Masjid Tepian Putra menawarkan pelbagai kemudahan untuk memenuhi keperluan para jemaah dan pengunjung.
Antaranya termasuklah Hub Rider, sebuah ruang khas untuk mereka yang ingin berehat sejenak sambil menikmati kemudahan seperti port pengecas untuk peranti elektronik.
Masjid Tepian Putra juga menyediakan Coffee Corner di mana para jemaah dan pengunjung boleh menikmati pelbagai pilihan minuman panas. Coffee Corner bukan sahaja tempat untuk berehat sambil minum, tetapi juga menjadi ruang untuk mengeratkan silaturrahim antara ahli komuniti yang berkumpul di masjid.
Untuk aktiviti pembelajaran dan ceramah, Masjid Tepian Putra memiliki Dewan Kuliah yang dilengkapi dengan kelengkapan seperti meja, kerusi dan sistem audio (PA System) yang berkualiti. Dewan ini sering digunakan untuk pelbagai aktiviti keagamaan seperti kuliah tafaqquh fiddin dan kursus umrah anjuran organisasi luar. Dengan susun atur yang selesa, para peserta dapat mengikuti kelas dengan tenang dan fokus.
Ruang Akad Nikah/Pelamin disediakan, lengkap dengan dekorasi yang indah dan meja akad nikah serta kerusi untuk pasangan pengantin dan tetamu. Ruang ini membolehkan pasangan mempelai menjalankan majlis mereka dalam suasana yang tenang dan selesa, di samping merasakan keberkatan di rumah Allah.
Tambahan lagi, Masjid Tepian Putra turut menyediakan Wifi percuma untuk kemudahan pengunjung. Ini amat memudahkan jemaah yang memerlukan akses kepada maklumat dalam talian, sama ada untuk tujuan pembelajaran atau komunikasi. Kesemua kemudahan ini menjadikan Masjid Tepian Putra bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat komuniti yang mesra, moden, dan inklusif.