PENGIMARAHAN MASJID: TUGAS KITA

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Masjid merupakan institusi yang penting dalam membangunkan masyarakat. Peranan masjid termasuklah sebagai agen untuk menyatukan masyarakat dan membantu menyelesaikan urusan mereka. Masjid yang benar-benar berfungsi akan memberikan banyak faedah dan manfaat kepada masyarakat di sekitarnya seperti dalam aspek pembentukan kerohanian, keilmuan dan juga sebagai pusat rujukan dan khidmat kepada masyarakat. Bahkan fungsinya boleh dikembangkan sehingga kepada pengislahan ekonomi dan sosial.

Kami pernah berkesempatan melakukan rehlah ke ke bumi Turki dan berpeluang menyaksikan kesan sejarah tamadun manusia yang sudah bertapak ribuan tahun. Apa yang menarik, binaan masjid mereka begitu klasik, cantik dan tahan dalam tempoh jangka masa yang panjang. Begitu juga kebersihan tandas yang tiada tandingannya. Inilah simbol nazafah Islam bukan semata-mata pada slogan tetapi diterjemahkan dalam realiti sebenar.

Justeru, kami berpendapat, masjid yang menjadi rumah Allah sesungguhnya perlu benar-benar diperkasakan dan ditambahbaik dari semasa ke semasa mengikut realiti zaman tanpa mengubah asolah dan matlamat masjid yang perlu dikekalkan sifat kemasjidannya. Ini sepertimana kata Mantan Ketua Pengarah JAKIM iaitu Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz sempena Multaqa Imam-Imam Seluruh Negara beberapa tahun lalu: “Institusi masjid satu-satunya institusi sosial umat Islam yang menjadi benteng terakhir untuk perpaduan umat Islam kerana ia bebas daripada pengaruh politik kepartian dan masjid menjadi milik semua umat Islam tanpa mengira latar belakang.

Maksudnya institusi ini perlu diperkasakan kerana wilayah jangkauan masjid lebih luas dan tidak ada jurang memisahkan sebaliknya kita disatukan oleh kesatuan agama. Sepatutnya dari segi langkah strategi, institusi ini patut kita manfaatkan dan gunakan untuk agenda besar negara.

Kadang-kadang yang menyebabkan pihak pengurusan masjid mengambil pendekatan agak kaku kerana prasarana yang ada di masjid itu hanya memungkinkan untuk mengadakan aktiviti solat saja. Jadi, ia tidak menyokong atau menyediakan suasana lebih kondusif untuk aktiviti lain. Tetapi jika kita lengkapkan dan pelbagaikan kemudahan di masjid, ia boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti.

Sebagai contoh, untuk pendidikan dewasa, berdasarkan pemerhatian JAKIM, masjid satu-satunya institusi sosial yang berjaya dalam pendidikan dewasa berbanding institusi lain. Sekarang ini ada keperluan untuk masjid memainkan peranan menyokong sistem pendidikan untuk kanak-kanak dan remaja, tetapi prasarana di masjid tidak kondusif untuk remaja dan wanita.”

Oleh itu, dalam ruangan Bayan Linnas kali ini, kami ingin mengajak semua untuk sama–sama menginsafi dalam memartabatkan institusi masjid dengan lebih baik lagi. Justeru, kami tajukkan dalam Bayan Linnas pada kali ini dengan Pengimarahan Masjid: Tugas Kita.

Semoga Bayan Linnas pada kali ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. Kami juga berharap agar ia dapat menjadi pemangkin dalam penambahbaikan pengurusan masjid dan pengimarahannya mengikut syariat Islam itu sendiri. Amin.

Definisi Masjid

Masjid (مَسْجِد) pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud)”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf masjid itu ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat Al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27).

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.” (Lihat Taj al-‘Arus, 8/174)

Apabila diperhatikan sejarah kewujudan dan kedudukan tanah persekitaran masjid pada masa dahulu berdasarkan definisi masjid dari sudut istilah, di antaranya ada masjid yang hanya berupa tanah lapang yang diberi tanda atau sempadan di sekelilingnya dengan mendirikan tiang-tiang yang dipacakkan tepat pada sempadan berkenaan.

Jika setakat yang ditanda sebagai sempadan itu hanyalah tiang saja yang dijadikan masjid atau disebut masjid oleh orang ramai, atau oleh pewakaf – jika ia masjid wakaf – maka yang berada di luar sempadannya tiada dikira masjid dan tidak berlaku padanya hukum-hakam masjid seperti iktikaf.

Sehubungan dengan ini, kalau ada orang yang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid”, maka jadilah tempat itu sebagai masjid, iaitu setakat mana luas atau besarnya tempat yang dimaksudkannya sebagai masjid itu, manakala kawasan yang di luarnya tidak turut menjadi masjid. Dalam hal ini Imam al-Zarkasyi ada menyebutkan: “Sekiranya seseorang berkata: “Aku jadikan sebidang tanah ini sebagai masjid, maka menurut kitab Al‑Wajiz jadilah ia masjid walaupun dia tidak menyebut lafaz wakaf.” (Lihat Ahkam al-Sajid, hlm. 396)

Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Zarkasyi di atas, sekiranya keseluruhan tanah yang diperuntukkan itu telah diwartakan (digazetkan) atau diniatkan sebagai masjid, maka jadilah kesemua tanah yang diniatkan itu masjid, walaupun bangunan masjid belum didirikan.

Tetapi jika yang digazetkan sebagai masjid hanya setakat bangunannya sahaja, maka itulah sahaja yang dianggap sebagai masjid, manakala bakinya adalah sebagai harim masjid atau rizab masjid (tanah simpanan untuk masjid dan lain-lain keperluan masjid).

