beberapa syubhah yang dilemparkan terhadap al-Quran:

Al-Quran adalah ciptaan Muhammad S.A.W
Umum diketahui bahawa, Nabi Muhammad S.A.W hanyalah seorang lelaki yang diutus sebagai rasul untuk seluruh umat. Tujuan pengutusannya untuk mebawa rahmat bagi sekelian alam. Ini adalah sebagaimana firman Allah S.W.T berikut:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

(Surah al-Anbiya’ : 107)

Justeru, Allah S.W.T telah mengutuskan bersama rasulnya ini sebuah kitab yang menjadi panduan bagi seluruh umat yang dipimpinnya. Namun begitu, terdapat segolongan manusia yang sering mengingkari kebenaran atau ketulinan ayat-ayat al- Quran tersebut dengan mendakwa bahawa kitab tersebut merupakan rekaan atau idea penulisan yang dilakukan sendiri oleh Muhammad S.A.W.

Bagi mencantas dakwaan tersebut, kami nyatakan seperti berikut.

Allah S.W.T memberi cabaran dan kesempatan kepada seluruh umat manusia yang tidak meyakini bahwa al-Quran adalah kalamullah dengan beberapa cabaran. Antaranya ialah dalam firmanNya yang berikut:

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَـٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.”

(Surah al-Isra’ : 88)

Syeikh al-Maraghi menjelaskan bahawa golongan kafir tidak akan mampu untuk mendatangkan sebuah kitab yang sama sepertimana yang diturunkan kepada kepada rasulNya. Yang dimaksudkannya ialah sama dari sudut balaghah, kebaikan maknanya, kebijaksanaanya, hukum-hakam yang dikandungnya dan lain-lain. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 8/4024)

Tentangan turut dikemukakan juga dalam ayat yang dinyatakan berikut:

فَلْيَأْتُوا بِحَدِيثٍ مِّثْلِهِ إِن كَانُوا صَادِقِينَ

Maksudnya: “(Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan indah) seperti Al-Quran itu, jika betul mereka orang-orang yang benar dakwaannya.”

(Surah at-Tur : 34)

Dalam kalangan musyrikin Quraisy terdapat penyair-penyair yang fasih balaghahnya, tukang tilik yang hebat serta cerdas serta pemidato yang berpengalaman dalam berbicara dengan baik dalam pelbagai seni pertuturan. Maka kumpulkanlah para penyair, tukang tilik dan para pembicara yang hebat tersebut agar dapat mendatangkan sesuatu yang seperti al-Quran, kalau mereka adalah dalam kalangan yang benar dalam perakuan mereka. Namun mereka tidak mampu. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 14/6633)

Apabila musyrikin Quraisy tidak mampu untuk mendatangkan kitab semisal al-Quran, Allah SWT menguji mereka dengan ujian yang lebih ringan iaitu untuk mendatangkan hanya sepuluh surah yang semisal al-Quran. Ini adalah sepertimana firmaNya berikut:

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ ۖ قُلْ فَأْتُوا بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهِ مُفْتَرَيَاتٍ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya: “Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu! ” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

(Surah Hud : 13)

Allah SWT mencabar pihak musyrikin Quraish supaya mendatangkan sepuluh surah seperti al-Quran dari sudut susunan atau gaya bahasanya yang memuatkan undang-undang yang benar tentang keagamaan, kemasyarakatan, politik, hikmah-hikmah, nasihat-nasihat dan tata kesopanan. Bahkan Allah SWT menyeru mereka supaya mengajak sesiapa sahaja yang mereka ingin selain Allah SWT yang dapat membantu dan menolong mereka bagi menyahut cabaran Allah SWT. Namun mereka tidak mampu. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 6/3158)

Pada pengakhiran cabaran tersebut, Allah turut menyatakan cabaran terakhir untuk mendatangkan hanya satu surah semisal al-Quran. Ini seperti firmannya yang berikut:

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ ۖ قُلْ فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّثْلِهِ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya: “(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!.”

(Surah Yunus : 38)

Demikian juga firman Allah SWT berikut:

وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya: “Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

(Surah al-Baqarah : 23)

Menurut Syeikh al-Maraghi, kaum musyrikin Quraish tidak mampu untuk membuat al-Quran lain yang seumpama dengan al-Quran, meskipun mereka seorang yang terlatih. Namun, mereka tidak mampu untuk mendatangkan sesurah seumpama al-Quran. Ini kerana, orang yang berakal cerdas sudah tahu bahawa sesuatu yang dapat mereka lakukan, sudah tentu orang lain juga dapat melakukannya, dan terdapat keberangkalian akan ada orang yang lebih mampu berbanding dirinya. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 6/3039)

فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir”.

(Surah al-Baqarah : 24)

Jika kaum musyrikin Quraish tidak mampu juga untuk mendatangkan satu surah semisal al-Quran, padahal kamu sudah berusaha bermati-matian, sudah tentu kamu tidak mampu untuk melakukannya pada masa akan datang kerana ianya memang bukan ukuran menurut kemampuan kamu (makhluk). Justeru, berwaspadalah dengan keingkaran kamu itu dan akuilah bahawa al-Quran ini sememangnya datang daripada Allah SWT. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/58)

Keaslian Naskhah al-Quran Yang Ada Pada Hari Ini
Dalam isu ini, kami melihat ada beberapa noktah penting yang perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat.

Pertama: Al-Quran pada asasnya adalah bacaan dan bukan tulisan. Turunnya wahyu, penyampaiannya, periwayatannya dilakukan secara lisan dan hafazan dan bukannya tulisan. Apa yang dimaksudkan dengan membaca al-Quran pada zaman dahulu adalah membaca daripada hafazan dan tulisan hanyalah wasilah semata-mata. Ini kerana, ayat-ayat al-Quran dijadikan tulisan di atas tulang belulang, kulit haiwan dan lain-lain berdasarkan hafazan daripada memori seorang muqri’. Tradisi periwayatan melalui hafazan dengan isnad yang mutawatir ini diwarisi turun temurun telah terbukti menjamin keaslian al-Quran itu sendiri. Masalah orientalis seperti pada masa kini ialah melihat al-Quran sebagai teks, bukannya sebagai hafazan yang dibaca. Inilah menyebabkan mereka cenderung untuk menerapkan beberapa metodologi yang sama untuk mengkritik Bible iaitu kritikan sejarah, kritikan sumber, kritikan bentuk dan kritikan teks. Natijahnya, mereka melihat al-Quran hanyalah produk sejarah yang merakamkan situasi dan budaya Arab abad ke-7 dan 8 Masihi.[1] Malah seruan orientalis untuk membuat edisi kritis al-Quran berdasarkan manuskrip-manuskrip yang ada terus diulang-ulang oleh segelintir sarjana Muslim hari ini.[2]

Kedua: Al-Qur’an juga dicatat dengan menggunakan tulisan. Para sahabat Nabi SAW ada yang menyimpan catatan ayat-ayat al-Qur’an ini bagi tujuan rujukan peribadi. Pada catatan itu juga terdapat komentar, huraian dan lain-lain penambahan untuk pemahaman sendiri. Maka, tahap kualitinya pasti sudah berbeza. Oleh itu, Saidina Abu Bakar mengambil langkah menubuhkan sebuah kumpulan yang menyemak ayat-ayat al-Qur’an yang ada pada para Sahabat dan disatukan menjadi sebuah suhuf. Suhuf tersebut disimpan oleh Abu Bakar, kemudiannya Umar dan setelah itu Hafsah sebelum diserahkan kepada Uthman. Pada zaman beliau, ada permintaan sejumlah para Sahabat untuk mengumpul semula bentuk bacaan (qiraat) yang ada dan diletakkan standard bacaan bagi mengelakkan kekeliruan. Natijahnya, dikeluarkan beberapa buah buku yang mengandungi qiraat yang bersifat mutawatir yang disepakati periwayatannya daripada Nabi SAW.

Ketiga: Punca utama kekeliruan para orientalis apabila menganggap al-Quran itu ada pelbagai ragam bacaan kerana teksnya yang tidak bertitik dan bertanda pada awalnya. Padahal al-Quran itu dibaca terus daripada hafazan yang diriwayatkan sampai kepada Nabi SAW. Kaedah dalam hal ini adalah tulisan mengikut bacaan yang diriwayatkan Nabi (al-rasmu tabi’un li al-riwayah) dan bukan sebaliknya.

Menyamakan al-Qur’an dengan kitab-kitab agama lain dari sudut pengkanunannya.
Para orientalis sering menimbulkan keraguan pada aspek pengumpulan al-Qur’an. Mereka menyatakan bahawa ia sangat mustahil kerana pengumpulan kitab-kitab suci lain mengambil masa ratusan dan mungkin ribuan tahun.

Sebenarnya, al-Quran melalui proses yang sangat terperinci sebelum dihimpunkan sebagai sebuah buku pada zaman Saidina Abu Bakar. Pada zaman Nabi SAW, ia masih belum dibukukan lagi tetapi selesai ditulis sejak zaman Baginda tanpa disatukan lagi dalam bentuk buku, disamping surah-surahnya belum tersusun.

Menurut Zaid bin Thabit:

قُبِضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَكُنِ الْقُرْآنُ جُمِعَ فِي شَيْءٍ

Maksudnya: “Saat Nabi SAW wafat, al-Qur’an masih belum dihimpun dalam satu bentuk buku.”(Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9/12)

Penyaksian adalah elemen yang penting dalam pengumpulan al-Quran. Ibn Hajar menjelaskan:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ قَالَ لِعُمَرَ وَلِزَيْدٍ اقْعُدَا عَلَى بَابِ الْمَسْجِدِ فَمَنْ جَاءَكُمَا بِشَاهِدَيْنِ عَلَى شَيْءٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَاكْتُبَاهُ

Maksudnya: “Abu Bakar menyatakan kepada Umar dan Zaid, ‘Duduklah di depan pintu gerbang Masjid Nabawi. Jika ada orang membawa kepada anda tentang sepotong ayat daripada Kitabullah dengan dua orang saksi, maka tulislah.”(Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9/14)

Saidina Umar pula berdiri di depan pintu gerbang masjid dan mengumumkan bahawa sesiapa yang memiliki tulisan al-Quran yang dibacakan oleh Nabi SAW, hendaklah datang ke masjid untuk disemak. Begitu juga tindakan Bilal yang menyiarkannya di lorong-lorong jalan di Madinah.

Sejak Nabi SAW berada di Madinah, itulah saat bermulanya gerakan penulisan al-Quran. Banyak di antara para sahabat memiliki ayat-ayat al-Quran yang disalin daripada kulit milik sahabat handai dan jiran tetangga. Dengan hanya membataskan ayat-ayat yang disalin di bawah pengawasan Nabi Muhmmad, Zaid meyakini bahawa bahan-bahan yang beliau telah teliti memiliki kualiti yang sama. Setelah menghafal al-Quran dan menulis banyak semasa duduk dengan Nabi SAW, ingatan dan hafalan Zaid dapat dibandingkan dengan bahan yang sama, bukan dengan yang lainnya. Maka, sikap tegas Abu Bakar, Umar dan Zaid dalam penyuntingan daripada sumber pertama berserta dua saksi ini memberi jaminan akan kualiti dan kesahihan al-Quran yang sudah dikumpulkan. Setelah selesai semakan, al-Quran disimpan dalam perbendaharaan negara di bawah pengawasan Saidina Abu Bakar.(Rujuk Fadhail Al-Quran Wa Ma’alimuhu Wa Adabuhu, hlm. 281)

Fasa pembukuan al-Quran yang bermula daripada penyatuan bahagian-bahagian terpisah ayat al-Qur’an daripada sumber pertama, kemudian disaring daripada sumber-sumber seluruh Madinah dan disusun pula dalam satu jilid besar yang diistilahkan suhuf. 15 tahun kemudian, ketika Khalifah Uthman mengirim naskah al-Quran ke wilayah-wilayah umat Islam dalam bentuk yang lebih kemas sebagai sebuah buku, ketika itulah ia dikenali sebagai mushaf.

Keistimewaan al-Quran yang tidak memerlukan ribuan tahun untuk dikanunkan adalah kerana ianya sudah tersusun lengkap dalam bentuk kasar sejak zaman Nabi SAW. Selain itu, disiplin yang ketat dalam penyusunannya oleh Zaid bin Thabit, Umar dan Abu Bakar dengan hanya menerima penyaksian 2 orang dengan ayat al-Qur’an yang ditulis di hadapan Nabi SAW membuktikan ianya tidak mungkin sama sekali ada perbezaan dengan yang asalnya.

Membandingkan al-Quran dengan kitab-kitab suci lain seperti Veda adalah perbandingan yang tidak boleh diterima logik kerana:

Veda adalah daripada Shruti iaitu sesuatu sumber wahyu yang didengari. Dipercayai bahawa Rishi yang berada pada tingkat Tapasya mendengar veda terus daripada Parabrahma/Parameshwara. Secara ringkasnya, ia tidak dibuat oleh manusia dan tidak mempunyai penulis. Ada empat buku Veda iaitu Rigveda, Samaveda, Yajurveda dan Atharvaveda. Al-Quran pula adalah sepenuhnya wahyu Allah SWT tanpa pembahagian-pembahagian khusus dan dihafal terus oleh Nabi SAW sebelum ditulis oleh penulis wahyu.

Jumlah ketebalan Veda jauh berbeza dengan al-Qur’an. Ini bermakna, tidak mustahil al-Quran boleh disusun dengan tempoh yang lebih singkat berbanding Veda.

Naratif dalam Veda sifatnya pelbagai kerana ianya terbahagi kepada 4 buku; Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan Atharva Veda yang mana setiap satunya ada fokus yang berbeza.

[1] Quranic Studies: Sources and Methods of Scriptural Interpretation

[2] Rujuk Gerd-Ruediger Puin, Observations on Early Qur’an Manuscripts in San’a dalam Stefan Wild (ed.), The Qur’an as Text, 107-111.

Posted on Leave a comment

BAYAN LINNAS SIRI KE-147: YA’JUJ DAN MA’JUJ DAN HAKIKATNYA

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Telah sampai kepada kami persoalan berkenaan dengan Ya’juj dan Ma’juj dan juga banyak sebaran yang terdapat dalam media masa berkenaan dengan isu ini. Makanya, ada yang bertanya untuk pengesahan berdasarkan nas dan juga fakta berkaitan dengan Ya’juj dan Ma’juj.

Oleh kerana, isu ini amat panjang, maka kami cuba mengumpulkan jawapan berkaitan dengannya dengan panjang lebar dengan berasaskan nas dan juga pendapat ulama’. Justeru, kami tajukkan dalam Bayan Linnas pada kali ini dengan Ya’juj dan Ma’juj dan Hakikatnya.

Sebenarnya, ia banyak dibahaskan oleh para ulama’ dalam asyrat al-sa’ah (tanda-tanda Kiamat) dan juga hadis fitan. Justeru, amat penting umat Islam memahami akan perihal Ya’juj dan Ma’juj yang sebenarnya. Semoga dengan pencerahan ini akan memberikan sebuah kefahaman yang jelas.

Perkataan Ya’juj wa Ma’juj dan Pengertiannya

Para ulama’ bahasa telah khilaf berkenaan dengan perkataan “يأجوج ومأجوج”. Apakah kedua-duanya musytaq atau nama ‘ajam?

Pendapat pertama ia adalah isytiqaq. Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab menukilkan pandangan mereka yang isytiqaq kedua-duanya dari Bahasa Arab dari perkataan (أجَّتِ النار) membuat-buat api atau dari perkataan (الماء الأجاج) daripada air yang sangat masin. (Lihat Lisan al-Arab, 2/207)

Perkataan Ya’juj atas wazan (يفعول) dan Ma’juj pula atas wazan (مفعول). Ia seolah-olah api yang menggelegak dan membara. Ini menggambarkan seolah-olah gerakan mereka tiada siapa yang mampu menahannya.

Ini jika kedua nama ini daripada Bahasa Arab. Tetapi sebaliknya, jika daripada Bahasa Ajam, maka tiada musytaq.

Pendapat yang sama yang menganggap musytaq disebut oleh al-Raghib al-Asfahani. (Lihat al-Mufradat, hlm. 10)

Pengarang kitab Asyrat al-Sa’ah berkata: Ya’juj dan Ma’juj berasal dari bahasa Arab. Ya’juj yang berakar kata “ujaj” (أُجَاجٌ) yang berarti mengering kemudian mengeras, dan satu lagi dari kata “al-ajj” (الْأَجُّ) yang artinya ketika musuh datang dengan cepat sekali, sedangkan Ma`juj berasal dari kata “maaja” (مَاجَ) yang berarti goncang.

Menurut Abu Hatim pula, ma’juj berasal dari maaja, iaitu kekacauan. Ma’juj berasal dari mu’juj, yaitu malaja. Namun, menurut pendapat yang sahih, Ya’juj dan Ma’juj bukan isim musytaq, melainkan isim ‘ajam dan laqab (gelaran). Setiap dari akar kata ini memiliki kesesuaian dengan sifat kaum Ya`juj dan Ma`juj tersebut. (Lihat Asyrath al-Sa’ah oleh Yusuf al-Wabil hlm. 365-366)

Pendapat yang rajih adalah ia bukan musytaq tetapi bahasa ‘ajam dan termasuk dalam “ممنوع من الصرف” kerana sifat ‘alamiyah dan ‘ajamnya. Inilah pendapat yang kuat kerana dua qabilah tersebut telah wujud sebelum orang arab.

Abu al-Kalam Azad pula menyatakan bahawa perkataan Ya’juj dan Ma’juj berasal daripada bahasa Ibrani, dan pada asalnya ia adalah bahasa asing. Masyarakat Yunan menyebutnya sebagai Gog dan Magog.

Surah al-Kahfi dan Ya’juj wa Ma’juj

Firman Allah SWT:

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا

Maksudnya: Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”

(Surah al-Kahfi: 94)

Ibn Kathir berkata: Ya’juj dan Ma’juj termasuk dari keturunan Adam AS sebagaimana yang ditegaskan di dalam al-Sahihain. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-Azim, 5/298)

Syeikh al-Maraghi berkata: Apabila mereka tiba di antara dua gunung itu iaitu tempat yang dikatakan oleh para pelancong pada abad ke-15 M sebagai tempat yang unik, beliau dapati di antara dua gunung itu tinggal suatu bangsa manusia yang hampir tidak dapat memahami setiap persoalan yang diajukan kepada mereka kerana tahap pemikiran mereka lemah.

Sekiranya mereka mempunyai kecerdasan yang mantap, sudah tentu mereka memahami setiap persoalan yang diajukan berbanding penggunaan bahasa isyarat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4179)

Hadis Berkenaan Ya’juj wa Ma’juj dan Hakikatnya

Antaranya, hadis daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى يَا آَدَمُ فَيَقُولُ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ فَيَقُولُ أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ قَالَ وَمَا بَعْثُ النَّارِ قَالَ مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَمِئَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللهِ شَدِيدٌ قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ وَأَيُّنَا ذَلِكَ الْوَاحِدُ قَالَ أَبْشِرُوا فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلٌ وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفٌ…

Maksudnya: Allah SWT berfirman, “Wahai Adam!” Kemudian Adam berkata, “Labbaik wa sa’daik! Kebaikan berada di tangan-Mu.” Allah pun berkata, “Pisahkanlah penghuni-penghuni neraka!” Adam berkata, “Siapakah penghuni-penghuni neraka itu?” Allah berkata, “Di setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang.” Itu adalah ketika anak kecil akan beruban, setiap wanita hamil akan keguguran dan kamu melihat manusia seolah-olah mabuk, padahal mereka tidak mabuk. Akan tetapi, azab Allahlah yang sangat pedih.”

Para sahabat pun berkata, “Ya Rasulullah! Siapakah di antara kami satu orang tersebut?” Kemudian Baginda SAW menjawab, “Bergembiralah kamu. Sesungguhnya dari setiap orang daripada kamu, maka dari Ya’juj dan Ma’juj ada seribu orang…”

Riwayat al-Bukhari (3348)

Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa orang kafir selain daripada Ya’juj dan Ma’juj akan masuk ke neraka bersama dengan Ya’juj dan Ma’juj. Selain itu, hadis tersebut juga memberi gambaran kepada kita bahawa banyaknya bilangan Ya’juj dan Ma’juj ini serta sedikitnya daripada kalangan orang yang beriman masuk ke dalam neraka. Hal ini boleh difahami melalui sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi daripada Imran bin Husain bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ذَلِكَ يَوْمٌ يُنَادِي اللَّهُ فِيهِ آدَمَ فَيُنَادِيهِ رَبُّهُ فَيَقُولُ: يَا آدَمُ ابْعَثْ بَعْثَ النَّارِ، فَيَقُولُ: أَيْ رَبِّ، وَمَا بَعْثُ النَّارِ؟ فَيَقُولُ: مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعُ مِائَةٍ وَتِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ إِلَى النَّارِ وَوَاحِدٌ فِي الجَنَّةِ ” فَيَئِسَ القَوْمُ، حَتَّى مَا أَبَدَوْا بِضَاحِكَةٍ، فَلَمَّا رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الَّذِي بِأَصْحَابِهِ قَالَ: «اعْمَلُوا وَأَبْشِرُوا فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ إِنَّكُمْ لَمَعَ خَلِيقَتَيْنِ مَا كَانَتَا مَعَ شَيْءٍ إِلَّا كَثَّرَتَاهُ، يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ، وَمَنْ مَاتَ مِنْ بَنِي آدَمَ وَبَنِي إِبْلِيسَ» قَالَ: فَسُرِّيَ عَنِ القَوْمِ بَعْضُ الَّذِي يَجِدُونَ، فَقَالَ: اعْمَلُوا وَأَبْشِرُوا فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ مَا أَنْتُمْ فِي النَّاسِ إِلَّا كَالشَّامَةِ فِي جَنْبِ البَعِيرِ أَوْ كَالرَّقْمَةِ فِي ذِرَاعِ الدَّابَّةِ

Maksudnya: “Itu adalah hari di mana Allah SWT berfirman kepada Adam: Wahai Adam, utuslah utusan-utusan ke neraka.” Adam bertanya: “Wahai Rab, apakah itu utusan neraka?.” Allah SWT menjawab: “Daripada setiap seribu, sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang ke neraka dan satu sahaja yang akan ke syurga.” Semua yang berada di situ merasa berputus asa sehingga tidak ada yang tertawa lagi.

Apabila Rasulullah SAW melihat keadaan para sahabat, Rasulullah SAW bersabda: “Beramallah dan bergembiralah kerana demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya kamu tidak termasuk di dalam ciptaan Allah yang jumlahnya jauh lebih besar dibandingkan dengan yang lain, Ya’juj dan Ma’juj serta orang yang mati daripada keturunan Adam dan juga keturunan iblis.”

Imran berkata: Mereka pun bergembia dengan sebahagian hal yag mereka temukan. Baginda SAW bersabda: “Beramallah dan bergembiralah kerana demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, tidaklah kamu berada di tengah-tengah manusia melainkan seperti tahi lalat disebelah unta atau seperti tanda di lengan binatang ternakan.”

Riwayat al-Tirmizi (3169). Imam al-Tirmizi
menilai hadis ini sebagai hasan sahih.

Allah SWT berfirman:

حَتَّىٰ إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍ يَنسِلُونَ

Maksudnya: (Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Ya’juj dan Ma’juj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.

(Surah al-Anbiya’: 96)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Iaitu mereka turun seperti helang dari setiap bukit dan dataran yang tinggi. Keadaan ini serupa dengan kaum Genghis Khan[1] – sebagaimana diceritakan oleh pakar sejarah Arab dan Perancis – peperangan mereka ini bermula dari dataran tinggi di Asia Tengah. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4182)

Ayat dalam Surah al-Kahfi (yang telah disebut terdahulu) menceritakan tentang Ya’juj dan Ma’juj pada apa yang telah berlalu dan menceritakan kerosakan yang telah mereka lakukan di atas muka bumi. Manakala ayat dalam Surah al-Anbiya’ (di atas) menceritakan berkenaan Ya’juj dan Ma’juj pada masa akan datang dan tentang keluarnya mereka secara besar-besaran sebelum berlakunya kiamat. (Lihat Ma‘a Qisas al-Sabiqin Fi al-Qur’an, Durus Fi al-Iman wa al-Da‘wah wa al-Jihad oleh Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidiyy, 2/276 – 277)

Bangsa Ya’juj dan Ma’juj akan keluar apabila tibanya akhir zaman dan tatkala hampir berlakunya kiamat. Mereka mendiami di suatu tempat di Barat daya Mongolia. Bangsa ini juga dikenali sebagai bangsa Mongol dan Tartar. Para ulama’ mentarjihkan bahawa Ya’juj dan Ma’juj tinggal dan menetap di kawasan Mongolia di negara China dan Turkestan di negara Rusia.

Mengenai kemunculan mereka ke bumi, terdapat dua pandangan.

Pandangan pertama menyebut bahawa Ya’juj dan Ma’juj muncul dan keluar sekali sahaja iaitu tatkala hampirnya kiamat.
Pandangan kedua menyebut bahawa mereka akan muncul beberapa kali bermula sejak kurun pra sejarah hinggalah pengakhirannya dengan kemunculan besar yang membawa kemusnahan yang dahsyat tatkala kiamat hampir terjadi. (Lihat Ma‘a Qisas al-Sabiqin Fi al-Qur’an, Durus Fi al-Iman wa al-Da‘wah wa al-Jihad, 2/279 – 282)

Ya’juj dan Ma’juj adalah daripada keturunan Adam AS dan boleh kita katakan: Ya’juj adalah satu qabilah dan Ma’juj satu qabilah yang lain. Kedua-duanya daripada golongan manusia dan daripada keturunan Adam AS daripada Yafis bin Nuh. Inilah berdasarkan hadis sahih dan tafsir Ibn Kathir yang menyatakan seperti di atas. Adapun nasab mereka kepada sebahagian hadis yang lain adalah Dha’if. (Lihat Asyrat al-Sa’ah, al-‘Alamat al-Kubra oleh Mahir Ahmad al-Sufi, hlm. 127)

Sifat Ya’juj wa Ma’juj

Berdasarkan apa yang Rasulullah SAW sifatkan, mereka adalah:

Bangsa yang kuat, tubuh yang gagah.
Tiada manusia mampu memerangi mereka.
Mereka mempunyai muka yang lebar.
Kecil matanya.
Bilangan mereka sangat ramai sepertimana hadis riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak berbanding dengan manusia yang hanya satu per sepuluh daripada mereka. Begitu juga pendapat Ibnu Kathir, jumlah mereka cukup ramai.
Imam al-Alusi berpendapat bahawa Ya’juj dan Ma’juj mempunyai umur yang paling panjang.
Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di berkata, mereka adalah manusia dan bukanlah hidup di alam ghaib dan bukan juga seperti jin. (Lihat Fitnatu Dajjal wa Ya’juj wa Ma’juj (terj.) oleh Syeikh Abdul Rahman Nasir al-Sa’di, hlm. 11)
Ya’juj dan Ma’juj dikatakan umat kufur kepada Allah. Ini berdasarkan nas. Adapun mereka akan keluar daripada tempat dua gunung yang besar pada negeri kawasan Atrak, akan menghala ke laut mati sebagaimana hadis. Dan daripada situ menuju ke Baitul Maqdis di Palestin. Masa keluar mereka adalah pada zaman Nabi Isa bin Maryam dan lebih tepat lagi selepas Nabi Isa membunuh Dajjal.

Walaupun begitu, saya nukilkan pendapat Sheikh Abdul Karim Khatib menyatakan bahawa tidaklah diketahui sama ada Ya’juj dan Ma’juj punya perbezaan ketara dari sudut tubuh, mungkin ada kelainan dari segi warna kulit, akhlak dan adat, tapi mungkin dari sudut kekuatan dan membentuk kerajaan.

Adakah Ya’juj dan Ma’juj Sudah Ada?

Ya’juj dan Ma’juj sudah ada dan terus dalam keadaan turun-temurun (beranak pinak). Tidak meninggal satu orang daripada mereka, kecuali lahir seribu orang lebih. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam riwayat Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma:

وَمَا يَمُوتُ الرَّجُلُ مِنْهُمْ حَتَّى يُولَدَ لَهُ مِنْ صُلْبِهِ أَلْفٌ

Maksudnya: Tidak meninggal seorang daripada mereka sehingga lahir daripadanya seribu orang.

.

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak (8526). Riwayat ini disahihkan oleh al-Hakim tetapi ia tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Akan tetapi, sanad hadis ini dha’if kerana perawi bernama Abu Ishaq, seorang mukhtalith dan pendengaran Mu’ammar berkaitan hadith ini daripadanya tidak diketahui sama ada berlaku sebelum atau selepas Abu Ishaq dituduh sebagai mukhtalith. Selain itu, perawi bernama Wahab bin Jabir pula seorang yang maqbul dan tidak memudaratkan tadlis yang dilakukan oleh Abi Ishaq kerana beliau mentasrihkan pendengaran hadith tersebut berdasarkan riwayat dalam al-Mustadrak.

Di antara tanda lain yang menunjukkan bahawa Ya’juj dan Ma’juj ini telah wujud pada waktu ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ يَحْفِرُونَ كُلَّ يَوْمٍ حَتَّى إِذَا كَادُوا يَرَوْنَ شُعَاعَ الشَّمْسِ

Maksudnya: Sesungguhnya Ya’juj dan Ma’juj ini akan menggali setiap hari sehingga mereka ternampak pancaran matahari.

Riwayat Ibnu Majah (4070) dan Ahmad (10632)

Dikatakan bahawa Abu Hurairah mendengar riwayat hadis ini daripada Ka’ab al-Ahbar. Syeikh Syu’aib al-‘Arnauth mengatakan sanad hadith ini adalah sahih sehingga kepada Abu Hurairah tetapi apabila ia dirafa’kan kepada Rasulullah SAW maka terdapat padanya nakarah (keganjilan) ketika beliau mentahqiqkan riwayat ini. (Lihat Sunan Ibnu Majah, 5/207)

Kisah Qurani dan Binaan Tembok oleh Dzu al-Qarnain

Firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا ﴿٨٣﴾ إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا ﴿٨٤﴾ فَأَتْبَعَ سَبَبًا ﴿٨٥﴾ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِي عَيْنٍ حَمِئَةٍ وَوَجَدَ عِندَهَا قَوْمًا ۗ قُلْنَا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِمَّا أَن تُعَذِّبَ وَإِمَّا أَن تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًا ﴿٨٦﴾ قَالَ أَمَّا مَن ظَلَمَ فَسَوْفَ نُعَذِّبُهُ ثُمَّ يُرَدُّ إِلَىٰ رَبِّهِ فَيُعَذِّبُهُ عَذَابًا نُّكْرًا ﴿٨٧﴾ وَأَمَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُ جَزَاءً الْحُسْنَىٰ ۖ وَسَنَقُولُ لَهُ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا ﴿٨٨﴾ ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا ﴿٨٩﴾ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَىٰ قَوْمٍ لَّمْ نَجْعَل لَّهُم مِّن دُونِهَا سِتْرًا ﴿٩٠﴾ كَذَٰلِكَ وَقَدْ أَحَطْنَا بِمَا لَدَيْهِ خُبْرًا ﴿٩١﴾ ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا ﴿٩٢﴾ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ بَيْنَ السَّدَّيْنِ وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا ﴿٩٣﴾ قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا ﴿٩٤﴾ قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا ﴿٩٥﴾ آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انفُخُوا ۖ حَتَّىٰ إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا ﴿٩٦﴾ فَمَا اسْطَاعُوا أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا ﴿٩٧﴾ قَالَ هَـٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّي ۖ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ ۖ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا ﴿٩٨﴾

Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya” : Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).

Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”. Dia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”.

Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.

Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata: “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (daripada hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”;

Sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”.

Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”.

(Surah al-Kahfi: 83-98)

Jenis Kerosakan yang Dilakukan Ya’juj wa Ma’juj

Firman Allah SWT:

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا

Maksudnya: Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”

(Surah al-Kahfi: 94)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT berfirman menceritakan tentang Dzu al-Qarnain. Kemudian ia menempuh jalan yang lain lagi. Dengan kata lain, ia menempuh jalan di belahan timur bumi sehingga sampai di hadapan kedua bukit itu, yakni dua buah gunung, yang di antara keduanya terdapat satu lubang, yang keluar darinya Ya’juj dan Ma’juj menuju ke negeri Turki. Lalu di sana mereka berbuat kerosakan, merosakkan tanaman dan keturunan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/297-298)

Al-Alusi berkata: Iaitu mereka mengganas dengan membunuh, merosakkan dan segala bentuk kerosakan terhadap manusia. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/479)

Al-Maraghi berkata: Sebenarnya Ya’juj dan Ma’juj telah melakukan kezaliman di negeri itu dengan melakukan pembunuhan, kehancuran, perampasan makanan dan segala bentuk kerosakan lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4179)

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa mereka ini melakukan kerosakan dan keganasan dengan menerkam ke atas mangsanya seperti binatang yang merangkak, liar dan ganas. Mereka juga memakan ular, kala dan semua yang bernyawa.

Al-Kalbi berpendapat: “Mereka ini keluar ke bumi pada musim bunga dan memakan semua yang dijumpainya sama ada yang hijau atau yang kering. Mereka juga membawanya masuk ke dalam bumi. Dan sesiapa yang berjumpa dengan mereka nescaya akan diseksa dan dibunuh.” Sebahagian ulama lain pula berpendapat bahawa mereka memakan manusia dan merosakkan apa yang ada di bumi setelah mereka keluar.

Empangan Dzu al-Qarnain

Negeri yang terletak di Timur Laut Hitam didiami oleh suatu golongan yang berbangsa Slaves. Di sana terdapat sebuah tembok yang kukuh berhampiran dengan kota Bab al-Abwab atau Darabat, iaitu di gunung Qawqaf.

Pada abad ini telah terbongkar rahsia tembok itu, bahawa ia bukan tembok yang dibina oleh Dzu al-Qarnain. Tembok ini terletak di belakang Jaijun, di kota Amalah (Balakh) dikenali sebagai Bab al-Hadid, berhampiran dengan kota Tarmidh. Ia telah dibina oleh Taymurlank bersama tenteranya, Syahrukh.

Manakala pengawalnya seorang pakar Jerman, Sild Barjar (Sield Berger). Dalam bukunya, beliau mengatakan tembok itu terbina pada awal abad ke-15 dan pendapatnya juga dipersetujui oleh seorang sejarawan Sepanyol, Kalafiju (Clapego), ketika perjalanannya pada tahun 1403.

Beliau telah diutus oleh raja Kastil (Castelah) di Andalus ke Taymurlank. Beliau menjelaskan tembok kota Bab al-Hadid itu terletak di antara jalan yang menghubungkan Samarqand dengan India. Demikianlah ringkasan daripada petikan pada tahun 1888M.

Sebagaimana yang diketahui, tembok itu sebenarnya wujud dan merupakan mukjizat sebenar daripada al-Quran. Ia merupakan mukjizat yang telah dibuktikan oleh sejarah dan ilmu geografi. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4175-4176)

Di Mana Binaan Tembok Dzu al-Qarnain?

Ulama’ khilaf tentang kedudukan tembok tersebut kepada beberapa pendapat:

Ibn Abbas R.Anhuma dan ahli tafsir al-Qur’an mengatakan bahawa ia (dinding itu) terletak di persimpangan negeri Turki dengan Rusia, berdekatan dengan pergunungan Qauqaz. Pergunungan Qauqaz tingginya adalah sekitar 1000 – 3000 meter. Ia menjadi penghalang yang tebal, teguh dan tinggi menjulang supaya Ya’juj dan Ma’juj ini tidak dapat melubanginya karena ketebalannya dan tidak pula dapat memanjatnya kerana amat tinggi dan licinnya. Dinding ini dikenali sebagai Daryal Gorge/Iberian Gates/Caucasian Gates yang diperbuat daripada besi bercampur tembaga.

