Posted on Leave a comment

Kenyataan Media Pengumuman Zakat Fitrah Negeri Pahang Tahun 2020

Kenyataan Media Pengumuman Zakat Fitrah Negeri Pahang Tahun 2020

Kategori: Berita Semasa

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh

Alhamdulillah wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah wa‘ala alihi wasahbihi ajma‘in
Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang selaku Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Ketua Agama Islam Negeri Pahang Darul Makmur, telah memperkenankan Kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang bagi tahun 1441 Hijriyyah bersamaan 2020 Miladiyyah ialah RM7.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Sahaja).
Semua umat islam di dalam negeri ini hendaklah mengeluarkan Zakat Fitrah mereka bermula daripada awal Ramadhan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat hari raya Aidilfitri.

Memahami keutamaan memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 dan pematuhan kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kaedah bayaran melalui Amil Zakat Fitrah tidak disediakan. Justeru itu, pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Majlis) telah menetapkan kaedah bayaran pada tahun ini adalah sepertimana berikut:
a) Secara atas talian (internet) melalui capaian https://ezakat.muip.gov.my/zakatfitrah/. Hebahan dan perkongsian alamat capaian ini akan dibuat melalui media massa.
b) Aplikasi PahangGo (Akan Dimaklumkan)
c) Aplikasi SnapNPay (Akan Dimaklumkan)
d) Zakat Fitrah Pahang 15888. Bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan untuk membuat bayaran secara atas talian (internet) seperti di atas.

Kaedah bayaran melalui Zakat Fitrah 15888 ini adalah pilihan kepada mereka sepertimana berikut ;
i.Tidak mempunyai kemudahan membuat bayaran secara atas talian (internet)
ii.Tidak mempunyai anak atau saudara mara atau individu yang boleh membantu membuat bayaran secara atas talian
iii.Tiada wakil untuk membayar Zakat Fitrah secara atas talian bagi pihak mereka

Melalui kaedah ini, pihak Majlis akan mendahului bayaran bagi pihak pembayar dan memerlukan pembayar membuat bayaran semula kepada Majlis selepas berakhir tempoh PKP.
Jika ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dalam tempoh Ramadhan dan khidmat Amil Fitrah disediakan maka kaedah bayaran melalui Zakat Fitrah 15888 ini tidak lagi disediakan.

Keharusan menggunakan kaedah bayaran melalui Zakat Fitrah Pahang 15888 ini adalah berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Syarak Negeri Pahang.
Selain kaedah-kaedah bayaran yang dinyatakan di atas, pihak Majlis akan terus meyediakanlain-lain kaedah bayaran alternatif kepada mereka yang tidak kemudahan membuat bayaran secara atas talian (internet) agar tanggungjawab menunaikan Zakat Fitrah dapat ditunaikan.

Sesiapa yang didapati memungut Zakat Fitrah tanpa dia diberi kuasa atau dilantik oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Majlis) adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada tiga ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sempena bulan Ramadhan yang diberkati ini umat Islam digalakkan menghidupkan bulan Ramadhan dengan amal ibadah dan juga patuh dengan apa-apa ketetapan pihak berkuasa selama tempoh PKP ini berkuatkuasa.
Di kesempatan ini, saya bagi pihak Majlis mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan dan selamat menunaikan Zakat Fitrah pada tahun ini.

Sekian, Wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

YH. Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain,
DIMP.,SAP.,AMP.,PKC.
Setiusaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
TARIKH : 23 APRIL 2020M / 29 SYA’BAN 1441H

Posted on Leave a comment

COVID 19 : SUMBANGAN BARANGAN MUIP DI PUSAT KUARANTIN ???? DAN ????

COVID 19 : SUMBANGAN BARANGAN MUIP DI PUSAT KUARANTIN ???? DAN ????

??????? 20 April 2020 bersamaan 26 Syaaban 1441H

Dua buah pusat kuarantin di daerah ini menerima sumbangan barangan dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Sumbangan barangan berupa al-Quran, surah Yasin, kain pelikat, telekung serta alat mainan untuk keperluan mereka yang dikuarantin di Pusat Kuarantin KPTM dan HTAA.

Posted on Leave a comment

COVID 19 : BANTUAN KEWANGAN MUIP MELANCARKAN OPERASI HTAA MENANGANI COVID 19

COVID 19 : BANTUAN KEWANGAN MUIP MELANCARKAN OPERASI HTAA MENANGANI COVID 19

??????? 27 Mac 2020 bersamaan 2 Syaaban 1441H

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang memperuntukkan sejumlah bantuan kewangan kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk membiayai pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan bagi melancarkan operasi pengurusan HTAA menangani COVID-19.
Peruntukan bantuan kewangan berkenaan digunakan untuk pembelian peralatan antaranya televisyen untuk ‘teleconference’, 20 set alat bantuan pernafasan, peralatan screening dan beberapa peralatan rawatan yang lain.
Selain itu, peruntukan sebanyak RM60 ribu juga diserahkan kepada HTAA bagi bantuan khas kepada keluarga pesakit COVID-19 yang menerima rawatan di hospital ini.

