COVID-19: 17,935 individu di Pahang terima bantuan RM200

COVID-19: 17,935 individu di Pahang terima bantuan RM200
Asrol Awang
bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Mulai esok, seramai 17,935 individu di negeri ini akan menerima bantuan khas tunai sekali bayar RM150 dan barang keperluan bernilai RM50.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata bantuan khas kepada golongan yang terkesan secara langsung dan terputus sumber bekalan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan peruntukan bernilai RM3.587 juta.

Katanya, agihan bantuan khas itu akan diuruskan Pegawai Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mereka yang akan menerima bantuan khas ini diminta untuk terus patuh PKP.

“Mereka tidak perlu hadir ke pejabat kerajaan untuk urusan bantuan sebaliknya kekal di rumah kerana agihan akan dibuat secara terus ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai tanda sokongan dan simpati kepada penjaja dan peniaga kecil, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri bersetuju memberikan potongan 50 peratus bagi bayaran sewaan gerai dan lain-lain kemudahan PBT bagi April.

Katanya, potongan itu juga termasuk bayaran permit pasar tani, pasar pagi, pasar malam dan jualan but kereta.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 6,238 peniaga kecil dan penjaja yang membabitkan implikasi kewangan kepada PBT sebanyak RM1.293 juta.

“Kerajaan negeri juga memberikan potongan 50 peratus daripada kadar sewa bulanan Projek Perumahan Awam Kos Rendah dan Rancangan Rumah Murah di seluruh negeri bagi April ini.

“Ia memberi memberi faedah kepada 2,453 penyewa yang membabitkan implikasi kewangan kepada kerajaan negeri sebanyak RM150,000.

“Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan petugas di bilik gerakan operasi serta anggota pasukan keselamatan yang terbabit operasi penguatkuasaan PKP di Pahang, sebanyak RM765,800 diperuntukan bagi menampung kos penyediaan makanan kepada semua petugas,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak termasuk anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dalam menyalurkan sumbangan kepada Tabung COVID-19 Pahang.