Al-Qasimi berkata, yang rajih tembok tersebut berada di kawasan Daghestan, sebahagian daripada Rusia yang terletak di antara bandar Durband dan Khuzar. Ada tempat yang sempit sejak sekian lama yang dikenali dengan nama tembok dan dikenali dengan pintu besi. Ia merupakan gabungan pergunungan Qauqaz. Orang arab memanggilnya dengan Gunung Qaf. Di belakangnya terdapat dua qabilah Ya’juj dan Ma’juj. (Tafsir al-Qasimi, 11/4113-4114).

Dr Abdul Halim Khidir menerangkan sifat pergunungan Qauqaz yang dibina padanya tembok. Ianya cukup tinggi, susah untuk didaki, dan tiada jalan kecuali tempat yang satu sahaja iaitu Mudhayyaq Daryal yang menjadi salah satu tempat laluan sungai. Panjang pergunungan tersebut sekitar 1200 Kilometer dan ia dianggap pergunungan yang paling tinggi di seluruh Eropah. Tidak mungkin seseorang dapat merentasinya kecuali melalui perjalanan Daryal itu. (Lihat Dzu al-Qarnain oleh Yusuf, hlm. 334 yang dinukilkan daripada kitab Mafahim Geografia oleh Khidir, hlm. 296)

Kami berpendapat bahawa dua pendapat di atas adalah sama.

Setengah ulama berpendapat antara pergunungan Afgahanistan dan India.
Dua bukit antaranya dengan Ya’juj wa Ma’juj dan dikenali sebagai Saddani atau Sadfani. Terletak antara Azerbaijan dan Armenia.
Ada pendapat menyebut, ia terletak di belakang Negara Turki. (Lihat al-Raudh al-Mi’tar, hlm. 308-311 dan juga Atlas Al-Hadis al-Nabawi oleh Dr. Shauqi Abu Khalil, hlm. 215)
Kami cenderung kepada pendapat yang pertama dan kedua dan kami merasakan pendapat yang lain sebenarnya hampir sama kecuali yang mengatakan di sempadan India.

Bentuk Binaan Tembok

Seperti yang dirakamkan di dalam al-Quran, firman Allah SWT:

قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا ﴿٩٥﴾ آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انفُخُوا ۖ حَتَّىٰ إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا ﴿٩٦﴾ فَمَا اسْطَاعُوا أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا

Maksudnya: “Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.

(Surah al-Kahfi: 95-97)

Berdasarkan nas di atas, dapatlah difahami bahawa:

Tembok tersebut dibina dengan besi dan juga tembaga.
Pembinaan tersebut dengan membakar ketulan besi sehingga cair bagi membentuk tembok.
Pembinaan tersebut di antara dua pergunungan.
Pembinaan tersebut cukup tinggi sehingga mereka tidak mampu untuk menaikinya.
Ada pendapat mengatakan tingginya 200 hasta.
Ada pendapat menyatakan 800 hasta.
Berkenaan dengan lebarnya, ada pendapat menyatakan 50 hasta.
Justeru, bentuk pembinaan dan juga sifat binaan yang kukuh, besar dan tinggi dikatakan menggunakan alat yang luar biasa dan kemahiran yang amat hebat. Makanya para cendekiawan terdahulu dan muta’akhir mengklasifikasikan pembinaan tersebut termasuk dalam perkara ajaib mengikut zaman tersebut dengan alatan-alatan yang pelik sehingga keluar dari pemikiran akal.

Kami tutup perbincangan ini dengan menukilkan apa yang dinyatakan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Mardawayh, daripada Abi Bakrah al-Syafi bahawa seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku melihat benteng/tembok Ya’juj dan Ma’juj.” Kemudian, Baginda SAW bersabda: “Sifatkannya kepadaku.” Jawab lelaki itu: “Ia seperti ketulan ais yang mempunyai garisan, satu laluan yang hitam dan satu laluan yang merah.” Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya engkau melihatnya.”

Adapun kisah di mana al-Wathiq Billah[2], salah seorang khalifah Abbasiyah menghantar seorang yang bernama Sallam untuk mengkaji berkenaan tembok tersebut, maka kebanyakan ahli sejarah menganggap dha’if. Imam al-Alusi mengatakan: Di sisiku adalah pembohongan yang tidak diterima oleh ayat al-Quran al-Karim. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/482)

Adakah Tembok China[3] Merupakan Tembok Dzu al-Qarnain?

Kami berpendapat bahawa tembok China bukanlah tembok yang dibina oleh Dzu al-Qarnain seperti yang dinaskan oleh al-Quran. Ini kerana:

Bahan buatan berbeza daripada batu dan yang satu lagi daripada besi.
Pembinanya juga berbeza. Yang ini Dzu al-Qarnain dan tembok China oleh ramai maharaja.
Tempat letaknya berbeza. Kenyataan ahli sejarah tidak menunjukkan bahawa tembok tersebut berada di negara China.
Tembok China sebahagiannya telah runtuh sedangkan nas al-Quran menunjukkan tembok Dzu al-Qarnain belum lagi runtuh.
Tembok Dzu al-Qarnain hanya antara dua gunung sedangkan tembok China merentasi banyak tanah tinggi dan pergunungan.
Sekeliling tembok China, ada bangsa cina yang difahami percakapan sedangkan nas menunjukkan golongan Ya’juj dan Ma’juj hampir tidak difahami bahasa mereka.
Tembok China dibina dalam tempoh yang lama sedangkan tidak sepertimana pembinaan tembok Dzu al-Qarnain.

Kaum Ya’juj wa Ma’juj

Mengikut nas al-Quran, Dzu al-Qarnain meneruskan pengembaraannya ke arah yang bertentangan. Iaitu ke arah matahari terbit (timur). Di sana juga beliau bertemu dengan satu kaum yang ganjil dan pelik tinggal di situ. Mengikut tafsir al-Maraghi mereka tidak berpakaian dan tidak mempunyai rumah kediaman. Mereka hanya tinggal di dalam lubang-lubang tanah. Mereka hanya akan keluar pada waktu malam untuk mencari makanan mengikut cara mereka tidak mengikut kebiasaan bangsa yang lain. Ia dalam erti kata lain hidup secara primitif atas kefahaman tiada perlindungan itu disamakan dengan tidak berpakaian dan kediaman.

Ibnu Hajar berkata bahawa dalam kalangan Ya’juj Ma’juj ada yang mahir dalam sektor perkilangan, pemerintahan dan sebagainya, dan anggota kerajaan serta rakyat amat patuh kepada ketua. Ibnu Hajar juga berpendapat bahawa mereka mempunyai pokok-pokok dan tanaman-tanaman dan juga peralatan-peralatan.

Herodotus berpendapat, golongan pertama yang mengetahui kaedah-kaedah pencairan dan pembentukan besi adalah daripada Bangsa Georgian. Mereka adalah golongan etnik yang berasal dari Qauqaz – yang dikategorikan dalam keluarga, bahasa dan budaya etnik kawasan selatan Qauqaz.

Teimuraz Mikeladze dalam artikel yang ditulis oleh Bruno Coppieters, menyatakan bahawa kaum Chalybs, iaitu nenek moyang orang Georgian adalah yang pertama kali mencipta besi. Merekalah memperkenalkan zaman besi dan menyumbang kepada kebudayaan manusia amnya. (Lihat In Defence of the Homeland: Intellectuals and the Georgian-Abkhazian Conflict. Secession, History and the Social Sciences. Edited by Bruno Coppieters)

Dalam memenuhi keperluan bagi pembinaan tembok untuk menghalang serangan kaum Ya’juj dan Ma’juj dari arah utara banjaran Qauqaz, Dzu al-Qarnain menerima sumbangan besar daripada bangsa Georgian, Kolchis dan Armenia. Mereka ialah bangsa yang tinggal berhampiran dan bersebelahan sesama sendiri di kawasan selatan banjaran Qauqaz di mana mereka semua berkemahiran dalam pencairan dan pertukangan besi.

Menurut al-Imam al-Alusi, Ya’juj dan Ma’juj merupakan dua qabilah daripada keturunan Yafis bin Nuh. Inilah yang dijazamkan oleh Wahab bin Munabbih dan dipegang oleh ramai ulama’ muta’akhirin.

Kami himpunkan pendapat tentang Ya’juj dan Ma’juj seperti berikut:

Ya’juj dan Ma’juj sebanyak 22 qabilah sepertimana riwayat Abd al-Razzaq daripada Qatadah.
Ya’juj daripada Turki dan Ma’juj daripada Dailam.
Ya’juj dan Ma’juj daripada Jil.
Imam al-Nawawi dalam Fatawanya menukilkan pendapat bahawa mereka daripada anak Adam selain daripada Hawa’ dan ia adalah sebahagian pendapat jumhur ulama’. Ini kerana Nabi Adam bermimpi dan maninya bercampur dengan tanah lalu terbentuk Ya’juj dan Ma’juj. Inilah yang disebut oleh Ka’ab al-Ahbar. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/478)
Tarjih: Kami berpendapat Ya’juj dan Ma’juj daripada keturunan Adam dan juga daripada Hawa’. Ini adalah pendapat al-Hafiz Ibn Hajar di mana beliau berkata: Tidak warid daripada sebarang salafus soleh hanya kecuali Ka’ab al-Ahbar yang berpendapat ia bukan daripada Hawa’. Pendapat ini disanggah melalui hadis yang marfu’ bahawa mereka (yakni Ya’juj wa Ma’juj) daripada zuriat Nuh dan Nuh semestinya daripada zuriat Adam dan Hawa’. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/478)

Bilakah Tembok Dzu al-Qarnain Akan Pecah?

Firman Allah SWT:

قَالَ هَـٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّي ۖ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ ۖ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا

Maksudnya: (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”.

(Surah al-Kahfi: 98)

Al-Maraghi berkata: “Allah SWT memberi jaminan sekiranya mereka hampir keluar daripada balik tembok itu, maka dengan kekuasaan-Nya Allah SWT menjadikan tanah yang datar, lalu Allah SWT menghapuskan mereka dengan memusnahkan dan menyamaratakannya dengan bumi.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4181)

Syeikh Sya’rawi berkata: Jangan kamu beranggapan bahawa kekuatan tembok tentera itu akan kekal selamanya. Ini merupakan kerja di dunia semata-mata tetapi apabila datang janji Allah dengan Akhirat dan Kiamat, maka semuanya akan dihancurkan Allah dan diratakan di dunia ini. Ini supaya mereka tidak terpedaya dan melampau kepada yang lain selepas daripada mereka hina dan lemah untuk menghadapi Ya’juj dan Ma’juj. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 15/8993)

Syed Qutb berkata: “Ayat ini tidak menyebut satu zaman yang tertentu, dan yang dimaksudkan dengan janji Allah ialah janji-Nya untuk menghancurkan tembok itu yang mungkin telah pun berlaku sejak serangan kaum Tatar yang telah menyerbu dunia dan menghancurkan berbagai-bagai kerajaan.

Di tempat yang lain di dalam Surah al-Anbiya’ (al-Quran menyebut):

حَتَّىٰ إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍ يَنسِلُونَ ﴿٩٦﴾ وَاقْتَرَبَ الْوَعْدُ الْحَقُّ

Maksudnya: “(Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Ya’juj dan Ma’juj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar,..”

(Surah al-Anbiya’: 96-97)

Ayat ini juga tidak menyebut satu zaman yang tertentu, bilakah keluarnya kaum Ya’juj dan Ma’juj itu? Kedekatan janji Allah yang benar itu bererti kedekatan hari Qiamat itu telah pun berlaku di zaman Rasulullah SAW lagi. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 10/384)

Kesudahan Ya’juj dan Ma’juj

Kami kemukakan sebuah hadis yang menyebut berkenaan kesudahan Ya’juj dan Ma’juj. Diriwayatkan dari al-Nawwas Ibn Sam’an dalam hadis yang panjang, di antaranya sebagai berikut:

إِذْ أَوْحَى اللَّهُ إِلَى عِيسَى إِنِّى قَدْ أَخْرَجْتُ عِبَادًا لِى لاَ يَدَانِ لأَحَدٍ بِقِتَالِهِمْ فَحَرِّزْ عِبَادِى إِلَى الطُّورِ. وَيَبْعَثُ اللَّهُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ وَهُمْ مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ فَيَمُرُّ أَوَائِلُهُمْ عَلَى بُحَيْرَةِ طَبَرِيَّةَ فَيَشْرَبُونَ مَا فِيهَا وَيَمُرُّ آخِرُهُمْ فَيَقُولُونَ لَقَدْ كَانَ بِهَذِهِ مَرَّةً مَاءٌ. وَيُحْصَرُ نَبِىُّ اللَّهُ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ حَتَّى يَكُونَ رَأْسُ الثَّوْرِ لأَحَدِهِمْ خَيْرًا مِنْ مِائَةِ دِينَارٍ لأَحَدِكُمُ الْيَوْمَ فَيَرْغَبُ نَبِىُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ فَيُرْسِلُ اللَّهُ عَلَيْهُمُ النَّغَفَ فِى رِقَابِهِمْ فَيُصْبِحُونَ فَرْسَى كَمَوْتِ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ ثُمَّ يَهْبِطُ نَبِىُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى الأَرْضِ فَلاَ يَجِدُونَ فِى الأَرْضِ مَوْضِعَ شِبْرٍ إِلاَّ مَلأَهُ زَهَمُهُمْ وَنَتْنُهُمْ فَيَرْغَبُ نَبِىُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى اللَّهِ فَيُرْسِلُ اللَّهُ طَيْرًا كَأَعْنَاقِ الْبُخْتِ فَتَحْمِلُهُمْ فَتَطْرَحُهُمْ حَيْثُ شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ يُرْسِلُ اللَّهُ مَطَرًا لاَ يَكُنُّ مِنْهُ بَيْتُ مَدَرٍ وَلاَ وَبَرٍ فَيَغْسِلُ الأَرْضَ حَتَّى يَتْرُكَهَا كَالزَّلَفَةِ ثُمَّ يُقَالُ لِلأَرْضِ أَنْبِتِى ثَمَرَتَكِ وَرُدِّى بَرَكَتَكِ.

Maksudnya: Ketika Allah SWT mewahyukan kepada Isa AS: Sesungguhnya aku mengeluarkan hamba-hamba-Ku yang tidak ada kemampuan bagi seorang pun untuk memeranginya. Maka biarkanlah hamba-hamba-Ku menuju Tur.

Lalu Allah SWT keluarkan Ya’juj dan Ma’juj dan mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. Kemudian mereka melewati tasik Tabariyah, dan meminum seluruh air yang ada padanya. Hingga ketika barisan paling belakang mereka sampai di tasik tersebut, mereka berkata: “Sungguh dahulu di sini masih ada airnya.”

Ketika itu terkepunglah Nabi Allah Isa AS dan para sahabatnya. Hingga kepala lembu ketika itu lebih berharga bagi mereka daripada seratus dinar kamu sekarang ini. Maka Nabi Isa dan para sahabatnya bermohon kepada Allah SWT.

Maka Allah SWT pun mengirim sejenis ulat yang muncul di leher mereka (Ya’juj dan Ma’juj). Maka pada pagi harinya, mereka seluruhnya binasa menjadi bangkai-bangkai dalam waktu yang hampir bersamaan.

Kemudian turunlah Nabi Allah Isa dan para sahabatnya (dari gunung Tuur). Maka tidak didapati satu jengkal pun tempat kecuali dipenuhi oleh bangkai dan bau busuk mereka. Maka Nabi Isa AS dan para sahabatnya pun berdoa kepada Allah SWT.

Maka Allah mengirimkan burung-burung yang lehernya seperti unta, membawa bangkai-bangkai mereka dan kemudian dilemparkan di tempat yang Allah kehendaki. Kemudian Allah kirimkan hujan yang tidak menyisakan satu pun rumah mahupun khemah, lalu membasahi bumi hingga menjadi licin. Kemudian dikatakan kepada bumi itu: ‘Tumbuhkanlah buah-buahanmu dan kembalilah berkahmu…”

Riwayat Muslim (7560)

Sebenarnya isu Ya’juj dan Ma’juj adalah isu yang sentiasa menjadi perbualan dan perbincangan para ulama dan juga orang ramai. Ia merupakan salah satu daripada tanda-tanda kiamat yang besar. Oleh itu, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Zainab bin Jahsyim R.Anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا فَزِعًا يَقُولُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدْ اقْتَرَبَ فُتِحَ الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ وَحَلَّقَ بِإِصْبَعِهِ الْإِبْهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا قَالَتْ زَيْنَبُ بِنْتُ جَحْشٍ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ قَالَ نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الْخَبَثُ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW keluar dari rumahnya dalam keadaan amat serius seraya bersabda: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah SWT.

Celakalah orang Arab daripada kejahatan yang hampir tiba. Hari ini telah terbuka sebahagian tembok Ya’juj dan Ma’juj seperti ini. Lantas Nabi mengisyaratkan bulatan dengan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan jari ibu.

Zainab binti Jahsyim berkata: Aku bertanya, hai Rasulullah SAW, adakah kami akan binasa sedangkan di sisi kami ada orang-orang yang soleh. Jawab Baginda SAW: Ya, jika sekiranya banyak kejahatan.”

Riwayat al-Bukhari (3346) dan Muslim (7416)

Isyarat jari daripada Rasulullah SAW bukanlah menunjukkan tempoh yang tertentu. Bahkan ia hanya perumpamaan yang membawa maksud waktu tersebut telah hampir. Jumhur ulama menafsirkan makna “الْخَبَثُ” dengan kefasikan dan perbuatan dosa. Dikatakan juga bahawa ia bermaksud zina dan dikatakan juga anak zina. Akan tetapi, yang zahirnya adalah maksiat keseluruhannya. Tambahan pula, Imam al-Nawawi berkata makna hadis ini adalah apabila maksiat tu berleluasa maka ia boleh mendatangkan kemusnahan secara amnya walaupun pada tempat tersebut terdapat orang-orang yang soleh. (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 3-4/18)

Penutup

Kami tertarik dengan kenyataan Syeikh al-Maraghi yang menyebut: Setiap yang dijanjikan oleh Allah SWT itu pasti terjadi dan tidak perlu diragukan. Allah SWT telah berjanji menghapuskan Genghis Khan dan keturunannya itu. Ini disebabkan mereka (Genghis Khan) mengadakan kerosakan di muka bumi dari timur hingga ke barat dengan melakukan pelbagai kerosakan terhadap negara-negara Islam, dan melenyapkan panji pemerintahan dari Baghdad, seperti yang telah diterangkan dahulu.

Pakar sejarah telah menceritakan, jatuhnya pemerintah Genghis Khan apabila Sultan Khuwarizm daripada Dinasti Saljuk membunuh para utusan dan pedagang dari negerinya dengan merampas hartanya, dan menyerang sekitar negerinya.

Akibatnya, Genghis Khan marah dan menulis surat kepada Sultan, dengan mengatakan, “Mengapa kamu berani membunuh teman dan orangku, serta merampas barang perniagaan dan hartaku? Adakah kamu mahu memulakan atau mengadakan suatu malapetaka dengan mencabar kekuatan yang ada pada kami.

Atau kamu tidak mendengar peringatan daripada nabi kamu: “Hendaklah kamu mencegah setiap orang kaya di kalangan kamu daripada setiap golongan orang lemah?” Atau kamu tidak mendengar tentang petunjuk orang yang telah memberi petujuk dan hidayah kepada kamu, “Tinggalkanlah Turki, tentu mereka tidak akan meninggalkan kamu?”

Mengapa kamu menyakiti jiran tetangga, padahal nabi kamu telah mewasiatkan hal itu. “Ketahuilah, sesungguhnya bencana itu tidak akan berlaku, oleh itu janganlah kamu memulakannya. Ini adalah antara peringatanku kepada kamu, oleh itu dengarkanlah dan perhatikanlah, kemudian hapuskanlah kerosakan sebelum terjadinya pembalasan akibat dendam, sebelum tembok yang menghalang Ya’juj dan Ma’juj runtuh dengan mereka dapat membinasakan kamu, lagipun Allah SWT pasti menolong orang yang dianiaya, kemudian apabila runtuhnya tembok itu, pasti Ya’juj dan Ma’juj keluar dari setiap lubang dan menyerang kamu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4181)

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

[1] Genghis Khan juga dieja Jenghis Khan, Jinghis Khan, Chinghiz Khan, Chinggis Khan, Changaiz Khan, nama asalnya Temüjin, juga dieja Temuchin, (c. 1155/1162/1167 – 18 Ogos 1227) adalah khan Mongol dan ketua ketenteraan yang menyatukan puak Mongol dan kemudiannya mengasaskan Empayar Mongol dengan menakluk sebahagian besar Asia, termasuk utara China (Dinasti Jin), Barat Xia, Asia Tengah, Parsi, dan Mongolia. Penggantinya meluaskan penguasaan Mongol menjadi empayar terluas dalam sejarah manusia. Dia merupakan datuk kepada Kublai Khan yang merupakan pengasas dan pemerintah pertama Dinasti Yuan di China.

Genghis dilahirkan dengan nama Temüjin sekitar antara 1162 dan 1167, anak sulung kepada Yesügei, ketua puak Kiyad (Kiyan). Puak Yesügei dikenali sebagai Borjigin (Borjigid). Dia dinamakan sempena nama ketua musuh yang ditewaskan.

Genghis Khan merupakan ahli politik Mongol dan ketua tentera yang mengasaskan Empayar Mongol, (1206–1368). Dilahirkan sebagai Temüjin, dia menyatukan puak Mongol dan membentuk tentera terkuat berasaskan meritokrasi, untuk menjadi salah seorang pemimpin tentera yang paling berjaya dalam sejarah.

Genghis Khan dikenali dengan imejnya sebagai penakluk yang paling kejam. Dia diraikan sebagai hero di Mongolia, di mana dia dilihat sebagai bapa Negara Mongol. Sebelum menjadi sebagai Khan, Temüjin menyatukan banyak orang Turkik-Mongol persekutuan Asia Tengah, memberikan identiti yang dikongsi kepada apa yang sebelumnya merupakan jajahan puak nomad.

Bermula dengan penaklukan Xia Barat di China Utara dan menyerap melalui pelbagai penaklukan termasuk Empayar Khwarezmid di Parsi, Genghis Khan meletakkan asas bagi empayar yang akan meninggalkan kesan yang kekal dalam sejarah dunia. Beberapa abad pemerintahan Mongol merentangi tanah besar Eurasia, tempoh yang dikenali sesetengah orang sebagai ‘Pax Mongolika’, menukar dengan banyaknya demografi dan geopolitik kawasan ini. Empayar Mongol akhirnya memerintah, atau sekurang-kurangnya menakluk sekejab, sebahagian besar China moden, Mongolia, Russia, Ukraine, Korea, Republik Azerbaijan, Armenia, negara Georgia, Iraq, Iran, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan, Afghanistan, Turkmenistan, Moldova, Kuwait, Poland dan Hungary. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Genghis_Khan )

[2] Pada tahun 842 Kekhalifahan Abbasiyah, al-Watsiq Billah bermimpi bahawa dinding pemisah yang mengurung kedua suku itu hancur. Disebabkan mimpi itulah beliau kemudian menghantar sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Sallam menuju ke gerbang besi tersebut. Ini bagi mengetahui keadaan dinding itu dan lokasinya. Al-Watsiq mengarahkan kepada Sallam untuk mencari maklumat berkenaan tembok itu. Ketika itu bersama Sallam adalah seramai 50 orang. Pengkajian tersebut menelan belanja yang besar. Disebutkan dalam sebuah buku geografi berjudul Nuzhat al-Musytaq oleh al-Idrisi, Al-Watsiq memperuntukkan belanja 5000 dinar untuk pengkajian ini.

Mereka akhirnya mendapati gerbang di antara gunung selebar 137 meter dengan tiang besar di kiri kanan terbuat dari galang-galang besi yang dituang dengan cairan tembaga, tempat digantung daun pintu raksasa. Kisah lain menyebutkan Sallam melihat pergunungan yang terpisah oleh lembah. Luas lembah sekitar 150 meter dan lembah ini ditutup tembok berpintu besi sekitar 50 meter. (Lihat Nuzhat al-Musytaq fi Ikhtiraq al-Afaq oleh al-Syarif al-Idrisi, hlm. 934 -938) Al-Idrisi juga menceritakan bahawa menurut cerita Sallam penduduk di sekitar pergunungan biasanya memukul kunci pintu besi 3 kali dalam sehari. Setelah itu mereka melekatkan telinga pada pintu untuk mendengar reaksi dari dalam pintu. Lalu mereka mendengar gema teriakan dari dalam. Perkara tersebut menunjukkan bahawa di dalam pintu tersebut memang ada makhluk jenis manusia yang dinamakan Ya’juj dan Ma’juj itu.

[3] Tembok Besar China merupakan satu siri kubu China silam yang dibina sekitar 200 SM dan diperkukuh antara akhir abad ke-14 sehingga permulaan abad ke-17, semasa Dinasti Ming, untuk melindungi utara China daripada serangan puak Mongol dan Turkik. Ia didahului oleh beberapa tembok dibina semenjak abad ke-3 SM terhadap perompak puak-puak nomad yang datang dari kawasan yang dikenali hari ini sebagai Mongolia dan Manchuria.

Panjang Tembok Besar China ini ialah kira-kira 6,400 km, daripada Shanhaiguan sehingga ke Teluk Bohai di sebelah timur yang terletak berhampiran dengan sempadan China dan Manchuria, sehingga Lop Nur di sebelah tenggara wilayah Xinjiang. Pada 2009, satu tinjauan arkaeologi baru menggunakan teknologi termaju melaporkan yang panjang keseluruhan tembok, dengan segala cabangnya, menjangkau 8,851.8 km (5,500.3 mi).

Sejarah

Sebuah tembok pertahanan telah dibina di sempadan utara pada dinasti Qin dan dipelihara oleh dinasti-dinasti seterusnya. Lima pembinaan semula utama telah dicatatkan:

208 SM (Dinasti Qin)
Abad ke-1 SM (Dinasti Han)
Abad ke-7 (Dinasti Sui)
1138 – 1198 (Zaman Lima Dinasti dan Sepuluh Negara)
1368 – 1640 (Dari Maharaja Hongwu sehingga Maharaja Wanli pada Dinasti Ming)

Tembok besar pertama telah dibina sewaktu pemerintahan Maharaja Pertama Dinasti Qin. Tembok Besar telah dibina dengan menggabungkan beberapa tembok sedia ada yang dibina pada Zaman Negara-Negara Berperang. Tembok Besar asal ini terletak lebih utara dari Tembok Besar yang masih wujud hari ini, dan hujung timurnya sampai di Korea Utara hari ini. Tetapi sebahagian besar tembok besar pertama ini sudah binasa.

Kerajaan telah mengarahkan para petani membina tembok ini, dan ramai yang mati ketika membinanya.

Tembok Besar yang kita lihat hari ini ialah hasil pembangunan Dinasti Ming. Bahagian dalam tembok berisi tanah yang bercampur dengan batu-batan. Bahagian atasnya dibuat jalan utama untuk pasukan berkuda Negeri China. Ia lebih kukuh dan tahan lebih lama. Fungsi utama tembok ini ialah untuk menahan serangan puak-puak nomad dari utara.

Tembok Besar Dinasti Ming bermula di timur dari Kubu Shanhai, dekat Qinhuangdao di Wilayah Hebei. Ia melalui 9 wilayah, 100 daerah dan bahagian 500 km terakhir di barat sudah musnah sepenuhnya. Hujung di bahagian baratnya hari ini terletak di tempat bersejarah Jiayuguan (kubu Jiayu) di barat laut wilayah Gansu, pada hujung Jalan Sutera. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Tembok_Besar_China )

Posted on Leave a comment

BAYAN LINNAS SIRI 166: POLEMIK FLAT EARTH: SISI PANDANG ISLAM

Laman Utama Artikel Bayan Linnas BAYAN LINNAS SIRI 166: POLEMIK FLAT EARTH: SISI PANDANG ISLAM
BAYAN LINNAS SIRI 166: POLEMIK FLAT EARTH: SISI PANDANG ISLAM
Butiran
Dimuatnaik oleh Mohamad Razif
Diterbitkan: 17 Februari 2019
Bayan Linnas

Mukadimah

Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.

Pertamanya, kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada akhir-akhir ini dihujani dengan isu yang sedang menular dikalangan masyarakat terutamanya disampaikan melalui media-media massa berkenaan isu bumi datar (flat earth). Hasil daripada carian kami menerusi media massa, kami melihat isu ini semakin hari semakin menjadi barah dalam kalangan masyarakat.

Perbahasan ini secara langsung dibincangkan oleh masyarakat awam yang sebahagiannya menyokong dan sebahagiannya pula tidak menyokong berkenaan konsep flat earth ini. Ini membuktikan bahawa manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang terikat dengan keterbatasan. Kefahaman manusia dalam memahami sesuatu perkara seperti alam sekitar adalah berbeza-beza kerana hanya terhad dengan apa yang disahkan oleh pancaindera terutamanya mata kasar. Namun begitu, perkembangan dan evolusi ilmu sains dan teknologi telah banyak membantu manusia dalam memberi penjelasan yang lebih tuntas bagi kehidupan manusia, bahkan ia juga merupakan penyumbang di dalam sumber rujukan agama seperti penetapan hukum ke atas sesuatu perkara

Justeru, Bayan Linnas pada kali ini menjelaskan berkenaan dengan tajuk Polemik Flat Earth: Sisi Pandang Islam. Semoga pencerahan ini dapat meredakan kefahaman kita semua sehingga menemui satu natijah serta titik kebenaran berkenaan hakikat bentuk sebenar bumi.

Kita Beriman, Bumi Adalah Ciptaan Tuhan

Ini merupakan satu perkara yang tidak dapat dinafikan lagi secara badihi (self-evident) bahawa bumi dan seluruh galaksi ini adalah ciptaan Allah SWT. Hal ini berdasarkan banyak nas, antaranya:

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّـهُ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”.

Surah al-Zumar (38)

Syeikh al-Maraghi berkata: Sebenarnya orang musyrik itu mengakui adanya Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Bijaksana, kerana buktinya sangat jelas dan terang. Buktinya, apabila mereka ditanya, “Siapa yang mencipta bumi dan langit,” Dengan spontan mereka menjawab, “Allah yang telah menciptakan.” Sebaliknya mereka tetap menyembah selain daripada Allah SWT dan di sinilah kejahilan serta kedunguan mereka. Padahal mereka memang terkenal bijak dan berfikiran cerdas. Mereka tidak mahu mengikut akal mereka yang sihat tetapi hanya mengikut hawa nafsu mereka.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/5898)

Ciptaan Langit dan Bumi Menjadi Tanda Bagi Yang Berilmu

Allah SWT berfirman:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

Surah Ali Imran (190)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Dimaksudkan dengan orang yang berakal ialah mereka yang menggunakan akal fikiran, cekap mengambil manfaat, mengikut petunjuk dan merenungkan segala kebesaran Allah SWT, mengingatkan tentang kebijaksanaan-Nya, rahmat-Nya, keagungan nikmat-Nya dalam segala keadaannya, sama ada ketika dia berdiri, duduk atau berbaring. Kesimpulannya, sepanjang menjalani kehidupan, mereka tidak pernah lupa kepada Allah SWT, malahan mereka sering mengingati Allah SWT dengan hati yang terang dan menyedari sepenuhnya bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi dirinya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1056)

Kedua-dua ayat al-Qur’an ini memberi kita satu kefahaman bahawa penciptaan bumi dan seisinya adalah untuk manusia berfikir tentang kekuasaan-Nya, rahmat-Nya dan keagungan-Nya. Bumi bukan hanya wujud secara tiba-tiba tanpa pencipta dan tujuannya.

Bumi Sebagai al-Ardh

Ibn Manzur berkata al-ardh (الأَرْض) adalah tempat tinggal manusia dalam bentuk feminin (أُنثى) yang merupakan kata nama kolektif yang merujuk kepada kelas (اسم جنس). (Lihat Lisan al-Arab, 7/11). Di dalam al-Qamus al-Muhit, (m. 820) disebut: Al-Ardh (الأرضُ) adalah feminin (مؤنث), kata nama kolektif yang merujuk kepada kelas (اسم جنس) atau himpunan yang bukan satu. Justeru, tidak dinamakan ardhah (أرْضَةٌ). Perkataan al-Ardh (الأرضُ) ini memberi makna:

Setiap yang bawah seperti di bawah tapak kaki haiwan.
Ia juga memberi makna perkampungan seperti kita katakan ardhu Nuh (أرضُ نُوحٍ) iaitu sebuah perkampungan yang terletak di Bahrain.
Apabila kita sebut seseorang itu dengan Ibnu Ardhin (ابنُ أرْضٍ), ia memberi makna orang asing.
Begitu juga Ibnu Ardhin (ابنُ أرْضٍ), ia memberi maksud tumbuhan seperti bulu yang dimakan.
Kami cenderung untuk berpandangan bahawa kekeliruan golongan penyokong flat earth yang beragama Islam adalah salah faham dalam memaham kalimah al-ardh. Apabila Allah SWT menyebutkan al-ardh, ianya menunjukkan kepada tanah tempat kita berpijak yang kita lihat disekeliling kita. Ianya tidak merujuk kepada planet bumi seperti yang difahami oleh mereka. Hal ini juga bertepatan dengan kaedah memahami al-Qur’an seperti yang digariskan oleh Imam Ibn Kathir dalam mukadimah tafsirnya. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, m. 4-5)

Kondisi Bumi Dalam al-Qur’an

Kami dapati, Allah SWT menyebut tentang bumi dengan beberapa sebutan sebagai sifat atau gambaran. Terdapat beberapa perkataan yang digandingkan dengan bumi seperti “kami hamparkan” (Surah al-Hijr: 19), “hamparan/bentangan (Surah al-Naba’: 6, Surah al-Baqarah: 22, Surah Nuh: 19, Surah al-Nazi’at: 30) dan “dihamparkan”(Surah al-Ghasyiah: 20).

Allah SWT berfirman:

الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً

Maksudnya: Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya);

Surah al-Baqarah (22)

Allah SWT berfirman:

وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ شَيْءٍ مَّوْزُونٍ

Maksudnya: Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya.

Surah al-Hijr (19)

Allah SWT berfirman:

وَهُوَ الَّذِي مَدَّ الْأَرْضَ وَجَعَلَ فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنْهَارًا

Maksudnya: Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir).

Surah al-Ra’d (3)

Allah SWT berfirman:

وَالْأَرْضَ بَعْدَ ذَٰلِكَ دَحَاهَا ﴿٣٠﴾ أَخْرَجَ مِنْهَا مَاءَهَا وَمَرْعَاهَا

Maksudnya: Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya), – Ia mengeluarkan dari bumi itu: airnya dan tumbuh-tumbuhannya;

Surah al-Nazi’at (30-31)

Allah SWT berfirman:

وَإِلَى الْأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ

Maksudnya: Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?

Surah al-Ghasyiyah (20)

Adakah hamparan atau bentangan itu semestinya bermaksud datar dan rata?

