Ankara gesa Beijing tutup kem tahanan etnik Uyghur
Dasar asimilasi China terhadap etnik minoriti Islam memalukan
10/02/2019
ANKARA, 5 Jamadilakhir 1440H, Ahad – Kementerian Luar Turki hari ini, mengecam dasar sistematik asimilasi pihak berkuasa China terhadap etnik muslim Uyghur, sambil berkata, perbuatan itu adalah sesuatu yang memalukan.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Kementerian Luar, Hami Aksoy berkata, bukan lagi menjadi rahsia apabila lebih sejuta etnik Uyghur Turki, yang terdedah kepada penangkapan sewenang-wenangnya, menjadi sasaran penderaan di kem tahanan dan penjara.
“Etnik muslim Uyghur yang ditahan di kem juga berada dalam keadaan tertekan. Masyarakat Uyghur Turki yang tinggal di luar juga tidak pernah mendengar berita mengenai saudara mereka di wilayah berkenaan,” katanya merujuk kepada Xinjiang – wilayah diduduki majoriti umat Islam di China.
Katanya, Turki menggesa pihak berkuasa China menghormati hak asasi masyarakat Uyghur Turki dan menutup kem-kem tahanan yang menempatkan etnik itu.
“Kami juga menggesa komuniti antarabangsa dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil langkah berkesan bagi mengakhiri tragedi kemanusiaan di wilayah Xinjiang,” katanya.
Aksoy juga mengingatkan mengenai penyair Uyghur, Abdurehim Heyit, yang meninggal dunia dalam kem tahanan China semalam.
“Kami dimaklumkan berita sedih bahawa penyair, Abdurehim Heyit, yang dihukum penjara lapan tahun meninggal dunia ketika menjalani dua tahun hukuman.
“Insiden menyedihkan ini mengukuhkan pendapat Turki bahawa berlaku pelanggaran hak asasi manusia yang serius di wilayah Xinjiang,” katanya yang berharap China memberi perhatian terhadap keprihatinan masyarakat Turki berhubung perkara itu.
Wilayah Xinjiang menjadi tempat tinggal kira-kira 10 juta etnik Uyghur. Kumpulan muslim berketurunan Turki merangkumi 45 peratus populasi di wilayah itu yang sejak lama dahulu didiskriminasi oleh Beijing.
China mengambil langkah tegas ke atas wilayah itu dengan memperkenalkan peraturan ketat sejak dua tahun lalu, melarang lelaki menyimpan janggut, sementara wanitanya pula dilarang memakai hijab.
Hampir sejuta umat Islam di wilayah itu pula ditangkap sewenang-wenangnya dan ditempatkan di beberapa kem tahanan politik.
Dalam laporan terbaharu, pemantau hak asasi manusia menyalahkan kerajaan China kerana secara sistematik melanggar hak kemanusiaan umat Islam minoriti di barat laut Xinjiang.
Menurut laporan 117 muka surat itu, kerajaan China dituduh melakukan ‘penangkapan, penyeksaan dan penganiayaan secara beramai-ramai’ terhadap etnik Uyghur Turki dirantau itu. – Agensi