
PUTRAJAYA: Hukum penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan masyarakat Islam, khususnya di Wilayah Persekutuan diputuskan harus dan wajib diambil, selaras resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersidang pada 3 Disember lalu.
Mufti Wilayah, Datuk Dr Luqman Abdullah, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pihaknya mengambil inisiatif membincangkan pelbagai kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung pengambilan vaksin COVID-19 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-2/2021 pada 11 Februari lalu.
Beliau berkata, mesyuarat itu membuat keputusan bersetuju mengguna pakai resolusi MKI ke-10, berhubung perkara itu yang bersetuju hukum penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.
“Selaras dengan dasar kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19 di negara ini, pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan ini menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi serta mendukung sepenuhnya pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijangka bermula hujung bulan ini.
“Keputusan ini adalah selari dengan dalil seperti firman Allah Ta’ala (yang bermaksud) ‘Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)’ melalui Surah Al-Baqarah ayat 195.
“Sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain’ seperti diriwayatkan Ibn Majah,” katanya.
Beliau berkata, keputusan itu juga disokong oleh aedah fiqh seperti, ‘Kemudaratan itu mestilah dihilangkan’ dan ‘Urus tadbir pemimpin ke atas rakyat adalah berlandaskan kepada maslahah’.
Dari aspek kepenggunaan pula, katanya, hukum harus itu turut diputuskan selepas mengambil kira pendirian tegas pihak kerajaan bahawa hanya vaksin yang telah dikenal pasti statusnya sebagai halal dan tayyiban sahaja yang akan digunakan sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini.
Sehubungan itu, Luqman berkata, pihaknya menggalakkan seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan menghormati fatwa yang diputuskan berhubung pengambilan vaksin COVID-19 di Malaysia.
“Keputusan ini dibuat selepas melalui pelbagai proses perbincangan bersama pihak-pihak yang berautoriti dalam bidang masing-masing.
“Tambahan pula, ia juga antara usaha pihak kerajaan dalam memastikan negara Malaysia berjaya mengharungi krisis COVID-19 ini dengan lebih efisien.
“Justeru, marilah kita menjadikan fatwa ini sebagai rujukan yang utama khususnya bagi mendukung usaha pemimpin negara untuk memerangi pandemik ini dengan lebih berkesan,” katanya.
Sumber : Berita Harian Online