Mukadimah
Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Beberapa hari yang lepas kita menerima berita yang sangat tragis dan menyedihkan di mana seorang bayi berusia 19 bulan dikelar oleh ibunya sendiri.Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nayang berkata siasatan awal mendapati bahawa wanita tersebut mengalami halusinasi sebelum bertindak mengelar anaknya.Suaminya pula mengatakan, isterinya itu seringkali termenung dan sering mendengar suara bisikan.[1]Pada Tahun lepas, kejadian yang sama berlaku di Kok Lanas, di mana si ibu mendakwa dia mendengar suara ghaib yang mengarahkannya berbuat demikian.[2].
Melihat kepada situasi demikian, kami merasa terpanggil untuk memberi sedikit pencerahan dan pandangan. Bayan Linnas pada kali ini akan membicarakan tentang Halusinasi : Pandangan para ulama.
Maksud halusinasi
Menurut Kamus Dewa Edisi Keempat, halusinasi bermaksud pengalaman seolah-olah dapat melihat, mendengar, atau menyentuh sesuatu yang sebenarnya tidak wujud akibat gangguan kesihatan (fikiran).
Menurut English Oxford Dictionary, halusinasi atau hallucination ditakrifkan sebagai An experience involving the apparent perception of something not present. Iaitu pengalaman yang melibatkan kemunculan sesuatu yang sebenarnya tidak wujud.
Ia berasal dari perkataan latin hallūcinātus yang bermaksud apa yang berlegar di minda.
Di dalam bahasa Arab moden pula ianya disebut sebagai هَلوَسَة yang berasal dari kata kerja هَلْوَسَ yang membawa makna mengkhayalkan sesuatu disebabkan oleh dadah atau penyakit. Perkataan ini tidak pernah direkodkan dalam mana-mana kamus klasik melainkan di dalam kamus Lisan al-Arab. Iaitu perkataan هلس yang bermaksud mengkhayalkan.
Rujuk Lisan al-Arab (6/249)
Punca dan jenis halusinansi
Sangat elok untuk kita berkenalan dengan penyakit ini.Penyakit halusinansi ini juga dikenali sebagai skezofrenia. Dengan kata lain ia adalah penyakit mental yang teruk dengan ciri-ciri kecacatan sehingga menyebabkan seseorang itu tidak dapat membezakan di antara alam realiti dan alam fantasi. Ciri utama penyakit ini ialah seseorang itu “tidak berpijak di bumi yang nyata”. Penghidap penyakit ini kemungkinan dapat melihat, mendengar dan merasa akan tetapi apa yang yang didengari,dilihat dan dirasa itu bukanlah sesuatu yang wujud di alam nyata. Ianya dianggap benar oleh si penghidap sehingga ia boleh mempengaruhi tingkah laku si penghidap. Penyakit ini wujud sejak beratus tahun namun ianya dikesan sebagai penyakit mental pada tahun 1887 oleh Dr Emelin Kreaplin.
Penyakit ini diperoleh melalui perubahan persekitaran sekeliling seperti tekanan perasaan, masalah kewangan dan lain-lain. Ada juga yang mengaitkan dengan masalah yang datang dari genetik.Ia juga bermula dari kemurungan sehingga boleh bertindak mencederakan diri sendiri dan orang lain.
Menurut Pusat Perubatan Darul Syifa’[3], penyakit ini juga dikaitkan dengan gangguan makhluk halus. Ini dapat diketahui melalui simptom atau tanda yang muncul dari pesakit yang datang berubat dengan mereka. Tanda-tanda tersebut dapat dikenal pasti seperti pesakit mendakwa terdengar bisikan-bisikan tertentu dan lain-lain sehingga menyebabkan mereka bertindak di luar kawalan.
Antara jenis-jenis halusinasi seperti yang disebutkan oleh pakar-pakar perubatan[4] ialah :
Halusinasi pendengaran iaitu seseorang itu mendengar suara yang pada hakikatnya tiada seorang pun yang mendengar suara tersebut melainkan si penghidap. Contohnya seseorang itu mendengar suara bisikan yang menyuruhnya melakukan sesuatu akan tetapi suara itu hanya boleh didengari oleh si penghidap tanpa didengari oleh orang lain.
Delusi kawalan iaitu seseorang percaya bahawa ada yang mengawalnya dan setiap tindak tanduk yang gagal dikawal adalah berpunca dari kawalan ‘seseorang’.
Delusi mania erotik iaitu si penghidap percaya seseorang yang terkenal berkawan atau bercinta dengannya.
Delusi bersalah dan berdosa iaitu seseorang percaya dirinya telah melakukan kesalahan dan perlu menghukum dirinya di atas kesalahannya itu.
