KUANTAN: Seramai 100 murid di daerah ini menerima perkhidmatan gunting rambut percuma pada program Kembali ke Sekolah anjuran Masjid Tepian Putra, dekat sini, pagi tadi.
Program anjuran masjid itu dengan kerjasama Kedai Gunteng Barber Shop bermula jam 10 pagi hingga jam 4 petang ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Tepian Putra, Jumshoiry Novdany Mohd Sulaiman berkata, program tahunan itu adalah inisiatif pihaknya untuk meringankan beban ibu bapa menjelang pembukaan sesi baharu persekolahan.
“Kebiasaannya kos untuk gunting rambut kanak-kanak di kedai adalah antara RM7 hingga RM10, tapi mereka diberikan perkhidmatan percuma melalui program ini.
“Program ini juga bertujuan merapatkan silaturahim antara pengurusan masjid dan masyarakat setempat, sekali gus menjadikan pusat ibadat ini sebagai pusat khidmat sosial,” katanya.
Pada masa sama, seramai 75 murid termasuk 50 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Nur Iman menerima kupon bernilai RM100 bagi membeli barangan kelengkapan sekolah.
Jumshoiry berkata, pihaknya akan meneruskan program berkenaan berikutan sambutan menggalakkan daripada masyarakat sekitar daerah ini.
Katanya, program itu juga dapat mendekatkan masyarakat setempat, terutama golongan muda dengan kakitangan masjid di samping memanfaatkan sumbangan jemaah untuk kebajikan masyarakat.
Sumber : Berita Harian Online