NGO Islam sokong tindakan Gambia heret kekejaman Myanmar ke ICJ

NGO Islam sokong tindakan Gambia heret kekejaman Myanmar ke ICJ

Oleh Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Gambia disifatkan sebagai sebuah negara kecil dengan misi besar apabila berani memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Myanmar atas kekejaman mereka ke atas etnik Rohingya.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN), Ir Mohd Jamaludin Shamsudin, berkata pihaknya memuji keberanian dan tindakan tegas kerajaan Gambia untuk membawa kes berkenaan ke ICJ.

“Tindakan berkenaan adalah sebagai jalan terakhir selepas segala usaha diplomatik yang dibuat sebelum ini gagal untuk menyelesaikan krisis berkenaan.

“Kes itu juga akan menjadi kes pertama yang cuba dibawa ke peringkat undang-undang antarabangsa membabitkan krisis Rohingya, dan jarang berlaku apabila sebuah negara memfailkan saman terhadap sebuah negara lain atas sesuatu isu,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi Gambia di Malaysia, Ramzia Diab Ghanim bagi membincangkan perkara berkenaan bersama beberapa wakil Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (MACSA) serta Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Hadir sama, wakil daripada Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

“Kita berharap negara ASEAN akan mengikut jejak kerajaan Gambia sebagai memberi tekanan kepada Myanmar untuk menyelesaikan krisis itu dan memastikan kekejaman terhadap etnik Islam minoriti itu dapat dihentikan.

“Kita berharap negara-negara lain akan mencontohi tindakan yang diambil kerajaan Gambia dalam mencari keadilan terhadap mereka yang ditindas,” katanya.

Pengerusi MACSA, Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, pula berkata pihaknya bersama NGO lain di negara ini bersedia membantu menyalurkan bukti kekejaman Myanmar kepada pasukan perundangan Gambia.

“Tindakan yang diambil oleh Gambia adalah amat berani. Mereka sudah memulakan langkah, dan kita sudah bersedia dengan bukti-bukti yang dikumpul, bukti baharu dan lama.

“Kita akan minta mereka gunakan bukti-bukti berkenaan untuk menguatkan pasukan perundangan mereka terutama bukti yang dikumpul NGO di bawah MACSA, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA),” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ramzia dalam ucapannya, berkata kekejaman dan tindakan genosid (pembunuhan beramai-ramai) terhadap etnik Rohingya sudah berlarutan lebih dua tahun, namun tidak banyak yang dibuat untuk membawa pelakunya ke pengadilan.

“Seperti yang dikatakan oleh Timbalan Presiden kami, Gambia adalah sebuah negara kecil namun lantang bersuara berhubung isu hak asasi manusia, sehingga mampu merentasi benua.

“Gambia sudah mengambil langkah besar berhubung isu ini, kini terpulang kepada komuniti antarabangsa untuk turut serta menuntut keadilan terhadap kezaliman yang tidak dapat digambarkan dilakukan ke atas etnik Rohingya itu,” katanya.

Pada 11 November lalu, Gambia memfailkan satu kes di ICJ menuduh Myanmar melakukan genosid ke atas Rohingya.

Gambia, negara kecil Islam di Afrika Barat, memfailkan tuntutan selepas mendapat sokongan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang memiliki 57 negara anggota.

Hanya sebuah negara boleh memfailkan satu kes antara satu sama lain di ICJ.