Pakistan tawan juruterbang pesawat pejuang India
Najib Aroff, Astro Awani | Februari 27, 2019 19:01 MYT
JURUTERBANG pesawat pejuang India, Abhi Nandan dilaporkan hilang selepas ia ditembak jatuh oleh jet pejuang Pakistan di kawasan sempadan Kashmir – India, kata jurucakap Menteri Luar India, Raveesh Kumar.
“Tentera Udara Pakistan didapati (cuba menyerang pangkalan tentera India) lalu tentera udara India bertindak balas. Dalam situasi itu, sebuah jet pejuang Pakistan ditembak jatuh oleh tentera India.
“Bagaimanapun kami kehilangan sebuah pesawat MiG 21. Juruterbang juga dilaporkan hilang. Pakistan mendakwa menahan juruterbang dan kami sedang mengesahkan fakta ini,” katanya.
Sementara itu, jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Asif Ghafoor berkata Pakistan boleh menyerang pangkalan tentera India jika negara itu mahu, namun enggan meningkatkan ketegangan di kawasan pertikaian.
“Pakistan sentiasa menyampai mesej keamanan terhadap India. Jalan untuk keamanan ini adalah melalui dialog. Kedua-dua negara mempunyai kemampuan dan kapasiti (ketenteraan).
“Jika India faham, peperangan merupakan satu kegagalan dasar,” tambahnya.
Pakistan mendakwa tindakan negara itu menambak jatuh pesawat MiG-21 milik India bukanla satu bentuk serangan balas, sebaliknya hanya satu cara untuk menunjukkan kemampuan ketenteraan negara itu.
“Kami tidak mahukan perang. Jika kami mahukan perang, kami dengan mudah boleh menyasarkan pangkalan tentera India dan pastinya akan melibatkan jumlah kematian yang tinggi.
“Namun kami sasarkan kawasan terbuka, tiada penduduk dan tiada pos ketenteraan,” katanya.