ENAM KES SYARIAH DIPERTIMBANG DIDENGAR DALAM TEMPOH PKP

ENAM KES SYARIAH DIPERTIMBANG DIDENGAR DALAM TEMPOH PKP

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 26 APRIL 2020 : Pahang tetapkan enam kes syariah yang dipertimbangkan untuk didengari dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan media berkata enam kes ini turut melibatkan pengesahan lafaz cerai dan nafkah.
“Kes-kes yang dipertimbangkan adalah pengesahan lafaz cerai, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk rujuk; nafkah anak (kedua-dua pihak bersetuju); nafkah isteri (kedua-dua pihak bersetuju); dan hadanah (kedua-dua pihak bersetuju).
“Selain itu, Permohonan Wali Hakim (borang yang lengkap dan disertakan sekali Laporan Siasatan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID); dan Permohonan Kebenaran Nikah Bawah Umur (borang yang lengkap dan disertakan sekali Laporan Siasatan PAID,” katanya.
Beliau berkata, kesemua perbicaraan ini tertakluk kepada permohonan kes mendesak atau merekodkan persetujuan disertakan dengan perakuan segera yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah.
Beliau berkata lagi, mahkamah bersidang mendengar kes hanya pada hari Isnin sehingga Khamis bermula 9 pagi hingga pukul 12 tengah hari sahaja.
“Bagi tujuan keselamatan, kita membenarkan hanya pihak-pihak berkenaan dan Peguam Syarie yang dilantik sahaja hadir; kanak-kanak dan ahli keluarga tidak dibenarkan hadir sama sekali; dan tarikh dan masa perbicaraan akan ditetapkan oleh Mahkamah Syariah.
“Pegawai Mahkamah Syariah yang dibenarkan pula, terdiri daripada seorang Hakim dan seorang Pendaftar, seorang Pembantu Syariah dan seorang dari bahagian kewangan dan seorang anggota Polis sahaja,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, terdapat lapan mahkamah berpusat sahaja yang terlibat bagi perbicaraan di negeri ini.
“Mahkamah yang terlibat adalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Mahkamah Tinggi Syariah Temerloh, Mahkamah Tinggi Syariah Bentong, Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Mahkamah Rendah Syariah Temerloh, Mahkamah Rendah Syariah Bentong, Mahkamah Rendah Syariah Pekan, dan Mahkamah Rendah Syariah Rompin.
“Pendengaran kes ditetapkan sehari kepada tiga kes sahaja iaitu pada 9 pagi bagi pendengaran kes pertama, 10 pagi bagi pendengaran kes kedua, dan 11 pagi bagi pendengaran kes ketiga serta urusan berkaitan,” katanya.
Bagi prosedur pada setiap peringkat kes pula, pihak berkenaan boleh menghubungi Pegawai Yang Bertanggungjawab (PIC) sebagaimana dinamakan dalam laman Facebook atau laman sesawang rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Pahang (JKSP) bagi pendaftaran kes dan rujukan kes. -PAHANGMEDIA