EMPAT SYARAT GANJARAN BESAR UNTUK DUDUK RUMAH MUSIM WABA’ COVID-19
Oleh: Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menyebut:
عَنْ عَائِشَةَ -رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا-، أَنَّهَا قَالَتْ: سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الطَّاعُونِ، فَأَخْبَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” أَنَّهُ كَانَ عَذَابًا يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، فَجَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، فَلَيْسَ مِنْ رَجُلٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ فِي بَيْتِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ، إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ الشَّهِيدِ “.
Ertinya : “Dari Aisyah r.a, dia berkata: Aku telah bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam tentang Ta’un, maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menjelaskan kepadaku: “Waba’ (Ta’un) itu adalah azab yang Allah kirim kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah jadikan sebagai rahmat bagi orang-orang beriman. Tiadalah seseorang yang ketika terjadinya waba (Ta’un) lalu dia tinggal (berdiam) di rumahnya, bersabar dan berharap pahala (di sisi Allah), juga dia yakin bahawa tidak akan menimpanya kecuali apa yang ditetapkan Allah untuknya, maka dia akan mendapatkan seperti pahala syahid”.
Hadis berkenaan Ta’un ini turut terpakai untuk musibah seumpamanya seperti virus COVID 19 ini. Kelebihan dan rahmat kepada orang beriman yang disebut adalah dalam ertikata, musibah ini tiada lain kecuali MENGUKUHKAN TAWAKKAL dan REDHA ORANG beriman kepada Allah swt.
Pun begitu bagi mendapat ganjaran dan menjadi rahmat yang sebenar bagi orang beriman, Nabi salla allahu ‘alaihi menyebutkan EMPAT SYARAT:
1. SABAR atas ujian tersebut khususnya dari sudut segala kesusahan & keperitan yang timbul darinya.
2. MUHTASIBA ; iaitu sentiasa berharap ihsan dan ganjaran dari Allah swt atas ujian tersebut,
3. MENGEKALKAN USAHA iaitu suatu jenis IKHTIYAR dengan menetap di dalam rumah atau kawasannya bagi mengelakkan penyakit tersebut dari mengenainya atau mengenai orang lain.
4. REDHA ; iaitu jika ditaqdirkan Allah swt, penyakit tersebut mengenai orang tersebut, dia redha. Lalu baginya pahala besar di atas KESABARAN DAN REDHANYA SERTA USAHANYA yang menetap di rumah itu, ganjaran pahalanya adalah SEBESAR PAHALA mati Syahid.
Bagaimana jika dia TERKENA atau TIDAK JUGA MENINGGAL DUNIA kerananya? Sama juga, dia juga bakal beroleh kelebihan dan ganjaran terbabit dengan syarat tiga perkara tadi dipenuhi iaitu sabar, ‘muhtasiba’ harapan ganjaran Allah SWT, berusaha dan redha dengan taqdirnya. Demikian dihurai oleh Imam Ibn Hajar Al-‘Asqolani, Ali al-Qari dan lain-lain.
Bagi PEJUANG BARISAN HADAPAN pula, jangan bimbang, para ulama turut menyatakan bagi mereka yang keluar dari rumah (khususnya para barisan hadapan) dengan niat yang betul dan memenuhi keempat-empat syarat yang disebut tadi. Sama penyakit ini trkena mereka atau tidak, mereka turut mendapat ganjaran yang sama. iaitu sebesar pahala Syahid. Sama ada terkenanya atau tidak, asalkan sahaja mereka sabar, berharap ganjaran Allah swt serta redha dengan yang ditimpainya.
Semoga mereka yang tidak terlibat dalam bahagian kritikal beroperasi mampu kekal dan sabar di rumah. Mereka yang perlu berperanan di bahagian kritikal mampu meneruskan usaha kalian. Ia rahmat Allah swt untuk menganjari hamba-hambaNya yang beriman lagi sabar.