KETEGANGAN situasi di Palestin kini semakin memuncak sejak mula tercetusnya keganasan yang sudah memasuki minggu kedua. Tiada lagi isu besar lain yang diperkatakan seluruh dunia selain menumpukan kepada keadaan terkini dari masa ke semasa apakah seterusnya akan berlaku di bumi Palestin ketika ini.
Dalam pertempuran yang semakin memuncak di antara rakyat Palestin dan tentera Zionis Israel, Briged Al-Qassam antara nama yang menjadi harapan besar, nyawa mahupun pembakar semangat seluruh umat Islam disebut-sebut.
Briged Al-Qassam bukan sekadar sebuah pertubuhan sosial-politik Palestin, Hamas diawal idea penubuhannya, namun meluaskan matlamatnya dalam menyokong api kemarahan rakyat Palestin terhadap penjajahan Yahudi yang berterusan ingin merampas tanah milik rakyat Palestin.
Mungkin tidak ramai yang mengetahuinya, siapa sebenarnya mereka di sebalik nama Briged Al-Qassam yang diambil sempena nama seorang tokoh mujahid Arab, Izz ad-Din al-Qassam. Beliau syahid kerana menentang pendudukan British kerana berjanji untuk menjadikan Palestin sebagai tanah air bangsa Yahudi, sekali gus menindas rakyat asal Palestin.
Dari segi bahasa, Izz bermaksud ‘pertolongan’, ‘ketaatan’ atau ‘kebanggaan’, manakala Din bermaksud ‘agama’. Al-Qassam boleh diterjemah sebagai ‘pemisah’.
Begitupun apa yang membuatkan tentera Zionis hingga ke hari ini gerun mendengar nama briged Al-Qassam adalah kerana semangat perjuangan yang dilahirkan tentera-tentera ini hanya atas nama Islam semata.
Ia pernah diceritakan sendiri Doktor Pakar Bedah Tulang yang juga Presiden Medical Emergency Resque Committee ( MER-C), Indonesia, Allahyarham, Dr. Joserizal Jurnalis yang sering terlibat dalam misi kemanusiaan dan pembabitan secara langsung beliau Ketika berada di Gaza, Palestin.
Menurutnya, menjadi anggota Hamas sama ada penyokong atau pendokong, sesiapa sahaja rakyat Palestin dibenarkan kerana ianya terbuka kepada umum sebagai ciri-ciri sebuah gerakan Islam yang tidak mengehadkan keahlian atau keanggotan kepada kelompok tertentu sahaja.
“Namun untuk menjadi anggota sayap ketenteraan Hamas iaitu Briged Al-Qassam tidak semudah itu kerana ianya memerlukan jiwa-jiwa yang kental dan siap memikul senjata menghadapi tentera Zionis Israel.
“Selain daripada seorang Muslim yang baik, berakhlak, mampu menjaga kerahsiaan dan kewaspadaan ( sir & hazar ) dan berdisiplin tinggi, pimpinan Hamas meletakkan beberapa kriteria khusus untuk seseorang itu layak direkrut sebagai anggota Al-Qassam.
Setiap anggota wajib membaca al-Quran sehari satu juzuk
Antaranya adalah seperti berikut :
1) Mendapatkan keizinan daripada ibu dan bapa. Ini tidak rumit kerana rata-rata ibu bapa di Palestin inginkan anak mereka syahid.
2) Mendapatkan keizinan daripada ketua masjid di tempat tinggalnya yang mengesahkan bahawa: Selama tiga bulan berturut-turut pemuda ini tidak meninggalkan solat Subuh berjamaah di masjid.
3) Anggota Hamas dan Al-Qassam bukan daripada golongan ahli maksiat dan perokok.
4.) Golongan hafaz al-Quran, ilmuwan agama dan intelektual.
5) Setiap anggota wajib mempelajari Tafsir al-Quran.
6) Setiap anggota wajib membaca al-Quran sehari satu juzuk.
7) Setiap anggota wajib menghafaz 40 Hadis Arba’in ( Imam Nawawi ).
8) Mengamalkan puasa sunat dan bersolat bertahajud.
9) Memiliki kecederasan fizikal dan mental.
10) Sering hadir ke majlis-majlis pengajian dan halaqah ilmu.