Pemasukan pemikiran iaitu apabila seseorang percaya orang lain mampu memasukkan pemikiran meraka ke dalam mindanya. Contoh dia percaya bahawa apa yang ada dalam pemikirannya adalah merupakan pemikiran orang lain.
Halusinasi penglihatan iaitu seseorang dapat melihat sesuatu objek atau bayangan dengan jelas di mana ianya tidak boleh dilihat oleh orang lain. Seperti contoh, seseorang mendakwa melihat ular walhal itu adalah tali.
Maka dapat kita fahami, bahawa penyakit ini adalah cabang dari penyakit mental dan ia adalah penyakit yang amat yang memerlukan perhatian ramai. Menurut Professor Bersekutu Psikiatari, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Ng Chong Guan, kira-kira 30 peratus rakyat Malaysia merupakan penghidap penyakit mental[5] dan wanita adalah yang paling tinggi peratusannya mendapat penyakit ini daripada lelaki. Ujar beliau lagi, dalam masa 10 tahun, peratusan yang akan mendapat penyakit ini akan meningkat sekali ganda dalam masa 10 tahun. Ini bermakna seramai 4.2 juta rakyat Malaysia menghadapi masalah penyakit ini. Ini amat merisaukan kita semua, kerana dalam masa beberapa tahun jika tiada usaha dan kesedaran maka penyakit ini akan menjadi penyakit yang tertinggi selepas penyakit jantung.
Menurut Pensyarah Kanan dan Psikiatari Fakulti Perubatan dan Sains Perubatan Universiti Putra Malaysia, Dr Michael Ang Jin Kiat, penyakit ini akan membawa kepada penyakit mental yang sangat serius jika tidak mendapat rawatan lanjut.[6]
Kisah-kisah penghidap penyakit halusinasi di Malaysia
Di sini kami lampirkan beberapa kisah benar yang berlaku berkaitan penghidap penyakit halusinasi atau skezofernia
Seorang pengguna Facebook, Nizam (bukan nama sebenar) pernah menceritakan pengalaman beliau menjaga isteri yang menghidap penyakit ini. Isteri beliau disahkan menghidap paranoid Schizophrenia pada tahun 2014 setelah mengambil rawatan psikiatari pada tahun 2000. Kata beliau, apabila isterinya mula tidak mengambil ubat maka dia akan didatangi dengan halusinasi dan delusi sehingga pernah terjadi isterinya tanpa sedar mengatakan bahawa suaminya jahat.Memaki hamun beliau kerana isterinya mendakwa mendengar bisikan mengatakan beliau curang. Isterinya juga pernah keluar pada jam 2 pagi memandu seorang diri tanpa arah tuju. Isterinya juga pernah berfantasi ada yang ingin mencederakannya sehingga mula mencapai barang dan melontarnya ke arah suami.[7]
Seorang remaja bernama Mika (bukan nama sebenar) yang berumur 23 tahun mula mendengar suara-suara bisikan kerana mempunyai masalah dalam pembelajaran. Ibunya menceritakan, setiap malam, Mika akan bangun dan mula bercakap dengan pintu biliknya. Ibunya menceritakan lagi, Mika akan berkata pada pintu biliknya : “Kau buat apa di sini?. Pergilah, di sini bukan tempat engkau.” Setelah di dianogsis, Mika disahkan menghidap penyakit skezofrenia. Dia mula mengambil ubat dan menjalani rawatan. Setelah beberapa lama mengambil, Mika mengatakan suara-suara bisikan yang didengarinya selama ini mula perlahan.
Pada 18 Jun 2018, portal Utusan Malaysia melaporkan seorang ibu mengelar anaknya yang masih kecil setelah didakwa sering termenung dan terdengar suara-suara ghaib sejak bulan Mei.
Hamidah (bukan nama sebenar) seorang wanita berusia 30 tahun berasa pelik dengan perangai suaminya setelah 3 bulan berkahwin. Beliau menceritakan bahawa suaminya selalu bercakap, menangis dan ketawa sendirian. Sehingga suaminya pernah cuba untuk membunuhnya. Setelah menghubungi keluarga mertua untuk bertanya perihal suaminya, akhirnya pihak mertua memberitahu bahawa suaminya adalah penghidap skezofrenia. Akhirnya beliau nekad untuk memfailkan cerai takut suaminya akan berbuat sesuatu yang di luar jangkaan.[8]
Ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi seputar bisikan-bisikan ghaib
Banyak ayat yang menceritakan tentang bisikan ghaib di dalam al-Quran. Kebanyakannya digandingkan dengan syaitan. Ada juga ayat yang membicarakan tentang bisikan yang datang dari diri. Antara ayat-ayat tersebut :
Firman Allah swt :
فَوَسْوَسَ لَهُمَا ٱلشَّيْطَـٰنُ لِيُبْدِىَ لَهُمَا مَا وُۥرِىَ عَنْهُمَا مِن سَوْءَٰتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَىٰكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةِ إِلَّآ أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ ٱلْخَـٰلِدِينَ
Maksudnya : “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”.
