
3 Days English Camp

KENYATAAN SEBUT HARGA
Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak Islam Di Masjid Tepian Putra Bulan Ramadan 1444H/2023 M
Soalan
Salam Mufti, saya nak tanya satu soalan yang merisaukan diri saya sejak dua hari ni. Masa tu saya bangun,saya baru lepas bergaduh dengan ibu saya selepas itu saya pergi mandi. Time tengah shower tu, fikiran saya bercelaru sehingga saya mempersoalkan kewujudan Allah SWT, dan saya juga terungkapkan ayat yang “I am Atheist” berkali-kali. Adakah itu dikira saya telah kufur dari agama? Harap Tuan Mufti dapat Menjawab soalan saya, saya risau sangat ni
Jawapan
Perlu diketahui bahawa asal dalam perkara aqidah adalah wajib beriman secara muktamad. Dalam beraqidah tidak boleh wujud sedikit pun perasaaan syak, waham dan zan. Syak boleh dikatakan keraguan yang bersifat pertengahan antara percaya dan tidak percaya. Waham pula langsung tidak mencapai tahap separuh kepercayaan manakala zan pula adalah kepercayaan yang hampir-hampir mencapai tahap yakin tetapi masih tidak sepenuhnya muktamad.
Kesemua bentuk keraguan ini tidak diterima dalam soal keimanan dan ia boleh merosakkan aqidah seseorang. Walau bagaimanapun, hati seseorang tidak mampu untuk mengelak daripada lintasan-lintasan dan bisikan-bisikan syaitan yang mugkin bertentangan dengan iman. Kadang-kadang ia timbul secara tidak disangka-sangka dan bukan sengajakan. Misalnya seorang saintis yang banyak mengkaji tentang asal usul kejadian, kadang-kadang terlintas di dalam hatinya, siapa pula yang menciptakan pencipta kejadian ini?
Dalam hal ini, jika waswas itu berpunca daripada lintasan-lintasan di dalam hati atau bisikan-bisikan syaitan yang mengganggu, maka ia tidaklah membatalkan iman selagimana ia tidak mempengaruhi iman seseorang. Rasulullah SAW pernah bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwaswaskan)”.
Riwayat al-Bukhari (2528)
Imam Nawawi mengatakan bahawa lintasan-lintasan dan kata-kata di dalam hati, jika ia tidak menjadi tetap dan berterusan di dalam hati, maka orangnya diampunkan oleh Allah SWT dengan kesepakatan para ulama. Ini kerana dia tidak mempunyai pilihan ketika ia terjadi dan tiada jalan baginya untuk mengelak. Imam Nawawi juga menegaskan selagimana lintasan-lintasan hati itu tidak menjadi tetap seperti kekufuran dan lain-lain yang berlaku tanpa disengajakan lalu segera dijauhi, maka dia tidak menjadi kafir dan tiada apa-apa dikenakan ke atasnya. (Lihat al-Azkar, 273)
Dalam situasi yang dihadapi oleh penyoal, ia terlafaz kalimah kufur (I’m Atheist) tersebut dalam keadaan fikirannya sedang terganggu dan bercampur waswas. Maka ia termasuk dalam kategori tersilap, tersalah atau tidak disengajakan kerana hati tidak tetap (istiqrar) dengan maksud kekufuran. Ia bersandarkan firman Allah SWT:
وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Surah al-Ahzab (5)
Juga sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.”
Riwayat Ibn Majah (2043)
Walau bagaimanapun, kami tetap menasihatkan orang yang mengalami situasi sebegini agar memohon taubat kepada Allah SWT dengan beristighfar dan memperbaharui dua kalimah syahadahnya. Ia bertepatan dengan hadis yang sentiasa memerintahkan kita agar sentiasa memperbaharui keimanan. Sabda Rasulullah SAW:
جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ “، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: ” أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ
Maksudnya: “Perbaharuilah iman kamu. Dikatakan: Wahai Rasulullah, bagaimana kami mahu memperbaharui keimanan kami? Baginda menjawab: Perbanyakkan mengucap La Ilaaha Illallah.”
Riwayat Imam Ahmad (8710)
Akhirnya, dikongsikan di sini beberapa tips penting dalam mengatasi waswas dalam aqidah.