11) Berzikir sebagai amalan harian.
12) Bersukan dan beriadah
13) Anggota Al-Qassam adalah mereka yang sudah siap untuk syahid demi Islam bila-bila dan di mana sahaja tempat yang akan ditugaskan.
Mengamalkan solat berjemaah menjadi antara kekuatan mental tentera Al-Qassam.
Tambah beliau, melihat kepada kriteria itu, maka wajarlah Hamas yang dihentam teruk dalam saat serangan tentera Zionis mampu bertahan dan berjaya membunuh lawan dengan ramai.
“Hamas bukanlah sebuah gerakan jihad, namun disudut lain mereka optimis bahawa ‘bantuan dari langit’ adalah penting. Maka bantuan khusus daripada Allah dan para Malaikatnya ini tidak mungkin dianugerahkan kepada mereka yang tidak mencukupi syarat sebagai pejuang dan tidak serius.
Apatah lagi pejuang yang tidak mempunyai hubungan baik dengan Allah dalam urusan ibadahnya atau sering membiasakan diri dengan maksiat dan kemungkaran tidak akan berjaya dunia dan akhirat,” katanya yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 20 Januari 2020.
Melalui catatanya ditulis, untuk menguji sejauh mana tetamu mereka bukan perisik Israel, maka Hamas atau Briged Al-Qassam akan membuat ujian terlebih dahulu.
Sentiasa bersama panji-panji kebanggaan mereka.
“Saya sempat bertemu anggota Al-Qassam dan apabila tahu saya bukan Hafiz al-Quran, maka saya diuji terlebih dulu oleh mereka. Mereka sempat bertanya saya Muslim atau tidak? Saya jawab ‘ya’. Setelah itu mereka bertanya saya tentang hafazan al-Qur’an. Saya pun membaca Surah Al-A’la. Setelah itu mereka langsung memeluk saya. Kemudian mereka pun membuka album gambar ketika latihan dan membela diri dan saya memberitahu mereka supaya berhati-hati kerana tidak semua doktor baik.
“Ketika saya masuk ke Afghanistan dulu, bukan sekadar hafazan al-Quran yang ditanya oleh pejuang-pejuang Afghan. Mereka sangat mahir dalam menghadapi perisik. Kerana ejen Mossad (perisikan Israel ) dan ejen Rusia juga ada yang hafaz al-Quran. Pertanyaan mereka saya tidak duga. Mereka menanya saya siapa bapa saudara Rasulullah? Dihadapan saya senjata M60 sudah siap terhala. Padahal pada awal pertemuan, biasa sahaja, tapi lama kelamaan berubah menjadi sesi soal selidik. Mereka juga menanya saya siapa anak kesayangan Rasulullah”
“Hafaz al-Quran adalah amalan biasa anggota Al-Qassam. Pada saat menunggu untuk melakukan serangan, mereka membaca al-Quran dan menghayati ayat-ayatnya, bukan minum kopi apatah lagi berbual-bual. Dari pelbagai informasi yang saya terima, setiap anggota mereka hanya dibekalkan dengan sebotol air minum (250 ml) dan makanan sekadarnya untuk tempoh dua hari. Pada hal, pertempuran boleh menjadi lebih daripada seminggu,” katanya lagi.
Bersiap sudah untuk syahid demi Islam.
Walaupun bergerak di bawah cita-cita politik dan objektif ideologi Hamas, briged ini mempunyai kebebasan yang tinggi dalam membuat sebarang keputusan.
Identiti dan jawatan para pejuang dalam gerakan ini kebiasaannya dirahsiakan sehingga kematian mereka. Semasa bertempur dengan pasukan tentera Zionis, semua pejuang memakai penutup kepala berwarna hitam di mana headband kumpulan tersebut diikat.
Memakai ‘headband’ hitam atau hijau identiti mereka.
Jumlah ahli briged ini hanya diketahui oleh kepimpinannya yang mengaplikasikan prinsip kerahsiaan dalam organisasi dan proses rekrut. Setelah mana-mana ahli briged gugur syahid semasa bertempur dengan tentera Israel, barulah namanya disiarkan kepada orang awam. Kebiasaannya nama para syuhada ini disiarkan dalam laman web rasmi al-Qassam.