(Surah al-‘Araf : 20)
Kata Sheikh Tohir Ibnu ‘Asyur :
“Bisikan syaitan dinamakan sebagai was-was kerana ia membisikkan kepada kedua-duanya (Nabi Adam dan isterinya) dengan bisikan yang perlahan secara kata-kata ataupun dorongan untuk melakukan satu perbuatan seperti mana keadaan orang yang ingin melakukan penipuan. Oleh itu, bisikan yang dibisikkan tidak didengari oleh orang lain supaya orang lain tidak boleh menggagalkan penipuannya. Bisikan itu juga dibisikkan kepada kedua-duanya secara sembunyi supaya nampak sebagai penasihat.”
Rujuk al-Tahrir Wa al-Tanwir (1/1502)
Firman Allah swt :
فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ ٱلشَّيْطَـٰنُ قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ ٱلْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَىٰ
Maksudnya :” Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”
(Surah Toha : 120)
Sheikh Amin al-Syanqiti dalam menghuraikan maksud was-was yang ada di dalam al-Quran menyebut :
“ Was-was ialah suara halus. Maka dapat difahami dari firman Allah swt فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ ٱلشَّيْطَـٰنُ bermaksud Syaitan membisikkan kepada Adam dengan suara yang halus.”
Rujuk Adwa’ al-Bayan Fi Idhah al-Quran bi al-Quran(4/182)
Firman Allah swt :
وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِۦ نَفْسُهُۥ ۖ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ ٱلْوَرِيدِ
Maknanya :” Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”
(Surah Qaf : 16)
Sheiikh al-Maraghi ketika menghuraikan ayat ini, beliau menyatakan :
“Allah swt Maha Kuasa untuk membangkitkan manusia. Ini kerana Allah adalah Maha Pencipta yang mengetahui semua perkara. Sehingga Dia tahu apa yang dibisikkan kepadanya sama ada bisikan yang mendorong kepada perkara yang baik atau jahat.”
Rujuk Tafsir al-Maraghi (1/4811)
Firman Allah swt :
ٱلَّذِى يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ
Maksudnya :” “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.”
(Surah al-Nas : 5)
Almarhum Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili pernah menghuraikan ayat di atas. Kata beliau :
“Iaitu sentiasa ada yang akan membisikkan kepada manusia dengan bisikan yang buruk dan jahat.”
Rujuk al-Tafsir al-Munir (30/482)
Dapatlah kita fahami, was-was yang dimaksudkan di dalam al-Quran adalah berupa suara halus yang datang dari syaitan atau nafsu yang mendorong manusia melakukan perkara kejahatan atau kebaikan. Kebanyakan bisikan yang dilontarkan oleh syaitan adalah pendorong kepada perlakuan yang jahat.
Di dalam hadis ada menceritakan tentang bisikan syaitan yang sentiasa mendorong manusia untuk melakukan kejahatan dan keburukan. Daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata. Nabi saw bersabda :
إنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ، وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ، فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ، وَتَكْذِيبٌ بِالحَقِّ، وَأَمَّا لَمَّةُ المَلَكِ، فَإِيعَادٌ بِالخَيْرِ، وَتَصْدِيقٌ بِالحَقِّ، فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنَ اللَّهِ، فَلْيَحْمَدِ اللَّهَ، وَمَنْ وَجَدَ الأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya :” Syaitan itu adalah pendorong dan malaikat adalah pendorong. Syaitan sentiasa mendorong untuk melakukan kejahatan dan membohongi perkara yang benar. Adapun malaikat sentiasa mendorong untuk melakukan kebaikan dan membenarkan perkara yang betul. Barangsiapa yang mendapati dorongan melakukan kebaikan maka ketahuilah itu adalah dari Allah dan pujilah Allah. Barangsiapa yang mendapati dorongan selain dari itu maka mintalah perlindungan pada Allah daripada syaitan yang direjam.”
Riwayat al-Tirmizi (2988) dan Ibnu Hibban (993). Kata Imam al-Tirmizi: Hadis ini adalah hadis hasan ghorib.
Adakah Halusinasi atau Skezofrenia ini penyakit gila?