Pertama: Bertenang dan tidak menggelabah. Ini kerana kebimbangan dan kekhuatiran kita terhadap perasaan waswas yang timbul menunjukkan kita masih memiliki iman yang mantap. Di dalam hadis sahih dari Abu Hurairah r.a berkata:
جَاءَ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَأَلُوهُ: إِنَّا نَجِدُ فِي أَنْفُسِنَا مَا يَتَعَاظَمُ أَحَدُنَا أَنْ يَتَكَلَّمَ بِهِ، قَالَ: «وَقَدْ وَجَدْتُمُوهُ؟» قَالُوا: نَعَمْ، قَالَ: «ذَاكَ صَرِيحُ الْإِيمَانِ»
Maksudnya: “Sekumpulan manusia di kalangan para sahabat datang bertemu Nabi SAW, lalu mereka bertanya: Sesungguhnya kami telah mendapati dalam hati kami lintasan-lintasan hati yang kami anggap ia suatu kesalahan besar jika diucapkan dengan lidah. Nabi SAW bertanya: Kamu sudah terkena lintasan-lintasan itu? Mereka menjawab: Ya. Nabi SAW bersabda: Demikian itu iman yang jelas”.
Riwayat Muslim (209)
Kedua: Memperkukuhkan iman dengan mengulang syahadah. Dalam hadith Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَزَالُ النَّاسُ يَتَسَاءَلُونَ حَتَّى يُقَالَ: هَذَا خَلَقَ اللهُ الْخَلْقَ، فَمَنْ خَلَقَ اللهَ؟ فَمَنْ وَجَدَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا، فَلْيَقُلْ: آمَنْتُ بِاللهِ
Maksudnya: “Manusia akan terus bertanya sehinggalah dikatakan: Ini diciptakan Allah, maka siapa yang mencipta Allah? Barangsiapa yang mendapati sesuatu dari (soalan) itu, maka katakanlah: Aku beriman kepada Allah”.
Riwayat Muslim (212)
Ketiga: Memohon perlindungan dengan Allah SWT daripada gangguan syaitan dan iblis yang menghasut, sekurang-kurangnya dalam mengucapkan ta’awwuz (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم). Dalam lafaz hadith Abu Hurairah yang lain menyebut bahawa syaitan datang kepada seseorang lalu mempertikaikan siapa yang menciptakan Tuhanmu, maka apabila sampai ke soalan tersebut, mohonlah perlindungan dengan Allah dan hentikan (melayani persoalan itu). Riwayat Muslim (214)
Keempat: Segera berhenti daripada berfikir-fikir tentang perkara yang diwaswaskan itu sebaliknya menyibukkan diri dengan beramal soleh sambil menghayati firman Allah SWT:
لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ
Maksudnya: “Dia (Allah) tidak disoal tentang apa yang Dia lakukan, tetapi merekalah (manusia) yang disoal (dihitung segala amalan di akhirat kelak)”.
Surah al-Anbiya’ (23)
Kelima: Melakukan amalan zikir dan doa agar sentiasa ditetapkan hati dalam keimanan dan ketaatan. Antaranya doa Rasulullah SAW: (اللهم يا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي على دِينِكَ) bermaksud: “Wahai Allah Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamamu”. Riwayat al-Hakim dalam Mustadrak (1926)
Keenam: Bertalaqqi ilmu aqidah dengan mencari guru yang berkeahlian bagi memantapkan lagi keimanan terutamanya ketika berhadapan dengan keraguan-keraguan yang sengaja ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam.
Ketujuh: Sentiasa melazimi dan bergaul dengan para alim ulama dan golongan solehin.
Wallahu a’lam.
PORT DICKSON: Suntikan vaksin COVID-19 tidak membatalkan puasa dan ia selari dengan pandangan ulama sedunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al Bakri.
“Kita sudah putuskan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan, suntikan vaksin untuk COVID-19 ini dibolehkan dan ia juga sudah diputuskan sejak dua bulan lalu.
“Hampir seluruh dunia mengiakannya dan yang terbaru pandangan Mufti Besar Arab Saudi bahawa ia tidak membatalkan puasa dan ia sejalur dengan ulama lain,” katanya.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan Tabung Haji Travel berupa komputer riba kepada 40 pelajar asnaf di Kolej Uniti Tanjong Agas di sini hari ini.
“Sumbangan ini sudah dilakukan di beberapa negeri seperti Johor, Pahang dan Perak dan akan diteruskan di negeri lain,” katanya.