Maksud Pengimarahan

Allah SWT berfirman:

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

Surah al-Taubah (19)

Al-Maraghi berkata: Kata-kata dalam ayat ini adalah ditujukan kepada kaum mukminin yang telah berselisih pendapat mengenai pekerjaan yang mana satukah lebih utama. Kamu tidak boleh menyamakan keistimewaan orang yang memberi minum dengan orang yang datang menunaikan ibadah haji dan memakmurkan masjid dengan keistimewaan orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat serta orang yang berjihad pada jalan Allah SWT. Ini disebabkan, meskipun mereka memberi minum dan memakmurkan (menghidupkan) masjid itu termasuk dalam soal kebajikan, namun para pelakunya tidak sama dengan orang yang beriman dan berjihad dari segi ketinggian martabat kemuliannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2718)

Menurut Kamus Dewan Bahasa, imarah bermaksud menggerakkan atau menghidupkan suasana di masjid atau surau dengan pelbagai kegiatan berfaedah, biasanya berbentuk keagamaan. (Lihat laman web Dewan Bahasa dan Pustaka)[1]

Kami berpendapat, pengimarahan masjid memberi dua maksud yang perlu dipelihara dan dilaksanakan:

Zahir dan fizikal. Ia memberi maksud membina, mengislahkan serta menjadikan masjid begitu menarik, amat gemar dikunjungi dalam melakukan ibadat.
Batin dan hakikatnya. Ia memberi maksud mengimarahkan masjid dengan pengisian kerohanian, ilmu dan suasana yang penuh dengan maksud asalnya iaitu tempat sujud dan tempat beribadat. Dengan itu, akan menarik sejumlah jemaah bagi melaksanakan perintah Tuhan.
Kedua-duanya amat perlu dan ia sudah pasti menatijahkan maksud sebenar pengimarahan sama ada melalui fizikal atau batinnya. Inilah yang kita dambakan kepada semua masjid yang diimarahkan.

Falsafah Masjid dan Fungsinya

Masjid berasal daripada perkataan sajada (سَجَدَ) yang bererti tempat sujud. Secara teknikalnya sujud adalah meletakkan kening ke tanah. Secara maknawi, jika kepada Tuhan sujud mengandungi erti menyembah, jika kepada selain Tuhan, sujud mengandungi erti hormat kepada sesuatu yang dipandang besar atau agung. Betapa hebatnya sujud dahi dan kepala yang paling mulia bagi manusia diletakkan sama tinggi dengan kakinya. Itulah lambang setinggi ubudiyyah kepada Penciptanya.

Sedangkan sajadah daripada kata sajjadatun (سَجَّادَةٌ) bermakna tempat yang banyak dipergunakan untuk sujud. Kemudian ia menjurus menjadi selembar kain, karpet atau sejadah yang dibuat khusus untuk menjadi alas menunaikan solat. Satu gambaran yang mana hasil sujud ini ditukar menjadi nama tempat lalu dikenali dengan masjid. Ia seolah-olah mengambil satu perbuatan paling tinggi penghormatan kepada Ilahi sebagai nama tempat ibadah iaitu masjid.

Adapun masjid (مَسْجِد) mempunyai dua erti, erti umum dan erti khusus. Masjid dalam erti umum adalah semua tempat yang digunakan untuk sujud, oleh kerana Nabi SAW pernah mengatakan: ‘Tuhan menjadikan bumi ini sebagai masjid’. Sedangkan masjid dalam pengertian khusus adalah tempat atau bangunan yang dibangunkan khusus untuk menjalankan ibadah, terutama solat berjemaah. (Lihat Falsafah dan Fungsi Masjid dalam Islam oleh Al-Dawamy, 2008)

Sebahagian cendekiawan menyebut penamaan masjid di mana huruf ج itu di baris bawah (مَسْجِد) seolah-oleh memberi makna dan maksud bahawa orang yang masuk ke dalamnya bersifat tawaduk dan rendah diri.

Sebagai tempat ibadah, masjid merupakan penghubung seorang hamba dengan penciptanya dalam bentuk solat. Walaupun Islam tidak membataskan bahawa solat hanya dilakukan di masjid (bumi merupakan masjid Allah di mana saja seorang muslim dapat melaksanakan solat apabila telah datang waktunya) Nabi selalu menganjurkan umatnya agar senantiasa melaksanakan solat berjamaah di masjid. Terdapat banyak riwayat hadis yang menerangkan pentingnya solat berjemaah. Namun bagi kehidupan Muslim, masjid bukan hanya sebagai tempat ibadah seperti halnya gereja dan lainnya, akan tetapi masjid merupakan pusat kehidupan umat Islam. Sebagai pusat kegiatan tentunya masjid mempunyai fungsi yang pelbagai, antaranya: fungsi keagamaan, fungsi pendidikan, fungsi ekonomi, fungsi sosial, fungsi politik dan sebagainya. Jika kita melihat kembali ke zaman Rasulullah SAW, maka kita dapati bahawa Rasullah SAW mengadakan pelbagai kegiatan untuk kepentingan umat di masjid. (Lihat Fungsi dan Peranan Masjid di Era Moden)

Semoga roh masjid Rasulullah SAW di Madinah al-Munawwarah dapat difungsikan untuk menjadikan masyarakat benar-benar mendapat faedah serta manfaat daripada masjid di tempat masing-masing sama ada pembentukan rohani, ilmiah dan juga ukhuwwah Islamiyyah. Bahkan boleh dikembangkan sehingga kepada pengislahan ekonomi, sosial, dan juga akhlak.

Jenis-jenis Masjid

Profesor Dr. Muhammad al-Zuhaili melalui kitabnya Mausu’ah Qadaya Islamiyyah Mu’asirah antara lain menyatakan: “Masjid pada asalnya setiap tempat untuk sujud kemudian diitlaqkan tempat binaan khusus untuk ibadat dan menunaikan risalah khusus iaitu tempat solat berjemaah. Masjid mempunyai pelbagi jenis dan nama, antaranya:

Pertama: Masjid Utama yang tiga yang mempunyai hukumnya yang tersendiri, iaitu:

Masjidil Haram di Mekah al-Mukarramah.
Masjidil al-Nabawi di Madinah al-Munawwarah.
Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis.
Kedua: Masjid al-Jamek. Iaitu masjid didirikan solat jemaah, jumaat dan solat-solat seperti khusuf, istisqa’ dan lain-lain. Ia dikenali juga dengan lafaz al-Jamek kerana tempat berhimpun. Kadang-kadang digelar sebagai al-Jamek al-Kabir bagi masjid yang terbesar di satu-satu bandar utama.

