Hamas puji pendirian kita tak benar atlet renang Israel masuk
Malaysia tanpa berbelah-bahagi teguh menyokong hak rakyat Palestin
13/01/2019
GAZA, 7 Jamadilawal 1440H, Ahad – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menyambut baik keputusan Malaysia menghalang athlet rejim Israel menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.
Hamas dalam satu kenyataan semalam, memuji keputusan Malaysia yang mencerminkan pendirian tegas Putrajaya terhadap semua bentuk hubungan dengan rejim Israel.
“Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dalam nada tegas ‘jika penganjur hendak menarik semula hak penganjuran kejohanan itu dari Malaysia sekali pun, mereka boleh berbuat demikian’.
“Kenyataan ini menunjukkan bahawa Malaysia tanpa berbelah-bahagi berdiri teguh menyokong hak rakyat Palestin untuk mempertahankan dan membebaskan tanah mereka yang diduduki, terutama Kota Suci Baitulmaqdis.
“Hamis mengalu-alukan pendirian Malaysia dan menggesa semua negara Arab dan Islam menamatkan hubungan dengan rejim Israel yang disifatkan sebagai menikam rakyat Palestin dari belakang,” kata Hamas.
Hamas berkata, mengadakan hubungan dengan rejim pengganas Israel sama dengan menyokong penghapusan hak rakyat Palestin untuk mengecapi kebebasan, kedamaian dan tinggal di negara sendiri.
Khamis lalu, Dr Mahathir tetap dengan pendirian Malaysia untuk tidak membenarkan atlet renang Israel memasuki Malaysia.
Kedutaan Amerika pindah dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis 14 Mei
25 penduduk Palestin cedera bertempur dengan askar rejim Zionis
24/02/2018
GAZA, 8 Jamadilakhir 1439H, Sabtu – Amerika Syarikat (AS) akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada 14 Mei ini sempena sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan ke-70 rejim pengganas Israel, kata pegawai AS, hari ini.
Naib Presiden AS, Mike Pence dalam lawatan ke Israel bulan lalu, mengatakan pemindahan kedutaan AS ke Baitulmaqdis akan dibuat pada hujung 2019, tetapi pentadbiran Trump dilapor telah mempercepatkannya.
Terdapat beberapa kemungkinan kawasan yang bakal menempatkan kedutaan baharu AS di Baitulmaqdis, termasuk bangunan di Talpiyot di tenggara Baitulmaqdis, yang sekarang ini digunakan sebagai pejabat konsular AS menguruskan pasport dan visa.
Pegawai AS berkata, Washington boleh mengubah suai sebuah pejabat kecil di bangunan berkenaan bagi menempatkan duta sedia ada, David Friedman dan seorang atau dua pembantu, termasuk ketua stafnya.
Langkah itu membolehkan pentadbiran AS menggantung tanda ‘kedutaan’ di pintu pejabat dan dibuka secara rasmi ketika rejim pengganas Israel menyambut Hari Kebangsaan pada 14 Mei.
Pada 6 Disember tahun lalu, Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memberi isyarat bahawa AS akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv.
Pengumuman itu menimbulkan kemarahan dunia Islam dan Arab, menyebabkan rakyat Palestin melancarkan tunjuk perasaan dan keganasan tercetus di wilayah Palestin yang diduduki secara haram oleh rejim pengganas Israel.
Pengumuman Trump itu juga ditolak oleh 128 negara yang mengundi pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) hujung Disember lalu.
Sementara itu, pegawai Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Sami Abu Zuhri berkata, memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis adalah perisytiharan perang terhadap negara Arab dan umat Islam, dan AS mesti menimbang semula langkah itu.
Pada masa sama, pertempuran tercetus antara rakyat Palestin dan askar rejim pengganas Israel di Gaza awal hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 25 cedera.
Sejak 6 Disember tahun lalu, 20 rakyat Palestin terbunuh ketika mengadakan tunjuk perasaan dan bertempur dengan rejim Zionis, sebagai membantah pengumuman Trump. – Agensi
AS mahu pecah Masjidil Aqsa kepada 3 bahagian, tawar Abu Dis ibu negara Palestin
27/12/2017
GAZA, 8 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mendedahkan rancangan Amerika Syarikat (AS) menawarkan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA), perkampungan Abu Dis, yang terletak di pinggir Baitulmaqdis, sebagai ibu negara Palestin.
Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh juga mendedahkan rancangan AS untuk membahagikan Masjid Al-Aqsa kepada tiga bahagian dan mewujudkan entiti politik di Semenanjung Gaza yang diberi keistimewaan tertentu.
6 Disember lalu, Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Sebelum itu, pada 3 Disember lalu, New York Times melaporkan bahawa Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman menawarkan Abu Dis – sebuah perkampungan kecil di barat daya bandar lama Baitulmaqdis dan Lembah Jordan di timur – sebagai ibu negara Palestin.
Rakyat Palestin sebelum ini menuntut Baitulmaqdis Timur dijadikan ibu negara Palestin. Tuntutan itu disokong oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang turut mengisytiharkan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.
Dalam pertemuannya dengan pemimpin suku kaum Palestin di Semenanjung Gaza semalam, Haniyeh berkata, AS menawarkan sebuah jambatan yang disambungkan ke Masjid Al-Aqsa, untuk memberi kebebasan bersolat.
“Sesetengah pihak sedang berusaha untuk membahagikan Tebing Barat kepada tiga bahagian, sebagai tambahan untuk mewujudkan entiti politik di Semenanjung Gaza dengan kuasa sendiri untuk mengawalnya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat Palestin, komuniti serantau dan antarabangsa supaya berhati-hati dengan ‘permainan’ AS dalam melaksanakan dasarnya di Timur Tengah yang belum diketengahkan.
Beliau juga berkata, keputusan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara rejim Israel bakal mencetuskan risiko yang akan menjejaskan hubungan rapat Palestin dan Jordan.
Merujuk kepada laporan mengenai perbincangan menyediakan penempatan alternatif baharu kepada rakyat Palestin, Haniyeh menegaskan beliau memberitahu Raja Jordan, Raja Abdullah mengenai bahaya yang timbul akibat keputusan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan projek penempatan semula penduduk Palestin.
Haniyeh memberi amaran kepada semua pihak yang terbabit dalam ‘perjanjian abad ini’, sama ada mereka rakyat Palestin, Arab, Islam dan antarabangsa, kata seorang penganalisis.
Malah, ada tanda-tanda yang menunjukkan Israel akan mengambil kesempatan terhadap perjanjian itu untuk melaksanakan pelbagai rancangan, termasuk menjadikan Baitulmaqdis hak Yahudi. – Agensi
Dunia kutuk, bantah AS buka kedutaan di Baitulmaqdis
Turki, Jordan dan Amerika berhimpun tanda solidariti terhadap Palestin
ISTANBUL, 29 Syaaban 1439H, Selasa – Walaupun dibantah dan dikritik, namun Amerika Syarikat (AS) tetap berdegil meneruskan keputusannya memindahkan kedutaan negara itu dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, secara rasmi semalam.
Keputusan memindahkan kedutaan itu dibuat Presiden AS, Donald Trump sebaik sahaja mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara rejim pengganas Israel.
Tindakan berkenaan telah mendorong ribuan penduduk Islam di seluruh dunia mengadakan tunjuk perasaan di jalanan bagi membantah keputusan AS dan kekejaman yang dilakukan rejim Israel ke atas rakyat Palestin di sempadan Gaza.
Di Istanbul, ribuan penduduk Turki turun di jalanan sebagai solidariti mereka terhadap penganiayaan dan tragedi pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan rejim Zionis.
Ia susulan kematian 37 rakyat Palestin dalam perarakan ‘Great March of Return’ di sempadan Gaza-Israel semalam, yang turut menyebabkan lebih 1,800 yang lain cedera dalam tempoh 24 jam.
Angka kematian dan cedera itu adalah yang terbesar setakat ini, sepanjang perarakan bagi mengingati Peristiwa Nakba pada 15 Mei itu.
Tindakan sama turut dilakukan rakyat di Amman, Jordan yang berkumpul mengutuk sekerasnya tindakan AS memindahkan kedutaan di Baitulmaqdis.
Ribuan mereka memegang sepanduk menyatakan bahawa Baitulmaqdis adalah milik orang Islam, dan menolak tindakan AS serta Israel itu.
Tidak hanya di negara Islam, penunjuk perasaan yang dianjurkan kumpulan Yahudi AS dikenali sebagai ‘If Not Now’ juga mengadakan demontrasi di luar perkarangan Hotel Antarabangsa Trump di Washington.
