Rejim China tangkap Uyghur hanya sebab simpan janggut Dihalang puasa, aktiviti agama dan versi al-Quran diguna dipantau

Rejim China tangkap Uyghur hanya sebab simpan janggut
Dihalang puasa, aktiviti agama dan versi al-Quran diguna dipantau

18/02/2020

XINJIANG, 24 Jamadilakhir 1441H, Selasa – Rejim komunis China berterusan bertindak biadab apabila menahan umat Islam Uyghur yang menyimpan janggut.
Menerusi satu dokumen bocor yang didedahkan, China menyifatkan bahawa menyimpan janggut dan memakai tudung adalah satu simbol keagamaan yang ekstremis.

Terdapat satu kes di mana rejim komunis menempatkan seorang lelaki etnik Uyghur di kem tahanan dan memantau 15 ahli keluarganya yang menyimpan janggut yang panjang.
Dokumen sebanyak 137 muka surat yang diserahkan kepada stesen berita Jerman DW dan BBC, telah menyenaraikan seramai 311 etnik Uyghur yang dihantar ke kem tahanan di Karakax pada tahun 2017 dan 2018.

Rejim komunis China sedang melakukan pembersihan etnik Uyghur secara menyeluruh kerana lebih sejuta orang Uyhgur dipenjarakan.
Selain itu, umat Islam Uyghur ditahan atas sebab yang tidak munasabah seperti berpuasa, memohon pasport terutamanya ketika mahu menunaikan haji, selain melanggar dasar kelahiran rasmi China iaitu mempunyai terlalu ramai anak.
Lebih teruk, komunis China yang menentukan imam, bahan ceramah dalam aktiviti keagamaan, tempat untuk diadakan segala aktiviti keagamaan dan versi al-Quran yang digunakan.

Dokumen itu turut menyenaraikan butir-butir peribadi lebih daripada 3,000 individu dari kawasan barat Xinjiang, termasuk nama penuh dan nombor kad pengenalan yang dihantar ke kem Karakax.

Selain itu, kanak-kanak turut tidak terkecuali daripada senarai berkenaan.
Bukan itu sahaja, dokumen itu turut mendedahkan butiran video, perbualan di internet, kamera pengesanan muka, lokasi yang dituju serta soal siasat – kesemuanya membabitkan etnik Uyghur dan rejim komunis China.

Malah, ramai etnik Uyghur terpaksa bekerja di kilang walaupun sebahagian besar tahanan dilepaskan dengan pengawasan yang berterusan. -Agensi