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan ,kebiasaannya penyakit skezofrenia akan bermula pada usia remaja atau awal dewasa[9]. Namun adakah penyakit ini sama dengan apa yang sering disebut sebagai gila?.
Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa skezifrenia inni adalah sejenis penyakit mental(gila).[10]
Penyakit halunisasi atau skezofrenia ini adalah satu penyakit mental yang kronik. Akan tetapi penyakit ini boleh dirawat. Menurut pakar perunding Psikiatri Universiti Perubatan Malaysia, Dr Shane Varman, penyakit ini boleh dirawat melalui ujian psikososial dan mengambil ubat-ubatan.
Dengan penjelasan ini, maka boleh kita katakan bahawa penyakit halusinasi atau Skezofrenia ini adalah sejenis penyakit mental yang bersifat sementara bukannya bersifat kekal.
Para fuqaha dan usuliyyun mentakrifkan gila atau penyakit mental sebagai
“Kecelaruan akal sehingga menghalang kebolehfungsian perlakuan atau percakapan mengikut cara yang betul.”
Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyah (16/99)
Ini kerana, para ulama membahagikan gila kepada dua jenis. Yang panjang gilanya iaitu yang dinamakan asli ataupun Mutbiq dan juga yang sementara gilanya yang boleh disembuhkan dengan ubat-ubatan dan rawatan-rawatan. Ini dinamakan ‘Arid atau ghair Mutbiq.
Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyah (16/101).
Dengan hal demikian, maka pada keadaan dia berhalusinasi maka dia tidak dianggap waras. Dan tiada apa-apa hukum dikenakan ke atasnya pada ketika itu. Ini berdasarkan hadis saw yang diriwayatkan oleh Aisyah
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثٍ عَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنْ الصَّغِيرِ حَتَّى يَكْبُرَ وَعَنْ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ أَوْ يُفِيقَ
Maksudnya :” Diangkat pena pada tiga golongan iaitu orang yang tidur sehingga terjaga , anak kecil sehingga dia besar dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar.”
Riwayat al-Nasaie (3432)
Imam al-San’ani telah mensyarahkan, yang dimaksudkan dengan sabda Nabi saw “dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar” adalah tidak diambil tindakan ke atasnya.”
Rujuk Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram (16/20)
Sheikh Abdullah al-Tayyar menyatakan :
“Yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah tidak ditulis baginya dosa. Ini kerana pada ketika itu, dia tidak dianggap sebagai mukallaf.”
Rujuk Wabal al-Ghumamah Syarh Umdah al-Fiqh Li Ibn al-Qudamah(9/9)
Adakah jika penghidap Skezofrenia membunuh, dia dikenakan hukuman?
Seorang yang gila tidak ada hukuman balas (qisas) baginya. Ini adalah pandangan majoriti para ulama dan tiada khilaf padanya. Pandangan ini juga dipersetujui oleh al-Syahid Sheikh Abdul Kadir al-Audah. Beliau menyatakan tidak boleh menyabitkan hukuman jenayah ke atas orang yang menghidap penyakit halusinasi atau skezofrenia.
Rujuk Tasyri’ al-Jinai al-Islami (1/504)
Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan Aisyah yang telah kami nyatakan sebelum ini.
Namun, seperkara yang menjadi persoalan adakah cukup sekadar pengakuan seorang yang menghidap penyakit halusinasi untuk melepaskannya dari hukuman?
Sebelum dijatuhkan sama dia dikenakan hukuman atau tidak, penyakit itu perlu disahkan terlebih dahulu oleh pakar-pakar psikiatari atau pakar perubatan. Ini bagi menghalang dan mengekang seseorang yang membunuh kemudian mendakwa dia berhalusinasi. Dakwaan bahawa dia berhalusinasi itu perlu dibuktikan dengan pengesahan dari pakar-pakar. Kemudian barulah hukuman dijatuhkan. Sama ada dia dijatuhkan hukuman atau tidak adalah bergantung kepada pengesahan dari pakar psikiatari atau perubatan.
Saranan kami
Maka penyakit sebegini seharusnya mendapat perhatian masyarakat khususnya di Malaysia. Kesemua pihak harus menjalankan tanggungjawab masing bagi memastikan penyakit ini tidak terus meningkat peratusannya dari tahun ke tahun. Oleh itu, kami menyarankan beberapa perkara :
Perlu pastikan untuk mendapat rawatan pakar psikiatari.
Ahli keluarga khususnya perlu memainkan peranan dalam membendung penyakit ini. Sentiasa damping mereka dan jangan pernah tinggalkan mereka bersendirian.
Sentiasa merujuk kepada pakar dari semasa ke semasa.