Sumber : Berita Harian
KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menjadi individu pertama di Pahang menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Wan Rosdy antara 115 individu, termasuk Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Dr Sallehuddin Ishak dan petugas barisan hadapan yang menerima suntikan dos pertama vaksin itu.
“Alhamdulillah, seikhlasnya saya tidak rasa apa-apa atau kesan alahan selepas menerima suntikan vaksin.
“Oleh itu, jangan rasa bimbang kerana saya sudah menerima suntikan vaksin dan dipantau selama 30 minit. Sehubungan itu, saya menyeru rakyat Pahang supaya menerima suntikan ini kerana diberikan secara percuma oleh kerajaan dan jika tidak mengambilnya, ia sedikit sebanyak akan mengganggu kehidupan seharian,” katanya pada sidang media selepas program itu.
Mengenai sasaran program itu membabitkan masyarakat Orang Asli di Pahang, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan memastikan masyarakat berkenaan menerima vaksin.
“Saya fikir tiada masalah kerana pemberian vaksin ini untuk kebaikan mereka dan dijangka akan dilaksanakan pada Ogos depan,” katanya.
Kelmarin, Pahang menerima bekalan 23,400 dos vaksin COVID-19 untuk pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Ketibaan vaksin bagi penghantaran pertama daripada enam penghantaran itu akan diterima Pahang untuk petugas barisan hadapan.
Sebanyak 23,400 dos dibekalkan kepada lima pusat iaitu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Hospital Lipis, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSAH) Temerloh, Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Bentong.
Berdasarkan rekod, HTAA menerima 9,360 dos, Hospital Lipis (4,680 dos), HoSHAH (4,680 dos), Hospital Muadzam Shah (3,510 dos) dan Hospital Bentong (1,170 dos).
Sumber : Berita Harian Online
PUTRAJAYA: Hukum penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan masyarakat Islam, khususnya di Wilayah Persekutuan diputuskan harus dan wajib diambil, selaras resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersidang pada 3 Disember lalu.
Mufti Wilayah, Datuk Dr Luqman Abdullah, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pihaknya mengambil inisiatif membincangkan pelbagai kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung pengambilan vaksin COVID-19 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-2/2021 pada 11 Februari lalu.
Beliau berkata, mesyuarat itu membuat keputusan bersetuju mengguna pakai resolusi MKI ke-10, berhubung perkara itu yang bersetuju hukum penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.
“Selaras dengan dasar kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19 di negara ini, pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan ini menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi serta mendukung sepenuhnya pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijangka bermula hujung bulan ini.
“Keputusan ini adalah selari dengan dalil seperti firman Allah Ta’ala (yang bermaksud) ‘Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)’ melalui Surah Al-Baqarah ayat 195.
“Sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain’ seperti diriwayatkan Ibn Majah,” katanya.
Beliau berkata, keputusan itu juga disokong oleh aedah fiqh seperti, ‘Kemudaratan itu mestilah dihilangkan’ dan ‘Urus tadbir pemimpin ke atas rakyat adalah berlandaskan kepada maslahah’.
Dari aspek kepenggunaan pula, katanya, hukum harus itu turut diputuskan selepas mengambil kira pendirian tegas pihak kerajaan bahawa hanya vaksin yang telah dikenal pasti statusnya sebagai halal dan tayyiban sahaja yang akan digunakan sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini.
Sehubungan itu, Luqman berkata, pihaknya menggalakkan seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan menghormati fatwa yang diputuskan berhubung pengambilan vaksin COVID-19 di Malaysia.
“Keputusan ini dibuat selepas melalui pelbagai proses perbincangan bersama pihak-pihak yang berautoriti dalam bidang masing-masing.
“Tambahan pula, ia juga antara usaha pihak kerajaan dalam memastikan negara Malaysia berjaya mengharungi krisis COVID-19 ini dengan lebih efisien.
“Justeru, marilah kita menjadikan fatwa ini sebagai rujukan yang utama khususnya bagi mendukung usaha pemimpin negara untuk memerangi pandemik ini dengan lebih berkesan,” katanya.
Sumber : Berita Harian Online
Kerajaan pada hari ini menerusi beberapa tindakan yang telah dan sedang diambil seperti arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pakej-pakej ransangan ekonomi seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada hakikatnya sedang berusaha untuk mencari keseimbangan antara aspek kesihatan rakyat dan kepentingan ekonomi negara.
Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, BNM telah menjangkakan impak negatif akibat daripada penularan COVID-19. Impak penularan COVID-19 mencetuskan krisis kesihatan, menyebabkan aktiviti ekonomi terjejas oleh gangguan bekalan dan permintaan susulan langkah kawalan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan di seluruh dunia. Bagaimanapun, impak krisis kesihatan adalah berjangka pendek. Apabila vaksin ditemui, ekonomi akan pulih dan melonjak semula selepas itu. Impak terhadap ekonomi negara akan teruk pada separuh pertama 2020, namun aktiviti ekonomi dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2020 dengan andaian virus berkenaan dapat ditangani.
Dalam situasi ini, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyat, segala tindakan perlu dilakukan berprinsipkan efektif governan yang dirujuk sebagai Siyasah Syar’iyyah dalam Islam. Siyasah Syar’iyyah menurut Ibnu Qayyim al-Jawziyah adalah, “Suatu perbuatan yang membawa manusia dekat kepada kemaslahatan dan terhindar dari kebinasaan, meskipun perbuatan tersebut tidak ditetapkan oleh Rasulullah SAW atau diwahyukan oleh Allah SWT.” (Lihat al-Thuruq al-Hukmiyyah, 12) Menurut ‘Abd al-Wahhab Khallaf, Siyasah Syar’iyyah bermaksud mentadbir perkara-perkara yang umum untuk Negara Islam bagi melindungi kemaslahatan dan menolak kemudaratan berlandaskan hukum syarak yang menyeluruh. (Lihat al-Siyāsah al-Syar‘iyyah, 17)
Pelaksanaan Siyasah Syar’iyyah hendaklah berlandaskan Maqasid ‘Ammah atau dikenali juga sebagai Maqasid Syariah. (Lihat Mudhakkirah Fī al-Siyāsah al-Syar‘iyyah) Dalam menghuraikan tentang Maqasid Syariah, pelbagai takrifan dikemukakan oleh ulama sepanjang zaman, namun intipatinya tetap menfokuskan terhadap pencapaian maslahah manusia iaitu mendatangkan manfaat dan menjauhkan mudarat.
‘Alal al-Fasi mentakrifkan Maqasid Syariah dengan objektif yang diambil daripada syariah dan hikmah-hikmah yang diletakkan oleh pembuat syariah di sebalik hukum-hakamnya. (Lihat Maqasid al-Syari‘ah al-Islāmiyyah wa Makarimuha, 3) Al-Raysuni pula menyimpulkan ia sebagai objektif yang ditetapkan oleh syariat untuk dicapai demi kepentingan manusia. (Lihat Nazariyat al-Maqasid ‘inda al-Imam al-Syatibi, 19) Berdasarkan beberapa takrifan yang dikemukakan, dapat dirumuskan bahawa syariat memiliki objektif tertentu dalam menetapkan sesuatu hukum. Objektif tersebut boleh disimpulkan “untuk menatijahkan kebaikan dan mencegah kemudaratan” yang terkandung dalam setiap hukum taklif yang disyariatkan.
Manakala dalam hierarki atau aspek keutamaan Maqasid Syariah ia boleh diklasifikasikan kepada tiga, iaitu:
Al-Daruriyyat : Iaitu keperluan yang manusia bergantung kepadanya sama ada dari sudut kehidupan beragama atau keduniaan. Jika ia tiada maka akan berlaku kepincangan hidup manusia di dunia dan azab seksa di akhirat. (Lihat Ta’lil al-Ahkam, 282) Al-Daruriyyat yang asasi ini merangkumi lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Ia melibatkan kelangsungan hidup manusia. (Lihat al-Mustasfa Min ‘Ilm al-Usul, 217)
Al-Hajiyyat : Iaitu kepentingan yang memberi kemudahan kepada manusia dan menghilangkan kesempitan yang menyebabkan kesulitan dan kesukaran dengan ketiadaannya. (Lihat al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah, 2/326) Namun ketiadaannya tidak menjejaskan kehidupan manusia sebagaimana ketiadaan al-daruriyyat, tetapi ia boleh menyebabkan kesulitan dalam hidup manusia. Ia berada di tempat kedua selepas al-daruriyyat dari sudut turutannya.