Kumpulan itu dikatakan penentang keras terhadap pendudukan Israel di wilayah Palestin.- Agensi
Malaysia bantah pembukaan rasmi kedutaan AS di Baitulmuqaddis
Selasa, 15 Mei 2018 7:26 AM
KUALA LUMPUR: Malaysia membantah keras keputusan Amerika Syarikat membuka kedutaan negara itu secara rasmi di Baitulmuqaddis pada Isnin.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, Malaysia dengan teguhnya percaya bahawa langkah ini akan menjejaskan dan membahayakan lagi usaha ke arah mencari penyelesaian yang menyeluruh dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.
“Ia akan membawa kesan buruk bukan sahaja kepada keselamatan dan kestabilan rantau itu tetapi akan meniupkan sentimen dan menghalang rundingan damai pada masa depan,” kata kenyataan itu.
Kementerian Luar menarik perhatian bahawa pembukaan kedutaan-kedutaan lain akan memburukkan lagi keadaan.
“Malaysia ingin mengulangi pendirian tegasnya bahawa penyelesaian dua negara, yang menyaksikan rakyat Palestin dan Israel hidup bersama secara aman, berdasarkan sempadan sebelum perang 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin, adalah satu-satunya penyelesaian yang berdaya maju terhadap konflik Palestin-Israel,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan semua rakan dalam usaha mencari penyelesaian yang adil lagi berkekalan terhadap konflik berkenaan. – Bernama
MANGSA serangan pengganas kulit putih di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang kini mencecah 50 jiwa itu, adalah sebahagian umat Islam yang sebenarnya berhijrah dari tanah air mereka yang bergolak ke negara baharu untuk menyebar serta mengembangkan agama Islam.
Ada dalam kalangan mereka yang terkorban itu, menghabiskan seluruh hidupnya dengan mengasaskan dan membina masjid serta membantu pelarian yang baru ke negara itu sejak berhijrah pada dekad 1980-an.
Justeru, ketika seluruh dunia menangisi tragedi hitam bukan saja kepada New Zealand, bahkan dunia, sudah tentu umat Islam akan sensitif terhadap sebarang tanggapan yang salah terhadap saudara mereka di negara berkenaan.
Ia termasuklah salah faham terhadap kedudukan umat Islam yang menjadi pelarian dan berhijrah ke New Zealand serta sebarang kenyataan khususnya di media sosial yang cuba mengaitkan mereka dengan tindakan tidak berjihad di negara asal.
Apatah lagi apabila salah faham yang disebarkan itu cuba dikaitkan dengan ayat al-Quran tetapi dengan menggunakannya dalam konteks yang berlainan.
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Aunurrochim Mas’ad. – Foto NSTP
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Aunurrochim Mas’ad, berkata umat Islam di New Zealand yang asalnya menjadi pelarian dikategorikan sebagai mereka yang berhijrah untuk mendapatkan suasana kondusif mendalami Islam bermatlamat untuk berdakwah dan mengembangkan agama.
“Hijrah dalam konteks fiqh Islam ialah aktiviti atau tindakan supaya umat Islam dapat melakukan perkara yang tidak dapat dilaksanakan di tempat yang diduduki itu,” katanya.
Menurut Muhammad Aunurrochim, jika dapat disingkap hijrah Rasulullah SAW, Baginda ketika berada di Makkah tidak dapat banyak berbuat apa-apa, hatta orang beriman menunaikan solat pun terpaksa dilakukan dalam keadaan sembunyi.
“Maka, proses hijrah Rasulullah SAW itu bermatlamat menguatkan keimanan, memperkukuh syariah dan menyusun strategi untuk mengembangkan Islam.
“Jika Rasulullah SAW masih berada di Makkah, tentunya tidak akan berjaya seperti yang dapat kita nikmati sekarang.
“Justeru, hijrah ialah strategi untuk menyusun kekuatan dan membina komuniti yang berpegang kepada satu akidah, sekali gus daripada situ pergerakan Islam dapat disebarkan,” katanya.
Majlis pengebumian mangsa serangan pengganas di dua masjid di Christchurch. Sebahagian mangsa ialah umat Islam yang berhijrah dari negara mereka yang bergolak ke New Zealand untuk mendapatkan suasana kondusif beragama dan menyebar serta mengembangkan dakwah Islam, manakala yang lain pula berhijrah untuk mencari rezeki yang halal. – Foto REUTERS
Maka, penghijrahan umat Islam yang berada di bumi bergolak tidak bertentangan dengan ajaran Islam, apatah lagi sekiranya mereka tidak mempunyai kekuatan untuk berjuang.
Tambahnya, dalam konteks jihad secara fizikal sekalipun, ia memerlukan persiapan menyeluruh, bukan terus berjuang secara melulu.