Ketiga: Musalla. Ia merangkumi dua jenis:

Musalla al-‘Id. Iaitu tempat lapang yang didirikan solat dua hari raya. Biasanya di padang yang boleh memuatkan seramai mungkin penduduk negeri untuk melakukan ibadat solat.
Musalla al-Hay. Iaitu masjid yang kecil yang didirikan solat dengan jemaah yang sedikit di sesebuah tempat aau kampong. Ini bertujuan bagi menghidupkan solat berjemaah dengan mudah di samping meninggikan suara azan dan dua kalimah syahadah serta tauhid padanya. Mungkin di tempat kita dikenali sebagai surau.
Realiti di Malaysia pula menunjukkan pembahagian masjid atau tempat ibadat umat Islam dibahagikan kepada beberapa nama. Antaranya

Masjid Negara yang mewakili masjid utama bagi Negara ini.
Masjid utama Negara seperti Masjid Putrajaya dan Masjid Sultan Mizan.
Masjid Negeri seperti Masjid Wilayah Jalan Duta, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dan lain-lain.
Masjid Daerah yang biasanya setiap daerah mempunyai masjid utama. Ghalibnya terletak di pekan atau bandar kecil.
Masjid kampung sesetengah tempat dibahagikan kepada masjid jamek dan masjid kampung biasa. Sedangkan sebahagian yang lain hampir sama.
Surau Solat Jumaat dimana statusnya adalah surau tetapi diberi kebenaran untuk didirikan solat Jumaat kerana maslahah tertentu.
Surau atau musalla dan sebahagian tempat digelar sebagai balasah. Ia hanya untuk solat Jemaah di kampung kecil atau di tempat yang tertentu.
Mutakhir ini banyak juga tempat-tempat seperti bangunan kerajaan, institusi kewangan dan lain-lain telah membina sebuah ruang untuk solat yang dikenali sebagai musalla atau surau. Antaranya:

Surau al-Barakah, Bank Rakyat, Kuala Lumpur
Surau Ahmad Dawjee Dadabhoy di Menara Bank Islam
Surau Al-Insaf, Menara Maybank, Kuala Lumpur
Surau An-Nur, di Bank RHB, Kuala Lumpur
dan lain-lain.

Masjid dalam Sejarah Ketamadunan Islam

Masjid merupakan bangunan yang paling penting sebagai mercu tanda agama Islam kerana ia tempat ibadat yang menjadi rukun Islam yang kedua iaitu solat dianggap sebagai tiang seri agama. Justeru, masjid merupakan waqaf bagi Allah yang tidak dimiliki oleh sesiapapun. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّـهِ

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata.

(Surah al-Jin: 18)

Rasulullah SAW telah mendirikan masjid Quba’ ketika sampai di Quba’ dalam perjalanan hijrahnya. Kemudian selepas sampai di kota Madinah Rasulullah SAW juga telah mendirikan masjid yang dikenali sebagai masjid Nabawi sehingga menjadi tempat kesatuan umat dan juga memperkukuhkan ukhuwwah Islamiyyah di samping mercu tanda tamadun Islam.

Masjid adalah tempat bagi umat Islam beribadah. Menekuni kembali sejarah Islam pada masa lampau, masjid adalah pusat komuniti masyarakat dan bandar-bandar dibentuk mengelilingi masjid ini. Kini, masjid terutamanya di negara-negara umat Islam boleh dijumpai di mana-mana, memudahkan umat Islam untuk menunaikan solat lima waktu. Masjid di dunia Barat pada zaman sekarang menerapkan konsep pusat integrasi yang turut mempunyai pusat pengajian, kemudahan komuniti selain untuk beribadah.

Masjid boleh didapati dalam pelbagai rekabentuk dan kesenian binaannya; bergantung kepada budaya setempat. Umat Islam pada zaman silam sehingga ke hari ini memanfaatkan arkitek tempatan dan luar negara untuk merekabentuk masjid yang indah.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa ciri persamaan bagi masjid di seluruh dunia. Setiap masjid ada mihrab, yang menghala ke arah kiblat iaitu Baitullah di Makkah al-Mukarramah. Begitu juga minbar yang biasanya digunakan untuk berkhutbah pada setiap hari Jumaat. Antara lain, persamaannya adalah pada menara. Kebiasaanya, ia dibina tinggi dan bertujuan untuk memudahkan muazzin melaungkan azan pada satu ketika dahulu.

Reka bentuk masjid telah berubah dengan begitu mendadak selepas 1400 tahun. Masjid kini turut dihiasi kolam atau air pancut yang turut menyediakan kemudahan untuk umat Islam mengambil wudhu’. Begitu juga kemudahan bilik air, bilik mandi dan rumah musafir. Keadaan ini berbeza dengan masjid pada era awal Islam yang cuma beratapkan pelepah tamar.

Bagaimanapun keadaannya, masjid tetap sebuah tempat ibadah yang wajar dihormati dan dipelihara kemuliaan dan kesuciannya kerana ia adalah syiar bagi agama Islam yang tercinta.

Peranan Masjid dalam Islam

Di dalam negara Madinah yang ditadbir oleh Rasulullah SAW, masjid merupakan pusat pentadbiran negara di mana Rasulullah SAW menguruskan hal ehwal umat Islam. Baginda mengadakan mesyuarat, menghimpunkan masyarakat, menerima tetamu dalam dan luar negara, membuat ucapan-ucapan penting, menyelesaikan persengketaan dan sebagainya di masjid. Hal yang sama turut berlaku pada era Khulafa’ al-Rasyidin dan seterusnya.

