Kenyataan Media Pengumuman Zakat Fitrah Negeri Pahang Tahun 2020
Kategori: Berita Semasa
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh
Alhamdulillah wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah wa‘ala alihi wasahbihi ajma‘in
Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang selaku Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Ketua Agama Islam Negeri Pahang Darul Makmur, telah memperkenankan Kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang bagi tahun 1441 Hijriyyah bersamaan 2020 Miladiyyah ialah RM7.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Sahaja).
Semua umat islam di dalam negeri ini hendaklah mengeluarkan Zakat Fitrah mereka bermula daripada awal Ramadhan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat hari raya Aidilfitri.
Memahami keutamaan memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 dan pematuhan kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kaedah bayaran melalui Amil Zakat Fitrah tidak disediakan. Justeru itu, pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Majlis) telah menetapkan kaedah bayaran pada tahun ini adalah sepertimana berikut:
a) Secara atas talian (internet) melalui capaian https://ezakat.muip.gov.my/zakatfitrah/. Hebahan dan perkongsian alamat capaian ini akan dibuat melalui media massa.
b) Aplikasi PahangGo (Akan Dimaklumkan)
c) Aplikasi SnapNPay (Akan Dimaklumkan)
d) Zakat Fitrah Pahang 15888. Bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan untuk membuat bayaran secara atas talian (internet) seperti di atas.
Kaedah bayaran melalui Zakat Fitrah 15888 ini adalah pilihan kepada mereka sepertimana berikut ;
i.Tidak mempunyai kemudahan membuat bayaran secara atas talian (internet)
ii.Tidak mempunyai anak atau saudara mara atau individu yang boleh membantu membuat bayaran secara atas talian
iii.Tiada wakil untuk membayar Zakat Fitrah secara atas talian bagi pihak mereka
Melalui kaedah ini, pihak Majlis akan mendahului bayaran bagi pihak pembayar dan memerlukan pembayar membuat bayaran semula kepada Majlis selepas berakhir tempoh PKP.
Jika ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dalam tempoh Ramadhan dan khidmat Amil Fitrah disediakan maka kaedah bayaran melalui Zakat Fitrah 15888 ini tidak lagi disediakan.
Keharusan menggunakan kaedah bayaran melalui Zakat Fitrah Pahang 15888 ini adalah berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Syarak Negeri Pahang.
Selain kaedah-kaedah bayaran yang dinyatakan di atas, pihak Majlis akan terus meyediakanlain-lain kaedah bayaran alternatif kepada mereka yang tidak kemudahan membuat bayaran secara atas talian (internet) agar tanggungjawab menunaikan Zakat Fitrah dapat ditunaikan.
Sesiapa yang didapati memungut Zakat Fitrah tanpa dia diberi kuasa atau dilantik oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Majlis) adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada tiga ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sempena bulan Ramadhan yang diberkati ini umat Islam digalakkan menghidupkan bulan Ramadhan dengan amal ibadah dan juga patuh dengan apa-apa ketetapan pihak berkuasa selama tempoh PKP ini berkuatkuasa.
Di kesempatan ini, saya bagi pihak Majlis mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan dan selamat menunaikan Zakat Fitrah pada tahun ini.
Sekian, Wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh.
YH. Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain,
DIMP.,SAP.,AMP.,PKC.
Setiusaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
TARIKH : 23 APRIL 2020M / 29 SYA’BAN 1441H