Posted on Leave a comment

COVID 19 : MUIP BANTU GELANDANGAN SUMBANG DAN AGIH 200 BUNGKUSAN MAKANAN

COVID 19 : MUIP BANTU GELANDANGAN SUMBANG DAN AGIH 200 BUNGKUSAN MAKANAN

???????. 7 April 2020 bersamaan 13 Syaaban 1441H –

Golongan gelandangan juga tidak terabai dalam menerima sumbangan bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan. Mereka merupakan golongan gelandangan dan miskin bandar disantuni menerusi pengagihan sumbangan 200 bungkusan makanan. Penglibatan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan, sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan NGO seperti Dapur Infaq serta MRA bagi menjayakakan program ini. Sumbangan diagihkan dari pukul 6.00 petang hingga pukul 8.15 malam.

Posted on Leave a comment

Muip mengagihkan beg bekalan keperluan harian kepada asnaf di negeri Pahang.

Muip belanjakan RM1.8 juta bantu asnaf
NORAWAZNI | | 11 April 2020

Muip mengagihkan beg bekalan keperluan harian kepada asnaf di negeri Pahang. –

KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sudah membelanjakan lebih RM1.8 juta bagi membantu golongan asnaf di negeri itu yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Penolong Pegawai Zakat Unit Faqir Miskin Muip, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud berkata, sehingga kini pihaknya telah mengagihkan sebanyak 30,715 beg bekalan keperluan harian secara berperingkat menerusi pegawai Muip cawangan dan jawatankuasa masjid.

Menurutnya, jumlah bantuan terbabit dijangka bertambah setelah kerajaan mengumumkan lanjutan PKP fasa ketiga bermula 15 hingga 28 April ini.
“Kita yakin lanjutan PKP akan menyebabkan lebih ramai asnaf akan kehabisan bekalan makanan kerana tidak dapat bekerja dalam tempoh lama.
“Jadi pertambahan itu dijangka berlaku dua kali ganda dan pihak kita sudah bersedia serta terus membantu mereka (asnaf),” katanya.

Selain golongan asnaf, Muip turut memberi bantuan kepada mualaf terdiri daripada masyarakat orang asli, Cina dan India di Pahang.
Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah bantuan yang paling banyak diagihkan mengikut daerah iaitu Kuantan sebanyak 5,050 diikuti Cameron Highlands (4,500), Pekan (4,460), Jengka (3,800), Jerantut (3,600) Temerloh (3,169), Bentong (2,260) dan Raub (1,500).
Mohd Nasrul Hakim berkata, fasa pertama agihan bantuan bermula 23 Mac hingga 6 April lalu dan fasa kedua akan dilakukan tidak lama lagi.

Mengulas mengenai bantuan untuk orang asli, beliau berkata, bantuan untuk asnaf orang asli banyak dilakukan di daerah seperti Cameron Highlands, Pekan, Jerantut, Bentong, Temerloh dan Bera.
“Sebahagian bantuan sudah disampaikan dan bagi kawasan pedalaman akan dilakukan secara berperingkat dengan bantuan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),” katanya.

Katanya, pihaknya hanya mengagihkan bantuan makanan, namun sekiranya ada keperluan mendesak seperti memerlukan susu anak, pegawai Muip cawangan dibenarkan mengambil keperluan itu di Pasaraya Darul Makmur (PDM).

Posted on Leave a comment

MAJLIS UGAMA ISLAM PAHANG SALUR BANTUAN MENDEPANI PANDEMIK COVID-19

MAJLIS UGAMA ISLAM PAHANG SALUR BANTUAN MENDEPANI PANDEMIK COVID-19

PEKAN. 21 Mac 2020 Bersamaan 26 Rejab 1441 Hijrah – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang memperuntukkan sumbangan bantuan bagi menangani wabak COVID-19 kepada golongan asnaf fakir dan miskin, keluarga pesakit yang terlibat serta pihak hospital yang mengendalikan pesakit COVID-19 ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang mengumumkan sumbangan bantuan ini menerusi kenyataan media seperti berikut :
✅Bantuan berjumlah RM250,000.00 kepada kerajaan negeri bagi membantu pihak-pihak tertentu yang memerlukan bantuan untuk mendepani isu wabak ini.

✅Tambahan sebanyak RM200.00 kepada 3,030 orang penerima bantuan be zakat – (akan terus dimasukkan ke dalam akaun).

✅Tambahan sebanyak RM200.00 kepada 9,664 orang penerima bantuan tahunan zakat – (akan terus dimasukkan ke dalam akaun).