Diriwayatkan bahawa tatkala Rasulullah SAW tiba di Madinah semasa hijrah, baginda telah membeli sebidang tanah dan di atasnya didirikan masjid dan di sekitarnya dibangun bilik-bilik rumah baginda. Bentuk masjid yang didirikan Nabi SAW sangat sederhana, tidak memerlukan biaya yang tinggi. Masjidnya berupa halaman luas yang empat sisi temboknya dibina daripada batu merah dan tanah liat. Sebahagian atapnya dari pelepah kurma dan sebahagian yang lain dibiarkan terbuka. Salah satu penjuru serambinya dikhususkan untuk tempat bermukim kaum fakir yang tidak memiliki tempat tinggal.

Sejarah Islam mencatat bahawa selain menjadi pusat pemerintahan dan pentadbiran, masjid juga merupakan tempat di mana para Khalifah dibai’ah oleh umat Islam. Antara lain, masjid juga berfungsi sebagai sebuah pusat penerangan baik dalam perkara politik, perang, ekonomi, sosial, keilmuan mahupun persoalan kehidupan lainnya. Rapat umum yang bertujuan mengkhabarkan makluman penting berkaitan kaum Muslimin juga dibuat di masjid.

Di sepanjang sejarah kegemilangan Islam, masjid juga digunakan sebagai tempat di mana para hakim membicara dan memutuskan sesuatu kes. Imam al-Mawardi menyebut di dalam al-Ahkam al-Sultaniyah bahawa Abu Abdillah al-Zubairi mengatakan: “Tidak pernah ada satu masa pun kecuali amir kami di Basrah selalu mengangkat qadhi untuk menjadi qadhi di Masjid Jami’. Mereka menyebutnya qadhi masjid. Mereka memutuskan perkara dalam masalah 200 dirham atau 20 dinar atau kurang, di samping ia juga menetapkan pelbagai keputusan. Ia tidak akan menyimpang dari kedudukannya dan dari hal-hal yang telah ditetapkan baginya.” (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, 1/125)

Masjid juga menjadi pusat aktiviti ekonomi di mana diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW kadangkala menempatkan harta (sebelum diagihkan kepada kaum Muslimin) di masjid. Dalam satu hadis daripada Anas, disebutkan:

أُتِيَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِمَالٍ مِنَ الْبَحْرَيْنِ فَقَالَ ‏”‏ انْثُرُوهُ فِي الْمَسْجِدِ ‏”‏‏.‏ وَكَانَ أَكْثَرَ مَالٍ أُتِيَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِلَى الصَّلاَةِ، وَلَمْ يَلْتَفِتْ إِلَيْهِ، فَلَمَّا قَضَى الصَّلاَةَ جَاءَ فَجَلَسَ إِلَيْهِ، فَمَا كَانَ يَرَى أَحَدًا إِلاَّ أَعْطَاهُ، إِذْ جَاءَهُ الْعَبَّاسُ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَعْطِنِي فَإِنِّي فَادَيْتُ نَفْسِي وَفَادَيْتُ عَقِيلاً، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ خُذْ ‏”‏‏.‏ فَحَثَا فِي ثَوْبِهِ، ثُمَّ ذَهَبَ يُقِلُّهُ فَلَمْ يَسْتَطِعْ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أُؤْمُرْ بَعْضَهُمْ يَرْفَعُهُ إِلَىَّ‏.‏ قَالَ ‏”‏ لاَ ‏”‏‏.‏ قَالَ فَارْفَعْهُ أَنْتَ عَلَىَّ‏.‏ قَالَ ‏”‏ لاَ ‏”‏‏.‏ فَنَثَرَ مِنْهُ، ثُمَّ ذَهَبَ يُقِلُّهُ، فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أُؤْمُرْ بَعْضَهُمْ يَرْفَعْهُ عَلَىَّ‏.‏ قَالَ ‏”‏ لاَ ‏”‏‏.‏ قَالَ فَارْفَعْهُ أَنْتَ عَلَىَّ‏.‏ قَالَ ‏”‏ لاَ ‏”‏‏.‏ فَنَثَرَ مِنْهُ، ثُمَّ احْتَمَلَهُ فَأَلْقَاهُ عَلَى كَاهِلِهِ ثُمَّ انْطَلَقَ، فَمَا زَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُتْبِعُهُ بَصَرَهُ حَتَّى خَفِيَ عَلَيْنَا، عَجَبًا مِنْ حِرْصِهِ، فَمَا قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَثَمَّ مِنْهَا دِرْهَمٌ‏

Maksudnya: Pernah dibawakan kepada Nabi harta dari Bahrain. Nabi pun bersabda: Letakkannya dalam masjid. Itu adalah harta yang paling banyak yang pernah dibawakan kepada Rasulullah. Kemudian Rasulullah keluar untuk sembahyang. Baginda tidak berpaling pun kepada harta tadi. Setelah selesai solat, barulah baginda pergi dekat harta itu lalul duduk. Tidak dilihat sesiapa pun melainkan diberikan kepadanya. Tiba-tiba datang kepada baginda, Abbas. Dia berkata: Wahai Rasulullah, berikanlah kepadaku kerana aku telah menebus diriku dan Aqil (semasa ditawan dalam perang Badr). Maka Rasulullah berkata kepadanya: Ambillah. Dia pun mengaut harta itu ke dalam kainnya dan hendak dibawanya tetapi tidak mampu kerana berat. Dia lantas berkata: Wahai Rasulullah, suruhlah sesiapa mengangkatkannya untukku. Nabi berkata tidak boleh. Dia berkata lagi: Kalau begitu, engkau sendirilah yang mengangkatnya untukku. Nabi berkata: tidak boleh. Maka dia membuang sebahagian darinya dan mengangkatnya sambil berkata: suruhlah sesiapa mengangkatnya untukku. Nabi berkata: tidak boleh. Dia berkata: engkau sendirilah yang angkat dan letakkan keatasku: Nabi berkata: tidak boleh. Selepas itu dia membuangkan sebahagian dari harta itu lalu mengangkatnya dan meletakkannya diatas bahu kemudian pergi. Rasulullah pula terus memerhatikan Abbas lantaran hairan dengan sifat tamak dan halobanya itu sehingga dia hilang dari pandangan kami. Rasulullah tidak bangkit dari situ melainkan setelah tidak tinggal walau satu dirham.”

Riwayat al-Bukhari (421)

Kawasan masjid juga pernah digunakan sebagai tempat untuk latihan jihad dan merawat para mujahidin sebagaimana yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari. Selain dari fungsi-fungsi di atas, masjid juga berperanan sebagai pusat pengajian dan dakwah Islam, tempat di mana kaum Muslimin bermesyuarat dan berbincang tentang agama mereka baik tentang politik, ekonomi, pendidikan, jihad dan sebagainya.

Masjid juga adalah pusat bantuan kepada mereka yang memerlukan (fakir dan miskin), tempat perlindungan, tempat tidur dan istirahat para musafir dan ibnu sabil, tempat mempererat ukhwah sesama Muslim dan tempat manusia mencari pahala dan keredaan di sisi Allah SWT.

Sesungguhnya banyak lagi fungsi masjid berserta dalil-dalilnya yang tidak dapat dinyatakan di sini kerana ruang yang terhad. Pendek kata, masjid bukan sekadar tempat untuk melakukan ibadah khusus semata-mata sebagaimana difahami oleh sebahagian Muslim, tetapi masjid juga adalah tempat melakukan pelbagai aktiviti harian yang juga boleh dikategorikan sebagai ibadah umum jika bersesuaian dengan syarak.

Kesimpulannya, masjid berfungsi sebagai:

Tempat pembinaan kerohanian.
Tempat pengukuhan sosial umat Islam.
Tempat pembelajaran dan pendidikan.
Tempat penghakiman dan membuat keputusan.
Tempat latihan ketenteraan.
Tempat bersiyasah atau penyampaian arahan pemerintah. (Lihat Mausu’ah Qadaya Islamiyyah Mu’asirah, 1/217-219)

Pengimarahan Masjid dan Memakmurkannya

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (8/90) menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat sesorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” Ini seperti mana hadis Nabi SAW daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. (Lihat Aisar al-Tafasir li Kalam al-‘Aliy al-Kabir, 2/66)

Ibn al-Jauzi menyebut, yang dimaksudkan dengan memakmurkan masjid (dalam ayat di atas), ada dua pendapat:

Selalu datang ke masjid dan duduk di dalamnya (untuk beribadah kepada Allah SWT)
Membangunkan masjid dan memperbaikinya. (Lihat Zad al-Masir fi ‘Ilm al-Tafsir, 3/408)
Syeikh al-Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya “Orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan.” (Lihat Tafsir al-Wasit, 6/228)

Buya Hamka berkata: “Di sini terdapat kalimat (انما) yang dalam bahasa arab disebut (اداة حصر) yang membawa maksud ‘alat pembatas’. Kita maksudkan di sini (hanya), maka terbataslah orang-orang yang boleh meramaikan dan memakmurkan masjid-masjid Allah, iaitu hanya orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang solat dan berzakat, dan tidak ada tempat takutnya melainkan Allah. Di luar orang-orang yang mempunyai syarat selengkapnya, tidaklah boleh meramaikan dan memakmurkan masjid.” (Lihat Tafsir al-Azhar, 10/164)

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi, memakmurkan masjid bermaksud mendirikan solat di dalamnya, berdoa, berzikir dan menegakkan syiar-syiarnya. Takrif ini menggambarkan bahawa masjid bukan sekadar tempat untuk melaksanakan ibadat, tetapi juga untuk menyampaikan dakwah Islam.

Aktiviti pengajian ilmu agama perlu diadakan di masjid-masjid supaya ia sampai kepada masyarakat dengan baik. Masjid itu adalah madrasah dakwah dan ia juga pejabat negara Islam. Masjid adalah tempat mengadakan mau’izah dan pengajian harian, mingguan dan ceramah berkala.

Masjid berperanan dalam memberi ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita penting untuk ummah, bertemu dengan diplomat asing, mengatur tentera di medan perang, menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian. (Lihat al-Dawabit al-Syar’iyyah li Bina’ al-Masajid, hlm. 6-7)

Memakmurkan masjid juga adalah ialah dengan selalu menghidupkan jemaahnya, memelihara dan membersihkannya dan memperbaiki jika berlaku kerosakan. Mencukupkan mana yang kurang dan menziarahinya untuk ibadat. Dalam ayat ini ditegaskan hanya orang yang hidupnya telah dibentuk oleh satu bentuk pemikiran yang memang telah terikat hatinya dengan masjid.

Orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan tergetar hatinya untuk meramaikan masjid begitu juga yang tidak solat, tidak suka untuk mendekati masjid. Mereka yang bakhil daripada berzakat amat takut ke masjid kerana bimbang bertemu orang yang miskin dan yang berhak menerima zakat. Ini kerana masjid untuk semua lapisan masyarakat yang mungkin kita temuinya.

Sayyid Qutub menyatakan di dalam tafsir Fi Zilalil Qur’an: “Ayat ini hanya menyebut “takut kepada Allah” selepas menyebut dua syarat keimanan dalaman dan amalan luaran. Dan ini bukanklah beerti “takut kepada Allah” suatu pernyataan lebihan, kerana yang dipastikan di sini ialah keikhlasan kepada Allah dan menjauhkan diri dari segala bayangan syirik sama ada di dalam perasaan atau perilaku. Ketakutan seseorang kepada yang lain dari Allah itu merupakan sejenis syirik khafi yang sengaja diperingatkan al-Quran di sini supaya I’tiqad dan amalan seseorang itu hanya untuk Allah semata-mata. Di waktu ini sahaja para mukminin berhak mengimarahkan masjid-masjid Allah dan mengharapkan hidayat dari Allah.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 7/230)

Renungan Buat Pemegang Amanah Rumah Allah

Pemegang amanah rumah Allah yang dimaksudkan adalah sama ada Nazir ataupun pengerusi masjid dan barisan jawatankuasanya yang bertugas secara langsung dalam pengimarahan masjid dan melicinkan perjalanan pentadbiran masjid baik di peringkat atasan, mahupun peringkat bawahan. Ia dibahagikan kepada dua perkara:

Pertama: Arahan

Antara yang sepatutnya dimiliki oleh seseorang yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk mengurus tadbir masjid adalah seperti berikut:

Ia merupakan amanah Allah, justeru hendaklah ditunaikan dengan sepenuh hati dan penuh dengan profesional.
Niat yang ikhlas yang sentiasa ingin mencari keredhaan Allah apatah lagi dalam menguruskan pentadbiran Rumah Allah. Firman Allah SWT:
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid.

(Surah al-Bayyinah: 5)

Menghidupkan majlis ilmu, kerana ia merupakan universiti pertama dalam Islam. Rasulullah SAW menyampaikan risalahnya dalam masjid dan menjadi murabbi kepada ummah.
Memahami akan fungsi sebenar masjid sebagai tempat penyuburan kerohanian. Justeru penggalakkan ibadat pada ahli jemaah seperti solat, zikir, membaca al-Quran sentiasa digerakkan dari semasa ke semasa.
Menzahirkan keampuhan kesatuan ummah, ini kerana masjid adalah tempat berhimpun umat Islam dalam menunaikan ibadat solat dan lain-lain. Ini sudah pasti menjadikan masjid sebagai ikatan hablum minnallah (hubungan dengan Allah) dan hablum minannas (hubungan sesama manusia).
Menzahirkan kehebatan masjid sehingga menjadikannya cukup unggul pada hati umat Islam dengan cara memuliakannya dan memahami fungsi sebenar masjid itu.
Menjadikan masjid tempat yang benar-benar tenang bagi semua masyarakat umat Islam kerana ia rumah Allah yang akhirnya melahirkan persamaan, kasih sayang timbang rasa, penghormatan, saling bantu membantu yang akhirnya membentuk sebuah masyarakat yang unggul.

Kedua: Larangan

Perlu dan semestinya kepada yang diberi amanah menguruskan masjid daripada yang pertama hingga kepada ahli jawatankuasa biasa untuk memelihara dan mengimarahkan masjid sepertimana suruhan dan arahan sebelum ini. Justeru satu penegasan di sini agar masjid benar-benar berwibawa, maka beberapa larangan perlu diambil prihatin dengan sesungguhnya, antaranya:

Elakkan menjadi tempat fitnah memfitnah kerana natijahnya amat buruk dan kesannya tidak elok bagi umat Islam. Budaya ini jika tidak dibendung akan menatijahkan kesuraman masjid dan surutnya ahli jemaah masjid sehingga seolah-olah ia terpulau dan terbiar.
Jangan bergaduh dan bertelingkah. Sama ada antara sesama AJK masjid ataupun dengan jemaah. Hal ini seringkali kita dengar yang menatijahkan perasaan tidak baik dan kata-kata di belakang yang tidak elok didengar sudah menjadi sebati dalam masyarakat. Ini akan membawa kepada masjid tidak lagi digemari oleh hati-hati masyarakat setempat.
Elakkan masjid daripada unsur kepartian atau kepuak-puakan sehingga membawa kepada pihak yang lain walaupun mengucap dua kalimah syahadah akan merasa tidak tenang dan selesa ketika melangkah kaki ke masjid tersebut.
Jangan merasakan masjid dan pentadbirannya adalah hak kita semata-mata tanpa menerima sebarang teguran dan nasihat dari ahli jemaah yang ikhlas menyampaikannya. Ini kerana, sikap tidak boleh menerima teguran akan menyebabkan keadaan masjid tidak maju dan sentiasa berada pada tahap yang lama.
Jangan jadikan masjid hanya sebagai tempat bersumpah dalam menegakkan kebenaran atau mencerca seseorang. Ini kerana, menafikan maksud masjid sebagai tempat ditinggikan nama Allah dan pembentukan kerohanian yang unggul.
Jangan biarkan sebarang unsur ceramah atau pengajaran yang tidak menghormati adab masjid dan juga celaan kepada mana-mana individu dengan sewenang-wenangnya. Ini sudah barang tentu akan merasakan kerimasan oleh sebahagian jemaah dan membawa gelodak jiwa yang tidak baik.

Tindakan dalam Memperkasakan Masjid

Pentadbir yang diberi amanah untuk mengendalikan urusan masjid hendaklah sentiasa memikirkan cara untuk memperkasa dan menghaibatkan masjid sehingga benar-benar terasa akan sifat kemasjidannya yang menjadi rumah Allah untuk diagungkan. Hal ini, hendaklah diambil prihatin oleh semua pihak termasuk ahli jemaah itu sendiri.

Kami kemukakan di sini beberapa cadangan dalam memperkasakan masjid, antaranya:

Jadikan masjid mesra masyarakat dan jemaah, sehingga hati dan fikiran masyarakat begitu bergantung kepada masjid.
Melaksanakan kempen Jom Ke Masjid dari semasa ke semasa. Galakan, pujukan dan rayuan kepada masyarakat untuk ke masjid adalah amat penting bukan menghukum mencela dan menghina kepada yang tidak ke masjid.
Gambarkan kepada mereka kelebihan golongan yang sentiasa menuju kepada masjid seperti hadis Nabi SAW. Rasulullah SAW bersabda:

بَشِّرِ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Beri berita gembiralah kepada yang berjalan kaki membelah kegelapan malam menuju ke masjid-masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat.”

Riwayat Abu Daud (561)

Begitu juga, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلاً كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Maksudnya: “Sesiapa yang pergi ke masjid atau pulang, Allah akan sediakan baginya tempat dalam syurga sepertimana pergi dan pulang.”

Riwayat Muslim (669)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَتَعَاهَدُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالإِيمَانِ

Maksudnya: “Apabila kamu melihat seorang lelaki sentiasa dan rajin menuju ke masjid-masjid, maka saksikanlah baginya dengan iman.”

Riwayat al-Tirmizi (2617)

Hendaklah masjid dilihat sebagai tempat yang paling bersih. Ini penting terutamanya aspek yang sentiasa dinilai oleh masyarakat seperti:
Kebersihan tandas dan juga setiap tandas mempunyai penyelaknya. Di samping itu terdapat sabun pada setiap tandas dan selipar.
Kebersihan dalaman masjid kerana ia adalah tempat solat dan juga tempat beriktikaf. Pastikan tiada najis termasuk najis cicak yang sentiasa dibersih dan divakum dari semasa ke semasa.
Jadikan laman masjid juga bersih dan sedap mata memandang tanpa sampah sarap yang bertebaran dan terbiar.
Jadikan masjid kelihatan indah dan menarik bagi pandangan masyarakat di samping mesra jemaah sama ada yang tua atau muda. Antara yang mungkin boleh dilakukan ialah:
Pemilihan warna dan cat masjid.
Mewujudkan tempat parking yang mudah dan wuduk serta tandas yang mesra jemaah.
Adanya laman yang menarik seperti taman kecil dan pohon kayu yang sentiasa dipelihara oleh siak.
Memberi prihatin yang sungguh terhadap golongan OKU dan orang-orang yang tua dari aspek kemudahannya agar ia bersifat mesra untuk golongan ini.
Wujudkan kepelbagaian aktiviti yang boleh menarik minat semua lapisan masyarakat untuk mengunjungi masjid sebagai contoh, boleh diadakan pelbagai bentuk seminar, wacana dan juga konvensyen bagi masyarakat:
Kem motivasi solat.
Kem pembelajaran yang berkesan.
Menyelesaikan isu rumah tangga.
Isu cinta remaja mengikut perspektif Islam.
Isu penyelesaian hutang.
Membina keluarga bahagia.
Membentuk generasi soleh.
Isu pembersihan dari sebarang bentuk pemikiran yang merosakkan seseorang Muslim sejati.
Wujudkan perpustakaan atau anjung ilmu bagi masjid di mana masyarakat boleh melepak padanya untuk menambah pelbagai maklumat dan membincangkan isu sebagai wadah percambahan pemikiran. Buku-buku ilmiah, cerita Islami dan majalah-majalah yang berunsur Islam disediakan sehingga masjid juga akan memberi ilmu kepada pengunjungnya.
Mungkin sebelum menutup perbahasan isu ini perlu difahami kenapa kecenderungan umat Islam meninggalkan masjid. Maka jawapannya kerana mereka merasakan bahawa masjid tidak lagi dapat memberikan sebarang manfaat dalam kehidupan mereka yang semakin kompleks. Justeru amat penting kita mengembalikan posisi peranan masjid sebagai pusat kegiatan umat Islam yang menyelesaikan kemelut permasalahan mereka sama ada kejiwaan, penyelesaian rumah tangga, dan pelbagai lagi.

Apabila masjid menjadi peneraju kebaikan dan masyarakat merasakan bahawa masjid sebagai penyelesai masalah kehidupan mereka hatta urusan kematian juga menjadi sebahagian tugasan masjid maka sudah barang tentu masyarakat akan kasihkan masjid.

Menarik Golongan Muda ke Masjid

Kami juga pernah mengulas berkenaan isu cara menarik golongan muda ke masjid dalam siri artikel kami sebelum ini. Kami kemukakan beberapa cadangan dalam isu tersebut, antaranya:

Libatkan orang muda dalam ahli Jawatankuasa masjid.
Wujudkan aktiviti yang bersifat mesra orang muda sama ada di masjid atau kawasan sekitarnya agar perasaan kasih kepada masjid sentiasa subur.
Adakan ceramah khas untuk orang muda yang menjawab isu berkaitan kehidupan yang dialami oleh mereka dan jalan penyelesaiannya. Sebagai contoh, isu cinta mengikut neraca syariat sebenar, isu membina keluarga bahagia, isu melunaskan hutang dengan sebaik mungkin dan lain-lain.
Wujudkan bahan bacaan di perpustakaan masjid yang meraikan kehendak orang muda.
Adanya kemudahan komputer dan capaian internet yang terpimpin untuk maklumat mereka berkaitan agama Islam.
Adakan majlis makan atau sembang santai dengan orang muda dalam uslub dakwah yang mengharmonikan, bukan meliarkan.
Bina beberapa team mengikut minat orang muda seperti chef masakan orang muda, team pengkaji sejarah, team perbincangan pemikiran semasa, team jahitan, team sukan, team motorbike, dan lain-lain lagi.
Bina tempat yang serasi dan selesa bagi orang muda seperti coffee corner dan juga terdapatnya wifi yang sentiasa dipandu dan dipimpin ke arah kebaikan.
Letakkan di mini perpustakaan majalah-majalah semasa terutamanya berbentuk Islamik atau info, begitu juga dengan buku yang berkaitan kisah-kisah dan penceritaan yang menarik, penuh dengan iktibar serta pengajaran.
Wujudkan laman yang mesra masyarakat terutamanya orang muda sebagai sudut terapi yang kemungkinan adanya kolam ikan, sentiasa rapi dan bersih sifatnya, sedap mata memandang.
Beri insentif kepada orang muda yang melazimi masjid dan aktif dalam kemasyarakatan di bawah anjuran masjid.[2]
Wujudkan tarikan seperti menyediakan khidmat penyelenggaraan motosikal seperti memberikan khidmat penukaran minyak hitam motosikal secara percuma kepada mereka yang datang berjemaah pada waktu solat Subuh. Begitu juga servis-servis lain seperti menukar penapis minyak, palam pencucuh, kabel brek, minyak gear dan sebagainya kerana kebanyakan minat anak muda adalah tertumpu kepada industri motosikal.
Justeru, ahli jawatankuasa masjid seharusnya memainkan peranan untuk menarik minat para pemuda dan memahami apa yang diminati mereka. Antaranya dengan memperbanyakkan aktiviti yang diminati mereka seperti menganjurkan aktiviti bersukan dan riadah.

