Kunjungi Al-Aqsa sokong Palestin

BAITULMUQADDIS 6 Okt. – Umat Islam di seluruh dunia diseru supaya terus mengunjungi Masjid Al-Aqsa walaupun menghadapi pelbagai tekanan oleh tentera Israel.

Ketika membuat seruan itu, Mufti Besar Baitulmuqaddis, Sheikh Mohammad Ahmad Husein berkata, ia sebagai tanda sokongan moral umat Islam dunia kepada rakyat Palestin.

Katanya, menerusi cara itu juga secara tidak langsung boleh menjana ekonomi penduduk Palestin khususnya di wilayah tersebut.

“Sememangnya ada tekanan oleh tentera Israel kepada mereka yang berhasrat mengunjungi Masjid Al-Aqsa tetapi itu hanya sebahagian kecil daripada penderitaan dialami oleh penduduk Palestin,” katanya.

Beliau berkata demi­kian ketika ditemui sempena kunjungan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke masjid itu di sini semalam.

Berangkat sama anak­anda sulung baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Tinggi Hal Ehwal Islam Al-Quds, Dr. Ekremah Said Sabry.

Turut serta Pengarah Wakaf Al-Quds, Syeikh Azam Al-Khatib; Menteri Al-Quds, Ir. Adnan Al-Husaini; Mufti Al-Quds, Syeikh Adnan Ghaith dan Pengarah Masjid Al-Aqsa, Syeikh Omar Al-Kiswani.

Tuanku Syed Faizuddin diiringi oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Dalam lawatan itu, baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs sempat menunaikan solat Jumaat sebelum menyampaikan sumbangan sebanyak 30 buah kerusi roda oleh majlis agama itu bagi kegunaan para jemaah.

Dalam pada itu, Sheikh Mohammad yang juga penjaga Masjid Al-Aqsa memberitahu, nasib penduduk Palestin semakin tertindas sejak Perjanjian Oslo pada 1993.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kunjungi-al-aqsa-sokong-palestin-1.762159#ixzz5TOsPTXcu
© Utusan Melayu (M) Bhd