7 Mac jam 8:49 PTG ·
PEMERHATIAN HUKUM FIQH BERKAITAN COVID 19
Semenjak isu Covid 19 timbul, saya menunggu fatwa dan panduan para ulama mengenainya, terutama berkaitan dengan perlaksanan ibadah solat berjemaah. Alhamdulllah, hanya minggu lepas baru kelihatan terbitnya beberapa fatwa dari luar dan dalam negara. Pun begitu, terdapat beberapa isu yang tidak disentuh atau kurang ditonjolkan didalam fatwa-fatwa terbabit, walaupun ia sering ditanya oleh orang ramai. Atas dasar perkongsian pandangan, saya nyatakan di sini pandangan saya beberapa isu berbangkit berkaitan ibadah dan covid 19, berdasarkan asas-asas fiqh dan usul Fiqh secara sangat ringkas untuk panduan orang awam yang bertanya.
1. MEMAKAI TOPENG MUKA SEWAKTU SOLAT JEMAAH ATAU JUMAAT ATAU TAWAF
Hukum asal adalah boleh mendirikan solat menurut majoriti mazhab dan ulama adalah dengan wajah dibuka sama ada lelaki atau wanita (kecuali minoriti ulama yang menganggap wajah sebagai aurat dan mewajibkan menutupnya hatta di dalam solat).
Hukum Asal Makruh
Solat sambil menutup mulut dan hidung pernah ditegah oleh Nabi dalam hadis :
نَهَى رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ أن يُغطِّيَ الرَّجلُ فاهُ فِي الصَّلاةِ
Ertinya : Ditegah oleh Nabi Salla allahu ‘alaihi wasallam bagi seorang lelaki menutup mulutnya sewaktu solat. ( Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban : Hadis Hasan)
Sebahagian ulama turut menyatakan menutup mulut dan hidung sewaktu solat adalah bercanggah dengan tatacara solat yang ditunjuk oleh baginda Nabi. Selain itu, ia juga menyerupai perbuatan Majusi yang berbuat demikian sewaktu menyembah api.
Atas dasar hadis dan sebab tersebut, ia menjadi MAKRUH menurut majoriti mazhab iaitu mazhab Al-Syafie, Hanbali & Maliki. Mereka menghurainya dalam bab ‘( التلثم) ’ ( Rujuk Al-Majmu’, hlm 184, Kassyaf al-Qina’, Hashiah Al-Dusuqi)
Harus Bila Wujud Keperluan
Namun, para ulama turut berfatwa bahawa apabila wujudnya sebab yang yang kuat lagi muktabar seperti tidak tertanggung kesejukan yang amat sangat, atau menutup mulut ketika menguap dan lain-lain sebab yang kukuh, hukumnya adalah HARUS untuk menutup mulut dan hidung sewaktu solat. Keharusan apabila wujud keperluan ini turut disebut oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’. (Rujuk Mirqat al-Mafatih, Al-al-Qari, Jld 2, hlm 438)
Hasil dari itu, keringanan dan keharusan turut diberikan kepada sebab mudarat yang besar seperti bagi mengelak terdedah kepada virus COVID 19 sewaktu solat berjemaah dan solat Jumaat. Hukum ini boleh terpakai untuk lelaki dan wanita. Keringanan ini turut terpakai sewaktu ibadah tawaf, saie dan lain-lain.
2. KEFARDHUAN SOLAT SECARA JEMAAH & JUMAAT DI MASJID SURAU
Hal ini telah disebut di dalam fatwa, iaitu kefardhuan tersebut boleh beroleh pengecualian tatkala sudah sampai ke suatu tahap kebahayaan apabila berkumpul disebabkan penyakit.
3. MASJID & SURAU STERILKAN KAWASAN GUNA WANG KUTIPAN DERMA
Masjid dan surau perlu turut pro-aktif dengan mengambil langkah men’steril’ kawasan masjid dan hamparan permaidaninya. Pihak pengurusan tidak boleh mengambil mudah akan hal tersebut; lihat sahaja tahap kebersihan yang dilaksanakan oleh pasaraya dan tempat perkumpulan awam yang aktif mensteril dan membersihkan kawasan yang mungkin terjejas kebersihan kerana dihadiri ramai orang. Malah HARUS hukumnya pihak masjid dan surau menggunakan wang derma kutipan masjid untuk tujuan ini. Baitul Mal atau pihak berkuasa agama negeri yang menjaga masjid juga selayaknya memberikan peruntukan sekiranya perlu.
4. BATUK SELSEMA DAN BERSIN DI MASJID
Mereka yang mengalami batuk-batuk dan selsema SEBAIKNYA TIDAK HADIR ke masjid pada masa ini, kerana walaupun mereka tidak atau belum lagi disahkan sebagai pesakit COVID 19, kehadiran mereka dengan batuk dan bersin yang kerap ketika solat berjemaah boleh menggangu fokus serta kekhusyukan jemaah lain dan turut mencetuskan kebimbangan di kalangan mereka yang sihat.