Al-Tahsiniyyat : Iaitu kepentingan yang dituntut untuk menjaga maruah menerusi adat-adat yang baik dan budi pekerti yang mulia. (Lihat al-Maqasid al-’Ammah Li al-Syariat al-Islamiyyah, 164) Jika ia tiada, ia tidak menyebabkan kepincangan sistem hidup manusia sebagaimana berlaku kepada al-daruriyyat dan tidak menyulitkan hidup mereka sebagaimana tahap al-hajiyyat, tetapi ia menjadikan kehidupan yang kurang selesa. Al-Tahsiniyyat menduduki tempat yang ketiga dalam dari segi hierarki keutamaan
Usaha bersungguh-sungguh kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 amat jelas sekali termasuk dalam kategori al-daruriyyat. Ini memandangkan memelihara kesihatan daripada terdedah kepada penyakit berbahaya adalah termasuk dalam kategori memelihara nyawa. Manakala pelbagai inisiatif yang dilakukan demi menjamin keberlangsungan ekonomi pula termasuk dalam kategori memelihara harta benda. Hanya isu yang timbul, apakah yang perlu didahulukan atau diutamakan antara kedua-dua perkara ini?
Terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan para ulama dalam meletakkan susunan al-daruriyyat yang lima tersebut. Antara susunan keutamaan yang dikemukakan oleh ulama’ ialah: Agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Tertib ini adalah menurut jumhur dari kalangan ahli usul, antaranya al-Ghazali dalam al-Mustasfa (1/287), al-Amidi dalam al-Ahkam (3/394), Ibn al-Hajib dalam Muntaha al-Wusul (hal. 182). Manakala sebahagian yang lain menyanggah susunan ini dengan menyebut susunannya seperti berikut iaitu nyawa, harta , keturunan, agama dan akal. Inilah yang dikemukakan oleh al-Razi dalam al-Mahsul (2/217).
Ini menunjukkan bahawa para ulama hampir bersepakat bahawa memelihara nyawa itu lebih diutamakan berbanding memelihara harta. Walau bagaimanapun, terdapat analisis yang amat baik daripada Syeikh Abdullah bin Yusuf al-Jadi’ yang berpendapat bahawa perkara darurat yang lima itu berbeza-beza tingkatannya mengikut kepada kadar kekuatan darurat semasa. Secara praktikalnya, susunan perkara darurat yang lima itu tidak memiliki satu kaedah yang tetap, ia bahkan berubah tertib mengikut keadaan daruratnya, justeru ia tidak termasuk dalam soal prinsip dalam ilmu maqasid. (Lihat Taisir ‘Ilm Usul al-Fiqh, 338)
Justeru, kami mengatakan bahawa konsep maslahah boleh menjadi penentu dalam menimbang keutamaan perkara darurat yang lima. Lebih-lebih lagi Maqasid Syariah merupakan lanjutan dan pengembangan konsep al-maslahah al-mursalah dalam ‘ilmu Usul Fiqh. Maslahah juga merupakan elemen utama dalam perbahasan Maqasid di mana tahqiq al-maslahah merupakan tujuan tertinggi syariat itu sendiri seperti yang disebut oleh al-Imam as-Syatibi:
أَنَّ وَضْعَ الشَّرَائِعِ إِنَّمَا هُوَ لِمَصَالِحِ الْعِبَادِ فِي الْعَاجِلِ وَالْآجِلِ مَعًا
Maksudnya: “Sesungguhnya syari’at itu ditetapkan hanyasalah untuk kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat.” (Rujuk al-Muwafaqat, 2/9)
Dalam menangani isu penularan wabak Covid-19, kami menegaskan bahawa menjaga kesihatan rakyat dan menangani krisis ekonomi adalah sama penting kerana kedua-duanya termasuk dalam kategori al-daruriyyat. Tiada antara dua perkara tersebut yang boleh dikesampingkan atau dianggap kurang penting berbanding yang lain.
Namun demikian, dalam keadaan semasa, dengan mengambil kira pandangan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang optimis bahawa penularan wabak Covid-19 boleh diatasi dalam jangka masa yang tidak lama, jika seluruh rakyat dapat mematuhi sepenuhnya arahan PKP, dan jangkaan pihak BNM bahawa aktiviti ekonomi akan bertambah baik pada separuh kedua 2020 dengan andaian virus berkenaan dapat ditangani, maka dalam konteks ini kami cenderung mengatakan pemeliharaan terhadap kesihatan perlu lebih diutamakan.