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di mentafsirkan (وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا) dengan maksud: Kami luaskan (lapangkan) bumi dengan seluas-luasnya agar manusia dan haiwan-haiwan seluruhnya dapat berjalan sampai ke segenap pelosok dan mencari rezeki-rezekinya, dan dapat tinggal di sudut-sudutnya.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, hlm. 1/347)

Apabila kita meneliti kalimah (دَحَاهَا) pula, para salafussoleh terbahagi kepada dua kumpulan:

Qatadah, al-Suddi dan Sufyan al-Thauri memahaminya dengan maksud menghamparkan.
Ibn ‘Abbas, Ibn Juraij dan Ibn Zaid memahaminya dengan maksud mengeluarkan air dan ternakan hasil bumi. (Lihat al-I’jaz al-‘Ilmi: Ila Aina?, 120-121)
Menurut Syeikh Ibn ‘Asyur ketika mentafsirkan kalimah ( بِسَاطًا) dalam Surah Nuh ayat 19:

Kalimah al-bisat bermaksud apa yang dibentang di atasnya untuk tidur dan duduk daripada pakaian atau permaidani. Perkhabaran bahawa bumi bersifat seperti hamparan adalah merupakan satu penyerupaan dalam ilmu balaghah, iaitu seperti hamparan. Sifat yang menjadi letak kesamaan (wajh syabah) bersesuaian dengan langit di setiap bahagiannya, tidak meletihkan kaki orang yang berjalan dan tidak pula melenguhkan lambung orang yang berbaring. Ia tidak bermaksud Allah menjadikan bentuk bumi ini seperti datar, kerana bentuk bumi ini adalah sfera. Ia ditegaskan dengan sebab yang nyata dalam ayat ini iaitu kalimah untuk kamu (لَكُمُ). Dan ia sesuai dengan sebab yang tidak disebut iaitu supaya kamu supaya kamu dapat berjalan. Kedua-dua sebab ini adalah petunjuk kepada nikmat-nikmat yang diperolehi oleh manusia daripada langit ke atas bumi seperti haiwan ternakan dan tanam-tanaman, sehinggalah kepada nikmat yang khusus iaitu dapat berjalan di bumi

Justeru, perkataan-perkataan yang difahami sebagai datar, rata dan lain-lain yang semakna dengannya tidak boleh difahami hanya dengan literal semata-mata kerana ia mempunyai maksud yang tersendiri.

Pendapat Ulama’ Tafsir Berkenaan Bulatnya Bumi

Para ulama’ telah bersetuju bahawa sifat bumi adalah bulat. Adapun kebulatannya bukanlah dalam erti kata bulat keseluruhan tetapi boleh jadi bulat yang berbentuk sfera atau bulat seperti sebiji telur. Ini semua boleh dilihat menerusi penemuan moden.

Kami nukilkan di sini pendapat beberapa tokoh tafsir berkenaan dengan sifat bulatnya bumi. Antaranya:

Imam Fakhruddin al-Razi berkata:
“Bahawa telah sabit dengan dalil-dalil bahawa bumi adalah sfera, maka bagaimana (seseorang itu masih) boleh mukabarah (degil tidak mahu menerima kebenaran) dalam hal ini?” (Lihat Tafsir Mafatih al-Ghaib, 19/5)

Abu Hayyan al-Andalusi menukilkan kenyataan Abu Abdillah al-Darani yang berkata:
” Telah thabit dengan dalil bahawa bumi adalah bulat (sfera). Dan ini tidak bercanggah dengan firman Allah SWT: (مَدُّ الأَرْضِ) “bumi terbentang”. Ini kerana sesungguhnya bumi adalah suatu jisim yang besar. Dan (sememangnya) bentuk bulat (sfera) jika terlalu besar, maka suatu bahagian daripadanya akan kelihatan seperti rata terhampar”. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/346)

Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti
Semasa mentafsirkan Surah al-Nazi’at ayat 30-31, guru kami Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti menekankan keperluan untuk merujuk kepada pakar astronomi dalam kalangan umat Islam, yang bersepakat menyatakan bahawa bentuk bumi ini adalah bulat atau sfera. (Lihat Adwa’ al-Bayan, 8/425)

Syeikh Ibn ‘Asyur
Berkata Ibn ‘Asyur dalam mentafsirkan kalimah (يُكَوِّرُ) dalam Surah al-Zumar ayat 5:

Al-Takwir bermaksud menggulung dan melingkar. Dikatakan kawwara al-‘Imamah dengan maksud menggulung dan melilit serban. Diumpamakan takwir di sini dengan fenomena pertukaran siang ke malam pada satu bahagian di permukaan bumi, dan sebaliknya, secara bergilir seperti perbuatan melilit serban, iaitu pertukaran malam berlaku ke atas pertukaran malam yang sebelumnya. Ini merupakan satu analogi yang unik dan boleh diterima, bahawa bumi itu ibarat bentuk kepala. Dan dianalogikan pertukaran siang dan malam ke atas bumi itu, ibarat pergerakan lilitan serban ke atas kepala yang bulat. Ini juga merupakan sebahagian daripada mu‘jizat saintifik al-Qur’ān. Kalimat takwir merujuk juga kepada kurrah yang bermaksud sfera, iaitu objek yang berbentuk bulat yang sama tiap penghujungnya. Justeru bumi ini adalah sfera. Fakta ini tidak diketahui oleh bangsa Arab dan manusia, sehinggalah al-Qur’ān memberikan isyarat dengan dua elemen, iaitu pertukaran secara giliran iaitu gelap kepada terang atau malam kepada siang.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir: 23/238)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di
Beliau berkata: Ketahuilah bahawa hamparan yang dimaksudkan (di sini) tidaklah menafikan bulatnya bumi itu bulat (sfera) yang dilingkupi dan dikelilingi oleh pelbagai bintang-bintang dari pelbagai sisi-sisinya sebagaimana yang ditunjukkan oleh dalil naqli, akal, pancaindera dan kesaksian, yakni sebagaimana yang makruf disebutkan kebanyakan manusia khasnya pada zaman ini di mana ramai orang mampu mencapai pelbagai penjuru-penjuru wilayah yang jauh dengan pelbagai alat-alatan yang diberikan oleh Allah yang menjadi sebab untuk mendekatkan yang jauh. Kerana suatu hamparan hanyalah menafikan suatu jisim berbentuk bulat yang kecil, yang mana kalau dibentangkan tidak lagi berbentuk bulat. Adapun bentuk bumi, ianya amat besar dan luas. Maka menjadilah bentuk bumi itu dalam keadaan bulat (sfera) yang terhampar, dan tidak pula menafikan satu sama lain sebagaimana yang diketahui dari pengalaman para ahlinya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 2/211-212)

Pendapat Ulama’ Berkenaan Bentuk Bumi

Selain daripada ulama’ tafsir yang membicarakan isu ini, kami juga mengkaji tokoh-tokoh ulama’ terdahulu dengan pendapat mereka. Antaranya:

Ibnu Hazm al-Zahiri
“Mereka berkata: Sesungguhnya bukti-bukti telah mengesahkan bahawa bumi adalah bulat, sedangkan masyarakat awam mengatakan sebaliknya. Dan jawapan kami (taufiq hanya daripada Allah): Sesungguhnya seorang daripada imam-imam para muslimin yang berkelayakan untuk digelar imam dalam ilmu (semoga Allah meredai mereka) tidak mengingkari bulatnya bumi. Dan tidak dihafaz (tidak dijumpai suatu nas atau nukilan) satu kalimah pun daripada salah seorang daripada mereka dalam menolak perkara tersebut. Bahkan bukti-bukti daripada al-Quran dan Sunnah telah datang membuktikan bulatnya bumi.” (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal, 2/78)

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah
Pendapat bumi bulat telah dinukilkan oleh Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah daripada Abi al-Husain al-Munadi yang berkata: “Ulama’ ijma’ bahawa bumi ini dengan semua pergerakannya sama ada di laut atau di darat seperti bulatan.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 25/195)

Kata beliau lagi dalam kitabnya (5/150): “Ketahuilah bahawasanya mereka (para ulama) telah bersepakat mengatakan bahawa sesungguhnya bumi berbentuk sfera.”

Muhammad ibn Ahmad Syams al-Din al-Maqdisi
“Adapun bumi, maka sesungguhnya ia adalah seperti bola (sfera) yang terletak di tengah falak, sama seperti putih telur yang terletak di dalam telur. (Lihat Ahsanul Taqasim fi Ma’rifah al-Aqalim, 1/58)

Ibn Khardazabah
Abu al-Qasim Ubadililah bin Abdillah yang lebih dikenali dengan nama Ibn Khardazabah berkata: “Sifat bumi adalah bulat seperti kebulatan bola atau guli. Terletak di rongga falak sama seperti putih telur yang terletak di dalam telur.” (Lihat al-Masalik wa al-Mamalik, hlm. 4)

Ahmad bin Yahya bin Fadhl al-‘Umari Syihab al-Din
Beliau menukilkan daripada al-Syarif al-Idrisi dalam muqaddimah kitabnya, Masalik al-Absar fi Mamalik al-Amsar: “Kata al-Syarif (al-Idrisi): walaupun bumi adalah sfera, namun ia tidaklah benar-benar bulat (maksudnya bujur sedikit)”

Abu Bakr bin Yahya al-Suli
Ibn Khallikan menyebut di dalam kitabnya bahawa Abu Bakr bin Yahya al-Suli berkata: “Maka sesungguhnya, bulatnya bentuk bumi adalah perkara yang maklum mengikut kaedah geometri. Ia sejarak 8000 farsakh. Jika kita letakkan hujung tali di atas mana-mana tempat di bumi, dan kita lilitkannya di atas bumi, kita akan akhiri hujung tali yang kedua di tempat yang sama dan akan bertemulah kedua-dua hujung tali tersebut”. (Lihat Wafayat al-A’yan, 4/359)

Abu al-Faraj Ibn al-Jawzi Rahimahullah
Beliau berkata: “Dan begitu juga mereka ijma’ mengatakan bahawa bumi dengan semua jirimnya daripada air beku adalah seperti bulatan (sfera). (Lihat al-Muntazam fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam, 1/184)

Imam Syams al-Din al-Zahabi
Katanya: “Bumi di tengah langit adalah seumpama tembikai dalam rongga tembikai, dan langit meliputi bumi dari segenap arah.” Beliau kemudiannya berkata: “Dan bukti perkara tersebut ialah: jika kita andaikan seorang musafir bermusafir di atas bulatnya bumi, daripada timur ke barat, dan (kemudian) dia meneruskan lagi perjalanan, maka pastilah dia akan berjalan ke arah tempat di mana dia mulakan perjalanan.” (Lihat Mukhtasar al-‘Uluw li’ al-‘Aliy al-Ghaffar oleh al-Zahabi, hlm. 74-76)

Pendapat Mufti Wilayah Persekutuan

Kami tegaskan di sini bahawa sifat bumi adalah bulat seperti perbahasan di atas. Antara hujah yang menunjukkan kebulatan bumi berdasarkan firman Allah SWT:

يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya);

Surah al-Zumar (5)

Syeikh al-Maraghi berkata: Bukankah telah kita ketahui, bahawa bumi ini berbentuk bulat berputar di atas paksinya (orbit). Akibat orbit bumi ini, sudah tentu bahagian bumi yang menghadap matahari mengalami siang. Manakala siang bergerak dari sebelah timur ke barat dengan menuju ke daerah-daerah yang tadinya mengalami malam. Begitulah seterusnya seperti seseorang mengilas kainnya. Begitu juga dengan waktu, iaitu bergerak seperti berlakunya siang tadi. Oleh itu, antara siang dan malam itu saling melengkapi secara gantian. Ayat di atas mengandungi petunjuk, iaitu bumi ini adalah bulat dan kedua-duanya menyatakan bahawa bumi ini berputar di atas paksinya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/5863)

Imam al-Raghib al-Asfahani berkata: Perkataan “ كَوْرُ الشيءِ” adalah melingkari sesuatu, atau penggabungan di antara hujung sesuatu kepada hujung yang lain, seperti “كور العمامة” lingkaran atau gulungan serban (yang melingkari dan membungkus kepala). Dan firman-Nya ” يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ” (Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya), maka ini adalah isyarat akan peredaran matahari pada mathla’nya (pada tempat terbit dan terbenamnya, serta orbit/falak edarannya), dan isyarat pada berkurang atau bertambahnya malam dan siang. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 729)

Imam Ibn Hazm pula berkata: Ayat ini adalah penerangan yang paling jelas (bahawa siang dan malam) digulung sebahagian atas sebahagian yang lain. Diambil daripada (perkataan yang semakna, yakni) menggulung serban, ia menggulung dengan cara dibungkus mengelilinginya. Maka ini adalah nas yang menunjukkan bulatnya bumi dan berputar serta matahari berpusing. (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa wa al-Nihal, 2/78)

Bahkan dinyatakan oleh Abd al-Qahir al-Baghdadi: “Mereka berijma’ bahawa bumi penghujungnya daripada semua penjuru akan bertemu pada titik yang sama.” (Lihat al-Farqu baina al-Firaq, hlm. 318)

Ini disahkan lagi oleh kenyataan angkasawan negara Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang menyatakan “Bumi berbentuk sfera atau lebih tepat, berbentuk geosfera. Tidak seperti bola tetapi seakan-akan bentuk telur.”[1]

Justeru, kami nyatakan bahawa penafian sifat bulatnya bumi adalah pendapat yang tersilap sementelahan lagi ia bertentangan dengan ijma’ yang tidak boleh dibangkangnya.

Penutup

Alhamdulillah, setelah kami menelaah beberapa kitab dalam masa beberapa hari ini, makanya kami mendapati ulama silam telah lama membahaskan isu ini. Bahkan sebahagian mereka telah membincangkan isu ini lebih dari seribu tahun. Justeru kefahaman kami menunjukkan Islam telah memimpin dunia dari sudut keilmuan dan makrifah alam jauh mendahului mana-mana negara yang hebat di muka bumi hatta empayar Parsi, Rom, Mesir Kuno, Ethopia, India, China dan Greek.

Keterbatasan pancaindera kita membuatkan kita tidak mampu untuk memahami ayat ini hanya dengan merujuk teks atau terjemahan semata-mata tanpa melihat tafsiran para ulama’ dan juga fakta-fakta dari sudut ilmu falak dan astronomi. Apatah lagi berhujah semata-mata dengan apa yang kita lihat di hadapan mata kita yang sudah tentu sangat jelas keterbatasannya.

Pancaindera semata-mata tidak akan mampu membantu kita menggapai kebenaran. Lihatlah kritikan al-Ghazali kepada golongan yang hanya berpegang kepada ilmu melalui pancaindera untuk mencapai kebenaran. Beliau mengarahkan untuk melihat bintang-bintang di langit yang mungkin sangat kecil seperti syiling dinar dengan pandangan mata. Tetapi, dengan panduan daripada pengiraan geometri membuktikan bahawa kebenaran tidak cukup dicapai hanya dengan pancaindera dan pada hakikatnya, ia lebih besar daripada bumi. (Lihat al-Munqiz min al-Dhalal, 112-113). Hujah ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa dalam isu ini, kemampuan pancaindera kita adalah terbatas dan amat memerlukan kepada teknologi di sampai panduan utama daripada wahyu.

Kami nukilkan satu pandangan yang tuntas daripada almarhum Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi yang berkata dalam menafsirkan ayat 5 dari Surah al-Zumar:

يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya);

Surah al-Zumar (5)

Syeikh Sya’rawi berkata: Rasulullah SAW mengetahui rahsia kurniaan Quran tidak akan terhenti. Justeru, beliau tidaklah menafsirkan keseluruhannya. Bahkan beliau menjelaskan mengikut kadar kemampuan akal semasa supaya mereka tidak berpaling daripada agama. Kalaulah ayat al-Quran mengungkapkan ketika itu bahawa bumi bersifat bulat dan mengelilingi matahari, adakah seseorang boleh mempercayainya? Sedangkan sehingga sekarang, masih ada yang mengingkarinya. Justeru, kami dapati Quran menggunakan isyarat bahasa yang amat ringan sehinggalah dapat meluaskan akal untuknya lantas Allah berfirman dengan ayat ini. Oleh kerana malam datang di belakang siang hari dan siang datang selepas malam, maka ia menjadi bukti sifat bumi seperti bulatan. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 6/3785)

Marilah sama-sama kita menginsafi untuk meyakini betapa bumi sebagai tempat tinggal manusia hendaklah diiisi dengan acara ibadat, ketaatan dan kepatuhan kepada Allah, pada saat yang sama menjauhkan daripada perdebatan yang boleh membawa pertelingkahan serta perkataan nista sesama sendiri.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah semoga kita sentiasa diberi taufiq dan hidayah serta petunjuk dalam mencari kebenaran dan kami tutup dengan doa ini:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ

Maksudnya: Ya Allah! Tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikanlah kami jalan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami jalan untuk menjauhinya.

Posted on Leave a comment

BAYAN LINNAS SIRI KE-179: METODOLOGI JAWAPAN HUKUM DAN FATWA MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Mukadimah

Alhamdulillah, thumma alhamdulillah, segala puji bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, kaum keluarganya, para sahabatnya dan sekalian umatnya yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Alhamdulillah, dengan izin-Nya, pada kali ini Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dapat menerbitkan Bayan Linnas berkenaan dengan Metodologi Jawapan Hukum dan Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan.

Setelah lebih lima tahun kami menjawab persoalan dan isu-isu yang singgah di meja kami – sama ada yang dihantar melalui email atau media massa, dan secara langsung yang memerlukan kepada jawapan, dan daripada pelajar-pelajar yang sedang memenuhi disertasi mereka atau tesis mereka sama ada di peringkat doktor falsafah, sarjana dan juga sarjana muda – kami dapati mereka sering bertanyakan berkenaan metodologi kami dalam menjawab persoalan yang dikemukakan. Justeru kami melihat sudah sampai masanya pihak kami menerangkannya dengan lebih terperinci berkenaan cara dan uslub dalam menjawab persoalan ini.

Kami tajukkan Bayan Linnas ini dengan Metodologi Jawapan Hukum Dan Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan. Semoga ianya memberi kefahaman dan manfaat kepada kita semua dalam memahami asas pengeluaran hukum dengan sebaik mungkin. Amin.

Saya juga mengambil kesempatan di sini dengan menyatakan bahawa tugas jawapan ini secara langsung digalas oleh saya dan juga barisan penyelidik unit Buhuth PMWP yang diketuai oleh Dr. Mohd Aizam bin Mas’od. Alhamdulillah, unit ini dibantu oleh ramai tenaga muda yang berwibawa di samping jawapan secara ijtima’i dan disahkan serta ditahqiqkan oleh ketua unit Buhuth serta saya sendiri. Pada kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada para penyelidik unit Buhuth.

Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada staf dan rakan-rakan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) yang sentiasa memberi sokongan dan dokongan dalam menjayakan misi dan visi Pejabat Mufti bagi mentahqiqkan keunggulan dan menuju ke arah pencapaian yang lebih terkehadapan. Semoga usaha yang kami lakukan ini mendapat keredaan Ilahi yang membawa kepada kebaikan kepada kita semua dalam memahami metodologi fatwa yang kami usahakan ini. Amin

Definisi Fatwa
Kami mulakannya dengan definisi fatwa pada bahasa dan juga istilah.

Definisi Fatwa Dari Segi Bahasa
Memandangkan perkataan ‘fatwa’ (فَتْوَى) berasal daripada bahasa Arab, sudah tentu rujukan makna dan maksudnya dipetik daripada buku-buku bahasa Arab yang muktabar[1]. Rujukan yang dilakukan oleh penulis mendapati bahawa perkataan fatwa disebut dalam tiga sebutan, iaitu fatwa (فَتْوَى), futya (فُتْيَا), dan futwa (فُتْوَى) di mana jamaknya al-fatawa (الفَتَاوَى) dan al-fatawi (الفَتَاوِي) yang memberi maksud:

Penjelasan tentang sebarang perkara oleh seseorang yang faqih.
Penerangan berkenaan perkara yang mempunyai kemusykilan dan kesamaran tentang hukum oleh seorang faqih.
Memberi jawapan bagi sesuatu permasalahan oleh seorang faqih.
Asal sebutan-sebutan ini adalah dari kalimah ‘fata’ (فَتَى) yang bermaksud seorang pemuda yang sihat, cergas, dan gagah. Hubungkaitnya dengan fatwa pula ialah apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa terhadap perkara yang samar-samar dan tidak jelas, fatwanya itu menjadikan sesuatu hukum tersebut lebih kuat dan kukuh.

Ia juga dikatakan berasal daripada perkataan ‘fata’ iaitu seorang lelaki yang berusia muda. Perkaitannya juga jelas, apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa tentang sesuatu permasalahan bermakna dia memperbaharui hukum tersebut.

Lantaran itu, perkataan futya dan fatwa mempunyai maksud yang sama dengan salah satunya digunakan di tempat yang berbeza. Kedua-duanya juga merupakan kata nama (isim).

Ibn Manzur berkata: “Perkataan fatwa lebih banyak digunakan berbanding futya kerana ia sesuai untuk menjadi masdar iaitu kata nama. Seterusnya, kedua-dua perkataan ini iaitu futya dan fatwa digunakan di tempat al-ifta’ yang bermaksud satu perbuatan menetapkan fatwa tentang sesuatu hukum atau kepentingan hukum yang dikeluarkan oleh seorang faqih.

Definisi Fatwa Dari Segi Istilah
Oleh kerana fatwa dibahaskan di dalam kitab-kitab usul fiqh sebagai salah satu cara mengeluarkan hukum secara mendalam, justeru para ulama telah mendefinisikan fatwa seperti berikut:

Kata Al-Imam al-Qarafi (684 H), fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah sama ada pada yang mesti ataupun harus. (Lihat al-Furuq oleh al-Qarafi, 4/53)
Kata Al-Jurjani (816 H) fatwa adalah: Menjelaskan hukum bagi suatu permasalahan.
Syeikh al-Qunawi al-Hanafi (978 H) mengatakan bahawa fatwa adalah menyebutkan hukum pada perkara yang ditanyakan kepada penyoal. (Lihat Anis al-Fuqaha, 1/319)
Kata al-Imam al-Munawi (1031 H) fatwa ialah jawapan dari seorang mufti. (Lihat al-Ta’arif li al-Munawi, 550)
Kata al-Imam al-Buhuti[2] (1051 H): Fatwa adalah menjelaskan hukum syarak kepada sesiapa yang bertanya tentangnya. (Lihat Syarah Muntaha al-Iradaat oleh Mansur bin Yunus al-Buhuti, 3/483)
Imam al-Syaukani (1250 H) mengatakan bahawa fatwa adalah hasil daripada ijtihad. (Lihat Irsyad al-Fuhul, hlm. 443)
Kata al-Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar (1430 h): Fatwa adalah memberi perkhabaran berkenaan hukum Allah daripada dalil syarak kepada sesiapa yang bertanya tentang perkara tersebut disebabkan berlakunya sesuatu kejadian.
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili (1436 H) mengatakan bahawa fatwa adalah jawapan yang diberikan oleh seorang mufti terhadap sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/2284)
Abdullah Abdul Muhsin al-Turki mendefinisikan fatwa sebagai suatu perkhabaran dari seorang mufti sebagai jawapan kepada soalan atau penjelasan bagi hukum sekalipun ia bukan merupakan soalan yang khas. (Lihat Usul Mazhab al-Imam Ahmad)
Muhammad Husin al-Jizani pula mendefinisikan fatwa sebagai penjelasan hukum syarak. (Lihat Ma’alim Usul al-Fiqh ‘Inda Ahli al-Sunnah)
Muhammad Taqi al-‘Uthmani berkata: “Fatwa ialah jawapan kepada masalah agama. Ini kerana, mufti menjawab semua hukum syara’ yang bersifat amali dan juga permasalahan akidah.” (Lihat Usul al-Ifta’ wa Adabuhu, hlm. 10)
Sementara itu ulama fiqh pula telah mendefinisikan fatwa dengan pelbagai takrif antaranya:

Menerangkan hukum sesuatu permasalahan.
Menjawab segala kemusykilan baik dari sudut syarak atau undang-undang. Kedua takrifan di atas merupakan pendapat mazhab Hanafi.
Mengkhabarkan hukum syarak tanpa sebarang kemestian untuk diikuti. Ini adalah pendapat ulama Malikiah.
Memberikan penjelasan hukum syarak bagi sesuatu permasalahan sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara individu mahupun secara berkumpulan.
Tarjih
Setelah meneliti kesemua takrifan yang dikemukakan, penulis berpendapat bahawa terdapat titik persamaan antara kesemua takrif iaitu: Menjawab, menerangkan, menjelaskan, atau mengkhabarkan hukum.

Namun secara zahirnya para ulama usul dianggap sedikit berbeza pada takrifannya berbanding para ulama fiqh. Walaupun begitu, jika kita amati secara mendalam dengan memahami maksud perkataan ijtihad sudah tentu kita mendapati bahawa wujudnya persamaan.

Walaubagaimanapun, penulis lebih cenderung kepada takrif mazhab Maliki, iaitu mengkhabarkan hukum syarak tanpa sebarang kemestian untuk dipatuhi. Jawapan ini membezakan antara fatwa dengan keputusan mahkamah yang mewajibkan pihak berkenaan mematuhinya apabila telah diputuskan oleh qadhi. Sebab-sebab mengapa takrif ini dipilih adalah:

1. Fatwa bersifat mengkhabarkan hasil ijtihad, bukannya ijtihad itu sendiri. Jawapan yang diberikan oleh seorang mufti kadangkala adalah bersifat peribadi.

2. Perkhabaran hukum Allah SWT kepada yang mesti dan harus sahaja adalah terhad. Ini kerana, ada juga hukum yang melepasi kemestian atau keharusan yang membawa kepada hukum-hukum taklifi. Juga sekiranya dengan maksud mesti atau harus, ia menyamai qada’ pada kemestiannya.

Walaupun penulis cenderung kepada takrifan mazhab Maliki, penulis tetap merasakan bahawa ia perlu kepada sedikit tambahan dan pengubahsuaian pada takrif tersebut. Iaitu fatwa adalah mengkhabarkan hukum bagi permasalahan yang berlaku oleh seorang mufti tanpa mengikat.[3]

Ini kerana, jika fatwa bersifat mengikat, maka sudah pasti ia akan menyamai qada’ atau keputusan mahkamah yang menjadi peraturan ataupun undang-undang. Sedangkan dari segi bahasa yang difahami, maksud fatwa adalah lebih kepada pemberitahuan hukum sahaja.

Kaitan Definisi Fatwa antara Bahasa Dan Istilah
Sudah menjadi tradisi dalam kalangan ulama apabila mengemukakan takrif, maka ia dinyatakan dari sudut bahasa dan istilah. Walaupun begitu, terdapat hubungkait yang amat erat antara kedua-dua takrif tersebut.

Pengertian istilah bagi perkataan fatwa tidak jauh berbeza dengan pengertiannya dari sudut bahasa. Ini kerana ia membawa maksud penjelasan tentang hukum syarak bagi sesuatu permasalahan sebagai jawapan bagi soalan yang ditanya. Pengertian sedemikian menjelaskan bahawa fatwa merupakan suatu tindak balas maklumat atau respon kepada persoalan yang dikemukakan. Dalam kata lain, apabila ada soalan dan kemusykilan, akan ada fatwa sebagai jawapan.

Mengambil pengertian ini, sebahagian ulama melihat fatwa boleh dikeluarkan dalam dua bentuk:

1. Fatwa yang semata-mata bersifat sebagai suatu penjelasan dan keterangan tentang hukum. Bentuk ini biasanya tidak akan melibatkan sebarang aktiviti ijtihad, ia hanya satu usaha menjelaskan hukum seperti penjelasan tentang hukum yang sudah sedia ada dengan jelas di dalam al-Quran mahupun al-Sunnah. Dalam situasi ini, tugas seorang mufti hanyalah sekadar membuat penjelasan dan keterangan tentangnya sahaja. Ia tidak dikira sebagai perbuatan berijtihad kerana ia cuma suatu nukilan hukum tanpa melibatkan sebarang usaha memerah keringat dalam berfikir.

2. Fatwa yang melibatkan perbuatan berijtihad. Biasanya bentuk ini akan berlaku dalam dua keadaan:

a) Fatwa yang disebut sebagai proses tahqiq al-manat yang memberi maksud proses perlaksanaan dan pemakaian illah hukum yang dipetik daripada teks perundangan atau ijma’ kepada kejadian yang baharu. Dalam keadaan ini, mufti sudah mempunyai maklumat mengenai hukum tekstual (asal) yang mempunyai ciri-ciri dan sifat kes yang sama dengan kes baharu yang ditanyakan. Oleh itu, mufti akan berijtihad bagi menentukan adakah persamaan sebab hukum/illah antara hukum yang pernah diputuskan sebagaimana yang sudah sedia dimaklumi dengan persoalan baru yang dikemukakan. Jika wujud persamaan di antara keduanya maka mufti akan membuat penentuan hukum kepada kes baharu mengikut ketentuan hukum yang sedia ada.

b) Situasi yang berlaku dalam keadaan mufti belum mempunyai apa-apa maklumat hukum tentang persoalan yang ditanya sama ada tentang kes yang terdahulu (hukum asal) yang menjadi asas dalam memberikan hukum ataupun kes baru yang sedang dibangkitkan. Dalam keadaan sebegini, sudah tentu kadar kerahan ijtihad daripada pihak mufti akan lebih tinggi kerana ia akan melibatkan usaha penelitian dan penyelidikan terhadap mana-mana sumber yang difikirkan berkaitan dengan persoalan yang dihadapkan kepadanya untuk mengemukakan jawapan fatwa yang tepat. Usaha penyelidikan ini sebenarnya adalah ijtihad dan jawapan yang akan dikemukakan hasil daripada ijtihad adalah merupakan fatwa hukum. (Lihat bahagian Mukadimah dalam kitab Sifat al-Mufti wa al-Mustafti oleh Imam Ahmad bin Hamdan al-Harrani al-Hanbali, hlm. 28-35)

Metodologi Jawapan Kami
Sebaik mungkin, kami akan cuba mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Jawapan Hukum dan Fatwa yang telah digariskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP).

Dalam menjawab persoalan hukum dan fatwa yang diminta kepada kami, makanya kami akan cuba seupaya mungkin membina metodologi kefatwaan berdasarkan kepada jawapan para ulama’ dan mufti terdahulu. Dr Yusuf al-Qaradhawi banyak menyebut dalam kitab-kitabnya berkenaan dengan metodologi ini. Inilah yang diamalkan dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah.

Sebahagian ulama seperti Syeikh Abdullah Bin Bayyah dan juga Syeikh Dr Ali Jumu’ah telah menamakan kitab mereka Sina’ah al-Fatwa yang memberi kupasan berkenaan dengan kefatwaan itu sendiri dari sudut metodologi fatwa dengan lebih terperinci.

Metodologi jawapan fatwa dan hukum yang kami putuskan adalah sepertimana berikut:

Menjelaskan isu persoalan. Ini berdasarkan kaedah:
الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Ini merupakan kaedah yang masyhur dan amat mulia dalam kalangan ulama yang merentasi mazhab. Al-Jurjani berkata: “Tasawwur merupakan menghasilkan gambaran sesuatu pada akal dengan tepat. Bukanlah maksud dengan tasawwur dalam kaedah ini semata-mata gambaran pada zihin pada akal dari sesuatu. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 59) Abu al-Baqa’ al-Kafawi berkata: “Tasawwur kadang-kadang dengan maksud ilmu atau pengetahuan. Dan ia bukanlah berdasarkan kepada tasawwur yang dusta. Justeru, tasawwur yang dimaksudkan dalam kaedah ini ialah tasawwur yang penuh dengan ilmu yang mendalam tentang sesuatu perkara. Ini kerana tasawwur tersebut adalah dhabit pada zihin dan fikir yang selamat daripada kesilapan. (Lihat al-Kulliyyat, hlm. 290)

Ibn Qayyim pernah berkata: Berkenaan dengan mufti yang amat perlu dalam membina kefahaman. Begitu juga dengan hakim ketika mahu berfatwa atau berhukum dengan sebenar, hendaklah mempunyai dua jenis kefahaman.

Pertama: Memahami waqi’, fiqah dengannya dan mampu istinbat ilmu pada hakikat yang berbetulan dengan semua qarinah, tanda dan alamat sehingga benar-benar menguasai ilmu.

Kedua: Memahami yang wajib pada waqi’ iaitu memahami hukum Allah yag dihukum dengannya dalam kitab-Nya atau lisan Rasul-Nya SAW. Siapa yang mendalami serta menekuni syariah dan hukum-hukum yang diputuskan oleh sahabah R.Anhum sudah barang pasti mendapati hal ini, yakni menguasai dua perkara di atas. Sedangkan siapa yang berjalan bukan dengan jalan ini atau manhaj ini nescaya ia akan mengabaikan segala hak orang ramai dengan menisbahkannya kepada syariat yang Allah utus dengannya Rasul-Nya. (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 1/165-166)

Mengemukakan pendapat ulama’ sama ada yang menyokong atau menentang sekiranya ada.
Mengemukakan sumber rujukan dari kitab-kitab.
Mendatangkan dalil-dalil dan hujah mereka sama ada rujukan primer atau sekunder.
Melihat pada wajah istidlal[4] dan istinbat[5].
Merujuk kepada fatwa-fatwa terdahulu dan terkini jika ada.
Mentarjihkan pendapat berdasarkan:
Kekuatan dalil dan hujah.
Mengikut asas dan kaedah mazhab Syafie.
Mendahulukan kemaslahatan yang lebih banyak dan bersifat umum.[6]
Meraikan waqi’ dan realiti kehidupan yang sebenar.
Mengambil kira Maqasid al-Syari’ah.[7]
Inilah Jawapan Kami
Seperti mana yang telah kami jelaskan di atas, dalam jawapan kami akan mengandungi tasawwur yang jelas terhadap persoalan yang diajukan. Kami definisikan persoalan yang berkaitan dan mendatangkan dalil-dalil serta hujah dengan wajah istidlalnya. Kami tarjihkan mengikut maslahat dan apa yang kami nyatakan di atas. Seperkara lagi, kami kemukakan solusi dan penyelesaian kepada persoalan.

Menjauhi Sifat Jumud
Kami menjarakkan daripada sifat jumud[8], tidak realiti dan tidak waqi’i.

Imam al-Qarafi[9] menyebut bahawa:

وَالْجُمُودُ عَلَى الْمَنْقُولَاتِ أَبَدًا ضَلَالٌ فِي الدِّينِ وَجَهْلٌ بِمَقَاصِدِ عُلَمَاءِ الْمُسْلِمِينَ وَالسَّلَفِ الْمَاضِينَ

Maksudnya: “Kejumudan terhadap fatwa-fatwa dan pandangan ulama’ terdahulu adalah satu kesesatan dalam agama dan satu kejahilan terhadap maksud sebenar mereka.” (Rujuk Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, 1/177)

Begitu juga Ibn ‘Abidin al-Syami, faqih mazhab Hanafi pernah berpesan:

ليس للمفتي الجمود على المنقول في كتب ظاهر الرواية من غير مراعاة الزمان وأهله، وألاّ يُضيَّع حقوقًا كثيرة، ويكون ضرره أعظم من نفعه

Maksudnya: “Seorang mufti tidak seharusnya bersikap jumud terhadap nukilan pandangan terdahulu yang terdapat dalam kitab hanya semata-mata berdasarkan zahir riwayat tanpa meraikan suasana zaman dan masyarakat setempat. Jika tidak, banyak hak-hak yang akan diketepikan, dan membawa mudarat yang lebih besar daripada kebaikan.” (Lihat Rasa’il Ibn ‘Abidin, 2/131)

Meraikan Perubahan Zaman Dan Tempat
Keterikatan terhadap pandangan ulama silam sehingga tidak peka kepada tuntutan kontemporari merupakan suatu hal yang harus dijauhi dalam ijtihad dan fatwa. Suasana Malaysia memerlukan satu ijtihad terkini yang meraikan ‘uruf dan suasana setempat. Kata Imam Ibn al-Qayyim:

فَصْلٌ فِي تَغْيِيرِ الْفَتْوَى ، وَاخْتِلَافِهَا بِحَسَبِ تَغَيُّرِ الْأَزْمِنَةِ وَالْأَمْكِنَةِ وَالْأَحْوَالِ وَالنِّيَّاتِ وَالْعَوَائِدِ

Maksudnya: “Fasal pada perubahan fatwa harus disesuaikan dengan perubahan zaman, tempat, keadaan, niat dan adat kebiasaaan.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 1/41)

Dalam perbahasan hukum, ada dua kategori yang berkait rapat dengannya iaitu hukum-hakam yang bersifat tsawabit (yang tetap serta tidak berubah) dan juga al-mutaghayyirat (yang boleh berubah). Ini bererti, ada beberapa hukum yang bersifat tidak boleh berubah meskipun berlakunya perubahan zaman dan tempat dan ada hukum-hakam yang boleh berubah dengan berubahnya masa dan juga tempat.