Dalil bagi menyokong keperluan menjauhi surau dan masjid bagi hal sebegini adalah hadis:
مَن أكَلَ ثُومًا أوْ بَصَلًا، فَلْيَعْتَزِلْنَا – أوْ قالَ: فَلْيَعْتَزِلْ مَسْجِدَنَا – ولْيَقْعُدْ في بَيْتِهِ
Ertinya : Sesiapa yang memakan bawang putih dan bawang merah, hendaklah mereka menjauhi kami, atau kata Nabi “ hendaklah menjauhi masjid kami dan hendaklah duduk di rumahnya sahaja ( Hadis Sahih , Riwayat al-Bukhari)
Lihatlah, hanya kerana bauan yang kurang enak serta boleh menggangu jemaah lain pun baginda Nabi salla allahu ‘alaihi wasallam mengarahkan pembawa bauan untuk menjauhi masjid, maka tentulah lebih awla atau afdhal jika sesorang itu sedang kurang sihat, banyak bersin, batuk serta selsema di musim COVID 19 ini. Ini lebih lagi meresahkan ahli jemaah serta mengganggu. Hal ini mungkin berbeza di musim tiada COVID 19. Menurut pakar, bersin dan batuk adalah perantara utama bagi tersebarnya virus COVID 19,. ( Rujuk sumber ini https://www.nytimes.com/…/h…/coronavirus-how-it-spreads.html)
Rasulullah s.a.w turut bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا
Maksudnya: “Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut janganlah kamu keluar dari situ.”(Riwayat al-Bukhari)
5. PENDEKKAN BACAAN IMAM
Imam hendaklah memendekkan bacaan sewaktu solatnya. Mereka yang menjadi imam perlu lebih faqih dan faham akan situasi semasa. Untuk itu, mereka mestilah meringkaskan solat dan bacaan solat, termasuk juga memendekkan khutbah. Ini adalah disebabkan menurut faktanya kita perlu hindari dari terlalu lama dengan berada dekat dengan orang yang berpotensi mengidap COVID 19:
a) being within approximately 6 feet (2 meters) of a COVID-19 case for a prolonged period of time; close contact can occur while caring for, living with, visiting, or sharing a healthcare waiting area or room with a COVID-19 case or
b) having direct contact with infectious secretions of a COVID-19 case (e.g., being coughed on)
Definisi ‘close contact’ dengan pesakit itu (yang dijangkiti) adalah apabila seseorang itu berada kurang dari 2 meter dari pesakit dan terdedah tanpa topeng muka darinya dalam tempoh agak lama (30 minit contohnya) dalam suatu tempat tertutup atau sistem pengudaraannya tidak baik. Atau terkena batuk dan bersin orang yang dijangkiti.
Apabila seseorang bersin, batuk malah ketawa dan bercakap juga, droplets yang dihembus keluar itu boleh terawang dan dibawa angin selama lebih 15 minit sebelum jatuh ke tanah, namun ia akan bergerak lebih lama jika keadaan berangin. Atas sebab-sebab ini, solat Jemaah dan Jumaat boleh dipendekkan demi menjaga kemaslahatan dan kesihatan orang ramai.
Dalil keharusan ini diberi adalah hadis Nabi :
إذا أمَّ أحَدُكُمُ النَّاسَ، فَلْيُخَفِّفْ، فإنَّ فِيهِمُ الصَّغِيرَ، والْكَبِيرَ، والضَّعِيفَ، والْمَرِيضَ،
فإذا صَلَّى وحْدَهُ فَلْيُصَلِّ كيفَ شاءَ.
Ertinya : Apabila seseorang kamu mengimamkan orang ramai, hendaklah dia meringkaskan ( bacaannya) kerana dia harus sedar di belakangnya ada kanak-kanak, orang tua, orang sakit dan sakit, jika dia solat sendirian, bolehlah dia solat sepanjang mana yang dikehendakinya. ( Hadis Sahih riwayat Muslim)
Menurut kajiannya, corona viruses ditemui dan boleh kekal di atas metal, gelas dan plastic untuk tempoh DUA jam sehinggalah 9 hari! ( Rujuk https://www.nytimes.com/…/h…/coronavirus-how-it-spreads.html)
6. TIDAK PERLU KE MASJID BAGI YANG BERISIKO TINGGI
Menurut Centre of Disease Control & Prevention, mereka yang berisiko tinggi dengan COVID 19 adalah (rujuk https://www.cdc.gov/…/specific…/high-risk-complications.html) :
Orang lanjut umur atau tua disebabkan sistem pertahanan diri semakin kurang.
Pesakit paru-paru, asma dan berkaitan pernafasan
Pesakit berkaitan kidney (hati)
lain-lain yang menyebabkan kurang daya tahan penyakit (jika telah diketahui)
Mereka ini diberikan keuzuran dari menghadiri solat jemaah dan Jumaat pada waktu ini. Atau boleh juga mereka hadiri dengan memakai topeng muka hatta sewaktu solat dan membasuh tangan dengan kerap dengan sanitizer atau sabun.
7. BERJABAT TANGAN DI MASJID SURAU
Pada ketika ini, aktiviti berjabat tangan berjemaah di antara semua ahli Jemaah juga adalah baik untuk tidak diteruskan, kecuali mereka yang membawa bersamanya sanitizer. Pun begitu, amalan berjabat tangan ini boleh menambahkan risiko pemindahan dari orang yang mengidap Covid 19 hasil dari bersin dan batuk yang ditahan menggunakan tangannya.
8. KELAS DI UNIVERSITI, SEKOLAH & PUSAT TUISYEN
Kelas di Universiti yang biasanya dilaksanakan dalam bilik kelas yang tertutup turut terdedah kepada risiko di atas, justeru eloklah mereka yang sedang selsema, batuk dan bersin memohon keuzuran dari menghadirinya. Adapun sekolah, mungkin tanpa penghawa dingin lebih terbuka, namun tetap terdedah kepada risiko, justeru proses pensterilan perlu dilaksanakan secara kerap untuk permukaan yang kerap disentuh seperti tombol pintu, meja awam, kantin dan sebagainya.
Demikian beberapa panduan ringkas dan perlu diketengahkan buat pengetahuan orang ramai. Semoga bermanfaat.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman