Perkhabaran mengenai kemenangan Rom ke atas Parsi
Berita kemenangan tersebut telah dinyatakan dalam surah Rum ayat 1-6 yang maksudnya :
“Alif Lam Mim, telah dikalahkan bangsa Romawi, di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan akan menang, dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allahlah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang) dan di hari (kemenangan bangsa Romawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman. Dengan kemenangan yang diberi oleh Allah, ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua yang Maha Kuasa lagi Maha Mengasihani. Demikianlah dijanjikan Allah, Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”.
Dalam satu peperangan, tentera Rom telah dikalahkan oleh tentera Parsi. Peristiwa ini telah menyebabkan kaum Musyrikin Mekah bergembira kerana menganggap kemenangan tersebut adalah kemenangan mereka juga. Sebaliknya kaum Muslimin berdukacita kerana merasakan bahawa keimanan telah dikalahkan. Ini kerana orang-orang Rom adalah ahli kitab manakala orang-orang Parsi adalah orang Majusi penyembah api.
Kemudian turun ayat tersebut yang menerangkan bahawa meskipun orang-orang Rom telah tewas tetapi mereka akan menang dalam beberapa tahun lagi. Maka kaum Muslimin kembali gembira apabila mendengar perkhabaran ini dan kira-kira sembilan tahun kemudian, Rom telah berjaya mengalahkan Parsi. Maka terbuktilah kebenaran perkhabaran yang diceritakan oleh Al-Qur’an.