Terdapat sebuah kaedah feqah yang menyebut:

لا يُنْكَرُ تغيّرُ الأحكامِ بتغيُّرِ الأزمانِ

Maksudnya: Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum disebabkan perubahan masa.

Syeikh Mustafa al-Zarqa’ dalam syarahan beliau ke atas kaedah ini berkata: Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum-hakam dengan berubahnya masa, iaitu berlaku perubahan ‘uruf penduduk sesebuah kawasan serta adat mereka. Sekiranya uruf dan adat membawa kepada suatu hukum, kemudian keduanya tersebut berubah kepada uruf dan adat yang lain, maka hukum juga berubah kepada apa yang menepati uruf dan adat yang baharu itu.

Beliau berkata lagi: Perkara ini (perubahan hukum disebabkan perubahan masa) merupakan suatu perkara yang diperakukan, diterima pakai lagi tsabit. Dan ia merupakan sunnatullah dalam pensyariatan kepada hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya ketika bermulanya penciptaan manusia dan keadaan pada ketika itu dalam suasana kesempitan disebabkan sedikitnya bilangan zuriat, Allah SWT membenarkan pernikahan seorang perempuan dengan adik beradik lelakinya, serta memberikan keluasan dalam beberapa perkara. Hukum tersebut kekal sehinggalah keturunan semakin banyak dan meluas, lalu perkahwinan antara adik beradik kandung diharamkan pada ketika itu. (Lihat Syarah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, oleh Mustafa Al-Zarqa, hlm. 227 – 228)

Imam Al-Syathibi pula berkata: Dan ketahuilah bahawa apa yang telah disebutkan ini dari sudut perbezaan hukum-hakam ketika berbezanya adat bukanlah bermakna pada hakikatnya berlaku perbezaan pada asal khitab (perintah asal dari Allah). Ini kerana syara’ diletakkan bahawa ia bersifat kekal selamanya. Sekiranya diandaikan kekalnya dunia tanpa penamat, maka begitulah taklifannya (kekal). Syara’ tidak memerlukan kepada sebarang penambahan.

Sesungguhnya makna perbezaan (hukum) adalah, sekiranya adat-adat itu berbeza maka kesemua adat kembali kepada asal syara’ yang memberikan hukum padanya. Sepertimana contoh pada isu baligh, sesungguhnya khitab taklif (perintah untuk melakukan sebarang tanggungjawab) terangkat ke atas kanak-kanak selama mana dia belum baligh. Apabila dia sudah baligh, jatuhlah taklifan ke atasnya.

Maka gugurnya taklifan sebelum baligh dan sabitnya taklifan sesudah baligh, bukanlah menunjukkan perbezaan pada khitab (arahan Allah). Sebaliknya perbezaan itu hanyalah pada adat dan keadaan. (Lihat al-Muwafaqat, oleh al-Syathibi, 2/492)

Demikian juga contoh berkaitan topik perbahasan ini kita dapat melihat bahawa Imam al-Syafi’e sendiri mempunyai qaul qadim (pendapat yang lama) dan qaul jadid (pendapat yang baharu) yang terhasil dari perbezaan tempat beliau mengeluarkan pandangan tersebut. Qaul Qadim adalah pendapat yang beliau kemukakan semasa berada di Iraq manakala Qaul Jadid adalah pandangan beliau semasa berada di Mesir.

Di samping itu, kami mengajak ke arah kebaikan dan penyelesaian yang harmoni.

Ghalibnya, pada akhirnya kami berdoa agar diberikan taufiq serta hidayah kepada pengaju dan kita semua agar landasan perjalanan kita benar-benar menepati neraca syariah. Itulah kebiasaan jawapan kami yang kami putuskan. Justeru, bagi sesiapa yang membacanya sudah barang tentu akan mendapat maklumat, makrifah dalil, sumber rujukan, pendapat ulama’, tarjih, solusi, cadangan, dan juga doa. Semoga jawapan seperti ini dapat mengharmonikan dan menenangkan jiwa dan menyelesaikan masalah dalam kemelut kehidupan yang dihadapi oleh seseorang. (Lihat Prosedur Operasi Standard (SOP) Jawapan, Hukum Dan Fatwa, oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP), hlm. 9-11)

Dhawabit (Garis Panduan) Fatwa Dalam Isu Nawazil (Isu Semasa)
Dalam isu seperti ini, kami suka nyatakan bahawa isu nawazil adalah isu yang baharu berlaku pada masa kini yang memerlukan ijtihad serta sudut pandang yang mendalam. Dalam hal ini, amat perlu diraikan suasana dan maslahat. Makanya di sini kami nukilkan beberapa dhawabit fatwa apabila bertembung kejadian baharu. Antaranya:

Meraikan dharurah atau hajat. Hal ini berbetulan dengan kaedah:
الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: Dharurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan.

Sesungguhnya bukan semua darurat mengharuskan semua pengharaman, bahkan wajib yang haram tersebut tetap kekal jika ia lebih besar daripada darurat itu. Dalam ilmu usul mengharuskan yang haram kerana darurat dinamakan dengan rukhsah. Terdapat tiga jenis rukhsah:

Keharusan selama mana darurat berlangsaungan seperti makan bangkai kerana terpaksa dengan sebab kelaparan yang melampau sekadar untuk menolak binasa.
Perbuatan kekal sebagai haram tetapi rukhsah syarak diberikan ke atasnya kerana daruarat seperti menghilangkan atau meluputkan harta orang Islam. Tetapi ia dikenakan dhaman atau gantian.
Darurat yang tidak harus dalam apa jua keadaan seperti membunuh orang Islam jika tanpa sebarang paksaan yang kuat. (Lihat Qa’idah: al-Darurat Tubih al-Mahzurat, oleh Abu al-Kalam Syafiq al-Qasimi al-Mazahiri)
Meraikan maslahat[10]
Istihsan[11]
Meraikan uruf[12] dan adat
Mengangkat sebarang bentuk mafsadah dan mudarat
Meraikan kerosakan zaman
Meraikan perubahan semasa
Beriltizam dengan neraca keadilan[13]
Memberi hak kepada yang berhak
Menolak sebarang bentuk perbalahan dan permusuhan
Semua kaedah ini diterangkan dengan panjang lebar dan berserta contoh oleh guru kami Fadhilah al-Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam bukunya Mausu’ah al-Fiqh al-Islami al-Mu’asirah, (5/498-530)

Mufti Hendaklah Faqih[14]
Kami mulakan dengan takrif feqah di sisi Imam Abu Hanifah:

مَعْرِفَةُ النَّفْسِ مَالَهَا وَمَا عَلَيْهَا

Iaitu mengenali jiwa, apa yang menjadi haknya dan apa yang menjadi kewajiban ke atasnya. (Lihat Mir’at al-Usul, 1/44 dan al-Taudih li Matni al-Tanqih, 1/10)

Guru kami, Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Ma’rifah dengan maksud mendapat dan memahami segala juzuk berdasarkan dalil. Dikehendaki dengannya di sini adalah sebabnya. Iaitu penguasaan yang terhasil daripada pengamatan pelbagai kaedah secara berulangan. (Lihat Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/29)

Amat perlu kefaqihan bagi seorang mufti dalam memberi fatwa dan memutuskan hukum. Hal ini seperti kata Ibn al-Solah:

ثم إن هذا الفقيه لا يكون إلا فقيه النفس؛ لأن تصوير المسائل على وجهها ثم نقلَ أحكامها بعد استتمام تصوير جلياتها وخفياتها لا يقوم به إلا فقيهُ النفس ذو حظٍ من الفقه

Maksudnya: Kemudian, sesungguhnya seorang yang faqih tidak dianggap faqih kecuali memahami dengan sebenar-benarnya. Ini kerana gambaran sesuatu masalah mengikut wajahnya yang sebenar, kemudian dinukilkan segala hukumnya selepas mendapatkan kesempurnaan gambaran sesuatu itu sama ada yang zahir atau yang tersembunyi, tidak mampu dilakukan kecuali orang yang benar-benar faqih dan mempunyai jiwa kefaqihan. (Lihat Adab al-Mufti wa al-Mustafti, 1/37)

Memahami Fiqh al-Ma’alat (فقه المآلات)
Dari sudut bahasa, perkataan al-Ma’al (المآل) membawa erti tempat kembali, tuju, matlamat dan kesudahan.

Pada istilahnya, al-Ma’al (المآل) membawa erti, “kesudahan dan natijah sesuatu perbuatan, sama ada baik atau buruk dan sama ada diniatkan oleh orang yang melakukan perbuatan atau tidak.” (Lihat Mabda’ I`tibar al-Ma’al fi al-Bahth al-Fiqhi oleh Yusuf bin `Abd Allah, hlm. 36 dan 38)

Fiqh al-Ma’alat adalah memikirkan kesan, implikasi atau natijah yang bakal terhasil di sebalik sesuatu keputusan yang diambil sama ada fatwa atau hukum.

Dalil Fiqh al-Ma’alat
Memikirkan kesan atau natijah dari sesuatu pendekatan dakwah bukanlah sesuatu yang diada-adakan oleh para ulama zaman ini. Terdapat banyak contoh bahawa Al-Quran memberi perhatian pada Fiqh al-Ma’alat dalam pendekatan dakwah. Antaranya:

Firman Allah SWT:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

(Surah Ali Imran: 159)

Al-Maraghi berkata: Aku turut mengajarkan kepadamu sesuatu yang mendatangkan manfaat dan membawa kesan yang baik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/988)

Nas ini menunjukkan bahawa Allah SWT menyuruh Nabi SAW agar menggunakan pendekatan lembut terhadap para pengikutnya dan bukan pendekatan kasar kerana pendekatan kasar tidak mendatangkan apa-apa kebaikan melainkan menyebabkan para pengikutnya menjauhkan diri mereka daripadanya. Ini merupakan contoh yang jelas bagaimana Al-Quran memberikan perhatian kepada kesan atau natijah di sebalik sesuatu pendekatan dakwah.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ فَيَسُبُّوا اللَّـهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.

(Surah al-An’am: 108)

Ibn Kathir berkata: Allah melarang rasul-Nya dan orang yang beriman memaki tuhan kaum Musyrikin meskipun adanya maslahat. Ini kerana, ia boleh menimbulkan mafsadah yang jauh lebih besar kerana mereka pasti memaki Tuhan orang yang beriman padahal Allah adalah Rabb yang tiada Tuhan selain Dia. (Lihat terjemahan Tafsir Ibn Kathir, 3/272)

Nabi SAW bersabda:

لَا يَتَحَدَّثُ النَّاسُ أَنَّ مُحَمَّدًا يَقْتُلُ أَصْحَابَهُ

Maksudnya: Supaya orang ramai tidak bercakap bahawa Muhammad membunuh sahabatnya sendiri.

Riwayat al-Bukhari (4905)

Hadis ini berkenaan isu orang-orang munafik yang dikepalai oleh Abdullah bin Ubai yang berkata: Demi Allah jika kami pulang ke kota Madinah, nescaya kami akan mengeluarkan orang yang mulia daripadanya orang-orang yang hina. Ini menyebabkan Saidina Umar meminta izin Rasulullah SAW untuk memenggal leher si munafik ini. Lantas Nabi SAW bersabda dengan hadis ini.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Ini kerana dibimbangi boleh membawa sebab pembunuhan kepada fitnah atau menjadikan orang ramai takut untuk memeluk Islam. (Lihat Fath al-Bari, 3/392)

Isu berkenaan dengan iktibar berdasarkan matlamat dan kesudahan hukum Syarak itu yang membawa kepada mafsadah atau maslahat merupakan bab yang sukar, yang bukan semua mampu untuk mencapainya. Ia memerlukan pengamatan yang mendalam, penuh dengan ilmu dan tahqiq. Benarlah kata al-Syatibi:

وَهُوَ مَجَالٌ لِلْمُجْتَهِدِ صَعْبُ الْمَوْرِدِ، إِلَّا أَنَّهُ عَذْبُ الْمَذَاقِ مَحْمُودُ الْغَبِّ، جَارٍ عَلَى مَقَاصِدِ الشَّرِيعَةِ.

Maksudnya: Ia merupakan bidang yang sukar bagi sesorang mujtahid menguasainya, kecuali rasanya cukup manis dan terpuji akibat dan kesudahannya, berjalan dengan seiring maqasid syariah. (Lihat al-Muwafaqat, 5/178)

Semoga perhatian kita terhadap Fiqh al-Ma’alat akan menatijahkan kematangan fiqh dan fatwa yang dikemukakan kepada khalayak masyarakat agar ia seiring dengan neraca Syariah.

Mendahulukan Fiqh al-Awlawiyyat

Dr. Yusuf al-Qaradawi mendefinisikan Fiqh al-Awlawiyyat sebagai: “Menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak mengkemudiankan apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang berhak dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar atau membesarkan perkara yang kecil.” (Lihat Fi Fiqh al-Awlawiyyat, hlm. 9)

Antara dalilnya adalah, firman Allah SWT:

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ ﴿١٩﴾ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّـهِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ

Maksudnya: Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. (19) (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Surah al-Taubah (19-20)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: Iman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang iman. Yang paling afdhalnya ialah ucapan “لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ” dan paling rendahnya membuang apa yang menyakitkan dari jalan. Dan malu sebahagian daripada iman.

Riwayat Muslim (162)

Justeru tidak pelik para sahabat sentiasa bersungguh-sungguh bertanyakan Rasulullah SAW untuk mengetahui amalan yang paling baik agar mereka mendekatkan diri kepada Allah. Ini dapat kita kesani dalam banyak hadis berkenaan dengan seafdhal, sebaik-baik, semulia-mulia dan ibarat yang seumpamanya.

Dalam mengeluarkan hukum, meraikan Fiqh Awlawiyyat adalah amat penting. Contohnya membantu mereka yang dalam bencana adalah aula daripada melakukan umrah sunat secara berulang kali.

Sebagai contoh, kami kemukakan beberapa awlawiyyat, antaranya:

Mengutamakan yang wajib daripada yang sunat.
Mengutamakan maslahat ammah (عامة) daripada maslahat khassah (خاصة).
Mengutamakan kualiti dari kuantiti.
Mengutamakan kefahaman daripada semata-mata menghafaz.
Mengutamakan maqasid daripada yang zahir.
Mengutamakan ijtihad daripada taqlid.
Mengutamakan ilmu daripada amal kerana ilmu syarat bagi setiap amal.
Untuk mengetahui Fiqh al-Awlawiyyat, ramai tokoh-tokoh ulama masa kini sudah mengkaryakan buku seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi dan lain-lain.

Kami tegaskan sekali lagi, bahawa mempelajari Fiqh al-Awlawiyyat merupakan asas dan penyempurnaan serta huraian dengan apa yang diseru oleh golongan musleh yang terkenal.

Merujuk Kepada Ahli Ikhtisas
Kami maksudkan dengan ahli ikhtisas adalah mereka yang berkepakaran dan mempunyai ilmu serta pengalaman yang mendalam dalam bidang masing-masing. Kami asaskan pertimbangan ini berdasarkan kepada nas Ilahi:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.

(Surah al-Nahl: 43)

Ayat ini bermaksud, tanyalah wahai orang Quraisy ulama berkenaan Taurat dan Injil, nescaya mereka mengkhabarkan kamu bahawa semua para Nabi adalah manusia jika sekiranya kamu tidak mengetahui. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/118)

Walaupun begitu, kaedah menyebut:

الْعِبْرَة بِعُمُومِ اللَّفْظِ لا بِخُصُوصِ السَّبَبِ

Maksudnya: “Ibrah diambil dari keumuman lafaz, bukan dari kekhususan sebab”

Merujuk kepada ahli ikhtisas sebahagian daripada keperluan untuk memahami sesuatu itu dengan gambaran yang jelas dan tepat. Kami nukilkan di sini pandangan ulama dan tokoh berkenaan dengan keperluan merujuk kepada ahli ikhtisas.

Jelasnya, Islam menyuruh agar merujuk kepada pakar dan ahli bidang-bidang tertentu jika kita tidak mengetahui dan memahaminya. Kaedah ini merupakan pedoman hidup sepanjang masa sebagaimana jika seseorang atau salah seorang daripada ahli anggota keluarganya menderita sakit, maka dia akan merujuk dan memohon bantuan orang yang pakar dalam bidang perubatan iaitu doktor. Begitu juga dalam perkara agama, ia mesti merujuk dan meminta nasihat serta petunjuk daripada pakar-pakar yang menguasai ilmu agama iaitu para ulama’. (Lihat al-Fatwa: Baina al-Indibat wa al-Tasayyub (terjemahan) oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm 45)

Kami juga mengamalkan seperti ini dengan merujuk kepada pakar-pakar untuk mendapat sebuah jawapan dengan lebih tuntas dan baik seperti merujuk kepada pakar perubatan, pakar kewangan dan lain-lain ketika mahu memutuskan satu-satu fatwa dan hukum. Inilah amalan kami.

Kerangka Jawapan
Susunan jawapan kami biasanya seperti berikut:

Memulakan dengan pujian kepada Allah SWT dan selawat kepada Nabi SAW.
Menjelaskan tasawwur umum berkenaan permasalahan yang ditanya agar jawapan menepati persoalan. Kami cuba memahami dengan sebaik mungkin berdasarkan kaedah: “فَهْمُ السُّؤَالِ نِصْفُ الإِجَابَةِ”.
Mendefinisikan perkataan yang penting dalam persoalan untuk dijawab.
Mendatangkan dalil daripada para ulama’ dan istinbatnya.
Menyatakan nas al-Quran serta merujuk tafsiran ayat kepada tafsir yang muktabar seperti Tafsir al-Quran al-‘Azim oleh Ibn Kathir, Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran oleh al-Qurtubi, Tafsir Ahkam al-Quran oleh Ibn al-‘Arabi dan lain-lain.
Menyatakan nas hadis, mentakhrijkannya atau menentukan darjat hadis sama ada Sahih atau Dha’if.
Begitu juga merujuk kepada syurrah al-hadis untuk memahami maksud dan mafhum sebenar hadis. Kami nisbahkan seperti riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi dan lain-lain dengan meletakkan nombor hadis.
Menyebut ijma’ jika ada. Begitu juga qiyas jika bersamaan ‘illah satu-satu hukum. Rujukan utama adalah seperti kitab al-Ijma’ oleh Ibn al-Munzir, Mausu’ah al-Ijma’ fi al-Fiqh al-Islami oleh Syeikh Sa’di Abu Jaib dan lain-lain.
Menyebut kaedah-kaedah usul jika ada.
Menyebut kaedah-kaedah fiqh jika boleh menjadi asas sesuatu hukum.
Menisbahkan rujukan kepada pengarang asalnya dan nama kitabnya, bahkan disebut jilid dan halaman.
Menisbahkan pendapat kepada imam atau mazhab. Sekalipun berlaku khilaf[15], kami tetap meraikannya.
Menyebut fatwa-fatwa ulama’ terdahulu dan masa kini jika ada. Juga melihat hujah dan ‘illah satu-satu hukum yang dikemukakan. Antara ulama’ yang mengkaryakan kitab fatwa yang masyhur seperti Ibnu Hajar al-Haitami, Imam al-Nawawi, Syeikh Dr. al-Syarbasi dalam Yas’alunaka fi al-Din wa al-Hayah dan ramai lagi.
Menyebut juga keputusan fatwa oleh badan berautoriti seperti Majma’ Fiqh Islami, Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dan lain-lain.

Kesimpulan atau Penutup Jawapan
Kebiasaannya, selesai kami mengemukakan jawapan dengan dalil dan hujah, kami akan mentarjihkannya seperti yang telah kami nyatakan pandangan berdasarkan kepada asbab tarjih.

Kadang-kadang kami gunakan kalimah ‘kami cenderung’. Ini kerana mengikut amalan salafus soleh menggunakan kalimah “أنا أميل” dengan maksud “aku cenderung.” Ini menunjukkan mereka mencermati isu dan hipotesis serta ilmu yang mereka perolehi setakat itu. Justeru jawapan tidaklah dalam bentuk confirm atau yakin seratus peratus kerana kebiasaannya isu ini adalah bersifat khilafiyyah dengan pelbagai pandangan fuqaha’ yang wajib kita hormati.

Kadang-kadang kami menggunakan kalimah ‘pendapat yang rajih di sisi kami’ apabila adanya asbab al-tarjih yang kuat berdasarkan kaedah usul. Ini juga sering kali kami gunakan di mana dalam Bahasa Arab, sebahagian ulama’ menggunakan dengan perkataan “والذي يترجّح عندي”. Inilah metodologi kami ketika mentarjihkannya. Adakalanya juga, kami memilih pendapat yang kami yakin sebagai arjah (أرجح), maka kami katakan ‘pendapat yang rajih di sisi kami’.

Begitu juga kami kemukakan dalam kesimpulan nasihat kami dan pandangan kami berkenaan isu yang ditanya ini. Kami akan mengemukakan solusi atau cadangan jika perlu dan sesuai. Ghalibnya kami akhiri dengan doa dan harapan, semoga ia menatijahkan kebaikan dalam kehidupan kita.

Kenapa Sebahagian Soalan Tidak Dijawab oleh SS Mufti?
Syeikh Hasanain Makhluf[16], mantan Mufti al-Diyar al-Misriyyah berkata: “Jawatan fatwa pada awal Islam merupakan jawatan yang paling mulia dalam agama dan bahayanya juga paling besar. Ia menjadi pengganti Rasulullah SAW dalam menyampaikan ilmu daripada Tuhannya, menyebarkan agamanya yang diredhai Allah terhadap hamba-Nya. Ia termasuk memberi pengajaran, memberi tunjuk ajar, kefahaman dan memahamkan makna al-Quran dan al-Sunnah di samping berijtihad untuk istinbat hukum daripadanya. (Lihat Fatwa dan Mufti: Hukum, Etika dan Sejarah, hlm. 95)

Dalam kebanyakan hal dan persoalan yang dikemukakan, kebiasaannya kami akan menjawabnya. Ini kerana ia adalah amanah dan tanggungjawab kami kepada khalayak masyarakat untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan.

Kami memahami apa yang dinaskan dalam hadis Nabi SAW:

مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أُلْجِمَ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Siapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia sembunyikannya, nescaya dikekang mulutnya dengan kekangan dari api neraka pada hari Kiamat.

Riwayat Ahmad (7571) dan al-Tabarani
dalam al-Mu’jam al-Awsat (3529)

Kami menginsafi betapa perlunya sebuah jawapan kepada khalayak masyarakat tatkala ia dikemukakan dan menjadi perbahasan umum. Akan tetapi kami juga meletakkan di hadapan kami hadis Rasulullah SAW:

أَجْرَؤُكُمْ عَلَى الْفُتْيَا أَجْرَؤُكُمْ عَلَى النَّارِ

Maksudnya: Seberani kamu dalam memberi fatwa dengan pantas adalah seberani kamu untuk dihumban ke dalam neraka.

Riwayat al-Darimi (159)

Antara beberapa sebab kami tidak menjawab sebahagian soalan yang dikemukakan adalah:

Tidak mengetahui jawapan
Kami tidak malu untuk menyatakan, “Kami tidak tahu”. Ini adalah jawapan ramai para ulama’ seperti Imam Malik, Imam al-Syafi’ie, Imam Ahmad bahkan kami sendiri mendengar jawapan daripada guru kami kisah Syeikh al-‘Allamah Muhammad al-Amin al-Syanqiti[17], pengarang Adhwa’ al-Bayan.

Al-Sya’bi[18] suatu ketika ditanya tentang satu masalah, lantas dijawabnya: “Aku tidak tahu.” Seorang lain bertanya kepadanya: “Apakah tuan tidak merasa malu berkata ‘aku tidak tahu’, walhal tuan adalah seorang ulama besar di Iraq?” Jawab al-Sya’bi: “Para malaikat juga tidak merasa malu ketika berkata seperti firman Allah SWT:

قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

(Surah al-Baqarah: 32)

Telah dijawab Mufti lain
Sudah ada keterangan daripada ashab al-Samahah mufti-mufti yang menjawab persoalan yang dibangkitkan. Jadi, saya menghormati jawapan mereka yang sangat baik.

Telah diambil tindakan
Masalah tersebut telah dibincangkan secara umum dan terbuka dan telah diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berautoriti.

Persoalan yang ada kepentingan tertentu
Persoalan itu bertujuan tertentu dan membawa kepada kepentingan seseorang atau pihak tertentu sahaja. Maka, saya lebih selesa mengelakkannya.

Boleh menjatuhkan maruah seseorang
Kami cuba mengelakkan jika ditanya dan disebut nama ulama’ dan pendapatnya untuk bandingan. Ini kerana jika kami menjawab dengan jawapan berlainan, boleh jadi mentajrihkannya (menjatuhkan maruahnya). Inilah biasa yang dinasihatkan guru kami Fadhilah al-Syeikh al-‘Allamah Dr. Muhammad Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti.

Membaca kisah para sahabat seperti yang di nukilkan daripada Abd al-Rahman Bin Abi Laila Rahimahullah[19] yang berkata: “Aku pernah bertemu dengan seratus orang Sahabat Rasulullah SAW dan ditanya kepada mereka beberapa persoalan. Tidak seorang pun daripada mereka itu apabila ditanya kecuali dia mengharapkan agar saudara dan sahabatnya menjawab baginya.”

Kadang-kadang kami melihat ada lagi yang lebih berautoriti menjawab dan mengambil tindakan daripada kami seperti dalam isu pencemaran bauksit di Kuantan, isu yang berkaitan dengan keamanan negara, dasar luar negara, perlembagaan dan perundangan. Sejujurnya kami kurang arif dalam bab ini.
Isu Mahkamah
Sering kali kami ditanya berkenaan dengan cerai jatuh atau tidak? Makanya selepas kami memberi ulasan dan jawapan, pada ghalibnya kami sarankan supaya rujuk kepada mahkamah kerana kaedah yang masyhur:

حُكْمُ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ

Maksudnya: Keputusan pemerintah mengangkat khilaf (percanggahan)”.

Sudah ada badan rasmi yang dilantik dan berautoriti
Sebagai contoh, Majlis Penasihat Bank Negara dan juga bank-bank yang lain termasuk juga Majlis Penasihat Takaful. Ini kerana mereka telah dilantik oleh badan berautoriti atau pemerintah untuk menyelesaikan isu berkaitan ekonomi menurut perspektif Islam. Justeru mereka akan bertungkus lumus serta mendalam isu dan permasalahan yang berlaku untuk diselesaikan berdasarkan Fiqh Mu’amalat.

Tidak menjawab isu sebagai jawapan
Kadang-kadang adanya orang yang jahil yang suka berdebat dan mengemukakan masalah dengan pelbagai tujuan. Pada keadaan seperti ini, lebih baik kita mengucapkan salam sahaja dari berbincang pelbagai isu yang mungkin tidak menemui natijah. Justeru benarlah firman Allah SWT:

وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا

Maksudnya: dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;

(Surah al-Furqan: 63)

Ibn Kathir berkata: Apabila orang jahil membodohkan mereka dengan keburukan, janganlah mereka melawan dengan cara yang sama bahkan maafkanlah dan jangan berkata kecuali yang baik. (Lihat Tafsir Al-Quran al-Azim, 6/122)

Al-Maraghi berkata: Apabila mereka disapa oleh orang jahil dengan perkataan buruk, mereka tidak pula membalasnya dengan perkataan buruk malahan memaafkan dengan bercakap yang baik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/4895)

Justeru kaedah seperti “تَرْكُ الْجَوَابِ عَلَى الْجَاهِلِ جَوَابٌ” dengan maksud meninggalkan jawapan terhadap orang jahil adalah sebagai jawapan. Sudah semestinya ia adalah amat menepati.

Justeru, dengan insaf, kami teringat satu kisah yang dinisbahkan kepada Imam kita, al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafie (w.204H) apabila beliau pernah ditanya berkenaan suatu perkara, tetapi beliau diam sejenak dan berfikir. Dikatakan kepadanya: “Tidakkah kau mahu menjawab?” Balas beliau Rahimahullah:

حَتَّى أَدْرِيَ الْفَضْلُ فِي سُكُوتِي أَوْ فِي الْجَوَابِ

Maksudnya: “Sehingga aku tahu kebaikan itu pada diamnya aku atau pada jawapanku.” (Lihat Sifat al-Fatwa oleh Ibn Hamdan, hlm.10)

Isunya di sini bukan semata-mata hendak menjawab, tetapi jawapan sudah ada kecuali pertimbangan Imam Syafi’e mana lebih afdhal, menjawab atau tidak menjawab.

Kategori Artikel Jawapan
Kami bahagi dan kategorikan jawapan kepada nama-nama berikut dengan maksud dan matlamat yang tertentu dan tersendiri. Antaranya:

Bayan Linnas
bl.png

Bayan Linnas merupakan kenyataan umum kepada masyarakat awam berhubung isu nasional. Ia bersifat umum dan menjawab dengan tafsil dan panjang lebar serta lengkap di samping menyatakan pada kebanyakannya kenyataan Mufti Wilayah. Kadang-kadang pendapat Bayan Linnas ini dibincangkan dalam Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan buah pandangan serta keputusan hukum dan fatwa untuk khalayak masyarakat.

Irsyad al-Fatwa
if.png

Irsyad Fatwa merupakan kenyataan berhubung isu-isu agama bersifat semasa. Ia biasanya dijawab dalam bentuk yang terperinci dan lengkap. Irsyad Fatwa ini dikemukakan yang lebih berkisar kepada hukum-hukum agama dalam kehidupan harian kita yang diajukan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Biasanya ia bersifat mendalam dan pembahasan hukumnya diperincikan dengan merujuk kepada sejumlah pendapat ulama’.

Al-Kafi Li al-Fatawi
alkafi (1).png

Al-Kafi Li al-Fatawi merupakan kupasan dan jawapan ringkas persoalan-persoalan agama di media sosial oleh netizen dan orang ramai. Sekurang-kurangnya dalam jawapan ini adanya nas dan dalil serta rujukan untuk khalayak masyarakat meyakini dan boleh berpegang kepada keputusan yang dikemukakan.

Irsyad al-Hadis
dwedweew.jpg

Irsyad al-Hadith merupakan kupasan berkenaan fiqh dan faedah hadith selain ilmu hadith dirayah. Ini kerana seringkali isu hadis ditanya kepada kami untuk mendapat sebuah kepastian dan jawapan sama ada sahih atau tidak. Makanya kami akan memberi jawapan berdasarkan matan dan jalur sanadnya serta perbincangan rijal hadith dan mengemukakan pendapat para huffaz dan muhaddithin berkenaan satu-satu hadith.

Irsyad Usul al-Fiqh
IUF.png

Irsyad Usul Fiqh merupakan kupasan permasalahan Usul al-Fiqh. Ia merangkumi kefahaman berkenaan dengan kaedah usul dan juga maksud daripada sumber hukum seperti ijma’ dan qiyas. Begitu juga kami sekalikan berkenaan dengan Qawa’id Fiqhiyyah di mana sebahagian kaedah-kaedah itu kami syarahkannya.

Tahqiq al-Masail
tahqiqmasail.png

Apabila jawapan dikemukakan perlu kepada semakan semula dan tahqiq kerana ada pelbagai pendapat yang kuat, maka kami membuat kajian secara terperinci dan mentarjihkan semula dan mentahqiqkannya. Hal ini berlaku disebabkan terdapatnya pertikaian sehingga kami akan mengkaji dan muzakarah semula dengan mengemukakan pelbagai fakta dan dalil agar jawapan yang dikemukakan dilandasi dengan nas serta pemahaman nas dengan lebih tuntas.

Al-Afkar
alafkar.png

Ia merupakan tabyin kepada sebarang bentuk permasalahan, kekeliruan dan salah faham dengan mengambil tema “solusi akidah dan pemikiran semasa.” Hal ini termasuklah berkenaan dengan permasalahan akidah dan muqaranah adyan yang mungkin berlaku salah faham, yang memerlukan jawapan dengan tuntas. Dalam hal ini, kami asaskan kepada dalil-dalil naqli dan aqli serta sumber sejarah untuk menjawab persoalan tersebut.

Tashih al-Mafahim
qweqweqe.jpg

Artikel-artikel dalam siri ini memfokuskan jawapan dan penyelesaian kepada isu pelampau dan ekstremisme agama. Ia juga menjelaskan banyak kekeliruan dan salah tanggapan berkenaan dengan ajaran agama Islam yang sebenar. Terkadang-kadang tafsiran mereka lebih kepada zahir al–nas tanpa melihat kepada maksud dan maqasid serta kehendak nas itu sendiri yang diaplikasikan dalam masyarakat.

Qalam Mufti
qalammufti.png

Ia merupakan tulisan atau surat mufti kepada seseorang atau kumpulan dalam bentuk nasihat dengan mengemukakan buah pandangan mengikut neraca syariah. Begitu juga ulasan mufti secara santai dalam isu semasa dalam mendekati khalayak masyarakat. Di samping itu, Qalam Mufti merupakan jawapan ringkas serta pandangan mufti berkenaan dengan isu-isu semasa atau peristiwa yang berlaku sebagai respon awal.

Penutup
Sesungguhnya fatwa daripada jawatan Islam yang mulia, amalan agama yang tinggi, tanggungjawab syarak yang besar yang dipikul oleh seseorang untuk menyampaikan daripada Rabb al-Alamin. Justeru hendaklah ia mempunyai keamanahan yang tinggi oleh syarak dan agamanya, memelihara amanah dan benar dalam penyampaian.

Oleh itu, jika sekiranya dusta dan bohong kepada manusia oleh seseorang dianggap keji dan hina, maka bagaimana pula pendustaan terhadap Allah? Jika khianat dan buruknya amanah terhadap harta manusia dan hak mereka dianggap sebagai satu jenayah yang perlu dihukum perlakuannya, maka bagaimana pula mereka yang khianat dan buruk amanah berkenaan dengan hukum Syarak dan hukum agama.

Jika sekiranya sesorang merasa bangga sebagai mewakili ketua negara dan menjadi utusannya, begitu juga menjawat jawatan memelihara kerahsiaannya, menyampaikan buah fikirannya. Maka bagaimana pula seseorang yang mengganti Rabb al-‘Alamin untuk mengkhabarkan hukum-hakamnya dan menyebarkan agama-Nya? Dan sebenarnya pekerjaan mufti menyamai amalan para Nabi da Rasul kerana para ulama’ adalah pewaris para Nabi. (Lihat Mausu’ah Qadhaya Mu’asirah oleh guru kami, Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili, 5/363)

Benarlah kata Imam Nawawi: “Ketahuilah bahawa bab ini amat penting kerana umumnya keberhajatan kepadanya.” Kemudian beliau berkata: “Ketahuilah bahawa fatwa merupakan besar bahayanya, hebat tugasannya, banyak kemuliaannya kerana mufti adalah pewaris para Nabi dan melaksanakan fardhu kifayah. Akan tetapi dia terdedah kepada kesilapan. Dengan sebab itulah mereka (para ulama’) berpendapat, mufti adalah penanda tangan bagi pihak Allah SWT.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/67)

Justeru, kami berdoa kepada Allah supaya taklif ini dapat dilaksanakan dengan seupaya mungkin dalam mengisi keperluan untuk menjelaskan kepada khalayak masyarakat berkenaan dengan kefatwaan dan hukum-hakam benar-benar menepati neraca syariah. Jika sekiranya kami silap dan kami mendapati ada lagi pendapat yang lebih tepat dan bernas, makanya kami katakan dengan istighfar seperti yang diajar: “أسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيمَ الَّذِي لاَ إلَهَ إلاَّ هُوَ، الحَيُّ القَيُّومُ، وَأتُوبُ إلَيهِ” dan kami akan menarik kenyataan tersebut berdasarkan nasihat Saidina Umar:

الرُّجُوعُ إلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِل

Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

Kami sentiasa memohon kepada Allah semoga kami diberi taufiq dan hidayah untuk melihat kebenaran itu sebagai kebenaran seperti yang diajar dalam doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

Semoga manhaj yang kami nyatakan ini dalam Bayan Linnas dengan tajuk Metodologi Jawapan Mufti Wilayah Berkenaan Hukum Dan Fatwa Semasa dapat difahami dengan sebaik mungkin oleh khalayak masyarakat. Amin.

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
27 Ramadhan 1440 Hijrah bersamaan 1 Jun 2019

Nota Hujung:

[1] Rujuk dalam Lisan al-Arab oleh Ibn al-Manzur, Mu’jam Maqayis al-Lughah oleh Ibn Faris, Mukhtar al-Sihah, Taj al-‘Arus dan lain-lain lagi.

[2] Al-Buhut merupakan sebuah perkampungan yang terletak di Mesir. Justeru nisbah kepadanya dikenali dengan al-Buhuti.

[3] Di Malaysia, apabila sesuatu fatwa itu digazetkan maka ia bersifat mengikat serta menjadi undang-undang yang sah dan boleh dihujahkan di mahkamah.

[4] Istidlal (الاستدلال‎) adalah daya usaha mencari dalil atau sumber hukum bagi sesuatu masalah yang belum diketahui hukumnya.

[5] Istinbat (الإستنباط) adalah daya usaha membuat keputusan hukum syarak berdasarkan dalil-dalil al-Quran, al-Sunnah, Ijma’, Qiyas dan masadir hukum yang lain.

[6] Imam al-Syatibi berkata: “Kami dapati Syarak menghendaki kemaslahatan hamba sedangkan hukum-hukum adat berjalan mengikut keadaannya. Kadang-kadang kami dapati satu masalah ditegah dalam satu keadaan kerana tiada padanya maslahat, sedangkan pada keadaan lain jika terdapat maslahat, maka hukumnya harus.” (Lihat al-Muwafaqat, 2/306)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Perubahan hukum kadang-kadang disebabkan perubahan ijtihad atau uruf atau maslahat manusia.” (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami al-Mu’asir, 4/466)

[7] Ramai tokoh ulama sama ada dahulu atau mutakhir mengemukakan definisi Maqasid al-Syariah, antaranya:

‘Ilal al-Fasi: Maqasid al-Syari’ah ialah matlamat Syari’ah dan rahsia yang diletakkan oleh Syarak pada setiap hukum. (Lihat Maqasid al-Syari’ah, ‘Ilal al-Fasi, hlm.3)
Al-Husni: Matlamat yang memberikan kebaikan yang dikehendaki oleh hukum-hukum Syarak dan makna yang dikehendaki oleh pemerintah Allah. (Lihat Nazariyyat al-Maqasid,119)
Al-Raisuni: Maqasid al-Syari’ah ialah matlamat yang ditentukan oleh Syarak untuk dilaksanakan bagi memberi kebaikan hambanya. (Lihat Nazariyyat al-Maqasid Inda Imam al-Shatibi, hlm. 19)
Dr Yusof al-‘Alim: Maqasid al-Syari’ah adalah kebaikan yang kembali kepada hamba di dunia dan di akhirat sama ada dengan cara mendatangkan kebaikan atau menjauhkan kemudharatan. (Lihat al-Maqasid al-Ammah Li al-Syari’ah al-Islamiyah, hlm. 97)
Wahbah al-Zuhaili antara lain menyebut bahawa Maqasid al-Syari’ah bererti nilai-nilai dan sasaran yang tersirat dalam segenap atau bahagian terbesar dari hukum-hukumnya. Nilai-nilai dan sasaran-sasaran itu dipandang sebagai tujuan dan rahsia Syari’ah, yang ditetapkan oleh al-Syari’ dalam setiap ketentuan hukum. (Lihat Usul Fiqh Islami, 2/748)
Dr Muhammad al-Zuhaili: Maqasid al-Syari’ah ialah matlamat, objektif dan natijah serta makna yang didatangkan dengannya Syari’ah serta disabitkannya dalam hukum. Justeru luaslah pentahqikannya, sehingga sampai kepadanya setiap zaman dan tempat. (Lihat Qadhaya Islamiyyah Mu’asirah).
Husain bin Abd Aziz Rahimahullah berkata: “Maksud Maqasid al-Syari’ah ialah objektif-objektif yang kerananya hukum-hakam disyariatkan, untuk merealisasikan objektif tersebut. Ia merupakan kebaikan-kebaikan yang kembali kepada para hamba, untuk membahagikan mereka di dunia dan di akhirat, samada objektif itu dicapai melalui penghasilan manfaat ataupun penolakan mudarat atau bahaya. Sebahagian ulamak menghuraikan Maqasid dengan katanya: “Maqasid am pensyariatan ialah maksud-maksud dan hikmah yang dipelihara oleh Pensyariat (iaitu Allah SWT) dalam semua atau sebahagian besar keadaan pensyariatan. Takrif yang lebih baik daripada itu ialah kata-kata sebahagian ulamak: Maqasid ialah hikmah-hikmah yang dikehendaki oleh Pensyariat dalam semua keadaan pensyariatan.” (Lihat al-Usul al-‘Ammah wal Qawaid al-Jami’ah lil Fatawa al-Syar’iyyah, 1/19)
Tarjih

Penulis tertarik dengan pendapat tokoh silam seperti pendapat Imam al-Syatibi yang menyebut: “Tujuan akhir hukum tersebut adalah satu, iaitu maslahah atau kebaikan dan kesejahteraan umat manusia. Dilihat dari sudut tujuan Tuhan, Maqasid al-Syari’ah mengandungi empat aspek, iaitu: Tujuan awal Syari’ menetapkan bahawa Syari’ah ialah kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat.

Penetapan Syari’ah sebagai sesuatu yang mesti difahami.
Penetapan Syari’ah sebagai hukum taklifi yang harus dilaksanakan.
Penetapan Syari’ah bertujuan membawa manusia ke bawah lindungan hukum. (Lihat Islamic Legal Philosophy oleh Muhammad Khalid Mas’ud, hlm 223)
Begitu juga pendapat Ibn Taimiyyah: “Sesiapa yang mengingkari kandungan Syari’ah iaitu kebaikan dan keindahan kepada hamba di dunia dan akhirat, sesungguhnya dia adalah seorang yang salah dan sesat.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 8/179)

Secara pastinya, Syari’ah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah merangkumi kesemua kebaikan dunia dan akhirat.

Dr. Yusuf Ahmad al-Badwi, telah menganalisa daripada pelbagai karya Ibn Taimiyyah dan menyimpulkan maksud maqasid al-Syari’ah pada pandangan beliau sebagaimana berikut:

Akibat, matlamat kebaikan, objektif, hikmah, kehendak, keperluan, dan kecantikan adalah mempunyai maksud yang sama.
Allah menpunyai matlamat dan kehendak dalam penciptaan dan perintah-Nya.
Matlamat-matlamat tersebut merupakan kehendak Allah dalam syarak-Nya dan disukai oleh Allah kerana ia mencerminkan perhambaan kepada-Nya dan Dia memberikan kebaikan kepada hamba-Nya di dunia dan akhirat. (Lihat Maqasid al-Syari’ah ‘Inda Ibn Taimiyyah, oleh Yusuf Ahmad Muhammad Al-Badwi, hlm. 52)
Berdasarkan kepada definisi-definisi di atas, dapat difahami bahawa setiap peraturan ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada manusia atau menjauhkan mereka daripada keburukan. Maqasid Syari’ah ialah perkara yang memberikan kebaikan kepada manusia yang menjadi objektif Syari’ah dalam peraturan ajaran Islam. Oleh itu, maslahah dan kebaikan adalah perkataan yang sama maksud objektif Syari’ah. (Lihat Maqasid al-Syari’ah ‘Inda Ibn Taimiyyah, oleh Yusuf Ahmad Muhammad Al-Badwi, hlm. 52)

[8] Perkataan jumud (جمود) merupakan masdar daripada perkataan Jamada (جَمَدَ) – Yajmudu (يَجْمُدُ) – Jamdan (جَمْدًا) /Jumudan (جُمُوْدًا), yang bermaksud “beku”. Perkataan jumud sinonim dengan sesuatu yang pada awalnya cair lalu kemudian membeku seperti ais. Dalam Kamus al-Azhar, hlm 72. Dikatakan bahwa pembekuan air menjadi ais dinamakan “Jamadun/Jamdun”. Sehingga, boleh dikatakan bahawa yang dimaksud dengan kata jumud adalah keadaan yang awalnya mengalir seperti air kemudian menjadi beku seperti ais. Disinilah kata jumud diertikan sebagai “hilangnya masa keemasan Islam menjadi masa kekosongan sepenuhnya”.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat, “sebab terjadinya yang membawa umat Islam kepada kemunduran (kolot, tidak maju) adalah akibat daripada umat Islam adanya pemahaman jumud”. Perkataan Jumud itu sendiri mengandungi erti suatu keadaan di mana selalu membeku, statik, dan tidak ada perubahan. Oleh sebab itu yang dipengaruhi fahaman jumud maka umat Islam tidak menghendaki perubahan dan umat Islam terlena dalam berpegang teguh pada tradisi.

[9] Imam al-Qarafi, nama lengkapnya adalah Imam Syihabuddin al-Qarafi al-Misri, seorang ulama mazhab Maliki pada abad ketujuh (w. 684 H/1254 M). Antara karyanya ialah al-Furuq al-Dzakhirah, al-‘Iqdu al-Manzum fi al-Khusus wa al-Umum, al-Qawa’id, Kitab al-Khasais fi al-Nahwi, al-Umniyyah fi Idrak al-Niyyah, al-Ihkam fi Tamyiz al-Fatawa wa al-Ahkam dan lain-lain.

[10] Definisi maslahah seperti yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullah adalah: ‘’Mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan’’. (Lihat Al-Mustashfa oleh Al-Ghazali, 2/139) Justeru, sebarang bentuk perkara yang memberikan kebaikan dan manfaat kepada manusia serta dalam masa yang sama ia menghalang keburukan dan kemudaratan ke atas diri mereka, adalah dianggap sebagai maslahah.

Secara asasnya, tidak terdapat maslahah yang hakiki melainkan ia pasti selari dan bertepatan dengan nas. Jika dilihat dari kenyataan para ulama usul, seperti Imam al-Syathibi, beliau mengatakan: ‘’Syariah itu tidaklah dijadikan melainkan untuk mentahkikkan maslahah-maslahah kepada para hamba masa kini dan akan datang, serta menolak sebarang mafsadah kepada mereka’’. (Lihat al-Muwafaqat oleh al-Syathibi, 2/6)

Sultan al-Ulama’ al-Izz Ibn Abd al-Salam berkata: ‘’Agama keseluruhannya adalah maslahah sama ada menolak mafsadah ataupun mendatangkan maslahah’’. (Lihat Qawa’id al-Ahkam oleh al-Izz Abd al-Salam, 1/9)

Maslahah terbahagi kepada tiga:

Al-Masalih al-Mu’tabarah (maslahah-maslahah yang diambil kira): Iaitu apa yang Allah mengambil kira akannya dari sudut Dia mensyariatkan baginya hukum-hakam yang sampai kepadanya. Seperti menjaga agama, nyawa, akal, maruah, dan juga harta.
Al-Masalih al-Mulghah (maslahah yang tidak diambil kira): Sekalipun pada perkara-perkara ini dianggap ada kemaslahatan, akan tetapi syarak tidak mengambil kiranya sebagai maslahah. Contohnya hak samarata di antara anak lelaki dan anak perempuan di dalam mirath. Demikian juga maslahah yang akan diperoleh daripada orang yang melakukan riba dalam menambahkan hartanya. Ini juga maslahah yang tidak diambil kira oleh syarak lalu ianya dibatalkan.
Al-Masalih al-Mursalah: Maslahah-maslahah ini tidak terdapat nas yang menyatakan ke atasnya. Tidak pula terdapat nas-nas yang menbantahnya. Makai a dianggap sebagai maslahah mursalah di sisi usuliyyuun.
[11] Kata al-Faqih al-Halwani al-Hanafi, Istihsan adalah: Meninggalkan qiyas kerana satu dalil yang lebih kuat darinya daripada Kitab ataupun Sunnah atau Ijmak.

Imam al-Karkhi al-Hanafi pula mendefinisikannya sebagai: Seseorang berpatah semula daripada menghukum sesuatu permasalahan seperti yang dia hukumkan pada permasalahan yang hampir sama kepada hukum yang berbeza dengannya. Ini disebabkan ada suatu bentuk yang membawa perbezaan antaranya dengan yang awal.

Keautoritian al-Istihsan: Majoriti para ulama menggunapakai al-istihsan dan menganggapnya sebagai satu dalil daripada dalil-dalil hukum. Manakala sebahagian fuqaha lain pula mengingkarinya seperti golongan al-Syafieeyyah. Sehingga dinukilkan daripada Imam al-Syafie bahawa beliau berkata: Istihsan adalah berseronok-seronok dan berkata mengikut hawa nafsu. Kata beliau lagi: Sesiapa yang melakukan istihsan sesungguhnya dia telah membuat syariat. (Lihat al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh Saifuddin al-Amidi, 4/209)

[12] Definisi Uruf: Apa-apa yang telah menjadi adat kebiasaan di sisi masyarakat dan diamalkan di dalam kehidupan daripada ucapan atau perbuatan. Uruf dan adat merupakan istilah yang sama di sisi fuqaha.

Uruf terbahagi kepada beberapa bahagian seperti berikut:

Uruf ‘amali (perbuatan): Uruf ini merupakan amalan-amalan yang telah menjadi adat kebiasaan di sisi manusia. Contohnya: Jual beli secara ta’athi (saling memberi), pembahagian mahar kepada mahar segera dan mahar muajjal (tertangguh), masuk ke dalam tandas awam tanpa menentukan tempoh lama berada di dalamnya.
Uruf qauli (perkataan): Perkataan-perkataan atau lafaz yang telah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat. Seperti mereka maksudkan dengan lafaz-lafaz tersebut akan makna tertentu selain dari makna yang diletakkan untuk lafaz tersebut. Contohnya adalah terkenalnya penggunaan lafaz daging kepada selain dari ikan, penggunaan nama daabbah kepada haiwan yang memiliki empat kaki, serta penggunaan kalimah al-walad kepada anak lelaki dan bukannya merujuk kepada anak perempuan.
[13] Dikemukakan di sini, makna adil, antaranya:

Ibn Manzur berkata bahawa yang dimaksudkan dengan keadilan ialah sesuatu yang sudah mantap dalam fikiran sebagai perkara yang lurus. (Lihat Lisan al-Arab, 11/153)
Imam al-Baghawi (510 H) menukilkan di dalam tafsirnya daripada al-Kalbi berkaitan maksud “umat pertengahan” adalah ahli atau pengikut agama yang adil di antara berlebih-lebihan (melampau) dalam beribadah dan longgar dalam menjalankan syariat agama yang mana kedua sifat ini amat adalah dicela di dalam agama. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 174-175/1)
[14] Al-Faqih: Seorang yang menguasai ilmu fiqh secara mendalam atau cara pengeluaran hukum. Banyak definisi faqih dikemukakan oleh para ulama berdasarkan kepada empat mazhab, dinyatakan di sini pengertian faqih:

Mazhab Hanafi: Faqih ialah siapa yang menghafaz semua furu’ dan cabang fiqh dan jadilah ia mengetahui hukum yang berkaitan dengannya. Begitu juga ditakrifkan sebagai mujtahid.
Mazhab Maliki: Faqih ialah siapa yang menghabiskan waktunya dengan mentelaah, pengajaran dan fatwa, sekalipun masih tidak mampu untuk berijtihad.
Mazhab Hanbali: Faqih ialah seorang yang alim dengan hukum syarak yang bersifat amali seperti halal dan haram, sah dan rosak atau fasid. Takrif ini hampir sama dengan mazhab Syafie. (Lihat Gelaran Ulama’, 62-63)
[15] Majma’ Fiqh Islam dalam persidangannya kali yang ke-10 di Mekah al-Mukarramah yang diadakan bermula pada hari Sabtu 24 Safar 1408 Hijrah bersamaan dengan 17 Oktober 1987 sehingga hari Rabu 18 Safar 1408 Hijrah bersamaan 21 Oktober 1987 memutuskan antaranya:

“Perbezaan mazhab-mazhab fiqh dalam beberapa masalah mempunyai sebab-sebab ilmiah yang mengandungi hikmah-hikmah yang besar. Antaranya menunjukkan rahmat kepada hamba-hamba Allah dan meluaskan lapangan pengeluaran hukum daripada nas-nas.

Di samping itu, ia juga membentuk perbendaharaan perundangan fiqh yang sekaligus meletakkan umat Islam berada di dalam keluasan agama dan syariat-Nya. Pelaksanaan syariat tidak hanya tertumpu kepada satu-satu aspek sahaja, bahkan boleh juga ditumpukan kepada aspek lain. Apabila mazhab seorang imam tidak dapat menampung keperluan umat Islam pada waktu tertentu atau di dalam urusan tertentu, mereka akan menemui keluasan dan kemudahan di dalam mazhab imam lain pula, sama ada dalam urusan ibadah, muamalah, keluarga, kehakiman, jenayah dan sebagainya.

[16] Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf lahir di Bab al-Futuh, Kaherah pada 6 Mei 1890 M. Bapanya juga seorang ulama’ dan syeikh Azhar yang masyhur bermazhab Maliki. Setelah tamat pelajarannya dari Universiti al-Azhar, beliau diamanahkan untuk menjawat jawatan qadhi atau hakim. Kemudian dilantik menjadi mufti pada 5 Januari 1946 M. Antara karyanya ialah: Fatawa Syar’iyyah, Syarh al-Baiquniyah, Hukm al-Islam fi al-Rifqi bi al-Hayawan dan lain-lain. Meninggal dunia di Kaherah, Mesir pada 15 April 1990.

[17] Namanya ialah Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar bin Abdul Qadir al-Jakani al-Syanqithi Rahimahullah. Bernasab ke daerah Himyar di Yaman. Dilahirkan di sebuah kota yang bernama Syanqith, Mauritania. Adapun nama tempat kelahiran beliau adalah Tanbah, sebuah desa di kota Syanqith, yang merupakan sebuah daerah di sebelah timur dari Negara Islam yang sekarang terkenal dengan nama Mauritania. Dilahirkan pada tahun 1325 H (1905 M), dari seorang ibu sepupu ayahnya sendiri.

Beliau telah hafal al-Qur’an di bawah asuhan bapa saudaranya, Syeikh Abdullah ketika berusia sepuluh tahun. Beliau berkata, “Kemudian aku belajar menulis khat mushaf Uthmani (mushaf Induk) dari bapa saudaraku yang bernama Syeikh Muhammad bin Ahmad. Darinya juga aku belajar ilmu Tajwid dengan bacaan Nafi’, yang meriwayatkan dari Warsy, dari jalan Abu Ya’qub al-Azraq dan Qalun, dari periwayatan Abu Nasyith. Dan darinya juga aku mengambil sanad bacaan itu hingga sampai kepada Nabi SAW. Dan ketika itu, usiaku masih enam belas tahun”.

Antara karyanya ialah:

Adhwa’ al-Bayan fi Idhahi al-Qur`an bi al-Qur`an. Merupakan sebuah kitab yang berisi penafsiran al-Qur`an dengan al-Qur`an. Dan kitab ini merupakan kitab beliau yang paling terkenal.
Mudzakkirah al-Ushul ‘Ala Raudhah an-Nazhir. Beliau himpunkan di dalamnya usul-usul mazhab Hanbali, Maliki, kemudian al-Syafi’i.
Adab al-Bahth wa al-Munazarah. Di dalamnya beliau terangkan tata cara membahas, seperti pengumpulan masalah dan penjelasan dalil-dalil.
Daf’u Iham al-Idhthirab ‘An Ayi al-Kitab. Beliau jelaskan di dalamnya ayat-ayat al-Qur`an yang secara zahirnya memiliki makna yang bertentangan namun secara hakikatnya sama sekali tidak bertentangan. Beliau bawakan di dalamnya ayat-ayat yang secara sekilas bertentangan mulai dari surah al-Baqarah hingga surah al-Nas.
Man’u Jawaz al-Majaz Fi al-Munazzal Li at-Ta’abbud wa al-‘Ijaz. Beliau menerangkan dan membantah habis adanya majaz dalam al-Qur`an, dalam ayat-ayat asma dan sifat Allah.
Beliau meninggal dunia di kota Madinah al-Munawwarah, pada 17 Zul Hijjah, tahun 1393 H bersamaan 1973 M.

[18] Amir bin Syurahbil atau lebih dikenali dengan al-Sya’bi. Lahir pada tahun 20 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 109 Hijrah. Beliau merupakan seorang ulama tabi’in yang terkemuka, seorang imam dalam pelbagai bidang ilmu, penghafal hadis, dan ahli dalam bidang Fiqh. Beliau meriwayatkan hadis daripada ramai sahabat Nabi SAW antaranya Ali bin Abi Thalib RA, Abu Hurairah RA, Ibn Abbas R.Anhuma, Aisyah R.Anha, Ibn Umar R.Anhuma dan lain-lainnya. (Lihat al-A’lam oleh al-Zirikli, 4/19)

[19] Nama beliau adalah Muhammad bin Abd al-Rahman bin Laila bin Bilal al-Ansari al Kufi, akan tetapi lebih terkenal dengan nama Ibn Abi Laila. Beliau lahir di Kufah pada tahun 74 H. Ayahnya meninggal ketika beliau masih kecil. Beliau meninggal dunia di Kufah pada tahun 148 H ketika masih menjawat jawatan sebagai hakim. Beliau adalah salah seorang ulama besar pada zamannya, seorang faqih dan mufti, serta termasuk pendukung ahlu Ra’yu. Beliau mengambil ilmu daripada Imam al-Sya’bi, Atha’ bin Abi Rabah, al-Qasim bin Abd al-Rahman dan yang lainnya.

Posted on Leave a comment

BAYAN LINNAS SIRI KE-206: PENGIMARAHAN MASJID: TUGAS KITA

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Masjid merupakan institusi yang penting dalam membangunkan masyarakat. Peranan masjid termasuklah sebagai agen untuk menyatukan masyarakat dan membantu menyelesaikan urusan mereka. Masjid yang benar-benar berfungsi akan memberikan banyak faedah dan manfaat kepada masyarakat di sekitarnya seperti dalam aspek pembentukan kerohanian, keilmuan dan juga sebagai pusat rujukan dan khidmat kepada masyarakat. Bahkan fungsinya boleh dikembangkan sehingga kepada pengislahan ekonomi dan sosial.

Kami pernah berkesempatan melakukan rehlah ke ke bumi Turki dan berpeluang menyaksikan kesan sejarah tamadun manusia yang sudah bertapak ribuan tahun. Apa yang menarik, binaan masjid mereka begitu klasik, cantik dan tahan dalam tempoh jangka masa yang panjang. Begitu juga kebersihan tandas yang tiada tandingannya. Inilah simbol nazafah Islam bukan semata-mata pada slogan tetapi diterjemahkan dalam realiti sebenar.

Justeru, kami berpendapat, masjid yang menjadi rumah Allah sesungguhnya perlu benar-benar diperkasakan dan ditambahbaik dari semasa ke semasa mengikut realiti zaman tanpa mengubah asolah dan matlamat masjid yang perlu dikekalkan sifat kemasjidannya. Ini sepertimana kata Mantan Ketua Pengarah JAKIM iaitu Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz sempena Multaqa Imam-Imam Seluruh Negara beberapa tahun lalu: “Institusi masjid satu-satunya institusi sosial umat Islam yang menjadi benteng terakhir untuk perpaduan umat Islam kerana ia bebas daripada pengaruh politik kepartian dan masjid menjadi milik semua umat Islam tanpa mengira latar belakang.

Maksudnya institusi ini perlu diperkasakan kerana wilayah jangkauan masjid lebih luas dan tidak ada jurang memisahkan sebaliknya kita disatukan oleh kesatuan agama. Sepatutnya dari segi langkah strategi, institusi ini patut kita manfaatkan dan gunakan untuk agenda besar negara.

Kadang-kadang yang menyebabkan pihak pengurusan masjid mengambil pendekatan agak kaku kerana prasarana yang ada di masjid itu hanya memungkinkan untuk mengadakan aktiviti solat saja. Jadi, ia tidak menyokong atau menyediakan suasana lebih kondusif untuk aktiviti lain. Tetapi jika kita lengkapkan dan pelbagaikan kemudahan di masjid, ia boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti.

Sebagai contoh, untuk pendidikan dewasa, berdasarkan pemerhatian JAKIM, masjid satu-satunya institusi sosial yang berjaya dalam pendidikan dewasa berbanding institusi lain. Sekarang ini ada keperluan untuk masjid memainkan peranan menyokong sistem pendidikan untuk kanak-kanak dan remaja, tetapi prasarana di masjid tidak kondusif untuk remaja dan wanita.”

Oleh itu, dalam ruangan Bayan Linnas kali ini, kami ingin mengajak semua untuk sama–sama menginsafi dalam memartabatkan institusi masjid dengan lebih baik lagi. Justeru, kami tajukkan dalam Bayan Linnas pada kali ini dengan Pengimarahan Masjid: Tugas Kita.

Semoga Bayan Linnas pada kali ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. Kami juga berharap agar ia dapat menjadi pemangkin dalam penambahbaikan pengurusan masjid dan pengimarahannya mengikut syariat Islam itu sendiri. Amin.

Definisi Masjid

Masjid (مَسْجِد) pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud)”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf masjid itu ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat Al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27).

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.” (Lihat Taj al-‘Arus, 8/174)

Apabila diperhatikan sejarah kewujudan dan kedudukan tanah persekitaran masjid pada masa dahulu berdasarkan definisi masjid dari sudut istilah, di antaranya ada masjid yang hanya berupa tanah lapang yang diberi tanda atau sempadan di sekelilingnya dengan mendirikan tiang-tiang yang dipacakkan tepat pada sempadan berkenaan.

Jika setakat yang ditanda sebagai sempadan itu hanyalah tiang saja yang dijadikan masjid atau disebut masjid oleh orang ramai, atau oleh pewakaf – jika ia masjid wakaf – maka yang berada di luar sempadannya tiada dikira masjid dan tidak berlaku padanya hukum-hakam masjid seperti iktikaf.

Sehubungan dengan ini, kalau ada orang yang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid”, maka jadilah tempat itu sebagai masjid, iaitu setakat mana luas atau besarnya tempat yang dimaksudkannya sebagai masjid itu, manakala kawasan yang di luarnya tidak turut menjadi masjid. Dalam hal ini Imam al-Zarkasyi ada menyebutkan: “Sekiranya seseorang berkata: “Aku jadikan sebidang tanah ini sebagai masjid, maka menurut kitab Al‑Wajiz jadilah ia masjid walaupun dia tidak menyebut lafaz wakaf.” (Lihat Ahkam al-Sajid, hlm. 396)

Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Zarkasyi di atas, sekiranya keseluruhan tanah yang diperuntukkan itu telah diwartakan (digazetkan) atau diniatkan sebagai masjid, maka jadilah kesemua tanah yang diniatkan itu masjid, walaupun bangunan masjid belum didirikan.

Tetapi jika yang digazetkan sebagai masjid hanya setakat bangunannya sahaja, maka itulah sahaja yang dianggap sebagai masjid, manakala bakinya adalah sebagai harim masjid atau rizab masjid (tanah simpanan untuk masjid dan lain-lain keperluan masjid).

Maksud Pengimarahan

Allah SWT berfirman:

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

Surah al-Taubah (19)

Al-Maraghi berkata: Kata-kata dalam ayat ini adalah ditujukan kepada kaum mukminin yang telah berselisih pendapat mengenai pekerjaan yang mana satukah lebih utama. Kamu tidak boleh menyamakan keistimewaan orang yang memberi minum dengan orang yang datang menunaikan ibadah haji dan memakmurkan masjid dengan keistimewaan orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat serta orang yang berjihad pada jalan Allah SWT. Ini disebabkan, meskipun mereka memberi minum dan memakmurkan (menghidupkan) masjid itu termasuk dalam soal kebajikan, namun para pelakunya tidak sama dengan orang yang beriman dan berjihad dari segi ketinggian martabat kemuliannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2718)

Menurut Kamus Dewan Bahasa, imarah bermaksud menggerakkan atau menghidupkan suasana di masjid atau surau dengan pelbagai kegiatan berfaedah, biasanya berbentuk keagamaan. (Lihat laman web Dewan Bahasa dan Pustaka)[1]

Kami berpendapat, pengimarahan masjid memberi dua maksud yang perlu dipelihara dan dilaksanakan:

Zahir dan fizikal. Ia memberi maksud membina, mengislahkan serta menjadikan masjid begitu menarik, amat gemar dikunjungi dalam melakukan ibadat.
Batin dan hakikatnya. Ia memberi maksud mengimarahkan masjid dengan pengisian kerohanian, ilmu dan suasana yang penuh dengan maksud asalnya iaitu tempat sujud dan tempat beribadat. Dengan itu, akan menarik sejumlah jemaah bagi melaksanakan perintah Tuhan.
Kedua-duanya amat perlu dan ia sudah pasti menatijahkan maksud sebenar pengimarahan sama ada melalui fizikal atau batinnya. Inilah yang kita dambakan kepada semua masjid yang diimarahkan.

Falsafah Masjid dan Fungsinya

Masjid berasal daripada perkataan sajada (سَجَدَ) yang bererti tempat sujud. Secara teknikalnya sujud adalah meletakkan kening ke tanah. Secara maknawi, jika kepada Tuhan sujud mengandungi erti menyembah, jika kepada selain Tuhan, sujud mengandungi erti hormat kepada sesuatu yang dipandang besar atau agung. Betapa hebatnya sujud dahi dan kepala yang paling mulia bagi manusia diletakkan sama tinggi dengan kakinya. Itulah lambang setinggi ubudiyyah kepada Penciptanya.

Sedangkan sajadah daripada kata sajjadatun (سَجَّادَةٌ) bermakna tempat yang banyak dipergunakan untuk sujud. Kemudian ia menjurus menjadi selembar kain, karpet atau sejadah yang dibuat khusus untuk menjadi alas menunaikan solat. Satu gambaran yang mana hasil sujud ini ditukar menjadi nama tempat lalu dikenali dengan masjid. Ia seolah-olah mengambil satu perbuatan paling tinggi penghormatan kepada Ilahi sebagai nama tempat ibadah iaitu masjid.

Adapun masjid (مَسْجِد) mempunyai dua erti, erti umum dan erti khusus. Masjid dalam erti umum adalah semua tempat yang digunakan untuk sujud, oleh kerana Nabi SAW pernah mengatakan: ‘Tuhan menjadikan bumi ini sebagai masjid’. Sedangkan masjid dalam pengertian khusus adalah tempat atau bangunan yang dibangunkan khusus untuk menjalankan ibadah, terutama solat berjemaah. (Lihat Falsafah dan Fungsi Masjid dalam Islam oleh Al-Dawamy, 2008)

Sebahagian cendekiawan menyebut penamaan masjid di mana huruf ج itu di baris bawah (مَسْجِد) seolah-oleh memberi makna dan maksud bahawa orang yang masuk ke dalamnya bersifat tawaduk dan rendah diri.

Sebagai tempat ibadah, masjid merupakan penghubung seorang hamba dengan penciptanya dalam bentuk solat. Walaupun Islam tidak membataskan bahawa solat hanya dilakukan di masjid (bumi merupakan masjid Allah di mana saja seorang muslim dapat melaksanakan solat apabila telah datang waktunya) Nabi selalu menganjurkan umatnya agar senantiasa melaksanakan solat berjamaah di masjid. Terdapat banyak riwayat hadis yang menerangkan pentingnya solat berjemaah. Namun bagi kehidupan Muslim, masjid bukan hanya sebagai tempat ibadah seperti halnya gereja dan lainnya, akan tetapi masjid merupakan pusat kehidupan umat Islam. Sebagai pusat kegiatan tentunya masjid mempunyai fungsi yang pelbagai, antaranya: fungsi keagamaan, fungsi pendidikan, fungsi ekonomi, fungsi sosial, fungsi politik dan sebagainya. Jika kita melihat kembali ke zaman Rasulullah SAW, maka kita dapati bahawa Rasullah SAW mengadakan pelbagai kegiatan untuk kepentingan umat di masjid. (Lihat Fungsi dan Peranan Masjid di Era Moden)

Semoga roh masjid Rasulullah SAW di Madinah al-Munawwarah dapat difungsikan untuk menjadikan masyarakat benar-benar mendapat faedah serta manfaat daripada masjid di tempat masing-masing sama ada pembentukan rohani, ilmiah dan juga ukhuwwah Islamiyyah. Bahkan boleh dikembangkan sehingga kepada pengislahan ekonomi, sosial, dan juga akhlak.

Jenis-jenis Masjid

Profesor Dr. Muhammad al-Zuhaili melalui kitabnya Mausu’ah Qadaya Islamiyyah Mu’asirah antara lain menyatakan: “Masjid pada asalnya setiap tempat untuk sujud kemudian diitlaqkan tempat binaan khusus untuk ibadat dan menunaikan risalah khusus iaitu tempat solat berjemaah. Masjid mempunyai pelbagi jenis dan nama, antaranya:

Pertama: Masjid Utama yang tiga yang mempunyai hukumnya yang tersendiri, iaitu:

Masjidil Haram di Mekah al-Mukarramah.
Masjidil al-Nabawi di Madinah al-Munawwarah.
Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis.
Kedua: Masjid al-Jamek. Iaitu masjid didirikan solat jemaah, jumaat dan solat-solat seperti khusuf, istisqa’ dan lain-lain. Ia dikenali juga dengan lafaz al-Jamek kerana tempat berhimpun. Kadang-kadang digelar sebagai al-Jamek al-Kabir bagi masjid yang terbesar di satu-satu bandar utama.