Selain itu pihak masjid juga boleh menyediakan infrastruktur yang menjadi keperluan umat islam dan juga anak-anak muda seperti kemudahan teknologi, pusat kemudahan riadah dan pusat pendidikan bagi menarik minat masyarakat untuk menghadiri dan mengimarahkan masjid. Begitu juga dengan menjadikan masjid sebagai hub kemasyaratan untuk rujukan dan khidmat kepada masyarakat dengan mengadakan kursus pra-perkahwinan dan kelas tambahan secara percuma.

Teladan Daripada Masjid Contoh

Kami ingin mengajak para pembaca melihat kejayaan Masjid As-Salam, Puchong yang pernah dianugerahkan sebagai juara dalam Anugerah Masjid Malaysia.

Anugerah berprestij bagi masjid-masjid seluruh Malaysia ini adalah yang dinanti-nantikan bagi jawatankuasa masjid kerana ia memberi satu imej yang sangat baik kepada sesebuah masjid, dan juga kepada Islam itu sendiri. Ini kerana, masjid adalah salah satu daripada syiar Islam.

Menurut Nazir Masjid As-Salam, Hj Yasim Mohamed, untuk memakmur dan memasyarakatkan masjid, kita perlu kepada usaha yang gigih dan perancangan yang rapi. Kita hendaklah menjadikan masjid kita ini kepada dua keadaan :

Menjadikan masjid seperti besi magnet, iaitu mempunyai daya penarik kepada orang ramai supaya berminat berkunjung ke masjid. Semua pihak bertanggungjawab menyediakan bukan sahaja tempat ibadat yang selesa, tetapi kebersihan persekitaran dan keceriaan yang menarik, indah, kemas, tenang dan damai.
Menjadikan masjid seperti lilin, yang mana kewujudannya menyinari hidup masyarakat disekitar. Mereka yang susah dikenalpasti dan diusahakan bantuan. Mereka yang jarang datang ke masjid akan dapat merasakan kehadiran mereka ke masjid tertarik menerusi keramahan dan kemesraan ahli jawatankuasanya.
Setiap tuturkata dan tindak-tanduk para aktivis masjid perlulah sentiasa disandarkan kepada kesedaran bahawa kita sedang menjalankan amanah dan tanggungjawab dakwah. Setiap ahli kariah atau para jemaah lebih-lebih lagi para pegawai dan jawatankuasa masjid, hendaklah sentiasa mendukung penyuburan serta pengembangan Budaya Toleransi dan Budaya Perdamaian seperti yang digariskan di dalam Visi dan Misi Masjid As-Salam ini. Antaranya ialah:

Sentiasa beramah mesra, hormat-menghormati di antara satu dengan lain serta halus budi bicara.
Berfikiran terbuka dan jujur.
Mengenal keaiban diri dan menutup keaiban orang lain.
Sentiasa menekankan kecemerlangan.

Penutup

Sebagai perkongsian dan perincian, marilah kita sama-sama menghayati kata-kata Syeikh Dr. Mustafa al-Siba’i dalam perbahasan beliau tentang pembinaan Masjid Nabawi serta fungsi sebenar masjid. Semoga ada manfaatnya buat para pembaca yang budiman sekalian.

“Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, maka kerja yang pertama dilakukan adalah membina padanya masjid. Ini menunjukkan kepentingan masjid dalam Islam. Apatah lagi terdapat pada masjid itu mesej kemasyarakatan dan kerohanian yang besar kedudukannya dalam kehidupan muslimin. Masjidlah yang menyatupadukan mereka, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah dan di masjidlah dizahirkan kekuatan dan prinsip mereka.

Sejarah masjid dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada masjid juga diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk muslimin dan selain mereka. Di masjidlah bermula subur dan berkembangnya benih ketamadunan Islam. Tidaklah Abu Bakr, `Umar, Uthman, `Ali, Khalid, Sa`ad, Abu `Ubaidah dan seumpama mereka, yang merupakan tokoh-tokoh agung sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiyyah (sekolah Rasulullah SAW), yang bertempat di Masjid Nabawi.

Jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi kemasyarakatan kita. Jadikanlah masjid kembali memainkan peranannya dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemungkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah: Durus wa `Ibar, hlm. 74-75)

Akhir kalam, sekali lagi kami ingin menegaskan bahawa masjid merupakan jambatan antara manusia dengan Tuhannya dan juga sesama manusia sehingga terikatnya keampuhan ukhuwwah Islamiyyah dalam mentahqiqkan hablummnillah dan hablumminannas.

Jika hal ini dapat dilaksanakan, sudah tentu masjid akan dapat benar-benar diperkasakan dan akhirnya masyarakat menjadi cintakan masjid serta beramai-ramai mengimarahkannya. Ini sudah tentu akan mengurangkan isu jenayah dan memperteguhkan masyarakat dengan sikap bersatu padu sehingga layak dikhabarkan sebagai baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur.

Nota Hujung:

[1] http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=imarah&d=175768&#LIHATSINI

[2] Lihat Al-Kafi #1083: Bagaimana Menggalakkan Anak-Anak Muda Ke Masjid di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. [muftiwp.gov.my]