Firman Allah SWT: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan dengan persediaan itu, musuh Allah dan musuh kamu serta musuh lain daripada yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Al-Anfal: 60)
Muhammad Aunurrochim turut menegur penafsiran dan penggunaan ayat al-Quran secara sewenang-wenangnya tanpa memahami konteks sebenar.
“Netizen yang menggunakan ayat ke-156 surah Ali Imran untuk mengaitkan mangsa korban sebagai tidak melakukan jihad di jalan Allah SWT, sebenarnya tidak tepat pada konteks sebenar.
“Ini kerana ayat itu teguran kepada golongan munafik yang ketika menerima panggilan jihad dan apabila didekati, mereka terus lari.
“Ini berbeza dalam konteks hari ini dan situasi pelarian menetap di New Zealand, penghijrahan mereka tidak dikira sebagai munafik tetapi malangnya ada menyalahgunakan ayat ini untuk menjustifikasi dakwaan mereka,” katanya.
Pengarah Pusat Kajian Shariah, Undang Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran. – Foto Aziah Azmee
Sementara itu, Felo Utama dan Pengarah Pusat Kajian Syariah Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran, berkata jihad sewajarnya dilihat dalam konteks luas dan bukan semata-mata membabitkan individu tetapi tanggungjawab kepada negara.
Mohd Farid berkata, tanggapan jihad hanya perang adalah pemahaman sempit sedangkan konsep sebenarnya bukan sahaja perlu diperluas, bahkan diperbetulkan semula.
“Lihat sahaja pada zaman Nabi Muhammad SAW, ada sahabat yang tidak dibenarkan pergi berjihad hanya kerana mempunyai ibu bapa yang uzur. Ini kerana jihad menjaga orang tuanya lebih utama kepadanya jika dibandingkan turun ke medan perang.
“Jadi kalau kita memahami jihad dalam konteks luas, kita berupaya melihatnya bukan saja dalam konteks perang, bahkan mengelakkan daripada membuat penilaian tidak adil seperti dilakukan segelintir masyarakat,” katanya.
Mohd Farid berkata, dalam konteks tragedi membabitkan kebanyakannya pelarian yang berasal dari Asia Barat itu, kita sepatutnya bersangka baik terutama terhadap niat mereka melakukan penghijrahan.
Bunga dan mesej diletakkan di luar Masjid Lakemba di Sydney yang mengingati mangsa serangan pengganas di dua masjid di Christchurch yang mengorbankan 50 orang Islam yang menunaikan solat Jumaat. – Foto AFP
Katanya, berhijrah kerana mencari rezeki juga adalah antara bentuk jihad dalam Islam.
“Hikmah sesuatu perkara yang berlaku itu adalah hak Allah SWT dan hanya Dia yang Maha Mengetahui segala-galanya.
“Kita sepatutnya memahami tindakan ganas itu sebagai kezaliman dan kekejaman yang dilakukan individu tidak berperikemanusiaan terhadap orang yang sedang dalam masjid serta beribadah.
“Kita sepatutnya bersedih dan mendoakan kebaikan terhadap mereka serta berasa simpati dan takziah atas apa berlaku, bukannya tampil dengan tuduhan menunjukkan sikap prejudis atau berfikir buruk,” katanya.
Menurutnya lagi, dalam keadaan itu, apa yang perlu ditonjolkan ialah kesatuan atau solidariti kasih-sayang terhadap sesama ummah apatah lagi mereka diperlakukan dengan begitu kejam.
“Dalam menanggapi isu sebegini, paling kurang tunjukkanlah kasih sayang, barulah semangat kesatuan akan menjadi lebih kukuh.
“Bukan pada saat ini, kita menambahkan perpecahan dengan memberikan hukuman, tuduhan dan penilaian yang akan terus memecahbelahkan umat Islam.
“Ini juga bukan masa untuk mengeluarkan kenyataan berbaur politik, seperti tidak suka kepada keadaan politik atau keadaan umat Islam di negara lain,” katanya.
BAITULMUQADDIS 6 Okt. – Umat Islam di seluruh dunia diseru supaya terus mengunjungi Masjid Al-Aqsa walaupun menghadapi pelbagai tekanan oleh tentera Israel.
Ketika membuat seruan itu, Mufti Besar Baitulmuqaddis, Sheikh Mohammad Ahmad Husein berkata, ia sebagai tanda sokongan moral umat Islam dunia kepada rakyat Palestin.