Pandangan kami ini adalah berdasarkan beberapa pertimbangan berikut:
Rasulullah SAW sendiri pernah mengarahkan sahabat menghentikan kegiatan ekonomi di tempat berlakunya penularan wabak penyakit. Ia sebagaimana dalam riwayat berikut:
فَرْوَةَ بْنِ مُسَيْكٍ قَالَ : قُلْت يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَرْضٌ عِنْدَنَا يُقَالُ لَهَا : أَرْضُ أَبين هِيَ أَرْضُ رِيفِنَا وَمِيرَتِنَا وَإِنَّهَا وَبِيئَةٌ أَوْ قَالَ : وَبَاؤُهَا شَدِيدَةٌ ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : دَعْهَا عَنْك فَإِنَّ مِنْ الْقَرَفِ التَّلَفَ
Maksudnya: “Farwah bin Musaik berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah, tempat kami dipanggil Abyan. Ia adalah kampung kami bercucuk tanam dan membuat bekalan makanan, padanya ada wabak yang berat. Lalu Nabi SAW bersabda: Tinggalkan ia daripada kamu keluar masuk, sesungguhnya mendekati penyakit adalah kebinasaan.”
Riwayat Ahmad (15742)
Ia juga berdasarkan beberapa kaedah fiqh seperti berikut:
ارتكاب أخف الضررين
Maksudnya: “Mengambil yang lebih ringan di antara dua kemudaratan”
Kaedah ini digunapakai berdasarkan pertimbangan bahawa pemulihan darurat kesihatan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk ditangani dalam tempoh yang singkat jika ia dijadikan keutamaan. Namun, jika diutamakan pemulihan darurat ekonomi, sehingga dibuka semula sekatan pergerakan, maka ia berisiko tinggi akan menyebabkan darurat kesihatan yang berpanjangan dan akhirnya akan menyumbang kembali kepada krisis ekonomi yang lebih kritikal dan berpanjangan. Keadaan ini termasuk dalam lanjutan kepada satu lagi kaedah lain iaitu:
الضرر لا يزال بضرر مثله أو أكبر منه
Maksudnya: “Kemudaratan tidak dihapuskan dengan kemudaratan yang seumpama dengannya atau lebih besar daripadanya.”
Selain itu, kami juga berhujah dengan kaedah:
درء المفاسد مقدم على جلب المصالح
Maksudnya: “Menolak kerosakan adalah lebih utama daripada melakukan kebaikan.”
Dalam konteks sekarang, memutuskan sepenuhnya rantaian wabak penyakit Covid-19 yang masih tidak mempunyai vaksin itu lebih utama berbanding memulihkan kegiatan ekonomi dengan membuka semula sekatan pergerakan yang lebih bersifat menarik kemaslahatan. Namun demikian, kami cenderung jika PKP ingin dibuka semula, maka ia boleh dibuka hanya di kawasan-kawasan dalam kategori zon hijau (tiada kes).
Kesimpulannya, kami katakan bahawa dalam situasi sekarang kerajaan telah mengambil tindakan yang amat baik dan terpuji bagi mengimbangi antara kewajipan memelihara kesihatan rakyat dan kewajipan menangani krisis ekonomi. Ini kerana kedua-duanya termasuk dalam kategori al-daruriyyat al-khamsah di bawah Maqasid Syariah. Tindakan kerajaan melaksanakan PKP memenuhi objektif untuk memelihara nyawa dengan memutuskan rantaian penyakit tersebut. Manakala inisiatif kerajaan melancarkan beberapa pakej ransangan ekonomi pula bertujuan untuk mencapai objektif memelihara harta benda, agar rakyat tidak kehilangan hasil pencarian, bekalan makanan dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, antara kedua-dua darurat ini, kami katakan bahawa keutamaan lebih perlu diberikan kepada pemulihan darurat kesihatan, dengan itu ia akan menjamin kepada pemulihan krisis ekonomi yang hakiki dalam jangka masa panjang.
YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
BAYAR ZAKAT HARTA DI KEDIAMAN BAGI GOLONGAN TIADA KEMUDAHAN ONLINE
Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 26 APRIL 2020 : Pembayar zakat di negeri ini boleh membayar Zakat Harta di kediaman masing-masing jika tidak berkemampuan untuk melakukan secara atas talian (online).
