Kuantan: “Kami berkawan selama lima bulan dan keputusan untuk bernikah dibuat hanya dalam masa dua minggu kerana saya percaya jika niat baik, semuanya dipermudahkan,” kata Asmadillah Muhamad, 32, dari Jaya Gading, di sini.
Dia dan isterinya, Nurul Farah Diana Harun, 21, antara 12 pasangan yang bernikah dalam majlis pernikahan beramai-ramai di Masjid Tepian Putra, di sini, malam kelmarin.
Majlis itu anjuran bersama masjid itu dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Asmadillah berkata, pada awalnya dia merancang bernikah pada Februari tahun depan namun menukar fikiran selepas melihat iklan majlis berkenaan dua minggu lalu dan terus membuat keputusan.
Menurutnya, walaupun keluarga kedua-dua belah pihak terkejut dengan keputusan itu, mereka akhirnya bersetuju selepas dia menjelaskan niatnya untuk mempercepatkan proses pernikahan mereka.
“Mungkin ada orang yang menganggap tindakan saya seperti terburu-buru, berkenalan baru lima bulan dan tiba-tiba mahu berkahwin namun naluri saya kuat mengatakan Nurul Farah adalah jodoh saya.
“Kami diperkenalkan menerusi rakan dan tidak sukar mencari kesefahaman kerana kami serasi malah sikapnya yang baik hati serta lemah lembut menambat hati saya,” katanya, semalam.
Asmadillah yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia hanya membayar RM1,200 untuk tiga majlis iaitu berinai, bernikah serta bersanding dan bersyukur semuanya berjalan lancar malah mereka sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz saja.
Sementara itu, Nurul Farah berkata, pihaknya akan mengadakan majlis menyambut menantu bulan depan dan segala persiapan sudah dilakukan walaupun dalam masa yang singkat.
Katanya, majlis itu memberikan peluang kepada pasangan kurang berkemampuan untuk melangsungkan perkahwinan serta memudahkan prosesnya mengikut cara Islam.
Bagi pasangan Ahmad Firdaus Zulkifli, 20, dan Sharifah Syakira Marziana Syed Abdul Rahim, 22, impian mereka ke jinjang pelamin akhirnya terlaksana dan lebih manis lagi mereka turut diraikan bersama 11 pasangan lain.
Ahmad Firdaus berkata, walaupun usianya masih muda namun dia bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami dan keputusan itu diambil untuk mengelakkan mereka terjebak dalam maksiat.
“Kami sememangnya merancang menamatkan bujang secepat mungkin namun terpaksa berdepan beberapa kekangan termasuk soal kewangan, mujur saya terbaca mengenai iklan majlis ini dan terus mendaftarkan diri,” katanya.
Semua pasangan terbabit dinikahkan imam masjid berkenaan, Jamaludin Salleh, bermula jam 9 malam selepas selesai sesi bacaan al-Quran dan khutbah nikah yang disampaikan Kadi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Mad Zain.