Dunia kutuk, bantah AS buka kedutaan di Baitulmaqdis
Turki, Jordan dan Amerika berhimpun tanda solidariti terhadap Palestin
ISTANBUL, 29 Syaaban 1439H, Selasa – Walaupun dibantah dan dikritik, namun Amerika Syarikat (AS) tetap berdegil meneruskan keputusannya memindahkan kedutaan negara itu dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, secara rasmi semalam.
Keputusan memindahkan kedutaan itu dibuat Presiden AS, Donald Trump sebaik sahaja mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara rejim pengganas Israel.
Tindakan berkenaan telah mendorong ribuan penduduk Islam di seluruh dunia mengadakan tunjuk perasaan di jalanan bagi membantah keputusan AS dan kekejaman yang dilakukan rejim Israel ke atas rakyat Palestin di sempadan Gaza.
Di Istanbul, ribuan penduduk Turki turun di jalanan sebagai solidariti mereka terhadap penganiayaan dan tragedi pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan rejim Zionis.
Ia susulan kematian 37 rakyat Palestin dalam perarakan ‘Great March of Return’ di sempadan Gaza-Israel semalam, yang turut menyebabkan lebih 1,800 yang lain cedera dalam tempoh 24 jam.
Angka kematian dan cedera itu adalah yang terbesar setakat ini, sepanjang perarakan bagi mengingati Peristiwa Nakba pada 15 Mei itu.
Tindakan sama turut dilakukan rakyat di Amman, Jordan yang berkumpul mengutuk sekerasnya tindakan AS memindahkan kedutaan di Baitulmaqdis.
Ribuan mereka memegang sepanduk menyatakan bahawa Baitulmaqdis adalah milik orang Islam, dan menolak tindakan AS serta Israel itu.
Tidak hanya di negara Islam, penunjuk perasaan yang dianjurkan kumpulan Yahudi AS dikenali sebagai ‘If Not Now’ juga mengadakan demontrasi di luar perkarangan Hotel Antarabangsa Trump di Washington.
Kumpulan itu dikatakan penentang keras terhadap pendudukan Israel di wilayah Palestin.- Agensi