Ketiga: Musalla. Ia merangkumi dua jenis:

Musalla al-‘Id. Iaitu tempat lapang yang didirikan solat dua hari raya. Biasanya di padang yang boleh memuatkan seramai mungkin penduduk negeri untuk melakukan ibadat solat.
Musalla al-Hay. Iaitu masjid yang kecil yang didirikan solat dengan jemaah yang sedikit di sesebuah tempat aau kampong. Ini bertujuan bagi menghidupkan solat berjemaah dengan mudah di samping meninggikan suara azan dan dua kalimah syahadah serta tauhid padanya. Mungkin di tempat kita dikenali sebagai surau.
Realiti di Malaysia pula menunjukkan pembahagian masjid atau tempat ibadat umat Islam dibahagikan kepada beberapa nama. Antaranya

Masjid Negara yang mewakili masjid utama bagi Negara ini.
Masjid utama Negara seperti Masjid Putrajaya dan Masjid Sultan Mizan.
Masjid Negeri seperti Masjid Wilayah Jalan Duta, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dan lain-lain.
Masjid Daerah yang biasanya setiap daerah mempunyai masjid utama. Ghalibnya terletak di pekan atau bandar kecil.
Masjid kampung sesetengah tempat dibahagikan kepada masjid jamek dan masjid kampung biasa. Sedangkan sebahagian yang lain hampir sama.
Surau Solat Jumaat dimana statusnya adalah surau tetapi diberi kebenaran untuk didirikan solat Jumaat kerana maslahah tertentu.
Surau atau musalla dan sebahagian tempat digelar sebagai balasah. Ia hanya untuk solat Jemaah di kampung kecil atau di tempat yang tertentu.
Mutakhir ini banyak juga tempat-tempat seperti bangunan kerajaan, institusi kewangan dan lain-lain telah membina sebuah ruang untuk solat yang dikenali sebagai musalla atau surau. Antaranya:

Surau al-Barakah, Bank Rakyat, Kuala Lumpur
Surau Ahmad Dawjee Dadabhoy di Menara Bank Islam
Surau Al-Insaf, Menara Maybank, Kuala Lumpur
Surau An-Nur, di Bank RHB, Kuala Lumpur
dan lain-lain.

Masjid dalam Sejarah Ketamadunan Islam

Masjid merupakan bangunan yang paling penting sebagai mercu tanda agama Islam kerana ia tempat ibadat yang menjadi rukun Islam yang kedua iaitu solat dianggap sebagai tiang seri agama. Justeru, masjid merupakan waqaf bagi Allah yang tidak dimiliki oleh sesiapapun. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّـهِ

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata.

(Surah al-Jin: 18)

Rasulullah SAW telah mendirikan masjid Quba’ ketika sampai di Quba’ dalam perjalanan hijrahnya. Kemudian selepas sampai di kota Madinah Rasulullah SAW juga telah mendirikan masjid yang dikenali sebagai masjid Nabawi sehingga menjadi tempat kesatuan umat dan juga memperkukuhkan ukhuwwah Islamiyyah di samping mercu tanda tamadun Islam.

Masjid adalah tempat bagi umat Islam beribadah. Menekuni kembali sejarah Islam pada masa lampau, masjid adalah pusat komuniti masyarakat dan bandar-bandar dibentuk mengelilingi masjid ini. Kini, masjid terutamanya di negara-negara umat Islam boleh dijumpai di mana-mana, memudahkan umat Islam untuk menunaikan solat lima waktu. Masjid di dunia Barat pada zaman sekarang menerapkan konsep pusat integrasi yang turut mempunyai pusat pengajian, kemudahan komuniti selain untuk beribadah.

Masjid boleh didapati dalam pelbagai rekabentuk dan kesenian binaannya; bergantung kepada budaya setempat. Umat Islam pada zaman silam sehingga ke hari ini memanfaatkan arkitek tempatan dan luar negara untuk merekabentuk masjid yang indah.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa ciri persamaan bagi masjid di seluruh dunia. Setiap masjid ada mihrab, yang menghala ke arah kiblat iaitu Baitullah di Makkah al-Mukarramah. Begitu juga minbar yang biasanya digunakan untuk berkhutbah pada setiap hari Jumaat. Antara lain, persamaannya adalah pada menara. Kebiasaanya, ia dibina tinggi dan bertujuan untuk memudahkan muazzin melaungkan azan pada satu ketika dahulu.

Reka bentuk masjid telah berubah dengan begitu mendadak selepas 1400 tahun. Masjid kini turut dihiasi kolam atau air pancut yang turut menyediakan kemudahan untuk umat Islam mengambil wudhu’. Begitu juga kemudahan bilik air, bilik mandi dan rumah musafir. Keadaan ini berbeza dengan masjid pada era awal Islam yang cuma beratapkan pelepah tamar.

Bagaimanapun keadaannya, masjid tetap sebuah tempat ibadah yang wajar dihormati dan dipelihara kemuliaan dan kesuciannya kerana ia adalah syiar bagi agama Islam yang tercinta.

Peranan Masjid dalam Islam

Di dalam negara Madinah yang ditadbir oleh Rasulullah SAW, masjid merupakan pusat pentadbiran negara di mana Rasulullah SAW menguruskan hal ehwal umat Islam. Baginda mengadakan mesyuarat, menghimpunkan masyarakat, menerima tetamu dalam dan luar negara, membuat ucapan-ucapan penting, menyelesaikan persengketaan dan sebagainya di masjid. Hal yang sama turut berlaku pada era Khulafa’ al-Rasyidin dan seterusnya.

Diriwayatkan bahawa tatkala Rasulullah SAW tiba di Madinah semasa hijrah, baginda telah membeli sebidang tanah dan di atasnya didirikan masjid dan di sekitarnya dibangun bilik-bilik rumah baginda. Bentuk masjid yang didirikan Nabi SAW sangat sederhana, tidak memerlukan biaya yang tinggi. Masjidnya berupa halaman luas yang empat sisi temboknya dibina daripada batu merah dan tanah liat. Sebahagian atapnya dari pelepah kurma dan sebahagian yang lain dibiarkan terbuka. Salah satu penjuru serambinya dikhususkan untuk tempat bermukim kaum fakir yang tidak memiliki tempat tinggal.

Sejarah Islam mencatat bahawa selain menjadi pusat pemerintahan dan pentadbiran, masjid juga merupakan tempat di mana para Khalifah dibai’ah oleh umat Islam. Antara lain, masjid juga berfungsi sebagai sebuah pusat penerangan baik dalam perkara politik, perang, ekonomi, sosial, keilmuan mahupun persoalan kehidupan lainnya. Rapat umum yang bertujuan mengkhabarkan makluman penting berkaitan kaum Muslimin juga dibuat di masjid.

Di sepanjang sejarah kegemilangan Islam, masjid juga digunakan sebagai tempat di mana para hakim membicara dan memutuskan sesuatu kes. Imam al-Mawardi menyebut di dalam al-Ahkam al-Sultaniyah bahawa Abu Abdillah al-Zubairi mengatakan: “Tidak pernah ada satu masa pun kecuali amir kami di Basrah selalu mengangkat qadhi untuk menjadi qadhi di Masjid Jami’. Mereka menyebutnya qadhi masjid. Mereka memutuskan perkara dalam masalah 200 dirham atau 20 dinar atau kurang, di samping ia juga menetapkan pelbagai keputusan. Ia tidak akan menyimpang dari kedudukannya dan dari hal-hal yang telah ditetapkan baginya.” (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, 1/125)

Masjid juga menjadi pusat aktiviti ekonomi di mana diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW kadangkala menempatkan harta (sebelum diagihkan kepada kaum Muslimin) di masjid. Dalam satu hadis daripada Anas, disebutkan:

أُتِيَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِمَالٍ مِنَ الْبَحْرَيْنِ فَقَالَ ‏”‏ انْثُرُوهُ فِي الْمَسْجِدِ ‏”‏‏.‏ وَكَانَ أَكْثَرَ مَالٍ أُتِيَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِلَى الصَّلاَةِ، وَلَمْ يَلْتَفِتْ إِلَيْهِ، فَلَمَّا قَضَى الصَّلاَةَ جَاءَ فَجَلَسَ إِلَيْهِ، فَمَا كَانَ يَرَى أَحَدًا إِلاَّ أَعْطَاهُ، إِذْ جَاءَهُ الْعَبَّاسُ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَعْطِنِي فَإِنِّي فَادَيْتُ نَفْسِي وَفَادَيْتُ عَقِيلاً، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ خُذْ ‏”‏‏.‏ فَحَثَا فِي ثَوْبِهِ، ثُمَّ ذَهَبَ يُقِلُّهُ فَلَمْ يَسْتَطِعْ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أُؤْمُرْ بَعْضَهُمْ يَرْفَعُهُ إِلَىَّ‏.‏ قَالَ ‏”‏ لاَ ‏”‏‏.‏ قَالَ فَارْفَعْهُ أَنْتَ عَلَىَّ‏.‏ قَالَ ‏”‏ لاَ ‏”‏‏.‏ فَنَثَرَ مِنْهُ، ثُمَّ ذَهَبَ يُقِلُّهُ، فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أُؤْمُرْ بَعْضَهُمْ يَرْفَعْهُ عَلَىَّ‏.‏ قَالَ ‏”‏ لاَ ‏”‏‏.‏ قَالَ فَارْفَعْهُ أَنْتَ عَلَىَّ‏.‏ قَالَ ‏”‏ لاَ ‏”‏‏.‏ فَنَثَرَ مِنْهُ، ثُمَّ احْتَمَلَهُ فَأَلْقَاهُ عَلَى كَاهِلِهِ ثُمَّ انْطَلَقَ، فَمَا زَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُتْبِعُهُ بَصَرَهُ حَتَّى خَفِيَ عَلَيْنَا، عَجَبًا مِنْ حِرْصِهِ، فَمَا قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَثَمَّ مِنْهَا دِرْهَمٌ‏

Maksudnya: Pernah dibawakan kepada Nabi harta dari Bahrain. Nabi pun bersabda: Letakkannya dalam masjid. Itu adalah harta yang paling banyak yang pernah dibawakan kepada Rasulullah. Kemudian Rasulullah keluar untuk sembahyang. Baginda tidak berpaling pun kepada harta tadi. Setelah selesai solat, barulah baginda pergi dekat harta itu lalul duduk. Tidak dilihat sesiapa pun melainkan diberikan kepadanya. Tiba-tiba datang kepada baginda, Abbas. Dia berkata: Wahai Rasulullah, berikanlah kepadaku kerana aku telah menebus diriku dan Aqil (semasa ditawan dalam perang Badr). Maka Rasulullah berkata kepadanya: Ambillah. Dia pun mengaut harta itu ke dalam kainnya dan hendak dibawanya tetapi tidak mampu kerana berat. Dia lantas berkata: Wahai Rasulullah, suruhlah sesiapa mengangkatkannya untukku. Nabi berkata tidak boleh. Dia berkata lagi: Kalau begitu, engkau sendirilah yang mengangkatnya untukku. Nabi berkata: tidak boleh. Maka dia membuang sebahagian darinya dan mengangkatnya sambil berkata: suruhlah sesiapa mengangkatnya untukku. Nabi berkata: tidak boleh. Dia berkata: engkau sendirilah yang angkat dan letakkan keatasku: Nabi berkata: tidak boleh. Selepas itu dia membuangkan sebahagian dari harta itu lalu mengangkatnya dan meletakkannya diatas bahu kemudian pergi. Rasulullah pula terus memerhatikan Abbas lantaran hairan dengan sifat tamak dan halobanya itu sehingga dia hilang dari pandangan kami. Rasulullah tidak bangkit dari situ melainkan setelah tidak tinggal walau satu dirham.”

Riwayat al-Bukhari (421)

Kawasan masjid juga pernah digunakan sebagai tempat untuk latihan jihad dan merawat para mujahidin sebagaimana yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari. Selain dari fungsi-fungsi di atas, masjid juga berperanan sebagai pusat pengajian dan dakwah Islam, tempat di mana kaum Muslimin bermesyuarat dan berbincang tentang agama mereka baik tentang politik, ekonomi, pendidikan, jihad dan sebagainya.

Masjid juga adalah pusat bantuan kepada mereka yang memerlukan (fakir dan miskin), tempat perlindungan, tempat tidur dan istirahat para musafir dan ibnu sabil, tempat mempererat ukhwah sesama Muslim dan tempat manusia mencari pahala dan keredaan di sisi Allah SWT.

Sesungguhnya banyak lagi fungsi masjid berserta dalil-dalilnya yang tidak dapat dinyatakan di sini kerana ruang yang terhad. Pendek kata, masjid bukan sekadar tempat untuk melakukan ibadah khusus semata-mata sebagaimana difahami oleh sebahagian Muslim, tetapi masjid juga adalah tempat melakukan pelbagai aktiviti harian yang juga boleh dikategorikan sebagai ibadah umum jika bersesuaian dengan syarak.

Kesimpulannya, masjid berfungsi sebagai:

Tempat pembinaan kerohanian.
Tempat pengukuhan sosial umat Islam.
Tempat pembelajaran dan pendidikan.
Tempat penghakiman dan membuat keputusan.
Tempat latihan ketenteraan.
Tempat bersiyasah atau penyampaian arahan pemerintah. (Lihat Mausu’ah Qadaya Islamiyyah Mu’asirah, 1/217-219)

Pengimarahan Masjid dan Memakmurkannya

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (8/90) menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat sesorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” Ini seperti mana hadis Nabi SAW daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. (Lihat Aisar al-Tafasir li Kalam al-‘Aliy al-Kabir, 2/66)

Ibn al-Jauzi menyebut, yang dimaksudkan dengan memakmurkan masjid (dalam ayat di atas), ada dua pendapat:

Selalu datang ke masjid dan duduk di dalamnya (untuk beribadah kepada Allah SWT)
Membangunkan masjid dan memperbaikinya. (Lihat Zad al-Masir fi ‘Ilm al-Tafsir, 3/408)
Syeikh al-Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya “Orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan.” (Lihat Tafsir al-Wasit, 6/228)

Buya Hamka berkata: “Di sini terdapat kalimat (انما) yang dalam bahasa arab disebut (اداة حصر) yang membawa maksud ‘alat pembatas’. Kita maksudkan di sini (hanya), maka terbataslah orang-orang yang boleh meramaikan dan memakmurkan masjid-masjid Allah, iaitu hanya orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang solat dan berzakat, dan tidak ada tempat takutnya melainkan Allah. Di luar orang-orang yang mempunyai syarat selengkapnya, tidaklah boleh meramaikan dan memakmurkan masjid.” (Lihat Tafsir al-Azhar, 10/164)

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi, memakmurkan masjid bermaksud mendirikan solat di dalamnya, berdoa, berzikir dan menegakkan syiar-syiarnya. Takrif ini menggambarkan bahawa masjid bukan sekadar tempat untuk melaksanakan ibadat, tetapi juga untuk menyampaikan dakwah Islam.

Aktiviti pengajian ilmu agama perlu diadakan di masjid-masjid supaya ia sampai kepada masyarakat dengan baik. Masjid itu adalah madrasah dakwah dan ia juga pejabat negara Islam. Masjid adalah tempat mengadakan mau’izah dan pengajian harian, mingguan dan ceramah berkala.

Masjid berperanan dalam memberi ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita penting untuk ummah, bertemu dengan diplomat asing, mengatur tentera di medan perang, menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian. (Lihat al-Dawabit al-Syar’iyyah li Bina’ al-Masajid, hlm. 6-7)

Memakmurkan masjid juga adalah ialah dengan selalu menghidupkan jemaahnya, memelihara dan membersihkannya dan memperbaiki jika berlaku kerosakan. Mencukupkan mana yang kurang dan menziarahinya untuk ibadat. Dalam ayat ini ditegaskan hanya orang yang hidupnya telah dibentuk oleh satu bentuk pemikiran yang memang telah terikat hatinya dengan masjid.

Orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan tergetar hatinya untuk meramaikan masjid begitu juga yang tidak solat, tidak suka untuk mendekati masjid. Mereka yang bakhil daripada berzakat amat takut ke masjid kerana bimbang bertemu orang yang miskin dan yang berhak menerima zakat. Ini kerana masjid untuk semua lapisan masyarakat yang mungkin kita temuinya.

Sayyid Qutub menyatakan di dalam tafsir Fi Zilalil Qur’an: “Ayat ini hanya menyebut “takut kepada Allah” selepas menyebut dua syarat keimanan dalaman dan amalan luaran. Dan ini bukanklah beerti “takut kepada Allah” suatu pernyataan lebihan, kerana yang dipastikan di sini ialah keikhlasan kepada Allah dan menjauhkan diri dari segala bayangan syirik sama ada di dalam perasaan atau perilaku. Ketakutan seseorang kepada yang lain dari Allah itu merupakan sejenis syirik khafi yang sengaja diperingatkan al-Quran di sini supaya I’tiqad dan amalan seseorang itu hanya untuk Allah semata-mata. Di waktu ini sahaja para mukminin berhak mengimarahkan masjid-masjid Allah dan mengharapkan hidayat dari Allah.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 7/230)

Renungan Buat Pemegang Amanah Rumah Allah

Pemegang amanah rumah Allah yang dimaksudkan adalah sama ada Nazir ataupun pengerusi masjid dan barisan jawatankuasanya yang bertugas secara langsung dalam pengimarahan masjid dan melicinkan perjalanan pentadbiran masjid baik di peringkat atasan, mahupun peringkat bawahan. Ia dibahagikan kepada dua perkara:

Pertama: Arahan

Antara yang sepatutnya dimiliki oleh seseorang yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk mengurus tadbir masjid adalah seperti berikut:

Ia merupakan amanah Allah, justeru hendaklah ditunaikan dengan sepenuh hati dan penuh dengan profesional.
Niat yang ikhlas yang sentiasa ingin mencari keredhaan Allah apatah lagi dalam menguruskan pentadbiran Rumah Allah. Firman Allah SWT:
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid.

(Surah al-Bayyinah: 5)

Menghidupkan majlis ilmu, kerana ia merupakan universiti pertama dalam Islam. Rasulullah SAW menyampaikan risalahnya dalam masjid dan menjadi murabbi kepada ummah.
Memahami akan fungsi sebenar masjid sebagai tempat penyuburan kerohanian. Justeru penggalakkan ibadat pada ahli jemaah seperti solat, zikir, membaca al-Quran sentiasa digerakkan dari semasa ke semasa.
Menzahirkan keampuhan kesatuan ummah, ini kerana masjid adalah tempat berhimpun umat Islam dalam menunaikan ibadat solat dan lain-lain. Ini sudah pasti menjadikan masjid sebagai ikatan hablum minnallah (hubungan dengan Allah) dan hablum minannas (hubungan sesama manusia).
Menzahirkan kehebatan masjid sehingga menjadikannya cukup unggul pada hati umat Islam dengan cara memuliakannya dan memahami fungsi sebenar masjid itu.
Menjadikan masjid tempat yang benar-benar tenang bagi semua masyarakat umat Islam kerana ia rumah Allah yang akhirnya melahirkan persamaan, kasih sayang timbang rasa, penghormatan, saling bantu membantu yang akhirnya membentuk sebuah masyarakat yang unggul.

Kedua: Larangan

Perlu dan semestinya kepada yang diberi amanah menguruskan masjid daripada yang pertama hingga kepada ahli jawatankuasa biasa untuk memelihara dan mengimarahkan masjid sepertimana suruhan dan arahan sebelum ini. Justeru satu penegasan di sini agar masjid benar-benar berwibawa, maka beberapa larangan perlu diambil prihatin dengan sesungguhnya, antaranya:

Elakkan menjadi tempat fitnah memfitnah kerana natijahnya amat buruk dan kesannya tidak elok bagi umat Islam. Budaya ini jika tidak dibendung akan menatijahkan kesuraman masjid dan surutnya ahli jemaah masjid sehingga seolah-olah ia terpulau dan terbiar.
Jangan bergaduh dan bertelingkah. Sama ada antara sesama AJK masjid ataupun dengan jemaah. Hal ini seringkali kita dengar yang menatijahkan perasaan tidak baik dan kata-kata di belakang yang tidak elok didengar sudah menjadi sebati dalam masyarakat. Ini akan membawa kepada masjid tidak lagi digemari oleh hati-hati masyarakat setempat.
Elakkan masjid daripada unsur kepartian atau kepuak-puakan sehingga membawa kepada pihak yang lain walaupun mengucap dua kalimah syahadah akan merasa tidak tenang dan selesa ketika melangkah kaki ke masjid tersebut.
Jangan merasakan masjid dan pentadbirannya adalah hak kita semata-mata tanpa menerima sebarang teguran dan nasihat dari ahli jemaah yang ikhlas menyampaikannya. Ini kerana, sikap tidak boleh menerima teguran akan menyebabkan keadaan masjid tidak maju dan sentiasa berada pada tahap yang lama.
Jangan jadikan masjid hanya sebagai tempat bersumpah dalam menegakkan kebenaran atau mencerca seseorang. Ini kerana, menafikan maksud masjid sebagai tempat ditinggikan nama Allah dan pembentukan kerohanian yang unggul.
Jangan biarkan sebarang unsur ceramah atau pengajaran yang tidak menghormati adab masjid dan juga celaan kepada mana-mana individu dengan sewenang-wenangnya. Ini sudah barang tentu akan merasakan kerimasan oleh sebahagian jemaah dan membawa gelodak jiwa yang tidak baik.

Tindakan dalam Memperkasakan Masjid

Pentadbir yang diberi amanah untuk mengendalikan urusan masjid hendaklah sentiasa memikirkan cara untuk memperkasa dan menghaibatkan masjid sehingga benar-benar terasa akan sifat kemasjidannya yang menjadi rumah Allah untuk diagungkan. Hal ini, hendaklah diambil prihatin oleh semua pihak termasuk ahli jemaah itu sendiri.

Kami kemukakan di sini beberapa cadangan dalam memperkasakan masjid, antaranya:

Jadikan masjid mesra masyarakat dan jemaah, sehingga hati dan fikiran masyarakat begitu bergantung kepada masjid.
Melaksanakan kempen Jom Ke Masjid dari semasa ke semasa. Galakan, pujukan dan rayuan kepada masyarakat untuk ke masjid adalah amat penting bukan menghukum mencela dan menghina kepada yang tidak ke masjid.
Gambarkan kepada mereka kelebihan golongan yang sentiasa menuju kepada masjid seperti hadis Nabi SAW. Rasulullah SAW bersabda:

بَشِّرِ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Beri berita gembiralah kepada yang berjalan kaki membelah kegelapan malam menuju ke masjid-masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat.”

Riwayat Abu Daud (561)

Begitu juga, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلاً كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Maksudnya: “Sesiapa yang pergi ke masjid atau pulang, Allah akan sediakan baginya tempat dalam syurga sepertimana pergi dan pulang.”

Riwayat Muslim (669)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَتَعَاهَدُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالإِيمَانِ

Maksudnya: “Apabila kamu melihat seorang lelaki sentiasa dan rajin menuju ke masjid-masjid, maka saksikanlah baginya dengan iman.”

Riwayat al-Tirmizi (2617)

Hendaklah masjid dilihat sebagai tempat yang paling bersih. Ini penting terutamanya aspek yang sentiasa dinilai oleh masyarakat seperti:
Kebersihan tandas dan juga setiap tandas mempunyai penyelaknya. Di samping itu terdapat sabun pada setiap tandas dan selipar.
Kebersihan dalaman masjid kerana ia adalah tempat solat dan juga tempat beriktikaf. Pastikan tiada najis termasuk najis cicak yang sentiasa dibersih dan divakum dari semasa ke semasa.
Jadikan laman masjid juga bersih dan sedap mata memandang tanpa sampah sarap yang bertebaran dan terbiar.
Jadikan masjid kelihatan indah dan menarik bagi pandangan masyarakat di samping mesra jemaah sama ada yang tua atau muda. Antara yang mungkin boleh dilakukan ialah:
Pemilihan warna dan cat masjid.
Mewujudkan tempat parking yang mudah dan wuduk serta tandas yang mesra jemaah.
Adanya laman yang menarik seperti taman kecil dan pohon kayu yang sentiasa dipelihara oleh siak.
Memberi prihatin yang sungguh terhadap golongan OKU dan orang-orang yang tua dari aspek kemudahannya agar ia bersifat mesra untuk golongan ini.
Wujudkan kepelbagaian aktiviti yang boleh menarik minat semua lapisan masyarakat untuk mengunjungi masjid sebagai contoh, boleh diadakan pelbagai bentuk seminar, wacana dan juga konvensyen bagi masyarakat:
Kem motivasi solat.
Kem pembelajaran yang berkesan.
Menyelesaikan isu rumah tangga.
Isu cinta remaja mengikut perspektif Islam.
Isu penyelesaian hutang.
Membina keluarga bahagia.
Membentuk generasi soleh.
Isu pembersihan dari sebarang bentuk pemikiran yang merosakkan seseorang Muslim sejati.
Wujudkan perpustakaan atau anjung ilmu bagi masjid di mana masyarakat boleh melepak padanya untuk menambah pelbagai maklumat dan membincangkan isu sebagai wadah percambahan pemikiran. Buku-buku ilmiah, cerita Islami dan majalah-majalah yang berunsur Islam disediakan sehingga masjid juga akan memberi ilmu kepada pengunjungnya.
Mungkin sebelum menutup perbahasan isu ini perlu difahami kenapa kecenderungan umat Islam meninggalkan masjid. Maka jawapannya kerana mereka merasakan bahawa masjid tidak lagi dapat memberikan sebarang manfaat dalam kehidupan mereka yang semakin kompleks. Justeru amat penting kita mengembalikan posisi peranan masjid sebagai pusat kegiatan umat Islam yang menyelesaikan kemelut permasalahan mereka sama ada kejiwaan, penyelesaian rumah tangga, dan pelbagai lagi.

Apabila masjid menjadi peneraju kebaikan dan masyarakat merasakan bahawa masjid sebagai penyelesai masalah kehidupan mereka hatta urusan kematian juga menjadi sebahagian tugasan masjid maka sudah barang tentu masyarakat akan kasihkan masjid.

Menarik Golongan Muda ke Masjid

Kami juga pernah mengulas berkenaan isu cara menarik golongan muda ke masjid dalam siri artikel kami sebelum ini. Kami kemukakan beberapa cadangan dalam isu tersebut, antaranya:

Libatkan orang muda dalam ahli Jawatankuasa masjid.
Wujudkan aktiviti yang bersifat mesra orang muda sama ada di masjid atau kawasan sekitarnya agar perasaan kasih kepada masjid sentiasa subur.
Adakan ceramah khas untuk orang muda yang menjawab isu berkaitan kehidupan yang dialami oleh mereka dan jalan penyelesaiannya. Sebagai contoh, isu cinta mengikut neraca syariat sebenar, isu membina keluarga bahagia, isu melunaskan hutang dengan sebaik mungkin dan lain-lain.
Wujudkan bahan bacaan di perpustakaan masjid yang meraikan kehendak orang muda.
Adanya kemudahan komputer dan capaian internet yang terpimpin untuk maklumat mereka berkaitan agama Islam.
Adakan majlis makan atau sembang santai dengan orang muda dalam uslub dakwah yang mengharmonikan, bukan meliarkan.
Bina beberapa team mengikut minat orang muda seperti chef masakan orang muda, team pengkaji sejarah, team perbincangan pemikiran semasa, team jahitan, team sukan, team motorbike, dan lain-lain lagi.
Bina tempat yang serasi dan selesa bagi orang muda seperti coffee corner dan juga terdapatnya wifi yang sentiasa dipandu dan dipimpin ke arah kebaikan.
Letakkan di mini perpustakaan majalah-majalah semasa terutamanya berbentuk Islamik atau info, begitu juga dengan buku yang berkaitan kisah-kisah dan penceritaan yang menarik, penuh dengan iktibar serta pengajaran.
Wujudkan laman yang mesra masyarakat terutamanya orang muda sebagai sudut terapi yang kemungkinan adanya kolam ikan, sentiasa rapi dan bersih sifatnya, sedap mata memandang.
Beri insentif kepada orang muda yang melazimi masjid dan aktif dalam kemasyarakatan di bawah anjuran masjid.[2]
Wujudkan tarikan seperti menyediakan khidmat penyelenggaraan motosikal seperti memberikan khidmat penukaran minyak hitam motosikal secara percuma kepada mereka yang datang berjemaah pada waktu solat Subuh. Begitu juga servis-servis lain seperti menukar penapis minyak, palam pencucuh, kabel brek, minyak gear dan sebagainya kerana kebanyakan minat anak muda adalah tertumpu kepada industri motosikal.
Justeru, ahli jawatankuasa masjid seharusnya memainkan peranan untuk menarik minat para pemuda dan memahami apa yang diminati mereka. Antaranya dengan memperbanyakkan aktiviti yang diminati mereka seperti menganjurkan aktiviti bersukan dan riadah.

Selain itu pihak masjid juga boleh menyediakan infrastruktur yang menjadi keperluan umat islam dan juga anak-anak muda seperti kemudahan teknologi, pusat kemudahan riadah dan pusat pendidikan bagi menarik minat masyarakat untuk menghadiri dan mengimarahkan masjid. Begitu juga dengan menjadikan masjid sebagai hub kemasyaratan untuk rujukan dan khidmat kepada masyarakat dengan mengadakan kursus pra-perkahwinan dan kelas tambahan secara percuma.

Teladan Daripada Masjid Contoh

Kami ingin mengajak para pembaca melihat kejayaan Masjid As-Salam, Puchong yang pernah dianugerahkan sebagai juara dalam Anugerah Masjid Malaysia.

Anugerah berprestij bagi masjid-masjid seluruh Malaysia ini adalah yang dinanti-nantikan bagi jawatankuasa masjid kerana ia memberi satu imej yang sangat baik kepada sesebuah masjid, dan juga kepada Islam itu sendiri. Ini kerana, masjid adalah salah satu daripada syiar Islam.

Menurut Nazir Masjid As-Salam, Hj Yasim Mohamed, untuk memakmur dan memasyarakatkan masjid, kita perlu kepada usaha yang gigih dan perancangan yang rapi. Kita hendaklah menjadikan masjid kita ini kepada dua keadaan :

Menjadikan masjid seperti besi magnet, iaitu mempunyai daya penarik kepada orang ramai supaya berminat berkunjung ke masjid. Semua pihak bertanggungjawab menyediakan bukan sahaja tempat ibadat yang selesa, tetapi kebersihan persekitaran dan keceriaan yang menarik, indah, kemas, tenang dan damai.
Menjadikan masjid seperti lilin, yang mana kewujudannya menyinari hidup masyarakat disekitar. Mereka yang susah dikenalpasti dan diusahakan bantuan. Mereka yang jarang datang ke masjid akan dapat merasakan kehadiran mereka ke masjid tertarik menerusi keramahan dan kemesraan ahli jawatankuasanya.
Setiap tuturkata dan tindak-tanduk para aktivis masjid perlulah sentiasa disandarkan kepada kesedaran bahawa kita sedang menjalankan amanah dan tanggungjawab dakwah. Setiap ahli kariah atau para jemaah lebih-lebih lagi para pegawai dan jawatankuasa masjid, hendaklah sentiasa mendukung penyuburan serta pengembangan Budaya Toleransi dan Budaya Perdamaian seperti yang digariskan di dalam Visi dan Misi Masjid As-Salam ini. Antaranya ialah:

Sentiasa beramah mesra, hormat-menghormati di antara satu dengan lain serta halus budi bicara.
Berfikiran terbuka dan jujur.
Mengenal keaiban diri dan menutup keaiban orang lain.
Sentiasa menekankan kecemerlangan.

Penutup

Sebagai perkongsian dan perincian, marilah kita sama-sama menghayati kata-kata Syeikh Dr. Mustafa al-Siba’i dalam perbahasan beliau tentang pembinaan Masjid Nabawi serta fungsi sebenar masjid. Semoga ada manfaatnya buat para pembaca yang budiman sekalian.

“Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, maka kerja yang pertama dilakukan adalah membina padanya masjid. Ini menunjukkan kepentingan masjid dalam Islam. Apatah lagi terdapat pada masjid itu mesej kemasyarakatan dan kerohanian yang besar kedudukannya dalam kehidupan muslimin. Masjidlah yang menyatupadukan mereka, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah dan di masjidlah dizahirkan kekuatan dan prinsip mereka.

Sejarah masjid dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada masjid juga diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk muslimin dan selain mereka. Di masjidlah bermula subur dan berkembangnya benih ketamadunan Islam. Tidaklah Abu Bakr, `Umar, Uthman, `Ali, Khalid, Sa`ad, Abu `Ubaidah dan seumpama mereka, yang merupakan tokoh-tokoh agung sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiyyah (sekolah Rasulullah SAW), yang bertempat di Masjid Nabawi.

Jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi kemasyarakatan kita. Jadikanlah masjid kembali memainkan peranannya dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemungkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah: Durus wa `Ibar, hlm. 74-75)

Akhir kalam, sekali lagi kami ingin menegaskan bahawa masjid merupakan jambatan antara manusia dengan Tuhannya dan juga sesama manusia sehingga terikatnya keampuhan ukhuwwah Islamiyyah dalam mentahqiqkan hablummnillah dan hablumminannas.

Jika hal ini dapat dilaksanakan, sudah tentu masjid akan dapat benar-benar diperkasakan dan akhirnya masyarakat menjadi cintakan masjid serta beramai-ramai mengimarahkannya. Ini sudah tentu akan mengurangkan isu jenayah dan memperteguhkan masyarakat dengan sikap bersatu padu sehingga layak dikhabarkan sebagai baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur.

Nota Hujung:

[1] http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=imarah&d=175768&#LIHATSINI

[2] Lihat Al-Kafi #1083: Bagaimana Menggalakkan Anak-Anak Muda Ke Masjid di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. [muftiwp.gov.my]

Posted on Leave a comment

BAYAN LINNAS SIRI KE-209: POLITIK DALAM ISLAM

Mukadimah

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Mutakhir ini kita melihat umat Islam semakin berminat mengambil berat berkenaan isu-isu politik. Pada asasnya, keperluan dalam mengetahui dan memahami politik semasa adalah satu tanggungjawab yang sewajarnya diambil berat bagi mereka yang mengaku sayang akan tanah tumpah darahnya. Pada hari ini kita amat memerlukan sebuah kefahaman yang sebenarnya bersumberkan kepada rujukan al-Quran dan al-Sunnah berkenaan dengan politik dalam Islam.

Hasil gambaran dan lakonan mereka yang berpolitik dengan cara yang tidak beretika dan tidak menurut lunas-lunas syarak menyebabkan sebahagian pemikir-pemikir Islam menganggap politik amat kotor dan hina seperti kata Badiuzzaman Said al-Nursi[1]: “Aku berlindung daripada syaitan dan siyasah.”

Walaupun begitu, Syeikh al-Islam yang terakhir bagi khalifah Uthmaniyyah, Syeikh Mustafa Sabri[2] menganggap wajib dan perlu bagi umat Islam memahami politik dan menempatkan diri di persadanya jika berkelayakan dan mempunyai sifat-sifat kepimpinan. Ini kerana ia termasuk dalam urusan menegakkan syariat dan Daulah Islamiyyah sebagaimana Baginda SAW mengasaskan Negara Islam Madinah.

Justeru itu, bertitik tolak dari itu, suka untuk kami memberi pencerahan serta penjelasan berkaitan politik berdasarkan kepada ajaran agama Islam yang kami tajukkan artikel ini dengan tajuk “Politik di dalam Islam.” Semoga penjelasan ini membuka minda kita serta memberi kefahaman secara menyeluruh perihal politik mengikut landasan syariat Islam yang sebenar. Amin.

Definisi Politik

Politik dalam Kamus Dewan ditakrifkan kepada beberapa takrif:

Pertama: Ia merupakan ilmu, ilmu (pengetahuan) berkenaan cara pemerintahan (dasar-dasar pemerintahan dan lain-lain), ilmu siyasah dan ilmu kenegaraan.

Kedua: Segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain.

Ketiga: Kelicikan, muslihat, tipu muslihat. Berpolitik pula ditakrifkan sebagai mengambil bahagian dalam politik, menjalankan (mengamalkan) politik.

Mempolitikkan pula ditakrifkan sebagai memasukkan ke dalam urusan politik, menjadikan sebagai urusan politik, menjadikan (sesuatu) kelihatan ada kaitannya dengan politik. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1223)

Perkataan politik berasal daripada kata akar polis dari Bahasa Greek, yang bererti negara, kota, dan kemajuan. Istilah politik dipopularkan oleh Plato dalam bukunya Politea dan Aristotle dalam bukunya Politicia. Politik merupakan istilah yang digunakan untuk membincangkan konsep pengaturan masyarakat.

