BAYAR ZAKAT HARTA DI KEDIAMAN BAGI GOLONGAN TIADA KEMUDAHAN ONLINE
Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 26 APRIL 2020 : Pembayar zakat di negeri ini boleh membayar Zakat Harta di kediaman masing-masing jika tidak berkemampuan untuk melakukan secara atas talian (online).
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata bayaran di kediaman ini hanya tertakluk kepada mereka yang terpilih sahaja seperti pembayar dalam kalangan berusia dan uzur.
“Bagi pembayaran cara ini, pembayar boleh membuat temujanji dengan pegawai Pusat Kutipan Zakat (PKZ) di setiap daerah bagi menerima pembayaran zakat di kediaman pembayar.
“Pegawai petugas PKZ Pahang hendaklah mengambil maklumat bayaran lengkap oleh pembayar,” katanya.
Beliau berkata pembayar zakat digalakkan untuk membuat taksiran Zakat Harta terlebih dahulu dengan menghubungi pegawai bertugas di PKZ Pahang atau mengira sendiri di portal rasmi www.zakatpahang.my.
Tambahan beliau lagi, petugas PKZ yang bertugas ke kediaman pembayar perlu mematuhi beberapa langkah keselamatan yang ditetapkan.
“Petugas ini perlu menjaga penjarakan sosial dan mematuhi langkah-langkah pelindungan diri; dan sentiasa membawa dan memakai penutup mulut dan hidung, serta pembersih tangan.
“Mereka juga diminta untuk meminimakan masa urusan bersama pembayar; tidak dibenarkan bersalaman dengan pembayar; dan pembayar hanya akan dibekalkan dengan Resit Sementara kerana Resit Rasmi pembayaran hanya akan diposkan kepada pembayar selepas tempoh PKP berakhir,” katanya.
Beliau berkata selain daripada mereka yang berada dalam kategori uzur dan tidak berkemampuan ini, orang ramai diminta untuk melaksanakan bayaran secara atas talian.
“Segala bayaran Zakat Harta hendaklah dilakukan secara atas talian menerusi portal rasmi PKZ; Financial Process Exchange PKZ; perbankan internet melalui 12 bank terpilih; dan menerusi aplikasi PahangGo iaitu secara debit, kad kredit atau E-Wallet,” katanya. – PAHANGMEDIA