✅Sumbangan 20 set alat bantuan pernafasan (mesin tabung oksigen) kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan Hospital Kuala Lipis.

✅Bantuan Khas kepada keluarga pesakit COVID-19 berjumlah RM1,000.00 di Negeri Pahang.

✅Sumbangan peralatan screening kepada ketiga-tiga hospital yang dinyatakan tadi.

Baginda turut menyeru kepada semua GLC, Badan Korporat, NGO dan individu yang berkemampuan untuk bersama-sama menyumbang kepada Tabung Amal COVID-19 yang diwujudkan oleh kerajaan negeri.

Wabak jangkitan COVID-19 di Malaysia yang meningkat dari hari ke hari, justeru itu YAB Perdana Menteri mengumumkan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula 18 Mac hingga 31 Mac bagi tujuan membendung penularan COVID-19 ini.
#asnafzakat

Posted on Leave a comment

KERAJAAN NEGERI DISERU AMBIL LANGKAH SEGERA PASCA COVID-19

KERAJAAN NEGERI DISERU AMBIL LANGKAH SEGERA PASCA COVID-19
Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib

KUANTAN, 20 APRIL 2020: Kerajaan Negeri diseru supaya mengambil langkah segera pasca COVID-19 dengan mengumpulkan semua kepakaran yang boleh diperolehi untuk memberi nasihat kepada kerajaan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, sebagai contoh dengan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Pahang dan mengadakan perbincangan bersama pihak pemain industri termasuk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

“Saya juga menyeru kepada pentadbiran Kerajaan Negeri supaya bersedia dengan persekitaran sosio-ekonomi yang dijangkakan akan berlaku “a new-normal” ditambah pula dengan ramalan kelembapan ekonomi global yang akan menjejaskan negara.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri perlu merancang inisiatif yang lebih menyeluruh supaya semua pihak dapat bersedia dan berikhtiar bagi merancakkan semula aktiviti perniagaan dan pelaburan serta memastikan jentera Kerajaan Negeri berfungsi lebih cekap dan berkesan melalui perkhidmatan yang disediakan,” titah baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah melalui Sidang Video pada Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Baginda bertitah demikian dalam satu sidang video pada Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Baginda berharap dengan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Pahang akan dapat memulihkan semula ekonomi negeri dan sumber kewangan rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 ini.

Sehubungan itu, baginda berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan peruntukan berjumlah RM10.65 bilion bagi membiayai projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 sejak dari tahun 2016 sehingga 2020.

“Dengan adanya kelulusan tersebut, rakyat dapat menikmati pelbagai kemudahan antaranya seperti jajaran jalan raya yang sistematik melalui Projek Central Spine Road (CSR) dan projek-projek bekalan air terawat bagi memastikan peratus capaian air terawat dapat disalurkan 100 peratus ke segenap penduduk negeri ini.
“Saya berharap pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 yang sedang berjalan ini dapat diteruskan dengan jayanya dalam usaha untuk memacu ekonomi negeri dan yang paling penting ia memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat saya.
“Kerajaan saya tidak terkecuali untuk turut memperuntukkan RM120.75 juta yang meningkat sebanyak 23 peratus daripada tahun lepas untuk tujuan pembangunan dan saya yakin dapat merancakkan semula perkembangan ekonomi negeri dan aliran tunai dalam pasaran setelah negara terkesan dengan wabak COVID-19,” titah baginda – PAHANGMEDIA

Posted on Leave a comment

MUIP SANTUNI KELUARGA MEMRLUKAN RINGANKAN BEBAN

𝗞𝗨𝗔𝗡𝗧𝗔𝗡. 20 April 2020 bersamaan 26 Syaaban 1441H – Agihan barangan asas kepada yang memerlukan di rumah-rumah setinggan, yang terletak di belakang pusat beli-belah Giant, Tanah Putih. Sumbangan bantuan diagihkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Cawangan Kuantan kepada 80 keluarga termasuk 7 keluarga Rohingya.

Posted on Leave a comment

PAHANGMART MULA BEROPERASI AHAD INI

PAHANGMART MULA BEROPERASI AHAD INI

KUANTAN, 16 APRIL 2020

Pasaraya atas talian atau portal pertama di Pahang yang dikenali sebagai PahangMart akan memulakan operasinya bermula Ahad.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Hj Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, portal ini akan memaparkan senarai pasaraya yang beroperasi dalam negeri Pahang beserta barangan jualan mereka.

“Kita wujudkan portal ini iaitu www.pahangmart.com ini adalah untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat untuk membeli barang secara online.
“Antara pasaraya yang sudah berdaftar dengan kita adalah Cowboy Mart, Eng Hong Mart, TMG Mart dan LYC Mart,” katanya ketika dihubungi menerusi Program Sembang Malam bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, semalam.