Dalam bahasa arab, politik juga dikenali sebagai siasah daripada perkataan (سَاسَ يَسُوْسُ سِيَاسَةً) yang memberi maksud cara mengurus tadbir dan memerintah, mengurus atau mengatur perkara mengikut syariat Islam. Antara perkataan yang hampir seerti dengannya ialah:

Al-Khilafah (الخلافة)
Al-Imamah (الإمامة)
Al-Siyadah (السيادة)
Al-Riyasah (الرياسة)
Al-Qiyadah (القيادة)[3]
Berdasarkan disiplin ilmu-ilmu Islam, perbahasan politik dibincangkan di bawah bidang fiqh dan bukan di bawah perbahasan aqidah. Justeru, politik Islam sering dikenali sebagai al-Siyasah al-Syar’iyyah, Fiqh al-Siyasah al-Syar’iyyah, al-Ahkam al-Sultaniyyah, dan lain-lain lagi.

Keperluan Kepada Kepimpinan

Kami memulakan artikel ini juga dengan sabda Nabi SAW:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيُّ, وَإِنَّهُ لَا نَبِيَ بَعْدِي وَسَتَكُونُ خُلَفَاءُ تَكْثُر

Maksudnya: “Adalah bagi Bani Israil, mereka diuruskan urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada ramai para khilafah.”

Riwayat Bukhari (3455) dan Muslim (1842)

Imam Nawawi menyebut dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim antara lain berkata: “Bani Israil yang dipimpin oleh para nabi apabila wafatnya seorang nabi, akan diganti dengan nabi yang lain, yang menguruskan urusan mereka, bagi segala maslahah untuk mereka”. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 12/231)

Jawatan pemerintah tertinggi sangat penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar umat Islam. Oleh itu, pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam kerana sebab-sebab berikut:

Antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Kedudukan pemerintah di kalangan semua individu umat pula adalah umpama paksi pada sesuatu bulatan. Dialah yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan mereka melalui kepimpinannya. Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmoniaan keadaan. Ia turut dirasai oleh spesis haiwan dan ternakan.
Sebahagian besar pelaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penjaga, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya. Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya.
Dalam syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam imamah (pemerintahan) atau hukum-hakam siyasah syar’iyyah (politik Islam). Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syara’ tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum hakam dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam. Contohnya, sebahagian besar hukum hakam berkaitan sistem pengurusan kewangan, gerakan ketenteraan dan pengurusan tawanan. Jika tiada pemerintah yang berkemampuan dan berwibawa untuk menduduki jawatan ini, sudah tentu segala hukum-hakam ini akan terus tergantung tanpa dapat dilaksanakan.
Umat Islam sentiasa terdedah kepada kemunculan kumpulan pelampau di kalangan mereka yang menimbulkan ketidakstabilan dalam masyarakat Islam. Mereka didorong oleh hawa nafsu atau fahaman-fahaman sesat yang berselindung di sebalik nama agama atau pemulihan masyarakat.

Dalil Kewajipan Melantik Pemimpin

Sabda Baginda Nabi SAW:

لاَ يَحِلُّ لِثَلَاثَةٍ يَكُوْنُوْنَ بِفَلَاةٍ مِنَ الْأَرْضِ إِلَّا أَمَّرُوا أَحَدَهُمْ

Maksudnya: “Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.”

Riwayat Ahmad (2/177) dan Abu Daud (2608, 2609)

Ibn Taimiyah berkata: “Kalaulah diwajibkan memilih salah seorang sebagai pemimpin dalam jemaah yang paling sedikit (tiga orang) dan dalam kumpulan yang paling kecil, maka ini adalah peringatan tentang kewajipan tersebut bagi kumpulan yang lebih ramai.” (Lihat Kitab al-Hisbah, hlm. 11)

Telah ijmak para ulama tentang kewajipan melantik imam (pemimpin) sepertimana kata Imam al-Nawawi rahimahullah: “Telah ijmak para ulama bahawa wajib atas orang Islam melantik khalifah.” (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 12/205)

Ibn Khaldun berkata: “Melantik pemimpin adalah wajib dan kewajipan tersebut dapat diketahui dalam syarak dengan ijmak para sahabat dan tabiin kerana para sahabat Rasulullah SAW ketika wafatnya Baginda, mereka bersegera memberi taat setia kepada Abu Bakar RA dan menyerahkan kepadanya urusan mereka. Demikianlah pada setiap zaman dan perkara ini telah tetap sebagai ijmak yang menunjukkan kewajipan melantik pemimpin.” (Lihat al-Muqaddimah, hlm. 191)

Imam al-Ghazali[4] berkata:

الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ

Maksudnya: “Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.” (Rujuk al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 128)

Imam Mawardi[5] pula menyebut:

الإمَامَةُ مَوضُوعَة لِخلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةُ الدُّنْيَا بِه

Maksudnya: “Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.” (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 5)

Imam al-Haramain al-Juwaini[6] juga pernah berkata:

الإمَامَةُ رياسَةٌ تَامَّةٌ وزعامَةٌ تَتَعَلَّق بِالْخَاصَّةِ وَالعَامَّةِ فِي مهماتِ الدِّين وَالدُّنْيَا

Maksudnya: “Pemimpin utama adalah pemerintah yang sempurna dan kepimpinan berkaitan dengan khusus dan umum pada semua kepentingan agama dan dunia.” (Lihat Ghiyath al-Umam fi al-Tayas al-Zulam, hlm. 15)

Kewajipan melantik pemimpin juga dibuktikan dengan satu kaedah Syarak iaitu:

مَا لَا يَتِمُّ اَلْوَاجِبْ إِلَّا بِهِ ، فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Perkara yang tidak akan sempurna suatu kewajipan melainkan dengannya, maka ia adalah wajib.”[7]

Dalam menetapkan perkara ini, Saidina Ali bin Abi Talib RA berkata: “Manusia mesti mempunyai pemerintahan sama ada yang baik atau jahat.” Lalu ditanya kepada beliau: “Wahai Amirul Mukminin, yang baik telah sedia kami ketahui. Bagaimana pula dengan yang jahat itu?” Beliau menjawab: “Dengannya dapat dijalankan hudud, dengannya jalan-jalan juga akan aman, dengannya juga dapat berjihad menentang musuh dan dengannya juga dapat dibahagikan harta rampasan.” (Lihat Minhaj al-Sunnah, 1/548)

Imam Ahmad berkata: “Fitnah (berleluasa) apabila tiada pemimpin yang mengendalikan urusan manusia.” (Lihat al-Khallah, al-Sunnah 1/81, Kata muhaqqiq: Sanadnya Sahih)

Menolak Tohmahan Terhadap Sistem Politik Islam

Di sini dinyatakan sebahagian daripada salah faham terhadap politik dalam Islam.

Sistem pemerintahan tiada dalam Islam
Ada sebahagian tokoh Islam telah mengemukakan pendapat yang songsang dan menafikan sistem politik Islam dengan pelbagai hujahan yang amat lemah dan telah disanggah oleh sekian ramai para ulama.

Orang yang pertama menolak sistem politik Islam secara total dan cuba membuktikan bahawa syariat Islam adalah syariat yang bersifat spiritual semata-mata, yang datang untuk mengatur hubungan antara manusia dan Tuhan-Nya sahaja, tiada hubungan antara hukum dan politik, tugas Nabi Muhammad SAW tiada kaitan dengan pemerintahan serta perlaksanaannya dan tidak melebihi batasan penyampaian (dakwah), membawa berita gembira dan memberi amaran ialah Ali Abdul Raziq melalui bukunya “Islam dan Dasar Pemerintahan” yang dicetak pada awal April tahun 1925. Beliau mendapat tentangan yang hebat kerana ia bertentangan dengan dasar-dasar Islam, sebaliknya secocok dengan tujuan penjajahan Barat ketika itu.

Kemudian muncul pula Khalid Muhammad Khalid yang mengikut jejak Ali Abdul Raziq dalam meolak sistem politik Islam dalam bukunya “Dari Sini Kita Bermula”, tetapi kemudian dia menarik semula pendapatnya yang salah itu beberapa tahun kemudian dalam bukunya Negara dalam Islam. Walaupun begitu dikatakan Syeikh Muhammad al-Ghazali telah menolak buku tersebut dengan penghujahan yang begitu kuat.

Ali Abdul Raziq juga telah mengisytiharkan penarikan semula pendapatnya dalam majalah Risalah Islam dalam keluaran Mei 1951. Kedua-dua buku ini telah dijawab oleh sebahagian besar ulama. (Lihat Kitab al-Azhar Radd Hai’at Kibar al-Ulama ala Kitab al-Islam wa Usul al-Hukm)

Fahaman pemisahan politik dengan agama
Pemisahan politik dari Islam mula berlaku apabila kenyataan “biarkan urusan politik bagi maharaja dan urusan agama bagi Allah” diperkenalkan dalam masyarakat Kristian pada zaman kegelapan di Barat. Pemisahan ini dinamakan sekularisme.

Dunia barat memisahkan politik dari agama Kristian ketika itu sebagai protes terhadap penguasaan melampau pihak gereja dalam kedudukan harian masyarakat feudal. Apabila masyarakat Islam dijajah dan diresapi dengan pengaruh Barat serta merebaknya fahaman kebendaan, fikiran mereka mulai diracuni oleh fahaman sekular tersebut. Islam melarang keras umatnya berpegang kepada fahaman tersebut kerana bagi Islam, politik adalah suatu perkara yang perlu bagi menegakkan agama sebagai satu cara hidup yang sempurna.

Syarat dan Ciri Pemimpin Utama

Bagi individu yang menduduki jawatan pemerintah tertinggi, mereka mestilah memiliki sifat-sifat berikut:

Islam: Tidak sah melantik orang bukan Islam sebagai pemerintah. Ini kerana urusan pemerintahan adalah salah satu hukum syarak yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal umat Islam. Oleh itu, ia tidak boleh diserahkan kepada orang yang tidak meyakini hukum-hakam ini.
Matang: Oleh itu, tidak sah melantik kanak-kanak, orang bodoh dan yang seumpama dengan mereka sebagai pemerintah, walaupun mereka dikelilingi oleh para penasihat. Nabi SAW bersabda:
تَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِن إِمَارَةِ الصِّبْيَانِ

Maksudnya: “Pohonlah perlindungan Allah daripada diperintah oleh kanak-kanak.”

Riwayat Imam Ahmad (2/326)

Bersifat adil: Orang yang bersifat adil ialah orang yang tidak melakukan dosa besar seperti membunuh, berzina dan memakan riba. Dia juga tidak berterusan melakukan dosa kecil. Oleh itu pelantikan orang fasik adalah tidak sah. Orang fasik ialah orang yang tidak memenuhi syarat-syarat adil.[8] Bacalah sejarah Umar bin al-Khattab yang sanggup menghukum Muhammad bin Amru Ibn al-‘As (Anak gabenor Mesir) ketika mana beliau berlumba kuda dengan seorang qibti dan beliau kalah yang menyebabkan beliau menampar muka qibti tersebut seraya mendakwa, “aku anak orang yang mulia dan bangsawan”. Saidina Umar memanggil mereka berdua ke Kota Madinah dan melaksanakan hukuman kepada anak gabenor tersebut, seraya berkata: “Sejak bila kamu memperhambakan manusia sedangkan ibu-ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan merdeka dan bebas.” (Lihat Futuh Misr wa al-Maghrib oleh Ibn Abd al-Hakam, hlm. 195)
Mempunyai pengetahuan tentang hukum agama dan dalilnya. Pemerintah mestilah mengetahui hukum-hakam syarak dan dalil-dalilnya. Pengetahuan ini akan membolehkannya berijtihad ketika perlu. Ini kerana dalam syariat Islam terdapat banyak kes yang berlaku selepas kewafatan Rasulullah SAW dan hanya pemerintah Islam yang dapat memutuskan hukumnya. Benarlah kata Sayidina Umar R.A:
تَفَقَّهُوْا قَبْلَ اَنْ تُسَوّدُوْا

Maksudnya: “Hendaklah kamu belajar dan mendalami ilmu sebelum kamu diangkat menjadi ketua atau pemimpin.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (5/284)
dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1669)

Imam al-Bukhari menambah dengan katanya:

وَبَعْدَ أَنْ تُسَوَّدُوا ، وَقَدْ تَعَلَّمَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي كِبَرِ سِنِّهِمْ

Maksudnya: “Dan juga setelah kamu diangkat menjadi ketua dan pemimpin. Sungguh, para Sahabat Nabi SAW tetap belajar di usia tua mereka.” (Lihat Sahih al-Bukhari, hlm. 52)

Bijaksana dan berkefahaman menyeluruh. Sifat ini membolehkan seseorang pemerintah mampu mentadbir dan menjaga keselamatan negara dan rakyat daripada sebarang ancaman. Kebijaksanaan ini hanya dapat dikesan dan dinilai oleh mereka yang berpengalaman, ahli syura dan mereka yang pernah menjalankan tugas-tugas ini.
Ini kerana pemimpin yang bersabar sahaja dapat menyelesaikan masalah ummah dan layak menjadi ketua, benarlah firman Allah SWT:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami.

(Surah al-Sajdah: 24)

Ibn Kathir berkata: Iaitu tatkala mereka sabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan dalam menjauhkan larangan-larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah kami, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang makruf dan melarang kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/430)

Melaksanakan Syariah Islamiyah
Kami nukilkan pendapat Syeikh Fathi Yakan dalam bukunya Apa Ertinya Saya Menganut Islam yang berkata: Beramal untuk Islam adalah wajib dari sudut hukum kerana tidak berjalannya syariat Allah di atas muka bumi dan penguasaan sistem dan undang-undang ciptaan manusia ke atas masyarakat manusia hari ini mewajibkan umat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam. Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabdikan diri kepada Allah dari sudut keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka berdasarkan dalil dari al-Quran yang menyebut:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, Kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”.

(Surah al-Nisa’: 65)

Apabila menegakkan masyarakat Islam dan melaksanakan hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah itu hukumnya wajib, maka kerja-kerja yang membawa kepada kewujudan masyarakat Islam dan terlaksanakanya hukum Allah turut menjadi wajib.

Selain dari itu banyak kewajipan-kewajipan syariah yang pelaksanaan dan amalan bergantung kepada adanya Khalifah (Imam) sedangkan perlantikan khalifah itu sendiri sangat bergantung kepada wujudnya kekuasaan Islam. Oleh itu seluruh undang-undang yang berhubung dengan sistem-sistem Islam sama ada dalam bidang kemasyarakatan, ekonomi, siasah, malahan semua undang-undang yang berhubung dengan hukum, kanun keseksaan, damai, peperangan, jihad, genjatan senjata, perjanjian damai, muamalah, kemasyarakatan, ekonomi, semuanya ini dan lain-lain lagi adalah antara bidang-bidang Syariat Islam yang tidak mungkin terlaksana kecuali melalui sebuah negara yang teguh di atas dasar-dasar Islam.

Sahifah Madinah Sebagai Asas Perlembagaan

Kami sengaja mengemukakan isu perlembagaan Madinah supaya ianya difahami oleh umat Islam khususnya bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang politik dan kepimpinan.

Apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Kota Madinah, baginda SAW telah melakarkan sebuah piagam atau mithaq Madinah. Penggubalan ini sebagai lambang masyarakat madani dan bertamadun. Ia merupakan perlembagaan yang pertama dicatatkan secara lengkap dalam sejarah. Ia dirangka oleh nabi dengan petunjuk wahyu. Ia mengandungi sepuluh bab yang terdiri daripada 47 fasal, 23 daripada fasal tersebut adalah mengenai orang-orang Islam dan 24 lagi mengenai orang-orang yahudi.

Kandungan perlembagaan
Wahyu adalah undang-undang tertinggi bagi Negara Islam Madinah. Nabi Muhammad SAW diakui sebagai ketua Negara yang mesti dipatuhi dan dihormati. Tidak boleh bermusuhan diantara sesama Islam dan tidak boleh membantu orang bukan Islam membunuh orang Islam. Orang-orang Islam mestilah menganggap orang-orang Islam yang lain sebagai saudara mereka. Kebebasan beragama diberi kepada orang bukan Islam. Orang Yahudi boleh meneruskan amalan agama dan adat resam mereka. Mereka akan menerima layanan yang saksama tetapi mereka bertanggungjawab keatas keselamatan Madinah. Keadilan adalah diberi kepada semua pihak. Dalam sesetengah kes, ketua suku diberi hak untuk menyelesaikan masalah dalam suku mereka. Tetapi beberapa kes jenayah perlu dirujuk kepada nabi. Semua penduduk Madinah tanpa mengira agama dan bangsa adalah bertanggungjawab mempertahankan Madinah walaupun ia diancam oleh kaum sendiri.

Kepentingan Perlembagaan Madinah
Perlembagaan ini menjadi bukti bahawa Islam adalah agama dan politik. Dengan adanya perlembagaan ini dan tertubuhnya Negara Islam Madinah, maka lengkaplah Islam sebagai Ad-Din. Hal ini jelas menunjukkan bahawa nabi bukan sahaja seorang nabi dan rasul, tetapi seorang pemimpin yang unggul. Negara Islam yang ditegakkan oleh nabi merupakan Negara contoh dan usaha ini kemudiannya diperkukuhkan oleh sahabat nabi sehingga Madinah mungcul sebagai kuasa terulung di dunia.

Perlembagaan ini telah Berjaya menyatukan Madinah yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum. Ia telah mengatur hubungan antara mereka supaya mereka hidup dalam keadaan hormat menghormati dan bertanggungjawab. Oleh itu, mereka dapat hidup dalam suasana aman dan semua gejala buruk dapat dihapuskan.

Wasiat Pemimpin Dan Nasihat Ulama Berkenaan Kepimpinan

Kita dapati terlalu banyak mereka yang mewasiatkan kepada orang bawahan mereka untuk melaksanakan segala perintah Allah dan mentaati kepada mereka selama mana mentaati perintah Allah. Di sini kami mengemukakan dua bahagian:

Pertama: Wasiat Pemimpin

Antara nasihat mereka ialah:

Arahan Rasulullah SAW
Rasulullah SAW bersabda:

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ، فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: “Setiap orang Islam wajib mendengar dan mentaati dalam perkara yang dia sukai dan perkara yang dia benci, kecuali dia diperintah melakukan maksiat. Maka dia tidak boleh mendengar atau mentaati.”

Riwayat al-Bukhari (6725) Muslim (1839)

Imam al-Nawawi berkata: “Para ulama telah berijma’ bahawa wajib mentaati pemerintah dalam perkara yang bukan maksiat, dan haram mentaatinya dalam perkara maksiat.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 12/224)

Ucapan sulung Khalifah Abu Bakar RA
Antara lain apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau berkata: “Hai manusia. Sesungguhnya aku dilantik pemimpin di kalangan kamu dan aku bukanlah orang yang terbaik. Jika aku mentaati Allah, maka taatilah aku. Sebaliknya jika sekiranya aku derhaka, maka tiada ketaatan bagimu.”

Sheikh Muhammad al-Ghazali berkata, ucapan ini menggambarkan betapa tawaduknya Abu Bakar RA dan akan melemahkan golongan yang angkuh dan sombong.

Ucapan sulung Khalifah Umar bin al-Khattab RA
Dalam ucapannya selepas menjadi khalifah antara lain menyebut: “Aku menerima ujian dan kamu semua memberi ujian kepada saya. Saya menggantikan kepimpinan untuk kamu semua selepas sahabat saya (Abu Bakar RA). Sesiapa yang hadir, maka kita akan memberi khabar gembira dengan jiwa raga kita dan sesiapa yang tidak hadir maka urusannya adalah tanggungjawab orang yang mempunyai kekuatan dan amanah. Sesiapa yang berbuat baik, maka kami tambah kebaikannya dan sesiapa yang berbuat jahat, kami akan menghukumnya. Semoga Allah memberi ampun kepada aku dan kamu semua.”

Umar RA terkenal kerana ketegasan dan kekuatannya. Beliau juga merasakan perkara itu, lalu beliau berdoa: “Ya Allah, aku ini sangat keras, lembutkanlah. Aku lemah, berilah kekuatan. Aku bakhil, berikanlah sifat murah kepadaku.”

Beliau juga berkata kepada sahabat-sahabatnya: “Jangan kamu menyangka aku ini keras seperti pada zaman Nabi Muhammad SAW. Ini kerana aku adalah pengawal ke atas Baginda SAW dan pada masa Abu Bakar pula, aku juga pengawal kepadanya. Sekarang ini, aku memimpin dan aku adalah orang yang paling lemah di hadapan kebenaran.”

Kedua: Nasihat Ulama

Daripada Abi Ruqayyah bin Aus al- Dariy R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الدِينُ النَصِيحَةُ, قُلنَا: لِمَنْ؟ لِلَّهِ, وَلِكَتَابِهِ, وَلِرَسُولِهِ, وَلِأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ, وَعَامَّتِهِم

Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: “Untuk siapa?” Sabda Baginda, “Bagi Allah, Kitab-Kitabnya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan Masyarakat semuanya.

Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4994) dan Nasa’ie (7/ 156)

Pemimpin hendaklah mengerjakan apa yang telah dianjurkan supaya tidak dikeji orang atas perbuatannya sendiri sehingga tidak termasuk seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT:

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidaklah kamu berpikir?”

Surah al-Baqarah (44)

Dinyatakan dalam kitab al-Durrat al Gharra’ oleh al-Khirbiti; “Seseorang sultan, pertamanya mestilah mengetahui kadar kekuasaannya dan memahami bahayanya. Sesungguhnya kekuasaan itu merupakan sebahagian daripada nikmat Allah SWT. Sesiapa yang menunaikan haknya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan abadi yang tiada tandingannya. Tetapi barang siapa yang gagal melaksanakan haknya, dia akan memperoleh kesengsaraan yang tiada toloknya melainkan kekufuran kepada Allah SWT. Sekiranya demikian, maka tiada nikmat yang lebih tinggi daripada pemberian darjat sultan kepada seseorang hamba yang menjadikan satu saat daripada hidupnya seumpama keseluruhan hidup orang lain. Sesiapa yang tidak menyedari kebesaran nikmat tersebut akan menggunakannya dengan penuh kezaliman dan memuaskan hawa nafsunya. Mereka ini dibimbangi akan menjadi sebahagian daripada musuh Allah sebagaimana sabda Nabi SAW:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً ، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ ، إِلاَّ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Tiada di kalangan hamba yang diberikan kepimpinan untuk memimpin rakyatnya dan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya di bawah pimpinannya, melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga.”

Riwayat Imam al-Bukhari (7150) dan Muslim (142)

Allah SWT befirman kepada Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS apabila berdepan dengan Firaun:

فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ

Maksudnya: “Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, Mudah-mudahan ia ingat atau takut.”

(Surah Taha: 44)

Allah SWT berfirman:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Nahl: 125)

Kekerasan akan dibalas dengan kekerasan dan ia tidak akan memberi manfaat, malah yang disebaliknya akan berlaku. Ia akan memberi kesan yang lebih buruk kepada umat Islam.

Antara Contoh Nasihat Ulama

Nasihat Ibn al-Wasiti
Di dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah, jilid ke-12, Imam Ibn Kathir meriwayatkan bahawa Sultan Nuruddin Mahmud, salah seorang sultan Islam yang sentiasa melakukan qiyamullail pada malam hari dan berpuasa pada siang hari. Bahkan Imam Ibn Taimiyah pernah mengatakan tentang sultan ini; “Semoga Allah merahmati sultan yang satu ini.”

Sultan Nuruddin ini ditimpa oleh masa-masa kritis dan kelalaian, tatkala dia meminta kehadiran bala tenteranya di Damsyiq dan telah dilaksanakanlah pesta secara besar-besaran yang dihadiri oleh para amir (gabenor), para menteri, dan para panglima, serta khalayak ramai dan penduduk Damsyiq dalam suasana yang sangat ramai dan pesta yang sangat meriah. Ketika perayaan ini selesai, salah seorang ulama Islam yang bernama Ibn al-Wasiti masuk dengan pakaian sederhananya. Dia berdiri di hadapan sultan, lalu ia berkata: “Wahai sultan yang agung, dengarkanlah dengan baik terhadap janji Allah, Maha Raja Langit dan bumi.” Tiba-tiba orang ramai terdiam dan berhenti berpesta, mereka menunggu apa yang akan di ucapkan syeikh besar ini. Tuan syeikh itu berbicara kepada sultan ketika dia berada di atas singgahsana kerajaannya:

Wahai manusia yang tertipu, anggaplah dirimu,

Kini berada pada hari kiamat dan langit bergoncang,

Jika dikatakan: Nuruddin datang berserah diri,

Hati-hatilah engkau datang tanpa memiliki nur (cahaya).

Rakyat Cerminan Pemimpin

Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh Saidina Umar:

النَاسُ عَلَى دِينِ مُلُوكِهِمْ

Maksudnya: “Manusia adalah berdasarkan agama (cara hidup) pemimpinnya.”

Ucapan ini adalah menepati realiti kemasyarakatan dan inilah yang berlaku dalam kebanyakan kehidupan manusia. Justeru, dengan baiknya, pemimpin yang menjadi suri teladan, maka sudah barang tentu akan memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat dan orang bawahannya.

Pernah terjadi, rakyat di zaman Umar bin Abdul Aziz begitu kuat taat dan Qiamullail. Ini kerana kesan daripada beliau sendiri yang cintakan Qiamullail. Justeru, sesungguhnya pemimpin benar-benar dapat mempengaruhi rakyat dan mereka begitu gembira melakukan amalan mengikut apa yang dilakukan oleh ketua mereka.

Dalam satu kisah seorang pengembara melalui kawasan lereng bukit dan mendapati banyak anjing yang menjaga kambing-kambing. Kemudian diberitahukan kepadanya, bukannya anjing tetapi serigala yang bermain dengan sekumpulan kambing. Lantas beliau berkata: “Alangkah ajaibnya dan ini sudah pasti menunjukkan yang pemerintah negeri ini seorang yang adil sehingga serigala merasa kenyang dengan rezekinya dan kambing merasa selamat walaupun berhampiran dengan serigala.”

Pada ketika itu, negara Islam diperintah oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sememangnya terkenal dengan keadilan dan kewibawaan beliau.

Perkara yang Wajib Dijauhi oleh Pemimpin

Antara perkara yang semestinya dijauhi ialah:

Zalim
Ia bermaksud meletakkan sesuatu bukan pada tempat. Lebih parah daripada itu menzalimi dan menganiayai rakyat jelata dan orang bawahan mereka. Diriwayatkan bahawa Ibnu Taimiyyah pernah menyebut: Keadilan adalah asas kerajaan dan sesungguhnya Allah menegakkan negara yang adil sekalipun kafir dan tidak menegakkan negara yang zalim sekalipun Islam. Hal ini, dapat dilihat apabila negara barat yang cuba mengamalkan demokrasi tulen dapat menegakkan keadilan, boleh bertahan begitu lama. Sebaliknya, pemerintah yang zalim tumbang satu persatu kurang daripada 50 tahun seperti yang berlaku di negara-negara Arab pada masa kini.

Khianat
Allah amat membenci pemimpin yang mengkhianati hak rakyat kerana sudah pasti berlaku kepincangan dan keadilan dalam pemerintahan. Golongan pengkhianat biasanya akan mengundang pelbagai natijah buruk dan tidak baik. Hal ini berlaku di dunia lagi dan kadang-kadang sebelum menuju ke usia tua. Biasanya pengkhianatan berlaku kerana sedikit kepentingan duniawi yang dirasakan miliknya dan dia berhak untuk memperolehi kerana peluang terbuka dengan luas. Sesungguhnya ancaman Allah serta amarannya kepada pemerintah yang khianat melalui lisan Rasul-Nya begitu tegas.

Tamak
Perpatah arab menyebut sifat tamak adalah tidak kenyang dan sentiasa mahukan hak dan harta benda, sekalipun telah mendapat gaji yang besar dan lumayan. Termasuklah aktiviti perniagaan. Justeru, Umar Ibn Abdul Aziz menegah gabenor dan pegawai kerajaan daripada terlibat dengan aktiviti perniagaan.

Beliau menghantar surat kepada gabenornya dengan menegaskan bahawa pemimpin, gabenor atau pegawai kerajaan tidak boleh sama sekali melakukan sebarang aktiviti perniagaan. Ini kerana akiviti tersebut akan menyebabkan mereka sibuk dengan perniagaan dan akan berlakunya pilih kasih serta mendapat habuan daripada sumber yang kurang elok.

Beliau menganggap hal ini sebagai suatu tindakan yang paling besar dan jika dibiarkan akan boleh membawa kepada rosaknya pentadbiran dan pelbagai implikasi yang malang akan timbul. Hal ini diakui oleh Ibn Khaldun selepas lapan kurun melalui kenyataan yang benar dan hikmah yang tinggi nilainya, iaitu: “Sesungguhnya perniagaan daripada pemerintah boleh membawa mudharat terhadap rakyat dan menyukarkan berkenaan dengan hasil atau percukaian.” (Lihat Tarikh Ibn Khaldun, 1/346)

Sepuluh Asas Menjaga Kepentingan Rakyat

Dinyatakan di sini dari buku Sistem Politik Islam oleh Khalid Ali Muhammad Al-Anbary:

Apabila sesuatu perkara berlaku kepada orang ramai, dia hendaklah menganggap dirinya sebagai rakyat dan pemerintah ialah orang lain. Setiap sesuatu yang tidak disukai untuk diri sendiri juga mesti dielakkan daripada orang lain.
Jangan menganggap penantian seseorang yang memerlukan untuk mendapatkan pertolongan daripadanya sebagai satu kehinaan kerana Allah SWT telah memerintahkannya menyegerakan bantuan kepada yang memerlukan.
Jangan menghabiskan waktunya untuk kepuasan syahwat dan mesti berusaha agar sebahagian besar waktunya adalah untuk mentadbir hal ehwal kerajaan serta rakyat.
Berusaha sedaya upaya agar sesuatu perkara itu diperolehi dengan mudah dan penuh kemesraan. Rasulullah SAW telah berdoa untuk para umara’ dengan bersabda: “Ya Allah! Barang sesiapa yang dilantik menguruskan sesuatu perkara untuk umatku dan dia menyusahkan mereka maka engkau sukarkanlah urusan mereka tetapi sesiapa yang dilantik menguruskan sesuatu perkara untuk umat ku dan dia memudahkan mereka maka Engkau mudahkanlah urusannya.”
Berusaha sekadar tenaga dan kemampuannya untuk memperolehi kepercayaan dan restu rakyat terhadapnya berteraskan nilai-nilai syarak.
Jangan berusaha mendapat restu seseorang sehingga melanggar keredaan Allah SWT dan hendaklah mendahului tuntutan syarak terhadap kepentingan dirinya.
Sekiranya rakyat memerlukan hukuman, maka hendaklah berlaku adil tetapi sekiranya mereka memohon simpati maka hendaklah mengampunkan mereka dan tidak mengingkari sekiranya berjanji kepada mereka.
Berusaha merapati para ulama yang muttaqin (bertakwa) dan soleh untuk mendengar peringatan serta nasihat mereka.
Bersungguh meninggalkan sifat bermegah, bongkak dan garang.
Memastikan bukan sahaja dirinya tidak melakukan kezaliman tetapi juga perwakilan, anggota tenteranya serta semua yang dibawah pentadbirannya kerana kesan daripada kezaliman akan mempercepatkan keruntuhan sesebuah kerajaan.
Kemudian beliau berkata: Para raja mestilah memuliakan serta didekati oleh para pemikir dan pentadbir yang beragama, menerima nasihat serta syafaat mereka melalui mesyuarat dan perbincangan bersama mereka kerana ia boleh mengukuhkan kedudukan negara.
Selagi mana sepuluh asas tersebut dipelihara dalam pemerintahan, maka kekuatan kerajaan, kemakmuran serta keamanan akan semakin bertambah dan menghasilkan kesan yang positif serta keadilan yang boleh menundukkan hati-hati manusia.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Pada kesempatan ini suka kami tegaskan bahawa politik baru memerlukan satu tajdid siyasi yang lebih munasabah, bertanggungjawab, amanah, dan utamanya tuntutan Allah.

Pernah suatu ketika Fatimah, isteri Umar bin Abdul Aziz ditanya apakah kelebihan Khalifah Umar bin Abdul Aziz? Dia menjawab: “Beliau bukanlah lebih kuat daripadamu bangkit di tengah malam dan banyak berpuasa tetapi sebenarnya dia lebih takut kepada Allah daripadamu.” Inilah yang kita cari, pemimpin yang takut kepada Allah, bukan takut kehilangan kuasa dan jawatan.

Sudah sampai masanya kita meninggalkan politik balas dendam, seperti anjuran Baginda SAW saat kota Mekah dibuka pada tahun 8H. Baginda SAW bertanya kepada mereka: “Apakah yang kamu sangka aku lakukan kepada kamu?” Jawab mereka: “Saudara yang mulia daripada anak saudara yang mulia.” Lantas Baginda bersabda: “Pergilah kamu semua dalam keadaan yang bebas.”

Inilah pemimpin yang berjiwa besar tanpa berasa hati dan dendam kesumat. Dan inilah sejarah yang patut ditulis dengan tinta emas, sikap dan sifat yang dipamerkan oleh manusia agung seperti Rasulullah SAW ini.

Para ulama yang benar-benar ikhlas tanpa melihat kepada kepentingan diri, sedikit habuan dunia untuk diperolehinya perlu ada dalam mengimbangi politik suci dan bersih. Sebagai contoh zaman salaf al-soleh terlalu ramai tokoh yang benar-benar ikhlas menasihatkan kepada pemerintah seperti yang dilakukan oleh Raja’ bin Haiwah, Abu Hazim al-A’raji, Ubaidillah bin Abdillah bin Utbah bin Mas’ud, Ata’ bin Abi Rabah, Tawus bin Kaisan dan ramai lagi.

Sudah sampai masanya pemilihan calon yang akan meneraju kepimpinan adalah dari kalangan yang benar-benar menepati syarat yang telah ditetapkan oleh Islam antaranya kuat, berilmu, dan beramanah. Inilah yang disebut oleh seorang anak perempuan kepada bapanya:

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.

(Surah al-Qasas: 26)

Al-Maraghi berkata: “Tidak syak lagi, dakwaan wanita itu merupakan dakwaan yang padu dan mengandungi hikmah. Ini disebabkan kedua-dua sifat ini, iaitu kepercayaan dan kekuatan, jika ada pada setiap pekerja, maka dia akan mendapat keuntungan dan keberhasilan.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/5127)

Dalam istilah kontemporari, al-Amin juga boleh di rujuk sebagai integriti. Manakala al-Qawiy sebagai kompetensi. Dengan sifat profesional, seseorang itu akan mempunyai kepakaran dan keterampilan dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan dalam bidang-bidang pengurusan, pentadbiran, pendidikan, dan lain-lain.

Ketika itu, insha Allah akan tertegaklah negara yang diturunkan berkat oleh Allah dari langit dan bumi. Seterusnya ia layak mendapat gelaran ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur.’

Penutup

Pernah suatu ketika rakyat Saidina Ali bertanya: Wahai Amirul Mukminin, kenapa zaman kamu tidak sepertimana zaman Umar R.A, di mana rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai penuh ketaatan kepada Allah SWT?” Jawab Saidina Ali: “Zaman Umar, rakyatnya adalah seperti aku. Sedangkan zaman aku, rakyatnya seperti kamu.”

Hubungan rakyat dengan pemerintah adalah hubungan dua hala; kewajipan pemerintah ke atas rakyat adalah berlaku adil ke atas mereka dan memelihara hak-hak mereka, manakala rakyat pula wajib memberikan kerjasama yang baik dalam sama-sama membangunkan negara dengan mentaati peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Semoga kita semua beroleh kefahaman berkenaan dengan isu sistem politik dalam Islam dan kita dikurniakan ilmu dan kefahaman yang jelas dalam menjalan titah perintah-Nya sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Amin.