Katanya, menerusi cara itu juga secara tidak langsung boleh menjana ekonomi penduduk Palestin khususnya di wilayah tersebut.
“Sememangnya ada tekanan oleh tentera Israel kepada mereka yang berhasrat mengunjungi Masjid Al-Aqsa tetapi itu hanya sebahagian kecil daripada penderitaan dialami oleh penduduk Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena kunjungan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke masjid itu di sini semalam.
Berangkat sama anakanda sulung baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Tinggi Hal Ehwal Islam Al-Quds, Dr. Ekremah Said Sabry.
Turut serta Pengarah Wakaf Al-Quds, Syeikh Azam Al-Khatib; Menteri Al-Quds, Ir. Adnan Al-Husaini; Mufti Al-Quds, Syeikh Adnan Ghaith dan Pengarah Masjid Al-Aqsa, Syeikh Omar Al-Kiswani.
Tuanku Syed Faizuddin diiringi oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Dalam lawatan itu, baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs sempat menunaikan solat Jumaat sebelum menyampaikan sumbangan sebanyak 30 buah kerusi roda oleh majlis agama itu bagi kegunaan para jemaah.
Dalam pada itu, Sheikh Mohammad yang juga penjaga Masjid Al-Aqsa memberitahu, nasib penduduk Palestin semakin tertindas sejak Perjanjian Oslo pada 1993.
SEORANG ayah berkata kepada anaknya: “Ayah berikan kepada kamu tanah ini, kamu ambillah. Kamu binalah rumah di atasnya.” Jawab anak: “Saya terima ayah, saya sayang ayah”.
Begitulah contohnya apabila seorang ayah yang sayangkan anak memberikan harta yang telah diusahakan selama ini untuk dimiliki oleh anaknya. Kaedah ini adalah hibah yang mana sebahagian daripada masyarakat tidak mengetahui kedudukan dan kebaikannya sebagai alternatif kepada pengagihan harta pusaka.
Pelaksanaan hibah kini sesuai untuk diamalkan seiring dengan peredaran masa dan perubahan corak hidup serta tabiat masyarakat. Masalah pengabaian pembahagian harta pusaka juga tidak akan timbul memandangkan pemberian telah dibuat semasa hayat pemberi hibah.
1) Hibah adalah Pembahagian Harta Yang Dianjurkan Islam
Hibah merupakan satu bentuk pengurusan harta yang dianjurkan Islam. Ia sebagai pelengkap kepada sistem pengagihan harta dalam Islam. Namun, sistem faraid sebenarnya adalah satu bentuk pengagihan harta kepada waris apabila seseorang meninggal dunia secara mengejut atau meninggal dunia dalam usia yang muda sebelum sempat memikirkan tentang persediaan pengagihan harta. Justeru itu, hibah adalah satu bentuk perancangan awal pewarisan harta untuk tujuan kebajikan dan boleh memupuk kasih sayang serta mencegah permusuhan.
Minda masyarakat yang selama ini hanya menggunakan mekanisme pembahagian harta pusaka secara konvensional perlu diubah kepada konsep yang menggunakan pendekatan ‘pemberian semasa hidup’ seperti hibah. Pelaksanaan hibah adalah sunat dan digalakkan di dalam Islam. Ini adalah berdasarkan firman ALLAH: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.” (Surah Ali Imran: 92)
2) Hibah adalah Pemberian Semasa Hidup yang boleh Ditujukan Kepada Sesiapa Sahaja Yang Dikehendaki
Dalam Islam, tidak wujud halangan untuk membolehkan hibah dibuat kepada waris sendiri walaupun pemberian sebegini ditegah melalui pemberian dengan jalan wasiat. Pemberian hibah boleh dibuat daripada seorang bapa kepada anak-anaknya atau daripada suami kepada isterinya. Malahan, pelaksanaan hibah boleh digunakan kepada pasangan yang mempunyai anak angkat kerana anak angkat tidak dikategorikan sebagai waris.
Manakala, bagi orang yang baru memeluk Islam, mereka mungkin masih mahu mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga mereka walaupun keluarga tersebut bukannya beragama Islam. Maka adalah dibolehkan untuk memberikan harta kepada keluarga terutamanya ibu bapa yang telah banyak berjasa sebagai menghargai pengorbanan melahirkan dan membesarkan mereka walaupun berlainan agama.
Pemberian secara hibah ini boleh memperlihatkan keindahan Islam sebagai agama yang amat menitikberatkan soal penghormatan kepada ibu bapa dan keluarga serta menggalakkan kasih sayang sesama manusia.