Sentiasa mengajak mereka yang menghidap penyakit halusinasi atau skezofrenia ke majlis-majlis ilmu dan halaqah agama bagi memperolah kefahaman berkaitan islam.
Sentiasa memastikan agar selalu duduk secara berjemaah (berkumpulan) bukannya bersenderian.
Banyakkan berzikir. Ini kerana dengan berzikir mampu untuk menenangkan hati. Ini adalah berdasarkan firman Allah swt :
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّـهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّـهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ
Maksudnya :” (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
(Surah al-Ra’du : 28)
Jauh dari megingati Allah menyebabkan hati menjadi sempit dan sentiasa berada dalam keresahan. Firman Allah swt :
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةً ضَنكًا
Maksudnya :” Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit.”
(Surah Toha :124)
Banyakkan berdoa pada Allah agar ditetapkan hati dan ditenangkan jiwa. Nabi saw bersabda :
مَا أَصَابَ أَحَدًا قَطُّ هَمٌّ وَلاَ حَزَنٌ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، ابْنُ عَبْدِكَ ، ابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي وَجِلاَءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي ، إِلاَّ أَذْهَبَ اللَّهُ هَمَّهُ وَحُزْنَهُ ، وَأَبْدَلَهُ مَكَانَهُ فَرَحًا
Maksudnya :” Tidaklah seseorang itu ditimpa keresahan mahupun kesedihan.Bila dia berdoa : Wahai Allah sesungguhnya aku ini hamba-Mu. Anak kepada hamba-Mu. Ubun-ubunku ada di tangan-Mu. Sentiasa berada dalam pemerintahan-Mu. Engkau Maha Adil dalam hukuman. Aku meminta kepada-Mu dengan nama-Mu yang Engkau sendiri namakan diri-Mu atau yang Engkau ajarkan kepada salah seorang dari hamba-Mu, atau yang Engkay nyatakan dalam kitab-Mu ataupun yang berada di dalam pengetahuan-Mu. Engkau jadikanlah al-Quran bunga di hatiku, penerang hati-ku dan penghapus kesedihanku. Hapuskanlah keresahanku. Bila seorang itu ucapkan doa ini Allah akan hapuskan keresahan dan kesedihannya dan gantikan apa yang dia lalui dengan kegembiraan.”
Riwayat Imam Ahmad (3712)
Nabi saw juga mengajarkan satu doa yang mana sangat baik untuk diamalkan kerana doa ini adalah sebuah pengharapan agar Allah sentiasa menetapkan hati dari dibolak-balikkan.Daripada Anas bin Malik :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ فَقَالَ لَهُ أَصْحَابُهُ وَأَهْلُهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَخَافُ عَلَيْنَا وَقَدْ آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ قَالَ إِنَّ الْقُلُوبَ بِيَدِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يُقَلِّبُهَا
Maksudnya :” Rasulullah saw sentiasa memperbanyakkan doa. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu. Para sahabat bertanya : adakah engkau takut kami meninggalkan agama. Kami beriman dengan engkau dan dan apa yang engkau bawa. Rasulullah saw bersabda : sesungguhnya hati berada di tangan Allah. Dia berhak membolak-balikkannya.”
Riwayat Imam Ahmad (13696)
Akhukum Fillah,
S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
24 JUN 2018 BERSAMAAN 10 SYAWAL 1439 H.
[1] Berita ini dilaporkan oleh portal Utusan dan Berita Harian pada 18 Jun 2018.
[2] Rujuk http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ibu-disyaki-kelar-mati-bayi-sendiri-direman-tujuh-hari-131299 yang bertarikh 5 Februari 2017.
[3]http://darussyifaperak.blogspot.com/2009/05/tanda-tanda-gangguan-makhluk-halus.html
[4] Rujuk buku ‘Kecelaruan tingkah laku’ terbitan PTS (2006)
[5] Rujuk https://www.bharian.com.my/wanita/lain-lain/2018/03/395427/kes-sakit-jiwa-di-malaysia-semakin-merisaukan
[6] Rujuk http://www.kosmo.com.my/negara/penyakit-mental-masalah-kedua-serius-di-malaysia-1.652094
[7] Kisah ini boleh dibaca di http://says.com/my/seismik/lelaki-ini-kongsi-kisah-isteri-ada-penyakit-mental.
[8] Kisah ini dimuatkan di portal Harian Metro https://www.hmetro.com.my/node/94778 bertarikh 22 November 2015.
[9] Rujuk http://www.who.int/mental_health/management/schizophrenia/en/
[10] Rujuk http://www.myhealth.gov.my/penyakit-mental/