Nota Hujung:

[1] Beliau ialah Badiuzzaman Said Nursi bin Mirza. Beliau dilahirkan pada tahun 1877 Masihi bersamaan 1294 Hijrah di sebuah kampung bernama Nurs, sebuah perkampungan kecil di daerah Khizan (Hizan) dalam wilayah Bitlis di Timur Turki. Beliau juga terkenal dengan panggilan ‘Said al-Nursi’ merujuk kepada tempat kelahirannya (desa Nurs). “Badiuzzaman” merujuk kepada panggilan atau gelaran terhormat yang diberikan oleh syeikh muktabar kepada beliau atas keupayaan luar biasa beliau dalam menghafal dan mengingati sesebuah buku dalam masa yang singkat, di samping kemahiran berfikir serta kekayaan ilmu yang ada pada diri beliau.

[2] Syeikh Mustafa Sabri dilahirkan pada tahun 1869 di bandar Tokat yang terletak di kawasan Anatolia Laut Hitam. Zaman kelahiran beliau adalah zaman yang menyaksikan Khilafah Othmaniyyah sedang merudum runtuh oleh seribu satu sebab yang ada pada masa itu. Pada tahun 1908, Syeikh Mustafa Sabri telah menjadi wakil rakyat bagi bandar Tokat di Meclis-i Mebusan iaitu Parlimen Kerajaan Othmaniyyah. Jawatan ini terhasil selepas kelantangan beliau menyuarakan pendapatnya di Majlis Tempatan Tokat, kampung halaman kelahiran beliau.

Apabila Parti Hürriyet ve İtilaf memperolehi kuasa pemerintahan pada tahun 1919, kerajaan telah dibentuk di bawah kepimpinan Damad Farid Pasha. Syeikh Mustafa Sabri telah dilantik pada tahun 1920 menjadi Syeikh al-Islam. Mustafa Sabri kemudiannya dikenali sebagai Syeikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi (gelaran Efendi diberikan mengikut tradisi kerajaan Othmaniyyah kepada ilmuan agama).

Semasa Perdana Menteri ketika itu melawat Paris bagi menghadiri suatu perhimpunan di sana, Mustafa Sabri telah dilantik sebagai pemangku yang mempengerusikan kerajaan. Semasa inilah pertembungan pendapat dan perbezaan fahaman telah meruncing di antara Mustafa Sabri dengan menteri-menteri yang lain sehingga beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Syeikh al-Islam dan kemudiannya menubuhkan partinya sendiri yang juga dikenali sebagai Parti Hürriyet ve Itilaf tetapi Mu’tadil iaitu yang sederhana dan adil. (Lihat Pedang Ummah di Ambang Jatuhnya Khilafah: Mustafa Sabri oleh Hasrizal Abdul Jamil)

[3] Menurut pendakwah terkenal masa kini, Dr Tariq Suwaidan, kepimpinan adalah kebolehan dalam menggerakkan orang lain ke arah matlamat (yang ditetapkan). Menurut beliau, terdapat lima cara utama untuk menggerakkan mereka, iaitu:

Beri dorongan (seperti dengan kedudukan, wang, syurga dan sebagainya).
Gunakan ancaman (seperti jika tidak melakukan sesuatu perkara ini, kamu akan didenda). Pekerja akan memberi respon terhadap ancaman.
Gunakan teknik pengucapan yang baik.
Kebolehan untuk mempengaruhi dan meyakinkan.
Dengan menjadi contoh ikutan yang baik. (Lihat What Is Leadership? oleh Dr Tareq al-Suwaidan)
[4] Abu Hamid al-Ghazali yang juga dikenali sebagai Algazel di Dunia Barat, adalah salah seorang ilmuwan Islam. Beliau juga merupakan seorang wali Allah yang besar dan lebih dikenali umum sebagai seorang tokoh pemikir Islam serta disepakati oleh para ulama’ sebagai al-mujaddid untuk kurunnya. Nama penuhnya Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad, dan nama gelaran nisbahnya al-Ghazali al-Tusi. Nama panggilannya (kunyah) pula Abu Hamid. Di antara nama-nama gelaran lain yang telah diberikan kepadanya ialah Hujjatul-Islam, Siraj al-Mujtahidin dan Zain al-‘Abidin. (Lihat Wikipedia Ensiklopedia Bebas)

[5] Imam al-Mawardi dilahirkan di Basrah pada tahun 364 Hijrah. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang sememangnya cinta kepada ilmu pengetahuan. Sejarah telah menunjukkan bahawa al-Mawardi pernah dilantik memegang jawatan kadi di beberapa buah negeri seperti di Kurat, di negeri Naisaburi sehingga beliau digelar Qadi al-Qudha. Al-Mawardi merupakan seorang ulama yang terulung dan faqih bermazhab Syafie. Beliau dianggap sebagai pemikir dan tokoh politik kenegaraan yang paling menonjol semasa pemerintahan kerajaan Abbasiyyah. Beliau juga alim dalam bidang tafsir, usul fiqh dan ilmu kemasyarakatan. Al-Subki telah menyifatkannya dalam Tabaqat al-Syafieyah al-Kubra sebagai seorang ulama yang telah mencapai tahap keilmuan yang tinggi, merupakan tokoh mazhab yang terkenal dan pakar dalam segala bidang ilmu.

[6] Nama beliau Abd al-Malik ibn Abi Muhammad Abdillah bin Yusuf bin Abdillah bin Yusuf bin Muhammad bin Hayyawiyyah al-Juwainiy dan kunniyah beliau adalah Abu Ma’aliy. Al-Juwainiy adalah nisbah kepada Juwain iaitu salah sebuah kampung yang terletak di Naisabur. Beliau telah lahir pada awal tahun 419 Hijrah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi. Tambahan pula, beliau bermazhab al-Syafi’e dan beraqidah ahli sunnah. Adapun, antara gelaran beliau yang masyhur adalah al-Faqih al-Syafi’e, Dhiya’ al-Din dan beliau juga dikenali sebagai Imam al-Haramain iaitu imam dua tanah haram (Makkah dan Madinah). Ini kerana, beliau menetap di Haramain ketika keluar dari kampung halamannya ke al-Hijaz iaitu di Makkah dan Madinah selama empat tahun mengajar dan memberi fatwa. (Lihat Siyar a’lam al-Nubala’, 14/17)

Antara pujian yang diberikan kepada Imam al-Haramain ialah daripada Al-Qadhi Abu Said al-Tabari yang berkata: “Beliau adalah imam di Khurasan dan Iraq, disebabkan kelebihannya dan terkehadapannya dalam bermacam-macam jenis cabang ilmu.” Syeikh Abu Ishak al-Syirazi memujinya dengan menyebut: “Wahai pemberi manfaat terhadap orang-orang di timur dan barat. Telah mendapat manfaat daripada ilmumu generasi terawal dan kemudian.”

[7] Sebenarnya wajib tersebut tertawaqquf berdasarkan syarat, jika terhasilnya syarat maka wajiblah. Jika tidak, maka tiada suatu pun yang akan diwajibkan ke atas mukallaf seperti firman Alah SWT, yang mafhumnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” Maka wujudnya haji disyaratkan dengan kemampuan iaitu cukup bekalan dan kenderaan yang menyampaikan ke Mekah dengan selamat. Siapa yang tertahqiq syarat tersebut maka wajiblah haji. Sebaliknya siapa yang tidak mampu, maka tidak wajib ke atasnya. Maka jadilah ia seperti mukaddimah atau permulaan kewajiban bukan sebagai kewajiban. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 1/223)

[8] Dr. Khalid Ali Muhammad al-Anbari di dalam kitabnya Sistem Politik Islam berkata: Sesiapa yang tidak memiliki sifat tersebut akan jatuh ke dalam gaung kesesatan dan kejahilan serta mengikut hawa nafsu mereka dan ini akan memberi kesan terhadap perintah Allah SWT dan hamba-Nya. Ini kerana orang yang tidak bersifat adil dan wara’ tidak akan mempedulikan arahan al-Quran dan al-Sunnah. Begitu juga dia tidak akan menghiraukan urusan orang ramai kerana dia telah dilantik untuk menguruskan hal ehwal mereka, serta melaksanakan hukum amar ma’ruf dan nahi munkar kepada mereka.

Posted on Leave a comment

STOP DAMAGING AND DESTROYING MOSQUES IN XINJIANG (EAST TURKISTAN) IN PARTICULAR AND IN CHINA IN GENERAL

We hereby launch the Save the Mosque Campaign in Xinjiang (East Turkistan) and in China as a whole.

We reaffirm our serious concern over the actions of the Chinese government which has launched the Sinosization agenda of religion and Islamic houses of worship in particular.

We reject outright the Chinese government’s campaign that systematically and intentionally changes the Uyghur cultural heritage in the Xinjiang Autonomous Region (XUAR) as well as eroding Islamic elements to be subjugated to China’s image completely.

We are aware that the abundance of information about the removal of thousands of mosques , that can be traced from statelite imagery, however is still denied by China.

But the number of mosques that were either destroyed or damaged is still a fact that cannot be easily ignored.

A thorough study by bodies such as International Cyber ​​Policy from the Australian Strategic Policy Institute in 2020 as well as Ughurism.com with the Uyghur Human Rights Project in 2019, specifically revealing about the destruction of mosques in Xinjiang and many other provinces in China, shows some hard concrete evidence that is difficult to denied.

From the study carried out, many mosques were detected to have been destroyed or damaged by the Chinese authorities.

According to the study report, using satellite images, an estimated 16,000 mosques in Xinjiang (65% of the total number of mosques) have been destroyed or damaged as a result of Chinese government policy, most since 2017. An estimated 8,500 were destroyed in total, and for most mosque sites which was destroyed, the land is still empty.

Another 30% of the sacred Islamic locations (shrines, cemeteries, roads to places of pilgrimage of many Muslims, including those protected by Chinese law, have also been destroyed since 2017.

From the claim that there are 24,000 mosques in China, the study revealed that the mosques had been destroyed including the mosque dome which was removed because the Chinese did not allow Islamic symbols to be displayed.

Meanwhile, the report also revealed that many mosques were closed and also included some mosques that were converted into cafes.

In addition, there are mosques whose structure has been changed to have a more Chinese image to meet the characteristics and requirements of the country’s national culture.

We are of the opinion that the agenda of removing the religious symbols of Islamic culture in China is not only against the Universal Declaration of Human Rights but also against the constitution of the Chinese state itself.

We oppose the Chinese government’s harsh intervention approach that seeks to radically change the identity of the Mosque and Islamic culture among Uyghurs in particular and Muslims in general in Xinjiang and other Chinese Provinces.

It is a totally unacceptable act to target the Mosque in China’s agenda of hunting down so-called Uyghur terrorists and separatists.

The attitude of the Chinese government’s prejudice against Muslims with its harsh approach and disregard for rights and justice is no different from the attitude of deep Western powers with baseless Islamophobic sentiments.

We also deeply regret and condemn the damage and destruction of places glorified by Muslims such as Islamic cemeteries and shrines.

Reports of the Quran being burned and religious schools being ordered to close also signal extreme action to completely eradicate Islam in China.

We urge the Chinese government to allow an independent investigation to be conducted to determine the truth of the incident.

It is a mistake for the Chinese government to think that the sanctity of Islam can be erased by acting in an extreme way. But Muslims will not compromise on rights violations and oppression by the Chinese government.

We remind the Chinese government that its attitude of oppressing the rights of Uyghur Muslims and other minority Muslims in China will not be left without a proper response.

Mosques belong to all Muslims. Damaging and destroying Mosques in Xinjiang and elsewhere means an assault on the sensitivities of Muslims around the world.

It is our responsibility to speak out and express our opposition when any Mosque is invaded , let alone insulted.

The Chinese government needs to understand the actions it takes when it comes to the dignity of Islam because the patience of Muslims has limits.

We demand:

The Chinese government immediately stopped any plan of action to damage and destroy mosques and Islamic holy sites.
The OIC and all leaders of Islamic countries pressure the Chinese government to report and ban any operation to damage mosques and the destruction of the Islamic cultural heritage of the Uyghur community in Xinjiang and Muslims throughout China.
International bodies such as UNESCO and ICOMOS should act to investigate and declare the demolition of houses of worship and prevent the functioning of houses of worship is contrary to international law.
Demand that the Chinese government replace the destroyed mosques to its original place or in a suitable location according to the needs and wishes of Muslims.
The Chinese government refers to Article 4 and Article 36 of the country’s constitution to protect the cultural heritage of Uyghurs and freedom of religious belief. The Chinese government must also apply the 1984 Provincial Ethnic Autonomy Law in Xinjiang. We launched this campaign so that international agencies under the UN such as UNESCO acts to protect cultural and religious rights in China.
We also demand that all mosques around the world unite to take steps to protest against the destruction of mosques in China.
Urge all scholars around the world to rise and protest against the unfair and brutal treatment of Muslims by the Chinese government.
All leaders of various religions must unite to voice opposition to the destruction of any house of worship and the desecration of religious symbols in China.
Mohd Azmi Abdul Hamid

President of the Consultative Council of Islamic Organizations of Malaysia

MANAR-SHURA World Mosque Empowerment Network Coordinator

President Secretariate Insof Dunia

Endorsed by :

▪Datuk Seri Syekh Ahmad Awang, Chairman of MANAR

▪Datuk Wira Syekh Abdul Ghani Samsudin Chairman of SHURA

▪Datin Amanah Zakaria, Chairman of SALIMAH

▪Dr Mohammad Fawzi Zakaria, Director Advocacy for Justice and Peace Institute

▪Malaysia for Uyghur

▪Ummah Care

▪Caring Human Care

▪Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs

▪SEJAGAT Malaysia

▪Ikatan Muhibbah Indian Muslim

▪Malay empowerment Teras

▪International Relief and Humanitarian Outreach

▪Malaysia Kashmir Youth Movement

▪Dhuafa Care and Community Empowerment Association

▪Islamic Information Services.

Posted on Leave a comment

Thousands of Xinjiang mosques destroyed or damaged, report finds

Thousands of mosques in Xinjiang have been damaged or destroyed in just three years, leaving fewer in the region than at any time since the Cultural Revolution, according to a report on Chinese oppression of Muslim minorities.

The revelations are contained in an expansive data project by the Australian Strategic Policy Institute (ASPI), which used satellite imagery and on-the-ground reporting to map the extensive and continuing construction of detention camps and destruction of cultural and religious sites in the north-western region.

Nanyuan Street mosque – 2017 and 2018
The thinktank said Chinese government claims that there were more than 24,000 mosques in Xinjiang and that it was committed to protecting and respecting religious beliefs were not supported by the findings, and estimated that fewer than 15,000 mosques remained standing – with more than half of those damaged to some extent.

“This is the lowest number since the Cultural Revolution, when fewer than 3,000 mosques remained,” the report said.

China has built 380 internment camps in Xinjiang, study finds

It found around two-thirds of the area’s mosques were affected, and about 50% of protected cultural sites had been damaged or destroyed, including the total destruction of Ordam mazar (shrine), an ancient site of pilgrimage dating back to the 10th century.

Since 2017, an estimated 30% of mosques had been demolished, and another 30% damaged in some way, including the removal of architectural features such as minarets or domes, the report said. While the majority of sites remained as empty lots, others were turned into roads and car parks or converted for agricultural use, the report said.

Ordam mazar – Satellite images from 2013 and 2019
Some were razed to the ground and rebuilt at a fraction of their former size, including Kashgar’s Grand Mosque, built in 1540 and granted the second-highest level of historic protection by Chinese authorities.

Areas that received large numbers of tourists, including the capital, Urumqi, and the city of Kashgar, were outliers, with little destruction recorded, but ASPI said reports from visitors to the cities suggested the majority of mosques were padlocked or had been converted to other uses.

ASPI said it compared recent satellite images with the precise coordinates of more than 900 officially registered religious sites which were recorded prior to the 2017 crackdown, then used sample-based methodology to make “statistically robust estimates” cross-referenced with census data.

Revealed: new evidence of China’s mission to raze the mosques of Xinjiang
Read more
Beijing has faced consistent accusations – backed by mounting evidence – of mass human rights abuses in Xinjiang, including the internment of more than a million Uighurs and Turkic Muslims in detention camps, the existence of which it initially denied before claiming they were training and re-education centres. The camps and other accusations of abuse, forced labour, forced sterilisation of women, mass surveillance and restrictions on religious and cultural beliefs have been labelled as cultural genocide by observers.

Beijing strenuously denies the accusations and says its policies in Xinjiang are to counter terrorism and religious extremism, and that its labour programmes are to alleviate poverty and are not forced.

The ASPI report said: “Alongside other coercive efforts to re-engineer Uighur social and cultural life by transforming or eliminating Uighurs’ language, music, homes and even diets, the Chinese government’s policies are actively erasing and altering key elements of their tangible cultural heritage.”

Interventions on minority ethnic cultures and communities have increased under the leadership of Xi Jinping. In recent weeks it was revealed authorities have also vastly expanded a forced labour programme in Tibet, and policies to reduce the use of the Mongolian language in Inner Mongolia. Government terminology frequently describes a need to transform the “backwards thinking” of the targeted cultural groups.

Posted on Leave a comment

China, Uyghur dan inisiatif ‘Belt and Road’

PENINDASAN dan kezaliman terhadap bangsa Uyghur bukanlah satu perkara yang baharu malah menjadi isu antarabangsa yang menghantui Kerajaan China. Kerajaan China sejak sekian lama telah melakukan dasar penindasan terhadap orang-orang Islam berbangsa Uyghur di wilayah otonomi Xinjiang di Barat Laut China di atas sebab Komunisme yang menjadi dasar dan ideologi Kerajaan China tidak menerima sebarang agama melainkan ketaatan dan kepercayaan kepada prinsip Komunisme.

Penindasan ini makin berleluasa sejak 2016 apabila Setiausaha Parti Komunis China, Chen Quanguo berpindah dari wilayah otonomi Tibet ke wilayah otonomi Xinjiang. Namun sebenarnya, bukan bangsa Uyghur sahaja yang mengalami nasib buruk akibat Islam yang menjadi agama anutan bangsanya, ia juga berlaku di Henan dan Ningxia, dua buah wilayah yang majoritinya penduduknya beragama Islam dari bangsa Hui.

Namun bangsa Uyghur adalah yang paling dizalimi dan ditindas sekaligus mendapat liputan meluas di seluruh dunia terutamanya di kalangan Dunia Islam. Penindasan oleh Kerajaan China terhadap bangsa Uyghur mendapat kecaman hebat dari seluruh dunia yang menyaksikan berpusu-pusu media antarabangsa cuba untuk menyusup masuk ke wilayah otonomi Xinjiang untuk mengetahui keadaan sebenar. Kerajaan China sedaya upaya cuba menutup ruang agar perkara sebenar tidak diketahui dunia tetapi tidak mampu menyekat maklumat dari tersebar.

Akhirnya, benar dan terbukti penindasan dan kezaliman telah berlaku malah lebih buruk daripada jangkaan masyarakat antarabangsa.

Wilayah Xinjiang

Xinjiang yang terletak di bahagian Barat Laut China adalah sebuah wilayah otonomi di China namun hakikatnya Xinjiang dikekang dan dihadkan kuasa pentadbirannya oleh kerajaan China. Walaupun secara realitinya Xinjiang patut mentadbir wilayahnya sendiri tetapi akibat cengkaman dari Kerajaan China, segala urusan pentadbirannya sekarang berada dibawah Kerajaan China.

Demografi wilayah Xinjiang telah melalui perubahan ketara sejak 70 tahun yang lalu. Pada tahun 1945, kaum Uyghur mewakili 75 peratus daripada penduduk di Xinjiang tetapi kini telah menurun kepada 45 peratus. Manakala kaum Han yang hanya berjumlah 9 peratus pada tahun 1945 kini mencapai 40 peratus daripada penduduk di wilayah Xinjiang. Penurunan tersebut terjadi akibat beberapa tindakan Kerajaan China yang berusaha mengurangkan jumlah penduduk berbangsa Uyghur sekaligus mengurangkan pengaruh Islam di wilayah Xinjiang.

Tindakan Kerajaan China bukan semata-mata hanya untuk mengekang pengaruh Islam dan bangsa Uyghur tetapi Xinjiang juga sebenarnya kaya dengan sumber alam, berkedudukan strategik serta mampu menjadi pusat pelaburan dan pembangunan. Xinjiang sebenarnya mempunyai limpahan simpanan minyak dan gas serta arang batu yang cukup banyak di perut buminya. Kedudukan Xinjiang yang bersebelahan dengan Asia Tengah juga sesuai untuk dijadikan hub perdagangan utama ke Asia Tengah mahupun ke Asia Barat.

Siapakah bangsa Uyghur

Bangsa Uyghur yang majoritinya beragama Islam berasal daripada sebuah wilayah di Negara China iaitu Xinjiang, atau lebih dikenali sebelum ini sebagai Turkistan Timur, dengan populasinya hampir 45 peratus daripada keseluruhan penduduk di Wilayah Xinjiang.

Muslim Uyghur asalnya adalah penduduk majoriti (95 peratus) Turkistan Timur yang dijajah oleh kerajaan Komunis China pada 1949, dan nama wilayah ini kemudiannya ditukar kepada Xinjiang yang kini berada di bawah cengkaman mereka. Penindasan yang dilakukan bukan sahaja kepada agama, bahkan kepada bahasa dan budaya Uyghur (bahasa Turki, agama Islam, budaya yang tersendiri).

Turkistan Timur adalah tanah air asal bangsa Uyghur yang berbahasa Turki dan orang-orang Asia Tengah lain seperti Kazaks, Kyrgyz, Tatar, Uzbek, dan Tajik. Mengikut data terkini Kerajaan China, Xinjiang mempunyai kira-kira 12 juta rakyat Uyghur. Walau bagaimanapun, sumber Uyghur menunjukkan bahawa penduduk Uyghur di Turkistan Timur adalah sekitar 20 – 30 juta orang.

Dari sudut sejarahnya, Turkistan Timur adalah sebahagian daripada Asia Tengah dan bukan dari China. Rakyat Turkistan Timur juga bukan berasal dari China, mereka adalah sebahagian daripada Turki yang berasal dari Asia Tengah.

Apa yang sedang berlaku kepada Uyghur

Nasib orang-orang Uyghur yang ditindas dan dizalimi di China bukanlah satu perkara yang tidak diketahui oleh masyarakat dunia. Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa seperti Amnesty International and Human Right Watch (HRW) telah sekian lama menyiasat dan menyiapkan laporan kemudian menyerahkannya kepada PBB. Laporan tersebut mendedahkan mengenai kem-kem yang dibangunkan untuk menempatkan jutaan rakyat Uyghur secara paksaan.

Mereka ditahan tanpa sebarang kesalahan, pertuduhan mahupun dibicarakan. Kesemua mereka dimasukkan ke kem-kem untuk didoktrinasi serta dipaksa untuk memberikan kesetiaan kepada Presiden China Xi Jinping. Malah doktrinasi tersebut dikatakan untuk menghilangkan identiti bangsa dan agama mereka. Malah boleh dikatakan keadaan di kem tersebut tidak ubah seperti penjara untuk tahanan perang.

China dikatakan telah melakukan penangkapan di bawah pertuduhan memerangi ekstremisme agama. Namun setelah sekian lama terdapat beberapa tahanan yang berjaya melarikan diri daripada kem tahanan tersebut dan secara terbuka menuduh Kerajaan China sedang melakukan pembersihan etnik, budaya dan agama ke atas bangsa Uyghur di Xinjiang dalam beberapa temu ramah dengan media massa antarabangsa.

Mengikut keterangan yang diberikan oleh wakil daripada East Turkistan Education and Solidarity Association yang berpangkalan di Istanbul, Turki ketika berada di Kuala Lumpur pada Januari 2020 baru-baru ini, keadaan terkini yang berlaku kepada bangsa mereka amat menyedihkan. Mereka mendedahkan butiran-butiran penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh Kerajaan China terhadap bangsa Uyghur di Xinjiang yang pada hemat saya amat tidak berperikemanusiaan dan cukup zalim.

(1) Kem pengasingan berskala besar

Dianggarkan lebih satu juta kaum Uyghur telah ditangkap dan dikurung di ribuan kem yang dibina di serata Xinjiang, China. Kerajaan China berulang kali menafikan kewujudan kem-kem tersebut dan mereka memaklumkan ianya hanyalah pusat-pusat ‘Transformasi melalui Pendidikan’ secara sukarela.

Tetapi melalui channel Youtube ‘War On Fear’ yang memuat naik sebuah video rakaman Drone menunjukkan ratusan mangsa iaitu kaum Uyghur telah di gari dan ditutup mata dengan keterangan ‘penindasan jangka panjang hak asasi manusia dan kebebasan oleh pemerintahan China di Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur’.

Rangkaian berita antarabangsa BBC turut mendedahkan rakaman–rakaman video penyusupan wartawan mereka masuk ke wilayah Xinjiang sambil merakamkan kem-kem tahanan terbabit. Malah BBC turut menyiarkan video rakaman rahsia keadaan didalam kem tersebut yang cukup menghibakan. BBC juga turut mendedahkan terdapat dokumen sulit yang mendedahkan perancangan Kerajaan China berkenaan kem-kem tahanan terbabit berserta fungsinya.

(2) Kaum wanita dimandulkan

Mengikut maklumat yang diberikan, kadar kelahiran bagi wanita Uyghur telah menurun secara drastik sebanyak 85 peratus akibat daripada kaum wanitanya dimandulkan supaya tidak mempunyai keupayaan untuk melahirkan anak.

Ini merupakan satu pencabulan hak asasi manusia yang jelas dan terang bagaimana Kerajaan China cuba untuk mengawal perkembangan bangsa Uyghur dengan pembunuhan, kekerasan dan kini dengan pemandulan kaum wanita Uyghur.

(3) Diharamkan nama bayi yang Islamik

Melalui sebuah dokumen ‘Naming Rules for Ethnic Minorities’, nama-nama yang Islamik seperti Imam, Medina, Hajj, Saddam dan Islam, diharamkan untuk bayi yang baru lahir di Xinjiang.

(4) Kubur dimusnahkan untuk pembangunan

Kerajaan China telah merobohkan dan menghilangkan tanda-tanda kubur orang Uyghur atas nama pembangunan bandar. Namun bagi orang Uyghur, mereka mengetahui alasan pembangunan bandar hanyalah satu taktik Beijing untuk menghilangkan tanda-tanda kewujudan kaum Uyghur.

Kerajaan China kini dibawah pemerhatian antarabangsa setelah sebuah laporan yang mengesahkan bahawa Beijing dengan sengaja cuba mengubah rakyat Uyghur untuk menjadi seperti penduduk Cina Han yang berbahasa Mandarin dan bukan berbahasa Turki serta secara paksa mengubah identiti bangsa Uyghur yang beragama Islam.

(5) Kerajaan China memasang kod QR di rumah–rumah Uyghur

Kerajaan China telah mengambil langkah yang drastik dan ekstrem untuk mengawal pergerakan rakyat Uyghur dengan memasang Kod QR di rumah-rumah mereka untuk mendapatkan maklumat secara pantas, memudahkan penahanan secara zalim, mengenakan sekatan ke atas acara keagamaan mahupun memantau komunikasi antara jiran.

Pada tahun 2017, Kerajaan China memperkenalkan sebuah program ‘Pasangan Menjadi Keluarga’ di mana pegawai keselamatan China yang dilaporkan berjumlah hampir 1 juta orang di hantar untuk tinggal bersama-sama dengan keluarga Uyghur atas nama ‘penyatuan bangsa’. Namun dilaporkan ianya merupakan satu helah Beijing untuk mengawal secara dekat aktiviti bangsa Uyghur selepas kaum lelaki mereka ditahan di kem Pendidikan semula.

Pegawai ini akan tinggal sehingga 6 hari di rumah orang Uyghur serta akan mendoktrin pemikiran mereka dan terdapat kes yang ekstrem di mana pegawai tersebut akan tidur bersama kaum wanita Uyghur.

(6) Kerajaan China turut memasang CCTV dan penggunaan aplikasi mudah alih

Pihak Berkuasa China di Xinjiang Uyghur Autonomous Region (XUAR) bukan sahaja membuat pengawasan melalui pegawai-pegawai, mereka turut menggunakan teknologi yang canggih untuk membuat pengawasan secara keseluruhan kepada rakyat Uyghur. Kerajaan China menggunakan imbasan mata, CCTV dengan imbasan muka dan pengecaman suara.

Sehingga kini China mempunyai 170 juta CCTV di seluruh China dan pada tahun 2020, dimaklumkan jumlah CCTV yang akan di pasang adalah sebanyak 400 juta unit. Di Wilayah Xinjiang, keadaan menjadi lebih menakutkan apabila setiap rakyat dipantau dengan ketat dan apabila Kashgar, salah sebuah bandar utama di Xinjiang dijadikan pusat kawalan tercanggih di China untuk memantau pergerakan rakyat Uyghur.

Mengikut Human Rights Watch (HRW), di antara maklumat yang dikumpul melalui pengawasan dan aplikasi mudah alih iaitu mereka yang jarang menggunakan pintu utama rumah, kadar penggunaan elektrik yang tinggi, komunikasi antara satu sama lain dan juga mereka yang pergi menunaikan ibadat Haji tanpa kebenaran.

(7) Ujian bom nuklear

Mengikut sebuah laporan daripada The Epoch Times oleh Xia Mozhu, di antara tahun 1964 hingga 1996, Kerajaan China telah membuat ujian bom nuklear di Lop Nor yang terletak di antara Taklamakan dan padang pasir Kumtag di Selatan Timur XUAR sebanyak 45 kali dengan kadar kematian sebanyak 190,000 orang mengikut laporan oleh Professor Jun Takada dengan 1.48 juta orang turut menerima pendedahan kesan sampingan radiasi.

Antara ujian yang paling besar dan memberi impak besar kepada Xinjiang berlaku antara tahun 1960-an hingga 1970-an di mana ada di antara kekuatan bom tersebut sebesar 3 megaton, 200 kali lebih besar daripada bom yang di jatuhkan di Hiroshima.

(8) Penjualan organ

Mengikut sebuah laporan melalui portal albawaba.com, Enver Tohti iaitu seorang pakar bedah yang telah lari daripada China, memaklumkan bahawa beliau merupakan salah seorang daripada yang terlibat membuat pembedahan dan mengeluarkan organ seperti hati dan buah pinggang daripada orang Muslim Uyghur dalam keadaan mereka masih hidup.

The China Tribunal membuat tuduhan terhadap Kerajaan China melalui The UN Human Rights Council di mana antara yang menjadi mangsa dalam penjualan organ ini adalah daripada kalangan Muslim Uyghur dan kumpulan agama Falun Gong.

Apa yang menyedihkan, ada laporan melalui portal-portal tertentu melaporkan penjualan organ ini turut dilabelkan sebagai ‘Halal Organ’ dengan menjualkannya kepada pembeli daripada negara di Timur Tengah.

Kaitan projek ‘One belt one road’ dengan Uyghur

China merupakan sebuah negara besar yang wawasan mega untuk menjadi sebuah negara terkemuka dan terhebat di dunia. Dalam usaha untuk mencapai wawasan tersebut, China menggunakan pelbagai kaedah untuk mencapainya. Yang paling jelas saat ini, China sedang menggunakan kuasa ekonomi dan perdagangannya dengan memperkenalkan inisiatif perdagangan dan hub transcontinental ciptaannya dengan menghubungkan tiga benua iaitu Asia, Afrika dan Eropah.

China sebelum ini terkenal dengan Laluan Sutera ketika kemuncak kekuatan dan kegemilangan ekonominya berabad lalu. Pada abad ini sekali lagi China cuba mencipta kembali zaman kegemilangan dan kekuatan tersebut untuk memperluaskan pengaruh China dengan memperkenalkan Belt and Road Initiative. Selain daripada untuk mengembalikan kekuatan ekonomi dan pengaruh China ke seluruh dunia, ia juga bertujuan untuk menyatukan Beijing dengan hampir 70 buah negara dengan laluan kereta api, pelabuhan dan kapal perdagangan, paip gas dan projek – projek mega yang lain.

Saat ini lebih 60 buah negara telah bersetuju untuk menjadi rakan kepada inisiatif ini dengan pelbagai perjanjian pelaburan dan pembangunan pelbagai infrastruktur di negara mereka. Namun kebanyakkannya dikatakan berisiko tinggi kerana negara yang menerima inisiatif dan pelaburan tersebut terpaksa berhutang dengan Kerajaan China untuk menjayakan sesuatu projek dan insiatif dengan majoriti projek tersebut berisiko tinggi untuk gagal.

Sri Lanka adalah di antara negara yang menerima insiatif terbesar dengan pelbagai pelaburan daripada China dengan majoriti pembangunan infrastruktur Sri Lanka dibiayai oleh China. Malah di kalangan penganalisa ekonomi dunia berpendapat Sri Lanka telah terperangkap dengan ‘debt trap’ oleh China di atas Road and Belt Initiative. Kegagalan terbesar ialah Hambantota Port yang bernilai USD 1.12 billion yang diserahkan kepada China dengan pajakan selama 99 tahun setelah Sri Lanka tidak mampu membayar semula pinjaman.

China sejak sekian lama menyalahkan bangsa Uyghur dengan menuduh mereka terlibat dalam keganasan dan membawa ideologi keganasan ekstrem dari Asia Tengah. Namun, antara sebab lain mengapa Beijing berkeras terhadap Uyghur adalah kerana kaitan projek mega Belt and Road Initiative yang kebanyakan laluannya adalah melalui Wilayah Xinjiang seperti yang tertera didalam peta yang disertakan. Tindakan China ke atas Uyghur bukan hanya untuk melenyapkan adat, budaya dan agama mereka sahaja tetapi juga untuk kepentingan ekonomi dan kekuasaan mereka.

Menjadi tanggungjawab kepada Dunia Islam dan umatnya untuk membela nasib bangsa Uyghur. Berdiam diri dan melihat bukan lagi satu kaedah untuk meredakan keadaan mahupun menamatkannya. Lihat apa yang berlaku kepada Palestin dan sikap Dunia Islam saat ini dan lihat juga nasib Rohingya dan sikap Dunia Islam saat ini. Kelemahan Dunia Islam dan umatnya mengakibatkan semua kezaliman dan penindasan ini berlaku. Perseteruan dan persengketaan sesama negara Islam melemahkan lagi Dunia Islam dekad ini.

Sampai bilakah keadaan ini harus berlaku? Selagimana Dunia Islam dan umatnya berpecah belah, selagi itulah Dunia Islam dan umatnya bertambah lemah. Saudara kita ditindas, diseksa, dibunuh, dirogol dan dijual organ mereka namun Dunia Islam masih lagi mementingkan diri sendiri, berdiam diri dan melihat sahaja keadaan ini berlaku. Jika bersuara sekalipun, suara itu hanya sayup- sayup kedengaran kerana lemahnya suara tersebut.

Itulah kelemahan Dunia Islam saat ini. Kuatnya hanya untuk kepentingan sendiri tetapi lemah jika membabitkan ummah dan kesatuan serta persaudaraan. Sampai bilakah Dunia Islam harus berpecah belah dan bersengketa sesama sendiri? Bersatulah demi perpaduan ummah dan untuk mengembalikan kekuatan Dunia Islam. Sudah tiba masanya untuk melupakan sengketa kerana ketika lemahlah musuh Islam akan mengambil peluang merobohkan kesatuan Dunia Islam. Jika Dunia Islam kuat nescaya Islam kembali gemilang dan terbilang.

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Burok