3) Hibah Tiada Had Kadar Bahagian atau Jumlah Pemberian
Hibah mempunyai kelainan berbanding wasiat dan faraid kerana tiada had jumlah yang perlu dipatuhi. Berbeza dengan harta yang diwasiatkan yang tidak boleh melebihi 1/3 daripada harta pusaka bersih dan faraid pula mengikut kadar-kadar tertentu yang telah dinyatakan dalam al-Quran. Namun, dalam hal hibah kepada anak-anak, ibu bapa disunatkan untuk berlaku adil dengan menyamaratakan pemberian. Ia sebagaimana hadis daripada Nu’man bin Basyir RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Sesungguhnya bapa datang berjumpa Rasulullah SAW lalu berkata: “Sesungguhnya saya telah menghadiahkan anak lelaki saya ini seorang hamba.” Lalu Rasulullah SAW bertanya (kepada bapa saya): “Adakah setiap anak kamu telah diberikan (pemberian) seperti ini?” Bapa saya menjawab: “Tidak.” Rasulullah SAW lalu berkata: “Kembalikanlah dia.” (Riwayat Bukhari)
4) Hibah Sebagai Alternatif Penyelesaian Masalah Pengagihan Secara Faraid
Kefahaman masyarakat terutamanya waris kini ke atas pengurusan pentadbiran harta pusaka memungkinkan mereka lambat atau boleh melengah-lengahkan membuat permohonan pembahagian harta pusaka seseorang si mati. Rentetan daripada ini, ia boleh menimbulkan pelbagai masalah yang sukar diatasi.
Justeru itu, sebagai usaha bagi mengatasi masalah yang timbul, kaedah pelaksanaan hibah bukan sahaja dapat menjamin penurunan hak milik harta kepada waris mengikut kehendak pemberi hibah, malah akan mengurangkan jumlah kes harta pusaka yang tertunggak di seluruh negara.
Ini adalah kerana pengagihan harta melalui kaedah hibah tidak perlu melalui proses pentadbiran yang rumit sepertimana yang perlu dilalui dalam pembahagian secara faraid yang kadangkala boleh menimbulkan ketidakadilan. Ini sekali gus dapat mengelakkan perebutan harta dan pertelingkahan ahli waris selepas kematian pemilik.
5) Pembahagian Harta Secara Lebih Bermanfaat
Pemberian harta secara hibah adalah suatu cara yang berkesan untuk pembahagian yang lebih berfaedah dan bermanfaat. Pembahagian harta pusaka dengan cara meletakkan nama semua waris pada setiap bidang tanah yang diwarisi sehingga tidak mendatangkan apa-apa manfaat dari sudut ekonomi serta menyukarkan transaksi seterusnya, boleh merugikan waris.
Sebenarnya, pembahagian harta pusaka selain faraid dibenarkan mengikut persepakatan atau muafakat, iaitu pembahagian dibuat tanpa mengikut hukum faraid dengan syarat wujud persetujuan semua ahli waris selepas berlakunya kematian.
Ia sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 15 (5) dan Jadual Pertama Akta (Pembahagian) Harta Pusaka Kecil 1955. Amalan muafakat tidak menyalahi hukum Islam kerana Islam sendiri menganjurkan supaya mempraktikkan amalan berunding iaitu melalui kaedah sulh.
Walau bagaimanapun, cara pembahagian melalui kaedah persepakatan ini jarang dipatuhi kerana ketiadaan persetujuan daripada waris. Masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar masih gemar kepada bentuk perintah pembahagian mengikut bahagian faraid yang meletakkan nama-nama setiap individu ke atas semua hak milik si mati. Ini bermakna sekiranya si mati meninggalkan lima hak milik dan 10 waris, maka setiap hak milik akan mengandungi nama kesemua daripada waris tersebut.
Kewujudan bentuk pembahagian sebegini boleh menyebabkan nilai komersial sesebuah tanah menjadi terjejas dan tidak bermanfaat. Ini adalah kerana melalui hak milik yang dikongsi ramai individu dengan bahagian yang sangat kecil, urus niaga tanah akan menjadi lebih rumit kerana setiap urus niaga yang hendak dilaksanakan memerlukan persetujuan daripada kesemua pemilik.
Justeru pemberian harta melalui hibah boleh dipertimbangkan bagi mengatasi masalah ini.
* Ustaz Indera Shahril Mohd Shahid Pengurus Harta Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor (Mais)