PADA 39 tahun lalu atau tepatnya 9 Januari 1982, Presiden Hafez al Assad menghantar tentera untuk menggempur rakyat sendiri di Hama. Sebelum 2011, apa yang berlaku di Syria itu dikenang sebagai peristiwa berdarah paling tragis dalam sejarah moden Arab.
Dalam masa hampir empat minggu mengepung dengan melakukan serangan berskala besar ke atas bandar berkenaan, sekurang-kurangnya 28,000 orang awam kebanyakannya penyokong kumpulan Ikhwanul Muslimin Syria telah menjadi korban.
Selama 27 hari mereka diserang tanpa belas ihsan.
Kekejaman tidak berakhir di situ, sebaik menguasai semula bandar berkenaan mana-mana yang disyaki sebagai penyokong anti kerajaan akan ditahan, dibunuh atau hilang tanpa dapat dikesan.
Selepas memusnahkan bandar Hama dan kawasan penduduknya dengan tembakan artilari dan kereta kebal, saki baki mana-mana kediaman yang masih ada akan diruntuhkan dengan jentolak.
Ia hukuman kepada mereka yang masih hidup.
Segala perbuatan tidak berhati perut pemimpin parti Baath itu, sama seperti sekarang. Kekejaman berterusan daripada ayah kepada anaknya yang sekarang menjadi Presiden Syria, Bashar al Assad.Pembunuhan beramai-ramai di Hama oleh Hafez al Assad hampir 30 tahun lalu.
Bashar mewarisi kekejaman ayahnya Hafez al Assad membunuh rakyatnya sendiri.Hampir 30 tahun selepas pembunuhan beramai-ramai Hama, anaknya Bashar al Assad mengulangi perbuatan yang sama
Ia tidak mendapat perhatian pemimpin Islam dan Arab yang lain kerana ketika itu kebanyakan mereka memberikan tumpuan kepada perang Iran- Iraq.
Dalam perang itu Arab Saudi yang menjadi sekutu Amerika Syarikat berhabis-habisan menggunakan segala bentuk platform, sama ada persenjataan dan media untuk menyekat kebangkitan pengaruh Iran di rantau berkenaan.
Isu besar lain seperti kemelut dalaman Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan pencerobohan Israel di selatan Lubnan serta pendudukan Rusia di Afghanistan berjaya mengalih tumpuan masyarakat dunia terhadap penyembelihan besar-besaran di Hama.
Ketika itu Hafez al Assad hampir berjaya menutup kekejaman yang dilakukan kerana berjaya menyekat penularan maklumat.
Namun begitu, kehadiran beberapa wartawan luar seperti Harish Chandola dari The Guardians berjaya membuat laporan betapa dahsyatnya keadaan sebenar di Syria.
Sehingga ke saat kematiannya, perlakuan jahat lagi zalim yang dibuat Hafez ke atas rakyat sendiri tidak pernah dibawa ke mana-mana mahkamah antarabangsa untuk didakwa.
Hampir 30 tahun selepas tragedi berkenaan, pada 11 Mac 2011, pewarisnya yang dilantik menjadi Presiden Syria, Bashar al Assad mengulangi kejahatan yang sama. Kekejaman yang dilakukan antara bapa dan anak, tiada beza.
Pertumpahan darah yang akan memasuki usia sedekad pada bulan depan menjadikan krisis kemanusiaan paling teruk di Syria pada alaf ini. Hampir sejuta orang menjadi korban dan lebih 13 juta yang lain terpaksa menjadi pelarian.
Sebanyak enam juta menjadi pelarian dalam negara (IDP) dan bakinya terpaksa mencari perlindungan di negara jiran.
Sementara menunggu Bashar menerima karma, kebanyakan pemimpin kuasa besar tidak serius menghentikan konflik kerana mereka adalah pencatur yang menjaga kepentingan masing-masing di Asia Barat.
***RAZALI AWANG adalah sukarelawan Media Syria Care.