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata bayaran di kediaman ini hanya tertakluk kepada mereka yang terpilih sahaja seperti pembayar dalam kalangan berusia dan uzur.
“Bagi pembayaran cara ini, pembayar boleh membuat temujanji dengan pegawai Pusat Kutipan Zakat (PKZ) di setiap daerah bagi menerima pembayaran zakat di kediaman pembayar.
“Pegawai petugas PKZ Pahang hendaklah mengambil maklumat bayaran lengkap oleh pembayar,” katanya.
Beliau berkata pembayar zakat digalakkan untuk membuat taksiran Zakat Harta terlebih dahulu dengan menghubungi pegawai bertugas di PKZ Pahang atau mengira sendiri di portal rasmi www.zakatpahang.my.
Tambahan beliau lagi, petugas PKZ yang bertugas ke kediaman pembayar perlu mematuhi beberapa langkah keselamatan yang ditetapkan.
“Petugas ini perlu menjaga penjarakan sosial dan mematuhi langkah-langkah pelindungan diri; dan sentiasa membawa dan memakai penutup mulut dan hidung, serta pembersih tangan.
“Mereka juga diminta untuk meminimakan masa urusan bersama pembayar; tidak dibenarkan bersalaman dengan pembayar; dan pembayar hanya akan dibekalkan dengan Resit Sementara kerana Resit Rasmi pembayaran hanya akan diposkan kepada pembayar selepas tempoh PKP berakhir,” katanya.
Beliau berkata selain daripada mereka yang berada dalam kategori uzur dan tidak berkemampuan ini, orang ramai diminta untuk melaksanakan bayaran secara atas talian.
“Segala bayaran Zakat Harta hendaklah dilakukan secara atas talian menerusi portal rasmi PKZ; Financial Process Exchange PKZ; perbankan internet melalui 12 bank terpilih; dan menerusi aplikasi PahangGo iaitu secara debit, kad kredit atau E-Wallet,” katanya. – PAHANGMEDIA
ENAM KES SYARIAH DIPERTIMBANG DIDENGAR DALAM TEMPOH PKP
Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 26 APRIL 2020 : Pahang tetapkan enam kes syariah yang dipertimbangkan untuk didengari dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan media berkata enam kes ini turut melibatkan pengesahan lafaz cerai dan nafkah.
“Kes-kes yang dipertimbangkan adalah pengesahan lafaz cerai, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk rujuk; nafkah anak (kedua-dua pihak bersetuju); nafkah isteri (kedua-dua pihak bersetuju); dan hadanah (kedua-dua pihak bersetuju).
“Selain itu, Permohonan Wali Hakim (borang yang lengkap dan disertakan sekali Laporan Siasatan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID); dan Permohonan Kebenaran Nikah Bawah Umur (borang yang lengkap dan disertakan sekali Laporan Siasatan PAID,” katanya.
Beliau berkata, kesemua perbicaraan ini tertakluk kepada permohonan kes mendesak atau merekodkan persetujuan disertakan dengan perakuan segera yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah.
Beliau berkata lagi, mahkamah bersidang mendengar kes hanya pada hari Isnin sehingga Khamis bermula 9 pagi hingga pukul 12 tengah hari sahaja.
“Bagi tujuan keselamatan, kita membenarkan hanya pihak-pihak berkenaan dan Peguam Syarie yang dilantik sahaja hadir; kanak-kanak dan ahli keluarga tidak dibenarkan hadir sama sekali; dan tarikh dan masa perbicaraan akan ditetapkan oleh Mahkamah Syariah.
“Pegawai Mahkamah Syariah yang dibenarkan pula, terdiri daripada seorang Hakim dan seorang Pendaftar, seorang Pembantu Syariah dan seorang dari bahagian kewangan dan seorang anggota Polis sahaja,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, terdapat lapan mahkamah berpusat sahaja yang terlibat bagi perbicaraan di negeri ini.
“Mahkamah yang terlibat adalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Mahkamah Tinggi Syariah Temerloh, Mahkamah Tinggi Syariah Bentong, Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Mahkamah Rendah Syariah Temerloh, Mahkamah Rendah Syariah Bentong, Mahkamah Rendah Syariah Pekan, dan Mahkamah Rendah Syariah Rompin.