Beliau berkata, selain turut menggunakan perkhidmatan penghantaran sedia ada, PahangGo (pihak yang bertangungjawab membina portal PahangMart ini) juga akan menyediakan platform penghantaran (runner).
“Orang ramai boleh memilih senarai barangan yang ada di dalam portal berkenaan, kemudian pesan dan bayar sebelum dihantar terus ke depan pintu rumah pembeli,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Hj Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika dihubungi menerusi Program Sembang Malam bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, semalam.
Sementara itu, beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 4,700 peniaga bazar Ramadan yang sudah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan yang akan diletakkan di dalam e-bazar Pahang.

“Senarai peniaga-peniaga ini kita akan letak di dalam portal PahangMart untuk menjadi rujukan kepada syarikat e-hailing. Mereka boleh menghubungi peniaga bazar berkenaan untuk menjadi penghantar makanan mereka,” katanya.
Beliau berkata, kepada rakyat Pahang yang berminat untuk mendaftar sebagai penghantar (runner) ini pula, bolehlah menghubungi ‘PahangGo’ menerusi laman sosial mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

“Menerusi inisiatif ini diharap dapat membantu bukan sahaja rakyat/pengguna untuk membeli juadah Bazar Ramadan dan barangan keperluan harian lain, malah boleh membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus berniaga dalam tempoh yang sukar akibat wabak pandemik COVID-19 ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Posted on Leave a comment

TIADA BAZAR RAMADAN DI PAHANG, PENGGUNA DAN PENIAGA DIGALAK GUNA PORTAL PAHANGMART

TIADA BAZAR RAMADAN DI PAHANG, PENGGUNA DAN PENIAGA DIGALAK GUNA PORTAL PAHANGMART

KUANTAN, 8 APRIL 2020

Kerajaan Negeri Pahang membuat keputusan tidak membenarkan penganjuran aktiviti Bazar Ramadan di kesemua kawasan di bawah pentadbiran 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan ini diambil bagi meneruskan lagi usaha untuk membendung penularan wabak pandemiK COVID-19 yang masih melanda negara dan mengancam kesihatan rakyat.

Menurutnya, ia juga sebagai menuruti saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah yang tidak menggalakkan sebarang bentuk perhimpunan melibatkan orangramai dalam tempoh enam bulan hingga setahun, tanpa mengira sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang dilanjutkan lagi atau tidak.

“Sebagaimana kita sedia maklum, PKP Fasa 1 bermula 18 Mac hingga 31 Mac, telahpun dilanjutkan kepada Fasa 2 sehingga 14 April 2020. Umat Islam pula dijangka memulakan ibadah puasa bulan Ramadan Al-Mubarak pada 24 April 2020.

“Dengan keputusan ini, ia melibatkan 94 lokasi penganjuran Bazar Ramadan di seluruh negeri, serta 4,639 peniaga sepertimana statistik yang direkodkan pada penganjuran Bazar Ramadan tahun lepas (2019) di kesemua 11 PBT dan di bawah pentadbiran Lembaga Pembangunan Tioman (TDA),” katanyta menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

YAB Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri mengambil peduli dan mengambil berat tentang kesukaran yang bakal dihadapi oleh peniaga-peniaga, serta juga rakyat/pengguna yang pasti terkesan dengan keputusan yang ‘unprecedented’ ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telahpun meminta pihak pengurusan PahangGo agar dapat menawarkan perkhidmatan dalam talian bagi memudahkan para peniaga untuk terus ‘mencari makan’, manakala rakyat/pengguna dapat membuat pesanan-pesanan makanan untuk juadah berbuka puasa mereka.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan melancarkan ‘platform’ pasaraya atas talian atau portal dikenali ‘PahangMart’, yang akan memaparkan senarai pasaraya yang beroperasi dalam negeri Pahang berserta barangan jualan mereka.
“Yang akan turut dipaparkan ialah senarai tapak Bazar Ramadan serta gerai-gerai jualannya, dan rakyat/pengguna boleh melihat gambar juadah yang disediakan lalu membuat tempahan menerusinya,” katanya.

Beliau juga berkata, selain turut menggunakan perkhidmatan penghantaran sedia ada, PahangGo (pihak yang bertangungjawab membina portal PahangMart ini) juga akan menyediakan ‘platform’ penghantaran (runner).
Menurutnya, kepada rakyat Pahang yang berminat untuk mendaftar sebagai penghantar (runner) ini pula, bolehlah menghubungi ‘PahangGo’ menerusi laman sosial mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

“Menerusi inisiatif ini diharap dapat membantu bukan sahaja rakyat/pengguna untuk membeli juadah Bazar Ramadan dan barangan keperluan harian lain, malah boleh membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus berniaga dalam tempoh yang sukar akibat wabak pandemik COVID-19 ini,” katanya. – PAHANGMEDIA