“Pendengaran kes ditetapkan sehari kepada tiga kes sahaja iaitu pada 9 pagi bagi pendengaran kes pertama, 10 pagi bagi pendengaran kes kedua, dan 11 pagi bagi pendengaran kes ketiga serta urusan berkaitan,” katanya.
Bagi prosedur pada setiap peringkat kes pula, pihak berkenaan boleh menghubungi Pegawai Yang Bertanggungjawab (PIC) sebagaimana dinamakan dalam laman Facebook atau laman sesawang rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Pahang (JKSP) bagi pendaftaran kes dan rujukan kes. -PAHANGMEDIA
SYARAT DAN TATACARA PELAKSANAAN MAJLIS AKAD NIKAH DI PAHANG DALAM TEMPOH PKP
KUANTAN, 26 APRIL 2020
Merujuk situasi semasa berkaitan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menetapkan syarat dan tatacara bagi majlis akad nikah di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keutamaan bagi mengadakan majlis akad nikah ialah kepada bakal pasangan pengantin yang telah mendapat kebenaran berkahwin (telah mendapat borang Akuan Akad) daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).
Beliau berkata, majlis akad nikah hanya dilaksanakan di PAID atau suatu tempat yang difikirkan sesuai oleh Al-Fadhil Kadi Daerah bertujuan bagi memastikan keselamatan, pematuhan syarat dan tatacara serta pemantauan.
Menurutnya, pemohon perlu membuat permohonan atas talian menerusi https://emunakahat.pahang.gov.my/ dengan melengkapkan Borang Permohonan Khas Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan seterusnya die-melkan ke PAID.
“PAID akan membuat semakan dengan Pejabat Kesihatan Daerah mengenai maklumat-maklumat yang dinyatakan dalam borang permohonan, bagi mengesahkan pihak yang hadir bukan merupakan senarai Pesakit Dalam Siasatan (PUI) dan Pesakit Dalam Pemantauan (PUS). Mana-mana pihak tersenarai sebagai PUI atau PUS tidak dibenarkan hadir ke majlis akad tersebut,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Beliau juga berkata, borang permohonan yang lengkap akan diproses oleh PAID dalam tempoh tujuh hari dan surat pemakluman kepada pemohon akan diserahkan melalui e-mel bagi menentukan tarikh dan masa majlis akad akan dilaksanakan.
Menurutnya, surat pemakluman itu perlulah dicetak oleh pemohon bagi tujuan pengesahan perjalanan hadir ke PAID.
Katanya, Kadi Daerah akan menentukan giliran tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual, yang akan disusun oleh PAID dengan mengambil kira perbincangan bersama pihak pemohon.
“Pemohon dan pihak-pihak yang terlibat dalam majlis akad perlulah melepasi dan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang akan dilaksanakan di peringkat PAID seperti pemakaian penutup mulut dan hidung, melepasi ujian suhu, penggunaan cecair nyah kuman ‘hand sanitizer’, penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, patuh susun atur kedudukan majlis yang ditentukan serta membuat sanitasi tempat majlis akad,” katanya.
YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga menjelaskan, kehadiran mereka ke majis akad nikah itu juga perlu dihadkan tidak melebihi lapan orang dan hanya yang berkeperluan untuk hadir seperti seorang jurunikah dan dua orang saksi yang ditentukan oleh Kadi Daerah, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan seorang wali.
Beliau berkata, tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan dan tidak melebihi 20 minit manakala semua yang hadir pada majlis akad nikah berkenaan hendaklah didaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon, dan diserahkan kepada Kadi Daerah atau wakilnya.
Menurutnya, upacara adat istiadat dalam majlis tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali dan beberapa keping gambar majlis akad nikah tersebut akan diambil oleh PAID bagi tujuan penyediaan laporan, rekod serta kemungkinan perkara-perkara berbangkit.
“Jika terdapat mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, Kadi Daerah atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Pahang, boleh menangguhkan majlis tersebut.
“Adalah diharapkan dengan syarat dan tatacara yang dikeluarkan ini dapat dipatuhi demi bukan sahaja kemudahan alternative kepada bakal-bakal pengantin tetapi bagi memastikan keberkesanan usaha dalam membendung wabak pandemik COVID-19,” katanya.- PAHANGMEDIA